Oleh: Muhamad Idham Mohamed
Pegawai Sains (Patologi) Pusat Pakar Perubatan Hospital UiTM Sungai Buloh
MAKMAL PERUBATAN
Definisi:
Makmal perubatan atau makmal diagnostik merupakan satu cabang dalam bidang sains perubatan dan kesihatan yang menjalankan pelbagai fungsi mengikut pengkhususan.
Tujuan:
Pewujudan bidang sains makmal perubatan ini adalah bagi melaksanakan tugasan yang melibatkan diagnosis, analisis, kajian, dan pengajaran dalam bidang.
Jenis-jenis:
Makmal diagnostik klinikal atau makmal patologi
- Berfungsi menjalankan ujian diagnostik terhadap sampel badan dari pesakit melibatkan darah, air kencing, tisu badan, serta semua cecair badan yang lain. Makmal ini kebiasaannya terletak di hospital dan klinik kesihatan dengan nama ‘Makmal Perubatan’ atau ‘Makmal Patologi’ melibatkan sub-bidang seperti Mikrobiologi & Parasitologi, Patologi Kimia, Hematologi & Transfusi, serta Patologi Anatomik.
Makmal Patologi Kimia
- Melibatkan ujikaji mengenai perubahan kimia dalam badan pesakit melalui cecair rembesan, atau cecair badan yang diambil melalui jarum/tiub. Terdapat sub-seksyen yang lebih mendalam seperti endokrin, pemantauan penyalahgunaan dadah, enzim, dan lain-lain.
Makmal Patologi Anatomik
- Melibatkan ujikaji mengenai perubahan tisu dan sel di dalam badan pesakit melalui cecair badan yang diambil melalui jarum/tiub, potongan tisu dari ketumbuhan, pap smear, dan lain-lain. Terdapat dua seksyen utama iaitu histologi (melibatkan blok tisu), dan sitologi (melibatkan sel badan).
Makmal Mikrobiologi & Parasitologi - Melibatkan ujikaji mengenai kehadiran kuman / mikroorganisma di dalam sampel badan pesakit melalui cecair badan, rembesan, atau tisu badan. Terdapat beberapa sub-seksyen terlibat mengikut jenis kuman iaitu bakteria (Bacteriology), virus (Virology), kulat/fungus (Mycology), parasit (Parasitology) dan lain-lain.
Makmal Hematologi & Transfusi Darah - Melibatkan ujikaji khusus mengenai darah dan sel stem. Terdapat dua komponen utama iaitu hematologi yang mengkaji perubahan komponen dalam darah serta penyakit yang berkaitan dengannya, dan transfusi perubatan yang mengkaji kesepadanan darah untuk proses pendermaan.
Makmal analisis atau kajian
- Menjalankan sesetengah fungsi seperti makmal (a), tapi lebih berfokus kepada kajian lanjutan atau percubaan klinikal. Makmal ini kebiasaannya terletak di pusat kajian atau analisis lanjutan seperti Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan Makmal di Institut Penyelidikan Perubatan.
Makmal pengajaran
- Menjalankan pengajaran dalam bidang makmal perubatan dan diagnosis melibatkan sistem badan manusia. Sesetengahnya juga berfungsi sebagai makmal diagnostik dan penyelidikan. Makmal ini kebiasaannya terletak di pusat pendidikan seperti institut pengajian tinggi.
PROFESION
Dalam bidang makmal perubatan, terdapat beberapa profesion yang terlibat secara langsung dalam proses perjalanan makmal tersebut, antaranya:
Pakar Patologi, Pakar Perunding Patologi, Pakar Perunding Kanan Patologi
- Merupakan ketua atau pakar rujuk di dalam makmal perubatan terutamanya di makmal yang berkapasiti tinggi dan maju.
- Pakar Patologi/Perunding adalah pegawai perubatan atau doktor yang telah menjalani ijazah lanjutan dalam bidang patologi dengan mendapatkan Sarjana Perubatan Patologi atau latihan kepakaran yang diiktiraf setaraf dengannya.
- Pakar Patologi/Perunding boleh dibahagikan kepada beberapa sub-kepakaran iaitu Pakar Patologi Kimia, Pakar Patologi Mikrobiologi Perubatan, Pakar Patologi Hematologi dan Tabung Darah, Pakar Patologi Anatomik, Pakar Patologi Forensik, Pakar Patologi Molekular, dan sebagainya.
Pegawai Sains
- Merupakan petugas makmal perubatan yang bertanggungjawab dalam pengurusan makmal dan juga pelaksanaan ujian diagnostik yang rumit serta berteknologi tinggi.
- Saintis Makmal atau Pegawai Sains merupakan pegawai yang terlatih dalam bidang teknologi makmal perubatan, iaitu graduan yang telah mendapat pendidikan dalam bidang sains makmal perubatan seperti Ijazah Teknologi Makmal Perubatan, Ijazah Bioperubatan, Ijazah Biokimia, Ijazah Mikrobiologi dan lain-lain kelayakan yang diiktiraf.
- Pegawai Sains boleh dibahagikan mengikut beberapa sub-bidang atau kepakaran iaitu Pegawai Sains (Kimia Hayat), Pegawai Sains (Mikrobiologi), Pegawai Sains (Biomedikal), Pegawai Sains (Forensik), Pegawai Sains (Embriologi), Pegawai Sains (Genetik), dan sebagainya.
Juruteknologi Makmal Perubatan
- Merupakan tulang belakang di makmal perubatan yang bertanggungjawab dalam kerja-kerja teknikal pendiagnosan.
- Juruteknologi Makmal Perubatan atau singkatannya JTMP dan MLT merupakan kakitangan yang terlatih dalam bidang teknologi makmal perubatan, berkelulusan sekurang-kurangnya diploma dalam bidang Teknologi Makmal Perubatan dan yang setaraf dengannya dari Kolej Juruteknologi Makmal Perubatan di bawah Institut Latihan KKM atau IPTA.
- JTMP/MLT yang berkelulusan lanjutan seperti pos-basik akan ditempatkan di makmal yang berkaitan mengikut latihan lanjutan contohnya pos-basik sitologi, pos-basik hematologi, pos-basik mikrobiologi, pos-basik patologi kimia, dan sebagainya.
Pembantu Makmal / Pembantu Perawatan Kesihatan
- Merupakan kakitangan yang bertanggungjawab dalam membantu proses dan perjalanan makmal perubatan.
- Pembantu Makmal (PM), dan Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) adalah kakitangan yang berkelulusan sekurang-kurangnya Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan dilatih untuk berkhidmat di makmal perubatan.
CABARAN DALAM MELAKSANAKAN TUGASAN DI BIDANG BELAKANG TABIR
Dalam apa jua bidang dan kerjaya, cabaran pastinya akan wujud dan bidang makmal perubatan semestinya sentiasa menghadapi cabaran yang pelbagai. Antaranya:
Kurang dikenali
- Makmal perubatan adalah sinonim dengan kerja di belakang tabir, sekaligus merupakan kerjaya atau profesion yang kurang dikenali. Masih wujud anggapan bahawa mereka yang bekerja di makmal hanyalah juruteknik, sedangkan bidang makmal perubatan melibatkan profesion yang signifikan seperti pakar perubatan, saintis dan sebagainya.
Terdedah kepada bahaya (Biologi/Kimia/Sinaran)
- Cabaran paling besar bagi petugas makmal perubatan adalah terdedah kepada pelbagai bahaya samada biologi, kimia, dan sinaran. Ini berikutan hampir semua kerja hakiki di makmal perubatan akan berkait dengan sampel pesakit dan bahan kimia ujikaji, contohnya sampel darah pesakit yang berkemungkinan mengandungi virus HIV (biologi), bahan kimia atau reagen ujikaji seperti sodium azide (kimia), atau reagen ujikaji yang menggunakan pengesanan radioaktif (sinaran).
KESIMPULAN
Kerjaya sebagai petugas makmal perubatan, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, merupakan bidang yang sangat berpotensi untuk diceburi. Dengan perkembangan terkini teknologi dalam makmal perubatan yang kian jelas, ia bakal menjadi satu bidang pilihan bagi generasi hadapan.
Rujukan:
- Pengenalan Kepada Patologi. Perkhidmatan Patologi Kebangsaan, http://www.patologi.gov.my/index.php/patologi
- Pegawai Sains Gred C41. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia, https://www.spa.gov.my/spa/laman-utama/gaji-syarat-lantikan-deskripsi-tugas/ijazah-sarjana-phd/pegawai-sains-gred-c41
- Penghuraian Kerja Perkhidmatan Pegawai Sains. Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, https://www.interactive.jpa.gov.my/ezskim/huraiankerja/HuraianKerja/C/3PC08.pdf
- Profesion Sains Kesihatan Bersekutu. Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu Kementerian Kesihatan Malaysia, http://alliedhealth.moh.gov.my/index.php/ms/49-profesion-skb?start=24
- Juruteknologi Makmal Perubatan Gred U29. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia, https://www.spa.gov.my/spa/laman-utama/gaji-syarat-lantikan-deskripsi-tugas/diploma-stp-stpm-stam-hsc/juruteknologi-makmal-perubatan-gred-u29
Penulis:
Muhamad Idham Mohamed merupakan graduan bidang Teknologi Makmal Perubatan (D.MLT, B.MLT(H), MHSc.MLT) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan bertugas sebagai Pegawai Sains (Patologi) di Pusat Pakar Perubatan UiTM (Hospital UiTM) Sungai Buloh. Beliau pernah berkhidmat sebagai Pakar Aplikasi & Produk (Molekular/Diagnostik) di Sciencewerke (M) dan DiagnostiCARE Sdn Bhd. Sebelumnya, beliau merupakan Pengajar U41 (Teknologi Makmal Perubatan) di Pusat Pengajian Teknologi Makmal Perubatan UiTM dan juga Pegawai Penyelidik dalam bidang Teknologi Makmal Perubatan.