Oleh: Jayaraj Vijaya Kumaran
Pensyarah, Faculty of Earth Science
Universiti Malaysia Kelantan
Melihat kekayaan sumber hutan di Negeri Kelantan, pasti ramai yang akan tertanya apakah fauna yang hidup di kawasan tersebut? Pasti ramai yang akan terbayang haiwan-haiwan seperti harimau, gajah, monyet, burung, ular dan mergastua yang biasa dikenali atau dilihat di kacamata televisyen, surat khabar atau media cetak yang lain. Mamalia besar seperti harimau, tapir, gajah dan seladang sering diketengahkan kerana status terancam haiwan-haiwan ini, namun bergitu, kumpulan mamalia ini cumalah sebahagian kecil daripada kepelbagaian mamalia yang wujud dinegara kita. Sebahagian besar kepelbagaian mamalia di Malaysia terdiri daripada mamalia kecil, iaitu mamalia yang berat badan dewasanya kurang daripada 5kg. Haiwan-haiwan ini terdiri daripada Order Rodentia (tupai dan tikus), Chiroptera (cecadu dan kelawar), Lagomorpha (arnab), beberapa spesis kucing, Insectivora (mamalia kecil pemakan serangga) dan Scandentia (tupai tanah bukan golongan rodentia).
Terdapat lebih daripada 2800 spesis mamalia kecil didunia ini, dan di Semenanjung Malaysia, anggaran kepelbagaian mamalia kecil mencecah 3/4 daripada 222 spesis mamalia yang diketahui. Namun angka ini adalah anggaran sahaja kerana kepelbagaian mamalia ditentukan oleh kajian dalam bidang taksonomi dan sistematik, satu cabang ilmu biologi berkaitan penamaan dan pengelasan organisma. Perubahan dalam jumlah spesis yang diketahui seringkali berlaku kerana penemuan spesis baru dan perubahan dalam taksonomi organisma tersebut. Sains taksonomi dan sistematik kini menggunakan teknik-teknik DNA dan genetik, morfologi, tingkahlaku dan ekologi untuk merungkai persoalan dalam kepelbagian biologi, tetapi masih menggunakan sistem pengkelasan binomial yang sedia ada.
Di Kelantan, kepelbagaian mamalia kecil setakat ini adalah 84 spesis, dan terdiri daripada kelawar, cecadu, tupai, tikus, cencurut, kucing hutan, musang, memerang dan lain-lain lagi. Kelawar dan cecadu merupakan mamalia kecil yang paling tinggi kepelbagaiannya di Kelantan dengan 42 spesis kerana kepelbagaian hutan dan kawasan gua. Cecadu ialah kelawar yang memakan buah, debunga, madu dan daun biasanya dijumpai di kawasan hutan, pinggiran luar bandar dan kawasan gua batu kapur. Tedapat 10 spesis cecadu di Kelantan dan kesemuanya adalah unit penting dalam persekitaran semulajadi. Haiwan ini bergantung hidup kepada tumbuhan terutamanya buah-buahan untuk makanan dan merupakan agen pendebungaan penting bagi beberapa tumbuhan hutan dan komersil. Hasil kajian Dr Marty Fujita dari Boston University mendapati bunga pokok durian sememangnya paling sesuai didebungakan oleh Eonyteris spelaea, satu spesis cecadu pemakan madu yang biasanya dijumpai di kawasan gua batu kapur. Pokok petai (Parkia spp.), makanan kegemaran ramai penduduk Kelantan dan umumnya rakyat Malaysia juga didebungakan oleh cecadu. Pertumbuhan semula pokok di hutan juga amat bergantung kepada cecadu kerana ia mampu menyebarkan biji benih bagi pelbagai spesis perintis dihutan.
Kelawar pemakan serangga pula biasanya dijumpai di gua, kawasan hutan dan juga kawasan penempatan manusia tetapi kepelbagaiannya berbeza mengikut ekologi kawasan tersebut. Lazimnya kawasan kepelbagaian tinggi kelawar adalah kawasan gua yang mempunyai hutan yang tebal, kerana kedua-dua habitat ini (gua dan kawasan hutan) dapat menampung kepelbagaian kelawar gua dan kelawar hutan. Ekologi kedua-dua jenis kelawar ini berbeza, kelawar gua biasanya hidup dalam kelompok besar didalam gua dan keluar mencari makanan sekitar habitatnya manakala kelawar hutan selalu dijumpai dalam jumlah kecil. Habitat kelawar hutan termasuklah buluh tumbang, lipatan daun, lubang pokok dan juga dalam pokok periuk kera. Kelawar buluh (Tylonycteris spp.) biasanya hidup didalam batang buluh yang telah dikorek lubangnya oleh sejenis kumbang Lasiochila goryi. Survei kepelbagaian mamalia pada tahun 2005 dan 2011 mendapati kelawar ini boleh dijumpai di Taman Negeri Gunung Stong.
Order Rodentia yang terdiri daripada tikus dan tupai adalah kumpulan mamalia terbesar, dan merangkumi 40% kepelbagaian mamalia yang diketahui. Kumpulan ini boleh dijumpai dihampir semua ekosistem daratan dan merupakan kumpulan mamalia yang paling berjaya. Tujuh daripada 19 spesis rodentia yang ada di Kelantan adalah tupai, manakala selebihnya 10 terdiri daripada pelbagai spesis tikus dan 2 spesis landak. Antara spesis tikus yang menarik adalah Tikus Lembah Sundamys muelleri, sejenis tikus hutan yang biasanya dijumpai di tepi sungai. Tikus ini sering dikelirukan dengan tikus rumah kerana rupa bentuk yang seakan sama, tetapi boleh dibezakan melalui perbezaan saiz (berat dalam lingkungan 200 hingga 470 gram), ekor yang panjang dan gelap dan juga bulu abdomen kelabu yang padat. Tikus rumah biasanya berwarna putih di bahagian abdomen. Tikus ini (biasanya hidup di kawasan hutan primer dan sekunder dan makan tubuhan dan haiwan yang dijumpai. Oleh kerana tikus ini seringkali dijumpai dikawasan sungai yang bersih, maka secara tidak langsung kehadiran tikus ini menunjukkan sungai disekitar kawasan tersebut adalah bersih. Tikus ini telah ditangkap di Gunung Chamah, pada ketinggian 690m dari paras laut.
Antara keunikan kepelbagaian mamalia kecil di Kelantan adalah kewujudan mamalia paling kecil iaitu cencurut Suncus etruscus. Biasanya cencurut kecil ini kurang ditangkap, namun kehadiran spesis ini biasanya diketahui melalui saki baki tulangnya selepas dimakan burung hantu. Morfologi luarannya termasuk bulu yang hitam tetapi berbintik putih dengan berat badan kurang daripada 2.5 gram. Spesimen Kelantan yang diperoleh sebenarnya datang daripada perangkap kumbang yang dipasang sekitar kawasan kajian semasa Ekspidisi Gunung Chamah pada tahun 2011. Cencurut ini berkemungkinan secara tidak sengaja jatuh dan didalam perangkap tersebut. Saiz dan berat badan yang kecil menyebabkan haiwan ini senang mati kerana hyperthermia menyebabkan spesimen hidup jarang ditangkap. Cencurut ini juga perlu makan jumlah makanan hampir 2 kali berat badannya setiap hari untuk menampung metabolimanya yang tinggi. Status konservasi haiwan ini kini adalah kurang perhatian kerana mamalia ini boleh dijumpai di banyak negara.
Jika diperhatikan tiang tiang elektrik di kawasan kampung pada waktu malam, pasti anda akan menemui musang pandan, Paradoxurus hermaphroditus. Musang pandan adalah mamalia kecil yang mampu hidup di kawasan penempatan manusia terutamanya jika sumber makanan dan kawasan sarang sesuai ada. Dikawasan kampung, ia sering dijumpai memakan buah yang masak dan haiwan-haiwan kecil. Musang pandan adalah antara spesis mamalia yang tersenarai mempunyai konflik dengan manusia, dan kebanyakan kes-kes yang dilaporkan adalah di kawasan bandar. Di kawasan luar bandar, ia mungkin mendatangkan masalah apabila ia menyerang dan memakan buah dan ternakan orang kampung. Namun bergitu, harus diingatkan musang pandan dan musang-musang lain tersenarai dalam haiwan yang dilindungi dibawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. Adalah dinasihatkan sebarang konflik dengan haiwan liar perlu dilaporkan kepada Jabatan Perhilitan Negeri untuk tindakan susulan.
Kepelbagaian mamalia kecil di Kelantan amatlah penting bagi kesejahteraan ekologi dan rantai makanan alam semulajadi. Namun apa yang dirisaukan adalah kemusnahan hutan dan habitat mamalia kecil ini yang semakin serius pada masa kini. Hampir 2/3 daripada mamalia yang terancam di Semenanjung Malaysia adalah mamalia kecil, dan angka ini amatlah membimbangkan kerana usaha pemuliharaan mamalia kecil sering dibelakangkan dan lebih menjurus kepada mamalia besar. Program pemuliharaan haiwan-haiwan ini lebih tertumpu kepada perlindungan habitatnya dan ini biasanya berlaku dengan pewartaan kawasan hutan terlindung seperti taman negara, taman-taman negeri, hutan simpan dan sebagainya. Maka untuk mengelakkan mamalia kecil ini daripada pupus, perlulah diperbanyakkan lagi pewartaan kawasan terlindung baru dan pengurusan secara mapan kawasan terlindung yang sedia ada.
Foto Kredit – Isham Azhar & Ean Wee Chen
Berikan Komen Anda Di Sini