Dr. Afizah Salleh
Pakar Bedah Am, Hospital Pakar An-nur
Arak adalah minuman yang memabukkan dan jelas haram untuk diminum oleh orang Islam seperti yang dinyatakan dalam al-quran. Apa sahaja minuman yang memabukkan adalah haram hukumnya kerana kesannya kepada mental dan fizikal.
Firman Allah dalam surah Al-Maidah :90 “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
Arak pada zaman Arab Jahiliyah dikenali sebagai al-bit, (perahan madu), al-mizr (perahan jagung), al-fadikh (perahan kurma muda yang belum masak) dan al-baziq (perahan air anggur). Manakala, arak pada zaman sekarang dilabel dengan berbagai-bagai nama dan juga jenama seperti bir, whiski, vodka,soju, tuak dan lain-lain.
Kebanyakkan arak mengandungi alkohol jenis etanol. Etanol sangat umum digunakan, dan telah dibuat oleh manusia selama ribuan tahun. Semua alkohol adalah beracun, tetapi etanol tidak terlalu beracun karena tubuh dapat menguraikannya dengan cepat.
Banyak kesan buruk minuman beralkohol ini, namun minuman ini masih digemari ramai orang. Malah di sesetengah negara, minuman ini bebas di minum dan menjadi satu budaya yang normal. Selain memabukkan dan kesannya pada mental, terdapat banyak kesan buruk alkohol ini dari sudut perubatan.
1. Sirosis hati dan komplikasinya
Sirosis hati adalah satu keadaan di mana , tisu hati yang normal hampir kesemuanya diganti oleh tisu fibrosis ( parut ). Ada 2 sebab utama yang menyebabkan sirosis hati iaitu pengambilan alkohol dan jangkitan virus hepatitis. Pengambilan alkohol setiap hari walaupun dalam amaun sederhana boleh menyebabkan sirosis hati ini.
Pada awalnya, tisu lemak ( triacylglycerols ) akan berkumpul pada sitoplasma sel hati sehingga dapat dilihat secara mikroskopi ( steatosis ). Lama kelamaan jika pesakit masih mengambil alkohol, atau adanya faktor-faktor lain seperti obesiti dan masalah radang hati, fibrosis ( tisu parut ) akan berlaku. Seterusnya apabila tisu parut ini menggantikan kesemua tisu hati, sirosis hati berlaku.
Masalah sirosis hati berpusat pada meningkatnya tekanan portal ( portal hypertension ). Sirkulasi portal adalah terdiri daripada sistem vena portal iaitu vena utama di bahagian hati. Apabila tekanan portal meningkat 5 mmHg lebih tinggi daripada vena kava inferior yang kebiasaanya mempunyai tekanan yang rendah ( 2mm Hg ) hipertensi portal berlaku.
Pesakit dengan hipertensi portal dicirikan dengan beberapa tanda klinikal yang dinamakan tanda Penyakit Hati Kronik ( stigmata of Chronic Liver Disease ). Pesakit boleh dikenali dengan tanda -tanda seperti kuning pada mata putih ( jaundice ), parotid swelling ( bengkak kelenjar parotid ), loss of axillary hair ( ketiadaan bulu ketiak ),finger clubbing, Dupuytren contracture, palmar erythema, spider naevi ( salur darah halus timbul di bahagian dada ) dan flapping tremor.
Selain itu akibat hipertensi portal ini juga, pesakit akan mengalami pengumpulan air di bahagian abdomen ( ascites ),pembengkakkan salur darah di bahagian esofagus ( esophageal varices ) atau rektum ( rectal varices ) yang boleh menyebabkan pendarahan serius jika pecah. Oleh kerana fungsi hati yang pelbagai termasuk menghasilkan faktor pembekuan darah, pesakit dengan sirosis hati boleh mengalami masalah pembekuan darah di mana apabila mengalami pendarahan atau melalui proses pembedahan, darah sukar membeku. Akibatnya pesakit boleh kehilangan darah yang banyak. Pesakit juga akan mengalami masalah perubahan personaliti,intelek dan kurang tahap kesedaran ( hepatic encephalopathy ) akibat daripada pengumpulan bahan toksik yang tidak dapat diuraikan oleh hati yang rosak.
Pesakit dengan Penyakit Hati Kronik dan mengalami pendarahan berulang akibat esopahgeal varices, rawatan yang terbaik adalah pembedahan pemindahan hati, namun ia bukanlah proses yang mudah kerana penderma agak sukar diperolehi dan pembedahannya adalah jenis pembedahan major. Sebelum keputusan boleh dibuat satu sistem pemarkahan iaitu Child scoring system akan dilakukan untuk melihat prognosis dan kebolehjangkaan hidup ( survival rate ) pesakit-pesakit ini. Ini melibatkan kiraan Bilirubin ( pigmen kuning ) , Albumin ( protein ), International Normalise Ratio untuk faktor pembekuan darah,tahap keterukan ascites dan encephalopathy.
Dalam jangkamasa panjang, pesakit juga boleh mendapat kanser hati atau hepatoma. Pemeriksaan radiologi seperti ultrasound atau CT scan akan dilakukan secara berkala untuk melihat pembetukkan nodul yang mungkin adalah kanser hati.
2. Sakit abdomen dan pankreatitis kronik
Pancreatitis atau radang pada organ pankreas boleh disebabkan oleh banyak faktor seperti ubat, virus, trauma dan steroid. Namun, 2 sebab utama pancreatitis adalah batu hempedu dan pengambilan alkohol. Batu hempedu kebiasaanya menyebabkan acute pancreatitis di mana keradangan adalah sementara dan apabila dirawat dan hempedu dibuang, pankreas akan kembali berfungsi dengan normal. Tetapi bagi pancreatitis akibat daripada pengambilan alkohol, pesakit akan datang berulang-ulang kerana pengambilan alkohol yang berterusan sehingga morfologi berubah dan fungsi pankreas rosak. Walaupun begitu kesemua penghidap acute pancreatitis boleh menyebabkan komplikasi yang teruk seperti masalah pernafasan,inflamasi sistemik yang teruk ( SIRS ), kerosakan buah pinggang akut serta nekrosis sebahagian atau hampir kesemua kelenjar pakreas dan pengumpulan air di keliling pankreas. Apabila keadaan ini berlaku,pesakit perlu dimasukkan ke unit rawatan rapi untuk bantuan pernafasan dan pemantauan ketat.
Pankreatitis kronik dicirikan dengan sakit perut bahagian atas yang berulang ,teruk dan sukar diubati. Apabila proses keradangan berlaku berterusan, kelenjar pankreas akan mengalami perubahan morfologi dan kehilangan fungsinya. Ada 2 fungsi kelenjar pankreas iaitu endocrine dan exocrine. Fungsi endocrine adalah penghasilan insulin dan fungsi exocrine adalah penghasilan enzim yang terlibat dalam proses pencernaan makanan seperti lipase, amylase dan protease. Seseorang yang menghidap penyakit pankreatitis kronik akan kehilangan fungsi kedua-duanya, maka mereka akan mengalami masalah diabetes dan malnutritisi. Steatorrhea adalah satu keadaan di mana lemak tidak dapat dicernakan dan akan keluar bersama najis menyebabkan najis terapung dan kelihatan berminyak.
60-70% pesakit pankreatitis kronik adalah mereka yang minum alkohol. Kebanyakkan mereka adalah peminum tegar tetapi ada juga yang hanya mengambilnya dalam amaun sederhana atau sedikit. Akibat pengambilan alkohol dan mengubah fungsi exocrine, menyebabkan pembentukan batu hempedu dan plug protein di dalam saluran pankreas. Lama kelamaan batu hempedu ini menyebabkan ulser, penyumbatan dan fibrosis ( tisu parut ). Keadaan ini bersama keradangan kronik menyebabkan sakit yang teruk dan berulang.
Keadaan klasikal pesakit seperti ini adalah datang berulang-ulang ke hospital dan dimasukkan ke hospital berkali-kali. Walaupun begitu pesakit masih aktif minum alkohol kerana mereka sudah menjadi ketagih ( alcohol dependence ). Walaupun ubat tahan sakit yang kuat seperti opioid ( pethidine atau morphine ) diberikan, mereka masih mengadu sakit. Pesakit biasanya perlu di rujuk ke pain clinic untuk rawatan yang lebih invasif seperti celiac plexus block. Prosedur lain yang lebih komplek juga mungkin perlu dilakukan seperti meletakkan stent jika salur pankreas tersumbat atau sempit, pembedahan bypas– pancreoticojejunostomy ( menyalurkan cecair hempedu pada saluran pankreas ke dalam usus kecil ). Mereka juga akan memerlukan gentian enzim untuk merawat mulnutrisi supaya zat makanan boleh dicernakan. Akhir sekali pembedahan yang lebih rumit dan besar juga boleh dilakukan seperti Whipple’s operation ( membuang pankreas yang radang di bahagian kepala pankreas – pancreatic head ), pemindahan tisu pankreas dan pembedahan membuang saraf splaknik ( splanchic nerve ).
3. Ketagihan alkohol dan kekurangan thiamin
Apabila seseorang mula minum alkohol tanpa kawalan, corak kehidupan sehariannya akan berubah. Ini dinamakan penyalahgunaan alkohol ( alcohol abuse ). Ketagihan alkohol bermula dengan toleren dengan alkohol di mana peminum alkohol mesti minum alkohol dalam jumlah yang meningkat untuk mendapat kesan yang sama. Kemudian jika mereka meningalkan minuman ini , kesan fizikal akan berlaku iaitu menggeletar, sukar tidur dan mood yang tidak menentu. Kesan ini akan hilang apabila mereka minum semula alkohol. Keadaan ini menyebabkan mereka sukar meninggalkan habit minum alkohol dan akan minum dalam jumlah yang semakin banyak setiap kali.
Thiamin adalah Vitamin B1 yang diperlukan oleh semua sel termasuk sel otak. Badan kita tidak boleh menghasilkan sendiri thiamin, tetapi perlu mendapatkannya daripada diet seharian. Bahagian otot rangka, jantung , buah pinggang dan otak adalah bahagian badan yang mempunyai banyak thiamin. Thiamin penting untuk meyempurnakan fungsi enzim yang terlibat dalam metabolisma dimana hasilnya diperlukan untuk sintesis bahan kimia yang perlu ada dalam sel badan seperti neurotransmitter untuk sel otak dan asid nukleik untuk bahan genetik.
Kekurangan thiamin akan melibatkan semua jenis sel dalam badan terutama jantung dan otak. Masalah jantung yang boleh berlaku termasuk meningkatnya aliran darah ( vasodilatation ) dan kegagalan jantung. Untuk masalah otak pula, pesakit boleh mendapat masalah neurologi seperti dementia dan Wernicke -Korsakoff syndrome iaitu kombinasi masalah encephalopathy dan psikosis. Enchepalopathy adalah masalah akut yang dicirikan oleh kurang kesedaran, pergerakan yang abnormal manakala alkohol psikosis adalah masalah mental seperti pelupa ( amnesia ) dan perubahan sikap yang kebiasaanya agresif.
80% daripada peminum alkohol tegar mengalami masalah kekurangan thiamin ( Morgan 1982 ). Ini berlaku kerana
a) Kekurangan pengambilan makanan dan nutrisi
b) Thiamin sukar diserap melalui dinding usus kerana masalah kekurangan thiamin transporter ( proses aktif yang memerlukan tenaga )
c) Thiamin tidak dapat digunakan oleh sel yang memerlukan kerana ketiadaan magnesium (akibat malnutrisi).
4. Kecederaan fizikal akibat kemalangan serta serangan fizikal
Seseorang yang mabuk akibat pengambilan alkohol menyebabkan tahap kesedarannya berkurang, reaksi terhadap keadaan sekeliling berubah dan tidak dapat membuat keputusan dengan baik. Istilah ‘ don’t drink and drive ‘ adalah merujuk kepada masalah kemalangan yang boleh berlaku jika seseorang memandu dalam keadaan mabuk. Bukan sahaja kecederaan pada diri sendiri, malah boleh membahayakan nyawa orang lain.
Apabila seseorang yang mabuk akibat pengambilan alkohol terlibat dalam kemalangan jalanraya dan kes pukul atau jatuh, adalah menjadi satu kesukaran untuk membezakan sama ada tahap kesedaran yang rendah adalah disebabkan oleh kecederaan otak , kehilangan darah yang banyak atau disebabkan oleh kesan alkohol. Kebiasaan pesakit seperti ini tahap kesedaran yang diukur melalui Glasgow Coma scale ( GCS ) adalah sangat rendah. Pemeriksaan CT scan bahagian otak akan dilakukan untuk betul-betul memastikan bahawa tiada pendarahan pada otak yang memerlukan pembedahan dengan segera.
Walaupun scan yang pertama menunjukkan tiada pendarahan otak, satu keadaan yang dinamakan diffuse axonal injury sukar dilihat pada CT Scan terutama pada peringkat awal kecederaan dan simptom yang dialami pesakit tiada beza dengan orang yang mabuk.Malah ada pesakit mangsa kemalangan di bawah pengaruh alkohol ini, terpaksa diberi bantuan pernafasan kerana apabila direkodkan bahawa GCS adalah di bawah kiraan 8, tanpa bantuan pernafasan pesakit boleh mengalami masalah gannguan pernafasan ( upper airways obstruction ).
Selain itu apabila pesakit yang mengambil alkohol sebelum kemalangan juga berisiko untuk mendapat kecederaan seperti pundi kencing pecah di dalam abdomen ( intraperitoneal bladder rupture ) .Seseorang yang mengambil alkohol secara berlebihan boleh menyebabkan kerosakan pada pensarafan di pundi kencing menyebabkan air kencing tidak dapat keluar secara normal ( urinary retention ). Apabila individu ini terlibat dengan kemalangan dan abdomen ditekan oleh benda keras, pundi kencing yang penuh boleh pecah dan air kencing akan melimpah di dalam abdomen. Jika seseorang yang tidak megalami masalah air kencing tersekat, pundi kencing biasanya akan tercedera daripada tusukan objek tajam seperti tulang pelvis yang patah dan kecederaan berlaku di bahagian luar peritoneum ( extraperitoneum ).Rawatan lebih mudah dan pembedahan boleh dielakkan.
5. Gastritis dan GERD
Alkohol juga adalah penyebab keradangan pada bahagian mukosa perut atau istilahnya gastritis. Sel parietal pada perut memang semulajadinya menghasilkan asid yang banyak untuk proses pencernaan dan menghapuskan bakteria yang masuk bersama makanan. Selain itu terdapat juga penghasilan mucus dan bikarbonat yang bertindak melindungi tisu perut daripada terhakis oleh asid yang terhasil. Apabila keseimbangan antara penghasilan asid dan bahan pelindung ini terganggu, maka gastritis atau lebih teruk lagi erosion dan ulser boleh berlaku.
Alkohol yang diminum akan menyebabkan keradangan secara terus kepada lapisan mukosa pada perut dan dalam jangkamasa panjang akan mengurangkan penghasilan bikarbonat menyebabkan bahan pelindung asid berkurangan. Selain itu alkohol juga merangsang penghasilan jus gastrik yang banyak sama seperti buah-buahan sitrus. Alkohol juga menyebabkan sfinkter bahagian bawah esofagus menjadi longgar secara fisiologi. Apabila ini berlaku , jus gastrik yang terhasil di dalam perut selepas makan akan naik semula ke esofagus dan menyebabkan terhakisnya bahagian bawah lapisan esofagus ( reflux esophagitis ). Jika penyebabnya tidak dirawat dan proses berlaku berterusan, ini adalah risiko kanser esofagus jenis adenocarcinoma.
Untuk jangkamasa panjang, kronik alkoholik gastritis boleh berlaku dengan pengambilan alkohol yang berterusan. Pesakit boleh mendapat ulser perut yang berulang dan datang dengan pendarahan walaupun simptom yang dialami tidak terlalu teruk kerana berlaku desensitasi terhadap saraf yang mengesan rasa sakit.
6. Kanser
Alkohol disenaraikan sebagai carcinogen, iaitu prekursor kepada pembentukan kanser ( National Toxicology Program of US Health and Human Services ). Pada tahun 2009, 3.5% kematian akibat kanser di United States adalah berkaitan dengan alkohol.
Hampir kesemua trek daripada mulut hingga bahagian usus berisiko mendapat kanser dengan pengambilan alkohol. Kanser kepala dan leher- faring dan oral kaviti meningkat sebanyak 5 kali ganda dengan pengambilan alkohol dan kanser laring sebanyak 2.6 kali ganda. Bagi kanser esofagus risiko meningkat sebanyak 5 kali ganda bagi jenis squamous cell carcinoma. Begitu juga dengan kanser usus dan rectum, meningkat sebanyak 1.2-1.5 kali ganda dengan pengambilan alkohol.
Selain itu kanser hati ( hepatocellular carcinoma ) juga meningkat dengan pembentukan sirosis hati serta kanser jenis intrahepatic cholangiocarcinoma ( salur hempedu yang terdapat di dalam hati ).
Kanser payudara juga meningkat risikonya dengan pengambilan alkohol kerana peningkatan hormon estrogen.
Benarlah bahawa Allah maha mengetahui segalanya. Dengan kedatangan islam , disyariatkan bahawa arak adalah haram. Syariat yang Allah turunkan sentiasa ada kebaikan untuk manusia walaupun kerap kali akal manusia yang dangkal tidak dapat menerimanya. Daripada laporan NHMS 2011, insiden pengambilan arak di Malaysia adalah sebanyak 11.6% bermula seawal usia 21 tahun terutamanya di kalangan lelaki , etnik cina, tinggal di bandar, dari keluarga yang berpendapatan tinggi dan berpendidikan tinggi. Walaupun prevalen pengambilan arak di kalangan orang Melayu beragama islam tidak tinggi namun insidennya semakin semakin meningkat.
Janji Allah di dalam Alquran Surah As-Saffaat : 40-50 ‘ Antara nikmat syurga yang sediakan untuk orang yang bertaqwa adalah sungai-sungai yang tidak kering airnya, dan tidak berubah rasa dan baunya, sungai dari susu yang tidak berubah rasa, sungai dari arak yang lazat dan tidak memabukkan, madu yang suci bersih dan juga pelbagai buah-buahan yang tidak pernah kehabisan.’
ARTIKEL LAIN BERKAITAN;
Memahami Kanser
Batu Hempedu: Komplikasi dan Rawatan
Uluran atau Angin Pasang Pada Kanak-kanak
Sukar Buang Air Besar; Penyebab dan Punca
Bengkak Tiroid; Perlukah dibuang
Beralih Hati;Situs Inversus
Kanser Payudara; Tingkatkan Kesedaran & Saringan Awal
Najis Berdarah; Adakah Buasir?