Dr. Ruhil Hayati Hamdan
Pensyarah Kanan (Kesihatan Haiwan Akuatik), Fakulti Perubatan Veterinar, UMK
Dr. Tan Li Peng
Pensyarah Kanan (Parasitologi & Entomologi), Fakulti Perubatan Veterinar, UMK
PARASIT didefinisikan sebagai organisma yang hidup pada manusia, tumbuhan atau haiwan lain untuk mendapat makanan serta perlindungan daripadanya. Parasit terlibat dalam simbiosis yang digelar sebagai parasitisme, ia merupakan gaya hidup di mana parasit akan mendapat manfaat daripada perumahnya, manakala perumah tersebut akan mengalami kemudaratan dan seterusnya menjejaskan pertumbuhan dan pengeluarannya. Selain itu, sesetengah parasit juga adalah vektor yang boleh membawa patogen yang berbahaya, contohnya nyamuk yang membawa virus Dengue (demam denggi) dan Plasmodium (malaria). Justeru itu, nyamuk merupakan parasit yang merangkul tempat PERTAMA sebagai pembunuh manusia di dunia.
Jika parasit tidak membawa sebarang kebaikan kepada mana-mana pihak, adakah KEPUPUSAN PARASIT ini adalah satu berita baik untuk kita semua?
Kini, terdapat 7.7 million spesies yang telah dikenalpasti di dunia ini dan >50% daripadanya berstatus parasit. Parasit ini adalah unggul dari segi kekayaan spesies dan kepelbagaiannya adalah disebabkan evolusi mereka yang begitu dinamik. Gaya hidup ini dijangka telahpun berevolusi tidak kurang daripada 223 kali untuk fluk darah sebagai contohnya. Evolusi ini merupakan tiket sehala, jika sesuatu organisma ini telah bertukar menjadi parasit, jarang organisma ini akan bertukar kembali kepada yang asal. Ini adalah disebabkan peluang yang lebih baik untuk medapatkan habitat yang sesuai sebagai parasit. Evolusi parasit ini menjadikan mereka hebat dalam “pengkhususan”, sebagai contoh pada seekor burung, kutu yang berbeza spesies akan berpaut pada bahagian bulu yang berbeza, malah mempunyai tabiat makanan yang berlainan.
Terdapat 10% sahaja parasit yang telah dikenalpasti, namun hanya sekadar identifikasi spesies, gaya hidup setiap spesies malah populasinya masih belum diketahui. Tidak banyak yang kita ketahui mengenai peranan parasit yang sebenarnya bahkan kepentingannya dalam ekosistem. Model harimau dan rusa yang sering kali digunakan untuk menunjukkan kestabilan ekosistem adalah sempit dari segi penerangannya. Parasit memainkan peranan yang tidak terlihat dalam menstabilkan kesihatan ekosistem. Contohnya, cacing Horsehair yang hidup di dalam badan cengkerik akan memanipulasi tingkah laku cengkerik untuk menjunam dirinya ke dalam air dan menjadi makanan ikan. Secara tidak langsung, populasi cengkerik sebagai perosak dapat dikawal malah populasi ikan dapat dikekalkan.
“Tak kenal maka tak cinta”. Kebanyakan kita menganggap parasit ini merupakan organisma yang jijik dan tidak menyenangkan. Ini adalah tidak benar, kerana kebanyakan parasit sebenarnya tidak membahayakan perumahnya. Tambahan pula, ketiadaan perumah juga bermakna kemandirian parasit tersebut terancam. Hakikatnya keberadaan mereka adalah tanda ekosistem yang sihat. Ciri parasit yang mempunyai pengkhususan ke atas perumah manjadikan mereka sebagai penunjuk kestabilan ekosistem. Menurut kajian yang dilakukan oleh MacKenzie, kitaran hidup sejenis cacing pipih (Stichocotyle nephropis) yang mana larva cacing ini hidup dalam badan udang karang Norway dan dewasanya pada duktus hempedu ikan pari sudah tidak dijumpai lagi sejak tahun 1986. Ini menunjukkan kestabilan ekosistem yang melibatkan perumahnya telah terjejas akibat daripada tangkapan ikan pari yang tidak terkawal.
Kepupusan cacing pipih tersebut bermakna kepupusan cacing di bawah order Stichocotyle. Ini bukan kes terpencil, menurut kajian dianggarkan 1/3 parasit di dunia ini akan pupus menjelang tahun 2070 disebabkan oleh perubahan iklim. Namun begitu, pengrekodan dan konservasi hidupan liar hanya tertumpu kepada haiwan seperti harimau dan gajah. Jarang sekali parasit (terutamanya yang mempunyai pengkhususan tinggi) direkodkan mahupun dikategorikan di dalam senarai konservasi, walaupun perumahnya adalah spesies yang terancam. Lebih daripada 37,000 spesies yang disenaraikan sebagai spesies kritikal terancam dalam senarai IUCN, tetapi hanya satu spesies kutu (Haematopinus oliveri) yang direkodkan. Masih banyak yang kita tidak ketahui mengenai nilai parasit terhadap ekosistem dan mungkin juga kepada kita. Jika hidupan ini patut diberi penghargaan yang sama, maka begitu jugalah kepada PARASIT.
Kembali kepada persoalan asal, KEPUPUSAN PARASIT, BERITA BAIK ATAU TIDAK? Jawapannya bergantung kepada individu. Jika hari ini di atas tangan anda dihinggapi nyamuk betina gravid yang terakhir di dalam dunia ini, adakah anda akan membunuh nyamuk tersebut?
Rujukan:
[1]Parasites are going extinct. Here’s why we need to save them. By Erika Engelhaupt. 2021. — https://www.nationalgeographic.com/science/article/parasites-are-going-extinct-heres-why-we-need-to-save-them
[2]Scientists Say Many Parasite Species are at Risk of Extinction and Need Protection. 2020. Podcasts — https://www.npr.org/2020/08/07/900350897/scientists-say-many-parasite-species-are-at-risk-of-extinction-and-need-protecti
[3]The World’s Parasites Are Going Extinct. Here’s Why That’s a Bad Thing. By Ben Panko. 2017. — https://www.smithsonianmag.com/science-nature/parasites-are-going-extinct-heres-why-thats-a-bad-thing-180964808/
[4]Parasite Lost: Did Our Taste for Seafood Just Cause an Extinction? By John R. 2017. — https://therevelator.org/parasite-lost-seafood-extinction/
[5]MacKenzie, K., & Pert, C. 2018. Evidence for the decline and possible extinction of a marine parasite species caused by intensive fishing. Fisheries Research, 198, 63–65. doi: 10.1016/j.fishres.2017.10.014