Oleh : Aishah Mahat
Fakulti Sains Komputer dan Matematik, UiTM Pasir Gudang
Tahun 2020 merupakan tahun yang sangat luar biasa dan akan diingati oleh setiap penduduk di seluruh dunia. Ini disebabkan wujud virus yang dikenali sebagai Covid-19 yang mempunyai risiko besar terhadap jangkitan dan kematian. Pelbagai usaha dilakukan di seluruh dunia bagi mengekang virus ini daripada terus merebak secara berterusan seperti menjaga kawalan pergerakan, melakukan jarak sosial dan fizikal serta melaksanakan konsep kebersihan secara menyeluruh. Bermula pada 18 Mac 2020, kerajaan Malaysia juga tidak terkecuali dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan kepada seluruh negara. Segala aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan sebelum ini terpaksa dibatalkan dan ditangguhkan serta-merta. Keadaan ini menyebabkan masyarakat mengamalkan aktiviti kelaziman mereka secara dalam talian iaitu dengan menggunakan telefon pintar, komputer atau alat peranti yang lain. Aktiviti ini meliputi pengajaran dan pembelajaran, tempahan makanan, membeli barangan keperluan harian, aplikasi permainan video, membaca buku, melanggan Netflix, melayari media sosial serta melakukan aktiviti keagamaan. Amalan ini menjadi begitu popular kerana wujud perasaan selesa sewaktu mengamalkan aktiviti tersebut. Mereka akan bertumpu kepada skrin selama berjam-jam lamanya. Akibatnya keadaan ini dapat memberi implikasi negatif terhadap kesihatan tubuh badan manusia. Antara kesan negatif yang akan dirasai oleh seseorang ialah kemerosotan terhadap kesihatan mata, kesihatan fizikal serta perubahan terhadap tingkah laku atau perbuatan. Satu kajian yang dilakukan oleh Maher et al, mendapati seramai 2200 kanak – kanak yang berusia 9 hingga 16 tahun mengalami masalah kegemukan atau obesiti. Ini disebabkan tindakan melihat skrin terlalu lama di samping aktiviti mengunyah snek secara berterusan serta terpengaruh dengan iklan makanan yang terdapat di layar skrin. Selain itu, kesan penggunaan skrin yang terlalu lama akan mengakibatkan kemerosotan terhadap kesihatan tubuh badan seperti kerap sakit kepala, sakit leher dan bahu yang berterusan, sakit jari, mengalami postur badan yang tidak sihat, tindakbalas merosot, cepat marah, tidur tidak mencukupi serta penglihatan semakin kabur. Namun demikian, perkara ini tidak akan berlaku secara berterusan dalam tempoh yang berpanjangan sekiranya langkah-langkah awal dapat dikesan. Antara perkara-perkara yang boleh diambil perhatian dalam amalan penjagaan kesihatan mata ialah:
Melakukan pemeriksaan mata secara berkala
Pemeriksaan mata perlu dilakukan di hospital atau klinik bagi mengenalpasti punca dan simptom visual yang dialami serta mendapatkan nasihat daripada pakar mata
Berwaspada sekiranya penglihatan menjadi kabur
Penglihatan kabur merupakan salah satu faktor disebabkan penggunaan skrin dalam tempoh masa yang lama. Kebiasaannya perkara ini dapat dipulihkan dalam jangka masa yang pendek bergantung kepada amalan penggunaan skrin dengan betul. Selain itu, pesakit boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada optometrist melalui pemakaian kanta mata yang bersesuaian atau menjalani rawatan terapi.
Merehatkan mata
Apabila melakukan kerja dalam tempoh masa yang lama dan jarak yang dekat, seseorang itu perlu merehatkan mata dalam tempoh lima minit bagi setiap 40 minit pekerjaan. Fokus yang terlalu lama menjadi punca mata semakin letih. Selain itu mata juga akan kering akibat kurang berkelip. Sekiranya mata berasa pedih atau kering, titiskan pelembap mata bagi mengurangkan rasa ketidakselesaan.
Mengamalkan posisi duduk yang betul
Keadaan skrin terbaik adalah berada sedikit di bawah paras mata seeloknya 50 darjah iaitu jarak antara skrin dengan muka. Ini akan menjadikan keadaan mata menjadi selesa sewaktu membaca di layar skrin.
Melaras Kecerahan Skrin & saiz fon perkataan.
Melaraskan kecerahan dan saiz fon yang bersesuaian mengikut keselesaan mata.
Mengamalkan peraturan 20/20/20
Setiap kali apabila melihat skrin selama 20 minit, rehatkan mata daripada skrin dengan memandang sesuatu yang berjarak 20 kaki jauhnya selama kira-kira 20 saat.
Pengambilan pemakanan yang seimbang
Amalan pemakanan yang seimbang serta bernutrisi amat penting bagi mencapai kesihatan mata yang optimum. Bagi mendapatkan mata yang sihat, pemakanan yang terbaik perlu diambil perhatian seperti lobak merah, sayur-sayuran, dan buah-buahan yang berwarna merah, kuning dan hijau. Selain itu, pengambilan multivitamin juga digalakkan bagi menampung kekurangan nutrisi yang diperlukan bagi menghindar dari penyakit mata.
Aktiviti fizikal
Melakukan aktiviti fizikal pada awal pagi seperti berbasikal, beriadah, bersenam, berkebun kerana terdapat faedah yang diperolehi daripada sumber cahaya matahari serta khasiat vitamin D yang baik untuk kesihatan mata selain dapat menghindarkan diri daripada masalah kegemukan atau obesiti.
Benarlah pepatah Melayu ada menyebut mencegah itu lebih baik daripada merawat. Oleh yang demikian, amalan terbaik yang boleh dilakukan ialah dengan mengamalkan disiplin diri iaitu menghadkan tempoh penggunaan skrin sebelum ia dapat memberi kesan yang berpanjangan terhadap kesihatan mata, tubuh badan dan perkembangan diri.
Rujukan
Maher et al, 2012. Screen time is more strongly associated than physical activity with overweight and obesity in 9‐ to 16‐year‐old Australians. https://doi.org/10.1111/j.1651-2227.2012.02804.x
Lee, S. T., Wong, J.E., Nik Shanita, S., Ismail, M.N., Deurenberg, P., Poh, B.K. Daily Physical Activity and Screen Time, but Not Other Sedentary Activities, Are Associated with Measures of Obesity during Childhood. International Journal of Environmental Research and Public Health, 2015, 12, 146-161; doi:10.3390/ijerph120100146.
Kredit Foto : Popularscience