SHARE

Oleh: Dzulkifli Abdul Razak, Prof. Tan Sri

Penghargaan kepada Nazmi Lao daripada Akademi Sains Malaysia (ASM) atas terjemahan. Artikel asal diterbitkan oleh The Sun di dalam kolum My View pada 11hb Januari, 2018.

Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Seri Idris Jusoh telah menyampaikan ucapan beliau di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Ucapan beliau yang penuh bersemangat disertai alunan muzik telah dipaparkan secara langsung di beberapa lokasi dalam dan luar negara, dan telah berjaya memikat hati penonton.

Tema tahun ini ialah ‘Pendidikan Tinggi 4.0: Ilmu, Industri dan Insan’, yang merupakan kesinambungan daripada tema tahun lepas iaitu ‘Merekabentuk Pendidikan Tinggi’. Tema tahun ini disertakan dengan elemen “4.0” seiring dengan gerakan Revolusi Industri Keempat (4IR).

Istilah heutagogy (pembelajaran sendiri) telah diperkenalkan pada tahun lalu. Tahun ini, istilah yang diperkenalkan pula adalah paragogy yang membawa maksud pembelajaran berorientasikan rakan sebaya dan cybergogy yang bermaksud pembelajaran maya. Persoalan yang timbul adalah: adakah teknik pembelajaran kendiri yang diketengahkan tahun lepas telah dilaksanakan dan dipraktikkan dengan sempurna, sebelum kita mengorak langkah untuk mempraktikkan dua teknik pembelajaran yang baru pada tahun ini?

Bagaimana pula teknik-teknik baru ini memainkan peranan dalam menggabungkan ilmu dan insan seperti yang diuar-uarkan? Bagaimana pula teknologi digunapakai untuk menggalakkan “kebijaksanaan kolektif”?

Saya sedar bahawa terdapat sedikit percanggahan dalam ucapan Datuk Seri. Ucapan beliau banyak tertumpu pada aspek “teknologi” dan tidak pada aspek “kemanusiaan” atau “asas pengetahuan”. Sekali lagi kita terperangkap di antara dikotomi “kemajuan teknologi” dan elemen yang seringkali dilupakan iaitu “sentuhan insani”.

Ini boleh dikaitkan dengan elemen kedua dalam tema yang diketengahkan: “industri”. Industri seringkali membuat keputusan dan memberi definisi baru berdasarkan kehendak mereka. “Kemanusiaan” jarang diberi perhatian kerana dianggap sesuatu yang tidak boleh dipasarkan sebagai pangkalan pengetahuan teras.

Datuk Seri turut menyebut tentang elemen “kecintaan” yakni Darjah Kecintaan (Love Quotient, LQ) yang telah diperkenalkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Alibaba. Jack Ma menyatakan bahawa darjah kecintaan tidak akan mungkin dimiliki jentera (namun beberapa pihak tidak bersetuju dengan kenyataan beliau). Jack Ma turut menyatakan bahawa untuk menjadi ketua yang dihormati, seseorang itu perlu mempunyai LQ yang tinggi. Walaupun IQ (darjah kecerdasan) dan EQ (darjah emosi) sering menjadi topik perbahasan dan subjek kaji selidik, kerelevanannya masih dipertikaikan. LQ yang masih belum difahami dan dikaji secara akademik pasti menambah lagi cabaran dalam usaha memahami ketiga-tiga darjah penilaian tersebut.

Oleh itu, saya telah memilih untuk memberi perhatian kepada suatu darjah penilaian yang lebih dikenali dan telah dikaji dengan lebih teliti iaitu darjah kerohanian (spiritual quotient, SQ). Mengambil kira darjah kerohanian mungkin memudahkan proses memahami konsep “kemanusiaan” serta peranannya dalam ilmu pengetahuan dan perindustrian.

Perlu diingat bahawa “kerohanian” ialah salah satu daripada enam aspirasi pelajar seperti yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Falsafah pendidikan kebangsaan turut menganjurkan pembangunan pelajar dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Tidak dinafikan bahawa ucapan Datuk Seri telah mampu membuka minda kita, namun tidak berapa membuka hati dan rohani. Diharap agar ahli akademik yang lain mampu mempergiat lagi perbincangan dalam topik tersebut.

 

Nota – Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak merupakan penerima anugerah Tokoh Akademik Negara 2017. Beliau merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Felo Akademi Sains dan Sastera Sedunia (WAAS) dan mantan Naib Canselor USM (2000-2011). Beliau boleh dihubungi melalui emel: dzulrazak51@gmail.com

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge