Oleh: Norhazlini Mat Zain, Nor Hizami Hassin & Dr Zulhazman Hamzah
Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan
Lojing, Gua Musang bukanlah satu kawasan yang popular dan menarik satu ketika dahulu kerana hanya dikenali sebagai kawasan untuk penanaman sayur dan juga aktiviti pembalakan. Dikatakan, perkataan Lojing berasal daripada perkataan “Logging” dalam Bahasa Inggeris yang bermaksud (pembalakan) akibat kawasan ini merupakan antara kawasan pembalakan yang aktif sebelum ini. Namun, semenjak penemuan populasi habitat bunga Rafflesia pada tahun 2002 oleh penyelidik tempatan, pelbagai langkah dan usaha telah dilakukan untuk melindungi ekosistem di kawasan tersebut daripada terus terjejas akibat aktiviti pembalakan. Rentetan daripada itu, pada tahun 2010, Kerajaan Negeri Kelantan telah mewartakan kawasan seluas 404 ha (1,000 ekar) di Lojing sebagai “Kawasan Pemuliharaan Rafflesia” kerana ia merupakan penemuan khazanah alam yang begitu berharga. Pewartaan ini adalah hasil daripada penyelidikan dan kertas kerja yang dikemukakan oleh Universiti Malaysia Kelantan kepada kerajaan negeri. Kawasan pemuliharaan ini diletakkan di bawah bidang kuasa Majlis Daerah Gua Musang. Semenjak penemuan berharga dan bernilai ini, ia telah memberi nafas baru kepada pemulihan dan pemeliharan kawasan Lojing dengan memperkenalkan konsep eko-pelancongan kepada pelancong, yang mana bunga Rafflesia adalah sebagai ikon utama. Mengikut rekod, populasi bunga Rafflesia yang terdapat di Tanah Tinggi Lojing adalah yang terbanyak di dunia dan ia merupakan spesis Rafflesia kerri.
Keunikan Bunga Rafflesia ini telah menarik ramai pelancong bukan sahaja dari dalam negara malah turut menarik minat pelancong dari luar negara untuk datang melihat sendiri dengan lebih dekat. Pelbagai promosi dan kempen telah diadakan oleh operator pelancongan dalam usaha untuk membawa pelancong melihat keunikan bunga ini di Lojing. Malah, tak kurang juga pelbagai usaha pembangunan dan projek untuk pemuliharaan bunga ini telah mula aktif dijalankan bagi memastikan kelestarian habitat bunga yang istimewa ini kekal terperlihara. Penglibatan orang asli sebagai penduduk tempatan yang sentiasa memberi perkembangan populasi bunga Rafflesia membantu lagi usaha perlidungan dan pelancongan di kawasan Lojing.
Tambahan pula, pelancong yang datang ingin melihat keindahan bunga Rafflesia memerlukan khidmat orang asli sebagai jurupandu dan aktiviti ini telah menyumbang kepada pendapatan orang asli. Untuk perjalanan ke habitat bunga Rafflesia ini menguji sedikit kesabaran kerana pelancong perlu menaiki kenderaan 4×4 terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan merentas hutan berjalan kaki selama lebih kurang 1 jam 30 minit dengan trek laluan yang landai dan sedikit berbukit. Meskipun merasa penat ketika merentas hutan, segala keletihan dan kepenatan akan beransur hilang kerana pelancong berpeluang melihat dan menjumpai kawasan-kawasan air terjun yang menarik terlebih dahulu sebelum menemui habitat bunga Rafflesia ini. Salah satu keistimewaan habitat bunga Rafflesia di Lojing adalah ia hidup di kawasan tinggi dan mempunyai udara yang agak sejuk dan segar berbanding dengan habitat bunga yang terdapat di kawasan lain yang meskipun di kawasan yang berbukit namun dalam keadaan cuaca yang sedikit panas. Satu peristiwa yang jarang-jarang boleh diperolehi yang terdapat di Lojing adalah, ada Rafflesia kerri ini berkembang mekar tergantung di akar pokok. Hal ini kerana, kudup Rafflesia adalah sangat berat (7 – 10 kg) dan menyukarkan jejari halus houstorium untuk bertahan dan terus tumbuh tergantung pada dahan perumah. Disebabkan faktor ini, bunga Rafflesia banyak dijumpai pada akar dan dahan perumah yang berada diatas tanah berbanding kembang mekar tergantung. Peristiwa bunga Rafflesia kembang tergantung ini telah mencetuskan minat ramai pelancong yang tidak ingin melepaskan peluang datang melihat sendiri kerana tempoh ia mekar hanya selama 7-9 hari sahaja. Inilah yang menjadikan salah satu keistimewaan spesis Rafflesia Kerri yang terdapat di kawasan Lojing, Gua Musang berbanding di kawasan habitat spesis bunga Rafflesia yang lain.
Keistimewaan dan Kitaran Hidup Rafflesia
Bunga Rafflesia merupakan bunga yang tersangat unik bukan sahaja dari segi rupa fizikalnya malahan sifat semula jadi yang dikatakan misteri telah memukau para pengkaji, konservasionis serta pencinta alam untuk melihat sendiri keindahan bunga tersebut. Tersergam indah di dalam hutan belantara, bunga Rafflesia dilihat tumbuh tanpa organ vegetatif lain seperti daun, batang dan juga akar. Tergolong dalam kumpulan parasit (holoparasit), bunga Rafflesia hidup menumpang pada tumbuhan perumah (Tetrastigma sp.) yang tertentu sahaja iaitu dari jenis Anggur Hutan (Vitaceae). Hasil dari kajian yang dijalankan oleh Universiti Malaysia Kelantan, tumbuhan perumah Rafflesia kerri yang ditemui di Lojing dikenali sebagai Tetrastigma hookeri.
Proses kitaran hidup merupakan proses yang berterusan bagi memastikan kemandirian sesuatu spesies hidupan. Kitar hidup bunga Rafflesia adalah selama 4 – 6 tahun bergantung kepada spesies bunga tersebut. Fasa awal adalah pembentukan bebola kecil seperti tunggul pada permukaan tumbuhan perumah yang kemudiannya akan membesar dan menyebabkan lapisan luar permukaan tumbuhan perumah merekah dan pecah menampakkan kudup bunga Rafflesia. Fasa perkembangan kudup bunga Rafflesia adalah selama 9 bulan. Daripada kudup tersebut, ia akan mekar menjadi bunga Rafflesia yang akan bertahan selama 7 – 9 hari. Diawal bunga Rafflesia mekar, bau yang unik dibebaskan sebagai tanda isyarat kepada serangga akan lokasi bunga tersebut. Proses pendebungaan amat penting dalam tempoh ini, yang mana lalat bangkai akan membawa debunga dari bunga jantan kepada bunga betina. Berdasarkan pemerhatian, mamalia kecil dan besar seperti tupai, tikus, gajah, khinzir, rusa dan juga termasuklah serangga seperti semut dan anai-anai merupakan agen penyebaran biji benih Rafflesia. Sebahagian biji benih akan melekat di kaki haiwan tersebut, kemudiannya akan disebarkan di atas akar dan batang anggur hutan seterusnya tumbuh sebagai kudup bunga yang baharu.
Keperluan Usaha Pemeliharaan dan Pemuliharaan Rafflesia di Lojing
Bunga Rafflesia merupakan khazanah yang bernilai serta warisan alam semula jadi di negeri Kelantan khususnya dan Malaysia secara amnya. Keunikan bunga Rafflesia telah menjana sumber pendapatan ekonomi Negeri Kelantan melalui industri ekopelancongan. Hal ini bukan sahaja menarik pelancong luar dan dalam untuk melihat keindahan alam ini, tetapi juga turut membuka ruang pekerjaan kepada penduduk setempat serta Orang Asal untuk mendapatkan pendapatan sampingan. Selain itu, bunga Rafflesia adalah ikon konservasi hutan hujan tropika. Oleh itu, pemeliharaan dan pemuliharaaan bunga Rafflesia dapat memartabatkan imej negeri Kelantan di persada dunia sebagai negeri yang mengutamakan serta mementingkan aspek penjagaan alam sekitar dan pemuliharaan kepelbagaian biologi.
Rujukan
Nais J., 2001. Rafflesia of the World: Natural History Publications. P. 243.
Norhazlini, M. Z., Mailina, J., Shalini, M., Nor Azah, M. A. & Zulhazman, H. 2020. Assessing the floral volatile constituents of male and female Rafflesia kerri Meijer from Lojing Highlands, Peninsular Malaysia. IOP Conf. Ser.: Earth Environ. Sci. 549, 012068.
Zulhazman, H., Maryati, M., Cornelius, P. & Mohd-Mahmud, M. 2010. Spatial Distribution and Conservation of Rafflesia kerri in Lojing Highlands, Kelantan. In: Ibrahim Che Omar and Zulhazman Hamzah. Conserving Lojing Highlands for Sustainable Developement. Penerbit UMK, pp. 44-54.
Kredit Foto : hmetro