Oleh : Dr Wan Azdie Mohd Abu Bakar
Jabatan Sains Pemakanan. UIA
Pernah dengar orang memberi alasan, ‘dah lama dah dok masak lagu tu tak pernah kena pun’, atau ‘selalu dah beli kat situ tak pernah sakit pun’? Bila berbicara tentang keracunan makanan, kita selalunya bernasib baik kerana terlepas daripadanya. Namun andai kata terkena, ia boleh menyebabkan kita merasa loya dan tidak sedap perut, biasanya disertai dengan cirit-birit dan muntah-muntah, malah lebih bahaya lagi ia mungkin membawa maut!
Dari masa ke semasa, ada saja kes keracunan makanan yang berlaku. Berita melaporkan baru-baru ini berlaku kejadian keracunan makanan di sekitar Kuala Terengganu dan Marang yang dipercayai disebabkan oleh puding buih yang dijual secara atas talian. Setakat 27 Mei 2020, 99 orang telah disahkan menjadi mangsa keracunan makanan di mana mereka mengalami sakit perut dan muntah-muntah, malah seorang daripada mereka kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) (Rahayu Mustafa, 2020).
Zaman segalanya ‘online’ kini, pantang ada yang tular pasti ramai yang mahu mencuba! Pernah berlaku kes keracunan makanan dipercayai bermula daripada laksa popular yang premisnya beroperasi di Baling, Kedah. Terlalu popular hinggakan keracunan bukan sahaja melibatkan masyarakat setempat tetapi tersebar ke beberapa buah negeri sampailah ke ibu negara. Diberitakan lebih daripada 60 kes dengan dua kematian telah berlaku berpunca dari premis yang sama (Siti Nur Mas Erah, 2018). Makanan tidak salah, tetapi kitalah yang bertanggungjawab dan perlu berhati-hati dalam memilih dan mengendalikan makanan kita untuk mengelakkan keracunan berlaku.
Keracunan makanan ialah apa jua penyakit serta gejala yang berpunca daripada pengambilan makanan atau minuman yang tercemar. Kehidupan kita sentiasa terdedah kepada mikroorganisma dan bahan berbahaya di persekitaran kita. Malah kita sendiri membawa kuman pada badan kita. Kebanyakan masa ianya tidak menyebabkan mudarat, namun dalam keadaan yang sesuai dan masa tertentu jangkitan dan keracunan boleh berlaku, seterusnya menyebabkan penyakit dan lebih teruk lagi boleh membawa maut. Oleh itu langkah berjaga-jaga perlu sentiasa diamalkan.
Apa yang boleh menyebabkan keracunan makanan?
Terdapat beberapa punca yang boleh menyebabkan keracunan makanan. Antaranya ialah:
- Bakteria dan virus, ataupun racun (toksin) yang dihasilkan oleh bakteria tersebut.
- Bahan kimia seperti racun atau baja yang digunakan di ladang pertanian.
- Logam berat yang berbahaya seperti tembaga, merkuri dan plumbum.
- Hasil tumbuhan (seperti kulat dan cendawan) atau makanan laut yang mengandungi atau dicemari dengan toksin.
Gejala dan tanda-tanda seseorang terkena keracunan makanan bergantung kepada jenis keracunan tersebut, kuantiti bakteria, virus atau toksin yang telah dimakan, sistem ketahanan badan serta faktor umur dan kesihatan seseorang. Mereka yang berumur 65 tahun ke atas serta kanak-kanak kurang daripada 5 tahun lebih mudah terkena keracunan makanan, termasuklah ibu mengandung. Antara tanda-tanda atau gejala terkena keracunan makanan ialah rasa loya dan tidak selesa, cirit-birit, muntah-muntah, sakit perut memulas, berpeluh, sakit kepala dan demam. Jika keadaan melarat, ia boleh membawa maut.
Bagaimana keracunan makanan boleh terjadi?
Biasanya faktor kebersihan dan cara pengendalian makanan yang tidak betul adalah penyebab terjadinya keracunan makanan. Makanan yang tidak dibasuh dan dimasak dengan sempurna atau tidak dinyahbeku sepenuhnya sebelum dimasak amat berisiko untuk membawa bakteria. Makanan yang telah dimasak pula mesti dimakan dalam tempoh 4 jam dan tidak dibiarkan pada suhu bilik melebihi waktu itu. Jika tidak, ia perlulah disimpan di dalam peti sejuk. Selain dari itu, tabiat penyediaan makanan yang tidak bersih juga menyumbang kepada keracunan makanan melalui makanan yang tercemar.
Apakah langkah-langkah untuk mengurangkan risiko keracunan makanan?
Penjagaan kebersihan adalah paling penting untuk mengelak berlakunya keracunan makanan. Sentiasa biasakan diri untuk membasuh tangan dengan betul sebelum menyentuh makanan, terutamanya selepas keluar dari tandas. Selain dari itu, permukaan tempat makan serta peralatan yang digunakan juga perlulah dalam keadaan bersih. Penjagaan kebersihan kawasan memasak juga amat penting untuk memastikan ianya bebas daripada haiwan dan serangga pembawa penyakit. Sentiasa bersihkan sisa makanan yang tertumpah serta buang sampah ke dalam tong sampah yang bertutup.
Dari segi pengendalian makanan, sentiasa pisahkan makanan mentah dengan makanan yang telah dimasak atau ingin dimakan mentah seperti ulam dan buah-buahan. Gunakan peralatan seperti pisau serta papan pemotong yang berasingan untuk mengendalikan makanan mentah dan yang telah dimasak. Ini penting untuk mengelak jangkitan silang (cross contamination). Pastikan juga makanan terutamanya daging, ayam, telur dan hasil laut dibasuh sebelum digunakan dan dimasak dengan sempurna. Jika perlu disimpan, masukkan ke dalam peti sejuk dengan suhu yang betul dan jangan sesekali membiarkan makanan pada suhu bilik lebih daripada 4 jam.
Trend makan di luar serta yang terkini penghantaran ke rumah melalui pembelian atas talian juga semakin popular di kalangan rakyat Malaysia. Jika makan di luar, sentiasa perhatikan kebersihan premis makanan yang ingin dikunjungi. Hanya pilih kedai makan yang bersih serta dikendalikan oleh mereka yang terlatih. Apabila membeli secara atas talian (online), pilih makanan yang tidak cepat rosak serta pengendali penghantaran yang terjamin dan boleh dihantar secepat mungkin. Sentiasa amalkan 3 langkah iaitu lihat, hidu dan rasa untuk memastikan makanan yang diterima dan ingin dimakan tidak rosak.
Apa yang boleh kita lakukan jika terkena keracunan makanan?
Cirit-birit dan muntah-muntah merupakan tindakan semula jadi sistem pertahanan badan untuk mengeluarkan toksin yang dimakan daripada sistem pencernaan kita. Dalam kebanyakan kes, gejala akan hilang selepas beberapa hari. Di awal episod keracunan makanan, pastikan minum air secukupnya untuk mengelakkan kehilangan air yang banyak atau disebut dehidrasi. Selepas beberapa jam, ketika perut sudah berasa reda dan anda bersedia untuk makan, mulakan dengan makanan berkanji seperti roti bakar atau nasi dalam kuantiti yang kecil. Pisang juga sesuai untuk menggantikan semula elektrolit yang hilang semasa muntah dan cirit-birit. Elakkan makanan yang boleh merengsa perut seperti makanan pedas, air bergas dan juga susu.
Seandainya anda mengalami demam, cirit-birit atau muntah yang berpanjangan sehingga menyebabkan dehidrasi, segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. Andainya ia melibatkan makanan yang dibeli dari luar, simpan makanan yang disyaki untuk siasatan lanjut serta maklumkan kepada pejabat kesihatan.
Dalam keseronokan kita menyambut suasana hari raya, janganlah sampai mengabaikan aspek keselamatan semata-mata untuk menjamu selera. Kena pula dalam suasana Perintah Kawalah Pergerakan (PKP) & terbaru PKPP, pembelian secara online semakin meningkat. Oleh itu, jika melibatkan makanan, berhati-hati dalam mencuba. Pastikan ia bukan sahaja halal tetapi juga yang terbaik untuk kita. Allah s.w.t berfirman:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُلُواْ مِن طَيِّبَٰتِ مَا رَزَقۡنَٰكُمۡ وَٱشۡكُرُواْ لِلَّهِ إِن كُنتُمۡ إِيَّاهُ تَعۡبُدُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya. (Al-Baqarah:172)
Semoga kita sentiasa di bawah perlindungan Allah s.w.t. Selamat Hari Raya Aidilfitri
Rujukan
Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan. (diakses pada 27 Mei 2020). Keracunan Makanan. Kementerian Kesihatan Malaysia. Capaian internet: http://mohklik.moh.gov.my/index.php/mohklik/informasi/keracunan-makanan
Centres for Disease Control and Prevention (CDC) (2019). Food poisoning: protect yourself and your family. Capaian internet: https://www.cdc.gov/foodsafety/food-poisoning.html
Rahayu Mustafa (27 Mei 2020). Mangsa keracunan puding buih meningkat kepada 99 orang. Sinar Harian. Capaian internet: https://www.sinarharian.com.my/article/85162/EDISI/Terengganu/Mangsa-keracunan-puding-buih-meningkat-kepada-99-orang
Siti Nur Mas Erah (9 Oktober 2018). 42 lagi kes keracunan akibat laksa. Harian Metro. Capaian internet: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/10/385030/update-42-lagi-kes-keracunan-akibat-laksa
Kredit Foto : medicinenet