Oleh : Mohd Fadzil Yaakob1 & Dr. Wan Hafiz Wan Zainal Shukri2
Jabatan kesihatan Terengganu1 & Universiti Malaysia Terengganu2
Tahukah anda, apakah organ yang paling kotor pada pada tubuh badan? Tangan adalah anggota tubuh manusia yang terlibat dalam pelbagai kegiatan. Bermula sejak kita bangun tidur hinggalah kita kembali ke tempat tidur, pasti anggota tangan secara fizikalnya banyak digunakan.
Adakah anda belum percaya? Cuba direnung kembali apakah aktiviti yang kita lakukan hari ini. Mustahil kita tidak menggunakan tangan kecuali anda tergolong dalam kumpulan ‘orang kelainan upaya’ (OKU).
Tangan antara anggota badan manusia yang banyak terdapat mikroorganisma sama ada bakteria atau pun virus. Dalam tempoh 24 jam sahaja kita banyak menyentuh permukaan yang terdedah dengan kekotoran.
Tangan dikatakan ejen penyebaran penyakit, yang mana ia dapat memindahkan kuman ke dalam badan kita dan menyebarkan kepada individu lain apabila bersentuhan.
Di alaf ini, bukan hanya teknologi saja yang berkembang. Bakteria atau kuman pun turut berevolusi. Semakin berkembangnya zaman, maka bakteria turut bermutasi dan kebal terhadap ubat-ubatan antibiotik. Malah bakteria mencari habitat baru untuk membiak.
Contohnya bakteria spesis Staphylococcus aureus hadir pada badan kita secara semula jadi. Bakteria ini seolah-olah seperti ‘saka’ yang melekat pada kulit atau hidung manusia yang sihat. Ia menjadi ‘penunggu setia’ kepada individu yang tidak menjaga kebersihan. Kira-kira 2 hingga 3 daripada setiap 10 orang dikatakan membawa bakteria di hidung mereka (MyHealth, Kementerian Kesihatan Malaysia).
Bakteria ini mudah merebak melalui sentuhan pada permukaan kulit ke kulit atau dengan menyentuh permukaan yang kotor dengan tangan. Bakteria ini kemudiannya akan masuk menerusi mulut apabila kita menjamah makanan yang sudah tercemar dengan bakteria ini.
Pernahkah anda mendengar peribabahasa Melayu “kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”. Ia membawa maksud percakapan yang kasar kerap kali mencelakakan diri sendiri.
Namun kecelakaan dan kemudharatan juga akan berlaku apabila kita tidak mengambil peduli berkaitan aspek kebersihan diri. Bak kata penulis “kerana tangan badan merana”. Ia boleh dianggap sebagai peribahasa moden yang boleh diketengahkan bagi merungkai mengenai penjagaan kesihatan diri, terutama budaya kebersihan tangan dalam masyarakat kita.
Penulis telah menjalankan beberapa kajian status mikrobiologi ke atas pengendali makanan di beberapa buah kafe dan restoran secara rawak mendapati keputusan swab permukaan tangan pengendali makanan menunjukkan 100% tidak memuaskan dari segi Jumlah Kiraan Plat (Total Plate Count), yang mana bakteria dikultur pada media khas untuk pertumbuhan mikrob. Sebanyak 5,500 hingga 2.6 juta sel bakteria aerobik hadir pada permukaan tangan 8 orang pengendali makanan walaupun tangan mereka telah dicuci. Parameter yang diukur ini dalam bentuk standard unit yang membentuk koloni dalam sentimeter persegi (CFU/cm²), yang mana bakteria tersebut berdaya maju untuk tumbuh dan membiak.
Hasil kajian ini mendapati bahawa prosedur mencuci tangan tidak dilakukan dengan sempurna oleh pengendali makanan. Kajian ini juga disokong oleh Hamat et al., 2019, yang menyatakan bahawa mencuci tangan dengan kerap dapat mengurangkan kandungan kuman pada permukaan tangan. Lebih-lebih lagi, tangan pengendali makanan biasanya dicemari dengan kuman bawaan makanan dan ini menjadi platform penyebaran penyakit akibat pencemaran silang terhadap makanan yang disediakan kepada pengguna yang telah dikaji oleh Hadir (2018), Honua (2018) dan Lee at. al., (2017).
Semasa penulis mengambil sampel swab terhadap pengendali makanan, ada di antara mereka mengelap tangan pada tuala kotor dan apron setelah mencuci tangan. Tabiat ini adalah antara punca berlakunya pencemaran kuman atau bakteria. Menurut kajian Kariuki et al., (2017) bahawa, akan berlakunya masalah kepada kesihatan awam dan terjadinya penyebaran penyakit akibat tangan pengendali makanan yang tercemar.
Sebenarnya bagi mengelak berlakunya pencemaran tangan, Ghartey & Atwi (2019) telah mencadangkan kaedah dalam mencuci tangan yang betul dengan cara membasahkan tangan dengan air bersih, menggunakan sabun, mengosok-gosok celah jari sekurang-kurangnya 20 saat, dibilas dengan air mengalir dan tangan dikeringkan dengan tisu, tuala bersih atau alat pengering tangan.
Kebersihan tangan dapat menghadkan penularan penyakit bawaan makanan dan penyakit-penyakit lain terutama negara kita masih lagi diselubungi dengan penularan penyakit pandemik seperti Covid-19. Penyakit misteri ini telah meragut jutaan nyawa di seluruh dunia tanpa mengenal darjat dan martabat.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan 5 kunci amalan bagi memastikan penjagaan kebersihan tangan ditahap yang optimum. Masa kritikal yang harus dipraktikkan ketika sebelum dan selepas makan, setelah pergi ke tandas, setelah mengendalikan bahan mentah dan sampah, setelah menukar lampin bayi, setelah bersin atau batuk, terlibat dalam pengendalian wang, menyentuh haiwan atau anggota badan.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), menjaga kebersihan tangan merupakan satu langkah yang mudah dan paling penting untuk mengelak jangkitan penyakit atau penyebaran kuman.
Namun, anda tidak perlu khuatir atau gundah-gulana. Menjaga kebersihan tangan sebenarnya dapat menghindarkan diri kita dari bakteria berbahaya atau patogenik. Oleh itu, menjaga kebersihan tangan dapat menurunkan risiko jangkitan kuman hingga 40%.
Penulis juga ingin berkongsi cara mencuci tangan yang betul dengan menggunakan teknik 7 langkah yang sering diajar oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Langkahnya mudah seperti berikut:
- Basahkan tangan dengan air bersih dan ratakan sabun
2. Gosok kedua-dua tangan
3. Gosok setiap jari dan celah jari
4. Gosok dengan kuku di tapak tangan
5. Gosok belakang tangan dan celah jari
6. Basuh tangan dengan air bersih secukupnya
7. Keringkan tangan dengan tisu
- Basahkan tangan dengan air bersih dan ratakan sabun
Ajarlah anak-anak kita teknik mencuci tangan dengan betul agar ianya menjadi amalan dalam kehidupan seharian. Bak kata sang pujangga, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.
Jagalah kebersihan tangan demi kesihatan kita. Tangan yang kotor adalah sumber penyakit. Ingatlah! “Kerana tangan badan merana”. Nyawa melayang, jiwa terkubur. Umpama ‘nasi ditanak telah menjadi bubur’.
Justeru, semarakkan semangat prihatin anda dalam kehidupan agar sentiasa sihat sepanjang hayat. Kunci kebahagiaan hakiki yang tinggi nilainya. Jom cuci tangan!
Kredit Foto : imperial