Dr. Zul Azlin Razali (MBBS, DrPsych)
Universiti Sains Islam Malaysia
Inilah harinya
Mereka berempat duduk mengelilingi meja makan di sebuah restoran. Suasananya aman-aman sahaja. Si anak lelaki yang di dalam lingkungan lima tahun ralit dengan sebuah tablet. Jari-jemari comel lincah berlari di atas skrin. Ditanya ibu mahu makan apa, dijawab polos, “Megi goreng.” Dibantah ibu lalu dicadangkan, “Nasi goreng, ya.” Si budak hanya mengangguk. Sepasang bola mata kecil itu tetap membulat ke skrin tanpa sedikit pun memandang ibu, atau persekitarannya.
Setelah pesanan diambil oleh pramusaji, si ayah cuba berbasa-basi dengan anak remaja, “Lyn, sekolah hari ni ok?”. Pertanyaan santai (tapi sedikit kekok) itu hanya dibalas dengan riak yang menjengkelkan. Jawapan pendek meloncat keluar dari mulut remaja, “Hmm, ok je.” Anehnya, si gadis remaja itu kembali ceria ketika jarinya gesit meleret dan menatal telefon pintarnya semula. Tidak sampai lima minit, seolah-olah berputus-asa untuk meneruskan interaksi dengan anak yang sedang mengalami ledakan hormon perempuan, si bapa pula mencapai telefon pintarnya. “Papa, nak tengok email kerja sekejap.” Tiada siapa pun yang bertanya dan ‘Papa’ pun sebenarnya tidak tahu mahu tujukan kepada siapa pernyataan itu. Barangkali untuk diri sendiri bagi mengurangkan rasa bersalah.
ARTIKEL BERKAITAN – Penguna Perlu Lebih Pintar dari Gajet Pintar
Kini hanya si ibu sahaja yang bersendirian ‘menikmati’ dunia tanpa gajet di tangan. Meja itu cukup sunyi. Malahan beberapa meja lain juga sunyi, walaupun berorang. Si ibu menguap lalu membuka poket tepi tas tangan, meraba dan menyeluk entah apa. Dia mengeluarkan semula tangannya. Kosong. Dia membatalkan hasrat. Si ibu kemudian memandang anak remaja perempuan itu. Dia mengukir senyum dan sedang ingin membuka bicara. Tiba-tiba runut bunyi memecah sepi suasana. Si ibu menyeluk tangannya semula ke dalam poket tepi tas tangan.
Sepuluh minit berlangsung dengan kesepian sehinggalah pesanan sampai. Setengah jam kemudian meja itu ditinggalkan dengan sisa dan remah makanan. Bukan itu sahaja yang ditinggalkan oleh keluarga itu. Mereka telah meninggalkan satu pesanan untuk dunia bahawa kemanusiaan dan manusiawi sedang terancam.
Gajet dan sebuah kekeluargaan
Pada 2017, pengkaji-pengkaji Universiti Indonesia menemukan satu kesimpulan utuh bahawa penggunaan smartphone yang bermasalah akan meranapkan hubungan kekeluargaan (Chasanah dan Kilis 2018). Yang dimaksudkan penggunaan smartphone atau gajet yang bermasalah adalah penggunaan yang berlebihan, susah untuk mengawal tabiat penggunaannya dan gangguan yang ditimbulkan pada kehidupan seharian (Al-Barashdi 2015).
Kebanyakan kajian banyak merujuk dan memberi petunjuk golongan muda remaja yang selalu bermasalah dalam isu ketagihan gajet ini. Namun pada hakikatnya, fenomena media sosial dan penggunaan gajet ini mempengaruhi generasi ‘lebih tua’ juga. Laporan daripada institusi bebas www.nielsen.com pada 2017 mengatakan bahawa Generasi X (iaitu yang lahir sekitar tahun 1975 hingga 1980) lebih banyak menggunakan media sosial berbanding Generasi Millenials (atau Generasi Y, yang lahir awal 1980an). Jonah Engel Bromwich yang mengupas dapatan ini dalam artikel The New York Times pada 27 Januari 2017, menukilkan bahawa dewasa yang berusia 35 hingga 49 menghabiskan masa lebih banyak terpaku matanya di skrin untuk berfacebook dan sebagainya berbanding golongan 18-30 tahun.
Kita sibuk menuding jari kepada anak-anak muda kerana menjadikan media sosial sebagai ‘agama’ mereka tetapi kita lupa manusia apa pun usianya jika dia tidak memahami sesebuah kemajuan dan mengikut sahaja alir keseronokan yang datang bersama sebuah teknologi, dia pantas menjadi hamba sains ciptaannya sendiri.
Gajet dan Internet
Yang menjadi masalah, gajet atau internet? Yang dibincangkan adalah masalah penggunaan gajet atau sebenarnya isu ketagihan gajet?
Gajet adalah alat. Manusia menemui (dan membina) tamadun dengan bantuan alat. Alat adalah natijah kerja keras akal manusia; yang istilah mudahnya, sains dan teknologi. Di zaman ini, kemajuan teknologi juga menganugerahkan kita internet. Saya tidak khilaf, dan pasti anda juga bersetuju, jika saya katakan internet adalah penemuan terhebat manusia, atau sekurang-kurangnya di antara 10 terhebat sepanjang zaman. Perkara utama yang ‘dilakukan’ oleh internet adalah meruntuhkan tembok penghalang antara manusia dan limpahan jaluran maklumat. Selain daripada maklumat tidak berpenghujung, internet juga ‘mendekatkan’ lagi jarak perhubungan manusia dan mengaburkan sempadan budaya-agama-geografi apabila manusia berinteraksi. Kita bercakap tentang media sosial yang menjadi salah satu sebab utama manusia tidak boleh hidup tanpa internet. Manusia sebagai satu spesis makhluk yang sememangnya mendambakan sosialisasi berterusan akan terus mendakap media sosial ini dan mengucupnya tanpa henti seperti esok tiada lagi.
ARTIKEL BERKAITAN- Ketagihan Pornografi Bukan Sahaja Menjejaskan Otak
Berbalik kepada gajet, ia seolah-olah kembar si internet. Internet tidak mungkin dapat dinikmati tanpa gajet. Gajet terawal barangkali adalah komputer dan telefon. Kemudian semua itu berevolusi dan kita melihat lambakan smartphone atau telefon pintar (nama lain; telefon genggam, telefon selular, ponsel), tablet, iPad, dan komputer riba. Apabila kita membahas masalah kepenggunaan gajet atau ketagihan gajet, barangkali kita sebenarnya membicarakan konten yang menggerakkan fungsi gajet itu sendiri, iaitu internet.
20 tahun yang lalu, sebelum telefon pintar bersepah di sana sini; di meja makan, di tepi bantal tidur, di atas dasboard kereta atau di atas tikar sejadah, Dr. Kimberly Young sudah pun mula risau tentang ketagihan internet (Young 1999). Katanya, ada sekurang-kurang lima bahagian atau jenis ketagihan internet: ketagihan seksual alam maya, ketagihan interaksi maya, kemahuan obsesif berjudi atas talian, ketagihan permainan video atas talian dan pencarian data/maklumat atas talian secara obsesif dan sembrono.
Wujudkah ketagihan gajet (atau internet)?
Bagaimana kita memahami ketagihan? Secara mudah, ia adalah sesuatu yang kita nikmati dan seronok untuk lakukan dalam jangka masa pendek tetapi memudaratkan untuk jangka masa panjang. Walaupun sedar dengan kemudaratan tersebut, kita tetap terdorong untuk lakukan.
Konsep ketagihan tidak berhenti pada ketagih bahan atau dadah tetapi manusia juga boleh ketagihan kepada sesuatu bentuk tingkah-laku. Manusia boleh gian dengan tingkah-laku menonton pornografi (tidak sama dengan ketagihan seks), dengan tingkah-laku mencuri (nama lainnya kleptomania), dan dengan tingkah-laku membeli-belah atau mengumpul barang-barang yang tiada manfaat untuknya. Dan tentunya manusia boleh sahaja terjerumus ke kancah menagih untuk menatal skrin gajet. Mungkin bukan sesuatu yang membuatkan kita terkejut jika ada manusia yang menagih ‘likes’ yang diberikan pada status FB atau foto IG mereka.
ARTIKEL BERKAITAN– Sakit Mental:Ancaman Masyarakat Moden
Walaupun diagnosis ketagihan internet masih belum diterima secara rasmi oleh dunia perawatan psikiatri, Dr. Mark Griffith tetap menyenaraikan simptom-simptom yang ada pada seorang pencandu internet. Beliau mengambil iktibar daripada kajian-kajian kes ketagihan judi (pathological gambling) dan beliau percaya, individu yang sukar untuk memisahkan diri daripada penggunaan internet juga mempunyai simptom yang sama iaitu:
- Penggunaan internet telah mengambil sebahagian besar kehidupan sehariannya dan ‘merampas’ proses berfikirnya (salience)
- Penggunaan internet digunakan sebagai wadah untuk dia mengelak diri daripada berdepan masalah rumit dunia sebenar (mood modification)
- Semakin lama dia terpaksa memanjangkan penggunaan internet demi mencapai kenikmatan dan keseronokan yang sama (tolerance).
- Berhenti atau pengurangan mendadak dalam penggunaan internet menyebabkannya keresahan, kemurungan, marah dan mengalami simptom cemas dan gemuruh (withdrawal).
- Dia sering berhadapan dengan konflik dalam perhubungan, samada hubungan peribadi, hubungan di tempat kerja atau hubungan sosial dalam komuniti secara umum.
- Dia sedar akan masalahnya ini tetapi dia tetap kembali (atau dia tidak dapat menahan diri untuk kembali) menggunakan internet secara berlebihan.
Dilema manusia moden
Kehidupan kita semakin banyak dibantu dan dipermudahkan oleh internet. Daripada mahu tahu arah jalan, membeli belah, membaca buku (i.e ebook), mendapatkan makanan dan pengangkutan, hiburan dan sukan (i.e esport), memantau kesihatan diri, sehinggalah mendapatkan maklumat berguna tentang sains seperti portal www.majalahsains.com ini sendiri, internet perlahan-lahan menjadi udara yang manusia wajib hirup setiap hari untuk kekal lestari. Manusia menjadi ketagih kepada internet adalah kerana masalah manusia itu sendiri dan bukan internet yang perlu kita basmi. Bak kata Dr. Kimberly Young sendiri, “Don’t blame the internet for peoples’ behavior.”
Namun, perkara menjadi rumit dan mungkin mudarat apabila tangan-tangan gemuk kapitalis yang tamak merencanakan hidup kita melalui internet. Sifir mudahnya begini: pengeluar gajet atau telefon pintar sudah tentu mahukan pelanggan yang berterusan menggunakan produknya. Sudah tentulah aplikasi dan program yang ditawarkan menggamit pengguna untuk terus berdamping selama mungkin.
Dalam dunia permainan video atas talian juga jika diperhalusi dapat dilihat evolusi yang telah berlaku. Manusia sukakan persaingan. Kerana itulah umat manusia perlukan sukan. Permainan video menyediakan wadah yang ‘selesa’ untuk manusia bersaing dan ‘bersukan’. Evolusi permainan video kini menambahkan satu lagi elemen yang disukai manusia iaitu bersosial. Jika dilihat permainan video atas talian seperti PUBG (player unknown battleground) atau Fortnite, pemain boleh berinteraksi secara langsung walaupun secara geografinya duduk berjauhan. Elemen kedua yang ada dalam permainan video masa kini adalah ‘misi yang tidak berpenghujung’. Kalau dahulu permainan video mempunyai misi akhir atau peringkat-peringkat yang perlu dihabiskan satu persatu tetapi permainan moden tidak begitu. Ia endless dan bottomless. Lebih ‘menarik’, sebahagian daripada permainan video tersebut mempunyai unsur perjudian. Nah, kini lengkap empat elemen untuk menarik sesiapa pun untuk terus duduk di kerusi empuk bersama konsol untuk jam-jam yang seterusnya.
Internet sebagai ‘escapism
Terlalu mudah apabila kita menudingkan jari telunjuk kepada satu istilah seperti kapitalisme dan katakan ia punca kebobrokan manusia mencandukan internet ini. Itu terlalu mudah dan terlalu malas, kawan-kawan.
Seperti juga mengatakan semua pemain video atas talian adalah mangsa kapitalisme dan mereka telah diperhambakan oleh ketagihan internet; ia tidak benar, kawan-kawan. Ini kerana kajian menunjukkan tidak semua yang bermain permainan video atas talian akan menjalani kehidupan yang huru-hara.
Sebenarnya yang menjadi punca adalah perkara yang itu-itu juga. Keruntuhan struktur rumahtangga, ketidakwujudan figura ibu atau bapa yang murni, kemiskinan, masalah emosi seperti kemurungan, isu keresahan atau anxiety, masalah personaliti seperti narsisisme dan psikopatik adalah isu-isu sebenar yang mendasari masalah penggunaan internet (Elhai et al 2017).
Langkah-langkah ‘menyelamatkan’ kemanusiaan
Apakah kita perlukan undang-undang untuk mengawal-selia penggunaan gajet? Ada yang kata itu bukan suatu idea yang buruk. Contohnya di Korea Selatan dan China, wujud usul membentangkan rang undang-undang di parlimen yang dipanggil Akta atau Undang-undang Cinderella yang bertujuan mengekang anak-anak bermain permainan video atas talian jauh di tengah malam. Di China juga sudah ada kem terapi dan rehabilitasi yang ibu-bapa hantar anak-anak mereka yang telah jatuh kemaruk bermain video atas talian.
Cukup aneh dan menarik apabila mendiang Steve Jobs memberitahu kita dalam sebuah temu ramah satu ketika dulu bahawa dia tidak membenarkan anak kecilnya sendiri menggunakan iPad. Malahan ramai pekerja-pekerja di Silicon Valley tidak menggalakkan anak-anak sekolah rendah mereka menggunakan tablet.
Undang-undang yang waras dan pendidikan yang berterusan adalah gandingan terbaik untuk mendepani isu ini. Kesihatan mental yang stabil adalah senjata paling ampuh yang harus kerajaan dan bijak-pandai pemerintah bekalkan kepada rakyat. Saya tetap percaya golongan dewasa memiliki tanggungjawab yang lebih besar yang bukan sekadar sibuk berwacana sana sini tentang isu ini tetapi menunjukkan contoh yang baik bahawa dia juga tidak terjerat dalam perhambaan teknologi. Tidak dibelenggu dalam keterpukauan gajet-gajet berhantu.
Rujukan:
- Chasanah, A. M., & Kilis, G. (2018, July). Adolescents’ Gadget Addiction and Family Functioning. In Universitas Indonesia International Psychology Symposium for Undergraduate Research (UIPSUR 2017). Atlantis Press.
- Al-Barashdi, H. S., Bouazza, A., & Jabur, N. H. (2015). Smartphone addiction among university undergraduates: a literature review. Journal of Scientific Research & Reports, 4(3), 210-225.
- Bromwich, J.E (2017) Generation X More Addicted to Social Media Than Millennials, Report Finds https://www.nytimes.com/2017/01/27/technology/millennial-social-media-usage.html?action=click& module=RelatedCoverage&pgtype=Article®ion=Footer
- Young, K. S. (1999). The research and controversy surrounding internet addiction. CyberPsychology & Behavior, 2(5), 381-383.
- Griffiths, M. (2000). Internet addiction-time to be taken seriously?. Addiction research, 8(5), 413-418.
- Elhai, J. D., Dvorak, R. D., Levine, J. C., & Hall, B. J. (2017). Problematic smartphone use: A conceptual overview and systematic review of relations with anxiety and Depression Psychopathology. Journal Of Affective Disorders, 207, 251-259.
- Weller, C (2017). Bill Gates and Steve Jobs Raised Their Kids Tech-Free – And It Should’ve Been A Re Flag https://www.Independent.Co.Uk/Life-Style/Gadgets-And-Tech/Bill-Gates-And-Steve-Jobs-Raised-Their-Kids-techfree-and-it-shouldve-been-a-red-flag-a8017136.html
Foto – BBC