Oleh: Dr. Lily Azura Shoaib dan Dr. Haslina Rani
Kebanyakan ibubapa lebih menumpukan perhatian kepada perkembangan awal anak-anak dengan memantau perkara seperti pertambahan berat badan mengikut umur, kali pertama anak memusingkan badan atau merangkak, kali pertama anak tersenyum dan ketawa atau ketika kali pertama anak mula berjalan. Walaubagaimanapun, tidak ramai ibubapa yang tahu kesihatan mulut anak-anak juga perlu dipantau sedari bayi. Malah, ada sesetengah ibubapa beranggapan gigi susu yang biasanya mula tumbuh ketika bayi berusia sekitar enam bulan tidak penting kerana merasakan ianya bersifat sementara dan akan digantikan oleh gigi kekal apabila usia anak meningkat.
Kesihatan mulut merangkumi bukan hanya kesihatan gigi, malah gusi, lidah dan tisu-tisu lembut di dalam rongga mulut seseorang. Kesihatan mulut merupakan salah satu tonggak utama dalam menyokong perkembangan dan kesihatan keseluruhan tubuh badan kanak-kanak. Kesihatan mulut yang baik amat penting untuk penyusuan, mengunyah pemakanan, menyokong perkembangan pertuturan, serta penampilan wajah yang menarik.
Kesihatan penjagaan mulut bermula dari penjagaan gigi susu. Secara amnya penjagaan gigi susu dari mula ia tumbuh sehingga bertukar ke gigi kekal akan menentukan kualiti kesihatan mulut dan kesihatan keseluruhan seseorang kanak-kanak. Gigi kekal terbentuk semenjak bayi lagi secara berperingkat selama beberapa tahun di dalam rahang di bawah gigi susu sebelum ia tumbuh keluar menggantikan gigi susu. Gigi susu berfungsi memandu gigi kekal untuk tumbuh ke kedudukan yang betul selain dari menyediakan ruang yang cukup sebelum gigi kekal tumbuh. Gigi susu akan tanggal secara semulajadi secara berperingkat dari usia kanak-kanak lima tahun dan diganti dengan gigi kekal. Sekiranya gigi susu mengalami kerosakan dan perlu dicabut lebih awal dari gigi kekal dijadualkan tumbuh, ia boleh menyebabkan gigi kekal hilang panduan dan tumbuh ke kedudukan yang tidak tepat. Ini adalah salah satu punca susunan gigi menjadi tidak teratur atau dipanggil gigi berlapis. (Gambar Rahang gigi menunjukkan perkembangan gigi susu dan kekal).
Pembentukan gigi susu bermula pada minggu ke enam kehamilan seorang ibu dan berkembang lengkap dengan 20 batang gigi susu di dalam rahang (di bawah gusi) apabila mendekati fasa akhir kehamilan. Setelah pembentukan gigi susu di dalam rahang lengkap, ia akan mula bertumbuh keluar dari gusi secara amnya bermula pada usia 6 bulan. Pertumbuhan ini berlaku secara berperingkat sehingga usia bayi mencecah 36 bulan. Ibubapa amat digalakkan untuk membawa anak mereka untuk pemeriksaan pergigian sebaik sahaja gigi susu mulai tumbuh.
Kepentingan untuk menjaga kesihatan mulut bayi apabila gigi susu yang pertama tumbuh perlu dititikberatkan. Ini adalah kerana pertumbuhan gigi yang sihat merangsang perkembangan gusi. Pastikan anak tidak mempunya tabiat menghisap puting atau jari, amalkan pemberian makanan yang sihat dan sentiasa jaga kebersihan mulut anak.
Tabiat memujuk atau menenangkan anak dengan puting susu, atau membiarkan mereka menghisap ibu jari boleh menyebabkan pertumbuhan rahang yang tidak normal. Tabiat menghisap puting atau jari boleh memberi tekanan pada tulang rahang. Ini akan menyebabkan rahang menjadi sempit ke arah hadapan berbentuk V. Apabila ini terjadi, gigi kacip yang tumbuh di bahagian tersebut akan tumbuh ke hadapan dan kelihatan jongang. Ada kalanya, gigi yang tumbuh ke hadapan atau jongang ini tidak dapat menggigit dengan baik kerana kedua gigi atas dan bawah tidak bertemu. Perkara ini dipanggil gigitan terbuka atau ‘open bite’ dan menyukarkan pemotongan makanan.
Selain daripada itu amalan pemakanan yang sihat juga perlu diamalkan di rumah, bagi mengelakkan berlakunya kerosakan gigi atau karies. Elakkan anak dari tertidur sambil menyusu dari botol susu. Susu yang bertakung di dalam mulut akan menyebabkan bakteria bertindak dan menghasilkan asid yang boleh merosakkan gigi. Sekiranya anak tertidur semasa menyusu, ibubapa perlu segera mengeluarkan puting botol susu tersebut dan cuba bersihkan mulut bayi dengan kain lembut yang bersih. Ibubapa dinasihatkan untuk tidak sama sekali menggunakan botol susu bagi memberi minuman manis kepada anak. Ini akan lebih meningkatkan kebarangkalian gigi anak menjadi rosak. Selain itu, latih anak untuk minum susu menggunakan cawan pada umur 2 tahun atau lebih awal sekiranya anak sudah boleh berbuat demikian. Ini dapat mengurangkan risiko karies dari amalan minum susu atau minuman manis menggunakan botol susu.
Lima tahun terawal dalam kehidupan kanak-kanak adalah fasa terpenting dalam kehidupan. Pada usia ini kanak-kanak akan banyak melihat dan meniru perbuatan orang sekeliling yang rapat terutama ibubapa dan adik beradik mereka. Oleh itu adalah amat baik jika ibu bapa dapat melatih tabiat berkumur dan memberus gigi pada usia yang lebih awal.Bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Apabila anak sudah boleh memegang berus gigi, beri galakan kepada anak untuk memberus gigi sendiri. Walaubagaimanapun, ibu atau bapa perlu memeriksa tahap kebersihan gigi anak setelah diberus oleh anak sendiri, dan membersihkan gigi anak semula mengikut keperluan. Ini kerana kanak-kanak biasanya masih belum mempunyai kemahiran memberus yang baik. Ibubapa juga boleh menjadikan aktiviti memberus gigi bersama anak mereka sesuatu yang menyeronokkan. Sebagai contoh ; ibubapa boleh menyediakan carta memberus gigi dan memberikan pujian atau ganjaran sekiranya anak dapat melengkapkan carta tersebut. Sekiranya diamalkan untuk beberapa waktu pastinya ia akan menjadi amalan positif yang berterusan. Di samping menjaga kesihatan gigi sekeluarga, melalui pemantauan dan cara pemberusan gigi yang berkesan, hubungan kekeluargaan juga dapat di eratkan.
Peringkat perkembangan yang seterusnya adalah peringkat “kegigian campuran” di mana apabila berusia 6 tahun gigi geraham kekal kanak-kanak akan mula tumbuh di bahagian belakang rahang atas dan bawah mulut. Semasa peringkat ini, susunan gigi di dalam rahang akan menunjukkan tanda kesesakan dan menyebabkan kanak-kanak sukar untuk membersihkan gigi mereka dengan berkesan.
Pada tahap ini adalah dinasihatkan untuk ibu bapa membawa anak-anak berjumpa doktor gigi mengikut rutin yang dicadangkan oleh pakar pergigian iaitu setiap pada setiap 6 bulan. Ini adalah untuk memastikan gigi susu kanak-kanak tersebut sihat tanpa bergejala sehingga ianya tanggal secara semulajadi apabila tiba masanya. Di samping itu, pemeriksaan gigi berkala juga dapat mencegah dari sebarang kerosakan pada gigi kekal yang baru tumbuh dan membantu memantau perkembangan normal fungsi gigi . Pakar pergigian boleh memberi nasihat diperlukan semasa proses peralihan dari fasa kegigian kanak-kanak , campuran dan juga fasa gigi kekal. Adalah penting pada masa ini untuk ibubapa serata anak-anak disediakan dengan maklumat yang secukupnya untuk diet pemakanan yang sihat untuk kesihatan mulut serta cara memberus gigi yang betul untuk pencegahan kerosakan gigi.
Sekiranya pemeriksaan awal tidak dilakukan , pencegahan awal juga tidak dapat dilakukan. Kerosakan gigi boleh menyebabkan gusi menjadi bengkak atau bernanah, mulut berbau malah kesakitan yang serius pada kanak-kanak tersebut. Perkara ini akan mempengaruhi kualiti kehidupan kanak-kanak seperti sukar untuk makan , sukar tidur dan mengganggu proses tumbesaran kanak-kanak jika dibiarkan berlarutan. Contohnya; akan menyebabkan kekurangan pengambilan zat pemakanan, turun berat badan secara mendadak serta kemurungan di sebabkan kesakitan yang dialami. Anak-anak juga mungkin perlu cuti dari sekolah kerana kesakitan yang di alami dan boleh menyebabkan mereka ketinggalan dalam pelajaran. Perkara ini bukan sahaja melibatkan kanak-kanak. Ibu bapa juga akan mengalami tekanan secara tidak langsung, di mana mereka termasuk mengambil cuti dari bekerja untuk mambawa anak-naak berjumpa doktor gigi di samping bebanan rawatan pergigian yang tinggi.
Seterusnya apabila kanak-kanak memasuki usia remaja, sudah pastinya mereka mahu kelihatan menarik dengan senyuman yang menawan. Oleh itu adalah penting sebagai ibubapa untuk terus membantu anak remaja mereka kepentingan menjaga kesihatan mulut untuk kualiti hidup yang baik keseluruhannya. Ini adalah sejajar dengan definisi kesihatan mulut oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), di mana menurut mereka adalah petunjuk utama keseluruhan kesihatan, kesejahteraan dan kualiti hidup (Health Quality of Life) . Oleh itu tidak salah jika dikatakan mulut yang sihat menjamin badan yang sihat. Biasanya anak remaja amat menginginkan senyuman yang sihat dan menawan supaya mereka lebih yakin dalam penampilan dan kehidupan seharian mereka. Pada usia ini juga mereka mungkin menginginkan pemakaian pendakap gigi atau rawatan ortodontik sekiranya mereka menghadapi masalah susunan gigi atau kesesakan kegigian. Oleh itu , sekali lagi tabiat penjagaan kebersihan mulut remaja untuk tujuan pencegahan penyakit di dalam rongga mulut dan gusi juga harus dititikberatkan. Teknik memberus gigi yang betul, penggunaan flos dan penggunaan ubat gigi berfluorida serta ubat kumur dapat membantu anak remaja ini dalam penjagaan kesihatan pergigian yang baik.
Pemantauan perkembangan kesihatan mulut adalah penting dalam kehidupan anak anda, dari bayi hingga ke peringkat awal remaja . Pemahaman kesihatan mulut secara keseluruhan ini dapat mambantu ibubapa muda untuk lebih bertanggungjawab terhadap kesihatan pergigian anak mereka. Ianya pasti akan dapat membantu memupuk tabiat kesihatan pergigian yang positif sepanjang hayat untuk anak-anak.
Catatan:
Dr. Lily Azura Shoaib merupakan Pakar Pergigian Kanak-Kanak di Fakulti Pergigian Universiti Malaya.
Dr. Haslina Rani merupakan Pensyarah dan Pakar Kesihatan Awam Pergigian, Jabatan Kesihatan Pergigian Keluarga Fakulti Pergigian Universiti Kebangsaan Malaysia