Oleh: Dr. Zul Azlin Razali (MBBS, DrPsych)
Universiti Sains Islam Malaysia
Hari Buku
Ada satu petikan berbunyi lebih kurang begini, “Tiada buku yang terlalu buruk sehinggakan tiada langsung kebaikan di dalamnya.” Ini adalah cuplikan dari novel klasik Don Quixote karya Miguel de Cervantes Saavedra (1547-1616). “Buku seorang pengemis adalah lebih bernilai daripada darah seorang bangsawan.” Ini pula adalah kata-kata William Shakespeare (1564-1616). Mereka berdua berkongsi tarikh kematian iaitu 23 April 1616 (walaupun tarikh sama, tetapi hari sebenarnya berbeza kerana Cervantes menggunakan kalendar Gregorian manakala Shakespeare (England ketika itu) menggunakan kalendar Julian).
Pada 1995, UNESCO mengambil keputusan untuk menjadikan tarikh tersebut sebagai Hari Buku Sedunia. Sejak daripada itu, 23 April adalah simbol dunia kesusasteraan. Ia adalah hari meraikan pembacaan. Ia memberi penghormatan kepada dunia perbukuan; iaitu dari segi penulisan, penerbitan dan hak cipta. Pada setiap tahun, satu bandar di dunia ini akan dipilih sebagai wakil atau duta yang digelar Ibu Kota Buku. Tahun 2020 adalah tahun buat kota Kuala Lumpur.
Wabak tiba-tiba
Pada tahun 2020 juga bencana Covid-19 turun umpama asap hitam yang memurungkan seluruh warga dunia. Satu kebetulan yang malang. Sebenarnya kebetulan adalah sisi nakal takdir, atau bak kata penulis/pemuzik Indonesia, Fiersa Besari – ‘kebetulan adalah takdir yang menyamar’. Apa pun ia adalah kebetulan-takdir yang meresahkan, membingungkan dan menakutkan. Pandemik ‘celaka’ ini telah meragut nyawa puluhan ribu dan mengganggu-gugat kesejahteraan mental jutaan yang lain.
Di saat kerajaan berhempas-pulas merangka dan melaksanakan rancangan pembendungan virus jenis corona ini, rakyat bergulat mencari-cari cara menghadapi ketidaktentuan. Nasihat-nasihat diberikan oleh pakar-pakar (tidak kurang juga oleh pempengaruh media sosial) untuk orang awam menjaga diri mereka dan beradaptasi dengan norma baru. Yang kreatif memeriahkan lagi dunia media sosial dengan pelbagai aktiviti dan permainan santai. Ada yang berkongsi video muzik dendangan mereka sendiri (muzik juga satu cabang seni yang terapeutik tetapi di luar jangkauan perbincangan artikel ini). Malangnya, yang nakal (dan tidak bertanggungjawab) juga semakin bising dengan segala macam pertengkaran, ejekan dan troll. Dalam keriuhan alam maya itu, ada suara-suara halus tenggelam timbul kedengaran di beberapa tempat cuba menggalakkan umat membaca buku sebagai wadah yang lebih aman untuk menjaga kesihatan mental.
Sastera dan ubat
Keterkaitan kesusasteraan dan perubatan bukan perkara baru. Sang Raja Mesir purba mengukir sebesar-besarnya di gerbang masuk khutub khanahnya di Thebes – “Medicines of the Soul”. Betapa dia percaya buku-buku adalah ubat rohani. Apollo, tuhan Yunani kuno, disebut sebagai Tuhan Sastera dan Perubatan (God of Literature and Medicine) di mana setiap satu daripada tujuh utas senar alat muziknya, iaitu lyre, punya kesan mistik yang menyembuhkan. Dan tentulah, untuk orang Islam, Al-Quran itu sendiri adalah mukjizat yang berasaskan pembacaan (dalam lingua yang penuh berseni) dan di situ sarat dengan elemen penyembuhan. Hospital Mansuri di Kaherah pada zaman pertengahan (800-1000 Masihi) telah mengamalkan program khas di mana pesakit-pesakit boleh memilih buku di pustaka hospital dan kemudian digalakkan membincangkan di dalam kumpulan kecil bagaimana buku tersebut memudahkan mereka mengendalikan emosi.
ARTIKEL BERKAITAN – Ketagihan Gajet Jejas Hubungan Kekeluargaan
Seawal 1916, istilah ‘bibliotherapy’ telah wujud dalam wacana akademik dunia moden. Menurut Katz dan Watt (1992), biblioterapi adalah kaedah pembacaan terbimbing yang bertujuan untuk penyembuhan. Ada pendapat lain pula ingin memasukkan aktiviti penulisan juga sebagai sebahagian biblioterapi. Kajian-kajian terkini menunjukkan bahawa pembacaan buku mampu mengurangkan simptom keresahan, kemurungan dan kesannya lebih berpanjangan. Walaupun masih belum diarus-perdanakan dalam rawatan psikiatri, tapi hasil penyelidikan yang kuat dan mantap dari segi metodologinya seperti Pearcy et al (2016) dan Gualano et al (2017) menyebabkan kita tidak boleh memandang rendah konsep biblioterapi ini.
Kebanyakan kajian biblioterapi menggunakan bahan bukan fiksyen yang bersifat penulisan fakta dan buku panduan. Bagaimana pula sastera fiksyen sebagai pemberi kesan terapeutik?
Karya Fiksyen
Hanyut dalam penghayatan karya fiksyen mampu membantu mengurangkan kemurungan, menemukan semula skil sosial yang lama pupus, memaknakan setiap emosi dengan tepat dan menerbitkan empati. Selain daripada membawa kita jauh ke suatu eskapisme, fiksyen menyediakan kita peluang mengenali dan menangani berbagai-bagai situasi, konteks dan personaliti. Sekurang-kurangnya inilah rumusan yang boleh kita ambil daripada Keith Oatley dalam kertas kerjanya di jurnal Trends In Cognitive Sciences (2016).
Novel-novel seperti Salina (A. Samad Said), Tunggul-tunggul Gerigis (Shahnon Ahmad), The Garden of Evening Mist (Tan Twan Eng), Never Let Me Go (Kazuo Ishiguro) dan The Handmaid’s Tale (Margaret Atwood) menjadi terkenal bukan semata-mata kerana membawa mesej berat tetapi karya-karya ini memiliki pemerian cerita dan gaya bahasa yang berkesan sehingga berjaya membangkitkan perasaan empati. Karya seperti The Plague (Albert Camus) dikatakan novel berlatar-belakangkan wabak yang paling hebat. Kalau dibaca semasa Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19 ini, perlahan-lahan kita akan menemukan faham tentang peri penting mengikut arahan kerajaan dan membangkitkan solidariti kita kepada pekerja-pekerja kesihatan. Malah ada yang menyamakan sosok Dr. Rieux, watak utama novel ini, dengan Ketua Pengarah kesihatan kita, Dato Seri Dr. Noor Hisham Abdullah.
Rane-Szostak dan Herth pada tahun 1995 mendapati bahawa golongan warga tua yang membaca karya fiksyen, yang sering diistilahkan sebagai pleasure reading, akan kurang merasa sunyi berbanding jika mereka melakukan aktiviti sosial lain seperti bersiar-siar atau bermain permainan papan. Menikmati apa-apa sahaja jenis pembacaan akan mengurangkan kadar stres dan meningkatkan kadar rasa kepuasan dalam hidup. Penikmat-penikmat buku dikatakan lebih tinggi jati diri mereka dan lebih mahir menguruskan situasi-situasi sukar dalam hidup.
Kelebihan Pembaca Buku
Sebenarnya jika bukan pleasure reading pun tidak mengapa. Membaca buku – tidak kira apa jenis dan genre – itu sendiri berpotensi memanjangkan hayat manusia. Ini berdasarkan laporan oleh Bavishi, Slade dan Levy pada tahun 2016 yang melakukan tinjauan ke atas lebih daripada 3000 kohort. Kadar mortaliti untuk golongan pembaca buku (spesifik – ‘pembacaan buku’, bukan pembacaan suratkhabar atau apa-apa bahan yang ringkas) 20 peratus lebih rendah daripada golongan bukan pembaca buku.
Kadang-kadang tabiat membaca buku dilihat sebagai satu keistimewaan atau kemewahan yang hanya dimiliki individu yang telah serba cukup semuanya. Lebih-lebih lagi pembacaan fiksyen yang sering dianggap satu budaya khusus buat orang-orang senang yang punya banyak waktu kosong untuk berangan-angan. Itu adalah satu imej yang salah dan memesongkan.
Buku barangkali adalah keperluan asasi – essentials – kalau dilihat dari kaca mata biblioterapi. Hujah saintifik cukup kuat untuk menyentak kesedaran kita kepada hakikat ini. PKP-Covid19 sepatutnya telah menyediakan kita ruang dan peluang untuk mengimani dan menghayatinya. Dan sambutan Kuala Lumpur World Book City pada tahun ini wajib mengambil kira unsur biblioterapi dalam usaha menggalakkan budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia.
Rujukan
- UNESCO (2020). World Book And Copyright Day 23 April.
https://www.un.org/en/observances/book-and-copyright-day
- Papiasvili, E. D., & Mayers, L. A. (2013). Perceptions, thoughts and attitudes in the Middle Ages.Abnormal psychology through the ages, 1, 15-31.
- Pearcy, C. P., Anderson, R. A., Egan, S. J., & Rees, C. S. (2016). A systematic review and meta-analysis of self-help therapeutic interventions for obsessive–compulsive disorder: Is therapeutic contact key to overall improvement?.Journal of behavior therapy and experimental psychiatry, 51, 74-83.
- Gualano, M. R., Bert, F., Martorana, M., Voglino, G., Andriolo, V., Thomas, & Siliquini, R. (2017). The long-term effects of bibliotherapy in depression treatment: Systematic review of randomized clinical trials. Clinical psychology review, 58, 49-58.
- Oatley, K. (2016). Fiction: Simulation of social worlds.Trends in cognitive sciences, 20(8), 618-628.
- Faisal Tehrani (2020). Antara Wira Lawan Wabak Dr Rieux dan NoorHisham. Free Malaysia Today. https://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2020/04/02/antara-wira-lawan-wabak-dr-rieux-dan-noor-hisham/
- Rane-Szostak, D., & Herth, K. A. (1995). Pleasure reading, other activities, and loneliness in later life.Journal of Adolescent & Adult Literacy, 39(2), 100-108.
- Bavishi, A., Slade, M. D., & Levy, B. R. (2016). A chapter a day: Association of book reading with longevity.Social Science & Medicine, 164, 44-48.
Zul Azlin Razali adalah Pakar Perubatan Psikiatri dan penulis buku ‘Depresi: Terpuruk Rasa Ingin Mati dan novel ‘Majnun’. Dia boleh dihubungi di zulazlin@gmail.com