Oleh: Nurul Hazimah Ab Latif¹, Dr. Nur Hana Hamzaid²
Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia¹,²
Autisme dikenali sebagai gangguan “spektrum” (autism spectrum disorder) kerana mempunyai pelbagai jenis dan tahap keseriusan terhadap gejala yang dialami sesorang. Semua jantina, kaum, etnik dan latar belakang ekonomi boleh didiagnos mempunyai gejala autisme. Walaupun autisme boleh menjadi gangguan sepanjang hayat, rawatan dan terapi boleh memperbaiki gejala dan fungsi kehidupan harian seseorang. Akademi Pediatrik Amerika telah menyarankan agar semua kanak-kanak melakukan saringan autisme untuk mengenalpasti mereka mempunyai gangguan “spektrum” autisme atau tidak (Autism Spectrum Disorder, 2023).
Autisme dikategorikan sebagai masalah perkembangan kerana gejala autisme biasanya muncul pada dua tahun pertama kehidupan (Autism Spectrum Disorder, 2023). Individu yang mempunyai autisme kebiasaannya mengalami kesukaran berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang lain. Mereka juga menunjukkan minat yang terhad dan tingkah laku yang berulang. Selain itu, mereka juga mengalami masalah berkaitan deria rasa dan kelakuan yang sterotaip seperti mengepakkan tangan, menggoyangkan badan, berjalan mengunakan jari kaki (menjingkit), memutarkan objek, menghidu, pendengaran yang sensitif, dan mengerakkan objek merentasi penglihatan mata sesorang (Cunningham & Schreibman 2008).
Kanak-kanak autisme mempunyai lebih lima kali ganda kemungkinan untuk mengalami masalah cerewet dalam memilih makanan (picky eater) (Zulkifli et al. 2022). Hal ini disebabkan, mereka mempunyai deria rasa yang sensitif yang menyebabkan mereka memilih makanan berdasarkan bau, rasa dan tekstur makanan yang memenuhi keperluan sensori mereka. Contoh kerenah kanak-kanak yang cerewet dalam memilih makanan ialah menolak makanan yang baru diperkenalkan, menghadkan kelbagaian tekstur dan jenis makanan yang tidak menjadi kebiasaan mereka serta meningkatkan pengambilan makanan tertentu seperti makanan berproses dan mengurangkan makanan tertentu seperti sayur-sayuran (Zulkifli et al. 2022).
Cerewet
Kanak-kanak yang cerewet dalam pemilihan makanan (picky eater) kebiasannya akan kurang mengambil buah-buahan, sayur-sayuran dan daging. Selain itu, pengambilan protein yang terhad dalam diet harian mereka secara amnya akan menyebabkan mereka lebih rendah dan berbadan kurus berbanding rakan sebaya mereka. Pengambilan protein untuk kanak-kanak amat penting untuk tumbesaran mereka dari segi pertumbuhan, penyelenggaran, dan pembentukkan semula otot kanak-kanak yang sedang membesar. Selain itu, mereka juga lebih kerap mengambil makanan yang tinggi gula, terproses dan karbohidrat ultra-proses seperti minuman berkarbonat, snek berbungkus (manis, berlemak atau masin), gula-gula, biskut, pastri, dan kek. Hal ini akan meningkatkan risiko terhadap pertambahan berat badan yang berlebihan, obesiti dan kekurangan mikronutrien dikemudian hari (Raspini et al. 2021).
Keperluan pengambilan protein adalah bergantung adalah bergantung kepada kadar pertumbuhan kanak-kanak. Pengambilan protein yang disarankan oleh RNI (Recommended Nutrient Intake) untuk kanak-kanak ialah berdasarkan umur mereka. Kanak-kanak berumur 1 hingga 3 tahun digalakkan untuk mengambil 12g dalam sehari. Manakala, kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun digalakkan untuk mengambil protein sebanyak 16g dalam sehari. Kanak-kanak yang berumur 7 hingga 9 tahun pula digalakkan untuk mengambil protein sebanyak 23g dalam sehari untuk membantu dalam proses pertumbuhan mereka. Keperluan protein ini sukar dicapai apabila kanak-kanak autisme lebih gemar makan makanan yang rangup, yang selalunya lebih tinggi dengan karbohidrat dan lemak.
Kebanyakkan tekstur makanan yang berasaskan protein adalah lebih lembut dan tidak rangup. Sebagai contoh, telur, ikan, dan susu. Hal ini menyebabkan, kanak-kanak yang mempunyai autisme yang sangat sensitif terhadap deria rasa mereka seperti deria sentuhan menolak untuk mengambil makanan yang berasaskan protein kerana tidak memenuhi kehendak sensori mereka yang lebih memilih tekstur makanan yang kasar dan rangup. Perkara ini membimbangkan kerana keperluan pengambilan protein serendah 15 hingga 20% daripada keperluan tenaga (Garcia-Iborra et al. 2023) turut sukar dicapai.
Pengambilan Makanan
Pengambilan protein untuk kanak-kanak bergantung kepada tahap umur mereka. Jadi apakah makanan yang kaya dengan protein yang sesuai dengan umur mereka? Satu biji telur mengandungi 6g protein, jadi kanak-kanak berumur 1 hingga 3 tahun boleh mengambil dua biji telur dalam sehari. Bahagian dada ayam ialah bahagian yang paling kurang lemak dan mempunyai 27g protein untuk 85g dada ayam (2/3 cawan). Selain itu, makanan yang tinggi dengan protein ialah ikan. Contohnya, 85g ikan sebelah (Halibut) lebih kurang 3/8 cawan boleh membekalkan 19g protein. 85g udang saiz sederhana (10-12 ekor) mampu membekalkan 19g protein dalam diet seharian. Selain itu, ¾ cawan atau empat sudu makan tofu mampu membekalkan 10g protein manakala ½ cawan tempeh boleh membekalkan protein sebanyak 16g untuk keperluan diet seharian. Seterusnya, satu cawan susu (220ml) boleh membekalkan 8g protein untuk melengkapkan keperluan diet seharian.
Kesimpulannya, memilih makanan atau cerewet dalam memilih makanan akan menjejaskan pengambilan protein dalam kalangan kanak-kanak. Hal ini akan menjejaskan tumbesaran badan mereka terutamanya untuk kanak-kanak dengan autisme kerana mereka lebih cenderung untuk menjadi cerewet dalam memilih makanan mereka. Oleh itu, sebagai penjaga atau ibu bapa, kita harus bijak memilih dan kreatif dalam memberi makanan yang diperlukan dalam diet seharian untuk tumbesaran kanak-kanak tersebut.
Rujukan:
[1]Autism Spectrum Disorder. (2023). National Institute of Mental Health (NIMH).
[2]Cunningham, A. B. & Schreibman, L. 2008. Stereotypy in Autism: The Importance of Function. Res Autism Spectr Disord 2(3): 469-479.
[3]Garcia-Iborra, M., Castanys-Munoz, E., Oliveros, E. & Ramirez, M. 2023. Optimal Protein Intake in Healthy Children and Adolescents: Evaluating Current Evidence. Nutrients 15(7):
[4]Raspini, B., Prosperi, M., Guiducci, L., Santocchi, E., Tancredi, R., Calderoni, S., Morales, M. A., Morelli, M., Simione, M., Fiechtner, L., Muratori, F. & Cena, H. 2021. Dietary Patterns and Weight Status in Italian Preschoolers with Autism Spectrum Disorder and Typically Developing Children. Nutrients 13(11):
[5]Zulkifli, M. N., Kadar, M., Fenech, M. & Hamzaid, N. H. 2022. Interrelation of food selectivity, oral sensory sensitivity, and nutrient intake in children with autism spectrum disorder: A scoping review. Research in Autism Spectrum Disorders 93: 101928.