Oleh: Nur Fazne Ibrahim dan Dr. Yusof Shuaib Ibrahim
CACING NIPAH atau nama saintifiknya, Namalycastis sp. merupakan cacing yang mendiami kawasan nipah di paya bakau. Cacing ini biasa ditemui di dalam tanah di sekitar akar pokok nipah dan juga di dalam pelepah nipah yang reput. Ketika air surut di kawasan bakau, cacing ini boleh didapati dengan cara menggali tanah sedalam setengah meter di sekitar pokok nipah dan ketika air pasang, pelepah nipah reput akan dikoyak untuk mendapatkan cacing ini. Cacing yang bergerak pantas dan bersifat omnivor ini dipercayai memilih habitat nipah untuk dijadikan tempat berlindung, mencari makanan, dan membiak. Secara umum, cacing nipah berwarna merah jambu lembut dan bersaiz antara 5 cm sehingga lebih 1 meter bergantung kepada pelbagai spesis dan tahap kematangan. Cacing nipah paling banyak didapati pada bulan November sehingga Januari berikutan musim mengawannya yang aktif. Cacing nipah ini berserta cacing lain seperti cacing tanah dan lintah, yang tergolong dalam filum Annelida, mempunyai pelbagai potensi untuk disumbangkan kepada ekosistem marin dan masyarakat setempat.
Antara potensi cacing nipah terhadap ekosistem marin ialah cacing ini berupaya bertindak sebagai bioturbator yang boleh menggembur dan memperbaiki struktur tanah untuk pengaliran dan pengudaraan yang lebih baik. Cacing nipah turut mengitar semula bahan-bahan organik yang terhasil akibat proses pereputan. Hasil kitar semula nutrient itu secara tidak langsung telah menambah baik struktur tanah dan meningkatkan produktiviti tanah di kawasan tersebut. Tanah yang subur serta nutrient yang mencukupi amat menggalakkan pertumbuhan pokok-pokok bakau seperti bakau kurap, bakau minyak, pokok berus, nipah, dan lain-lain. Kewujudan pokok-pokok bakau ini dengan struktur akar yang kuat akan mengurangkan kesan hakisan ombak kuat terutama pada musim monsun dan turut dijadikan sebagai benteng pertahanan daripada ancaman tsunami. Hidupan bentik seperti udang, ketam, kepah dan siput juga turut mendiami dan membiak di kawasan bakau tersebut secara semula jadi. Kawasan bakau yang terpelihara dan mempunyai sumber hidupan yang banyak akan membuka peluang kepada masyarakat setempat untuk mencari dan mengumpul sumber-sumber bakau tersebut untuk dijual bagi menjana pendapatan harian. Kewujudan pelbagai spesis hidupan bentik ini turut menyumbang kepada pola rantaian makanan dan persaingan yang sihat di kawasan bakau tersebut.
Selain daripada itu, potensi terbesar cacing nipah secara amnya bagi masyarakat setempat terutama kaki pancing, ialah sebagai umpan memancing di kawasan sungai atau laut. Cacing ini yang lebih dikenali sebagai umpun-umpun kebiasannya akan dipotong pendek dan disangkut pada mata kail untuk dijadikan umpan. Bahagian badan cacing yang terpotong dan masih bergerak meliuk-lintuk menjadi sasaran ikan sembilang, duri, gelama dan udang galah. Cacing nipah menjadi pilihan kaki pancing kerana ia mampu bertahan lama di luar habitat asal dan mempunyai nutrisi yang bagus untuk udang, ketam dan ikan. Nutrisi daripada cacing ini terutamanya “fatty acid” adalah bagus untuk sistem pembiakan (reproduktif) dan pembesaran hidupan air tersebut. Cacing yang mempunyai nilai komersial yang tinggi ini turut mendapat perhatian kaki pancing apabila bekalannya boleh didapati di gerai-gerai atau pondok di tepi jalan pada harga RM8.50 sebekas plastik, berserta 3 atau 4 individu bersaiz besar (panjang 3 kaki). Terdapat juga perniagaan secara atas talian yang menjual cacing nipah ke serata Malaysia bagi dijadikan umpan memancing. Drama TV1 yang bertajuk “Pun-pun” lakonan hebat Remy Ishak turut mengangkat potensi cacing nipah ini terhadap aktiviti memancing dan penjanaan pendapatan.
Di Malaysia, selain umpun-umpun nipah, terdapat juga umpun-umpun sarang, ruat, pasir, jangkau, dan beting yang turut digunakan sebagai umpan memancing. Kewujudan pelbagai spesis umpan cacing ini telah membuka peluang kepada para pengkaji terutamanya ahli taksonomi untuk mengkaji dengan lebih mendalam mengenai aspek biologi dan ekologi spesis-spesis cacing tersebut. Latarbelakang yang tepat mengenai pengenalan, biologi dan ekologi spesis-spesis cacing amat penting untuk dikenalpasti bagi mengelakkan kewujudan spesis asing (invasive species) di habitat baru. Spesis asing (invasive species) dengan ciri-ciri khusus yang lebih menyerlah berbanding spesis-spesis tempatan kebiasaannya akan mendominasi habitat baru dan menyumbang kepada persaingan yang sengit dalam kalangan biotik. Spesis asing (invasive species) juga akan mengubah pola rantaian makanan yang asal dan mengakibatkan gangguan pada ekosistem asal marin. Buat kaki pancing yang baru berjinak dalam industri joran, pengenalan dan pengecaman terhadap pelbagai spesis cacing ini amat penting dilakukan bagi mendapatkan hasil tangkapan yang dikehendaki. Target pancingan adalah berbeza-beza mengikut jenis, saiz dan tekstur umpan cacing yang dipasang. Oleh itu, adalah amat penting untuk masyarakat terutamanya kaki pancing, mengetahui jenis-jenis cacing yang diperoleh sebelum digunakan sebagai umpan di habitat baru.
Di samping itu, cacing nipah turut berpotensi untuk dijadikan sumber makanan sampingan buat ikan, udang dan ketam dalam sektor akuakultur marin dan air tawar. Sektor akuakultur yang semakin pesat membangun di Malaysia ini memerlukan pengurusan yang baik terutamanya dari segi sumber pemakanan dan kawalan penyakit ikan ternakan. Cacing nipah merupakan antara pilihan makanan sampingan tradisional buat ikan ternakan disamping makanannya yang tetap iaitu pallet makanan. Selain daripada membekalkan khasiat dan nutrisi yang mencukupi buat ikan sangkar, cacing nipah turut dijadikan sumber makanan sampingan kerana tekstur dan saiznya yang sesuai untuk semua peringkat saiz ikan sangkar. Ia berbeza dengan pallet makanan yang pelbagai jenis dan saiz, bergantung kepada pelbagai peringkat umur dan saiz ikan sangkar. Selain mempunyai nilai komersial yang tinggi, ikan sangkar seperti tilapia, kerapu, dan siakap dipilih untuk diternak secara besar-besaran berikutan cara penjagaannya yang lebih mudah dan sesuai dengan iklim negara. Sektor akuakultur ikan ini dijangka akan dapat memberikan pulangan yang lumayan buat negara di samping memenuhi permintaan pasaran yang tinggi. Melalui pengurusan sumber makanan yang terkawal dan sistematik, sektor akuakultur ikan ini berjaya menjana pendapatan yang berpatutan buat pengusaha tempatan dan turut dijadikan sumber pendapatan utama setiap musim.
Kesimpulannya, cacing nipah mempunyai pelbagai kepentingan terhadap ekosistem marin dan komuniti setempat. Kewujudan cacing nipah di kawasan paya bakau adalah amat bagus untuk kestabilan dan keseimbangan biodiversiti marin. Di samping itu, fungsi cacing tersebut sebagai umpan memancing dan sumber makanan sampingan hidupan sangkar telah membuka banyak peluang kepada pembekal dan penjual cacing yang kebiasaannya terdiri daripada masyarakat tempatan. Industri joran dan penternakan udang, ikan berserta ketam yang semakin mendapat perhatian di Malaysia turut mengangkat potensi cacing nipah sebagai umpan dan makanan pilihan.
#LiterasiLautanUntukSemua
*Nota: Penulis utama merupakan pelajar PhD program sains marin di Universiti Malaysia Terengganu. Bidang kajian penulis adalah kepelbagaian hidupan bentik di dasar laut. Penulis boleh dihubungi melalui email: nurfazne93@yahoo.com
Gambar-gambar adalah dari koleksi peribadi penulis.