Oleh : Samhani Ismail
RAS – Rahsia di sebalik Koma
Semasa kita dalam keadaan sedar, sel-sel otak iaitu neuron adalah aktif. Ia menghantar signal kepada jiran-jirannya dan wujud interaksi yang sangat banyak. Tetapi semasa koma, sedikit sahaja aktiviti wujud di dalam otak pesakit, kerana sel saraf sedang sakit tetapi terpaksa terus bekerja bagi menghidupkan tuannya.
Misteri koma terjawab dengan menyelongkar ke sebuah ’dinding’ yang memisahkan di antara minda sedar dan bukan sedar, iaitu Sistem Pengaktifan Retikular (RAS).
Apa itu RAS ?
Hidup kita sentiasa didatangi oleh pelbagai imej-imej yang tertangkap oleh retina mata, bauan yang hinggap di hidung, bunyi yang bergetar hingga menusuk ke gegendang telinga dan pelbagai deria lain yang berselirat. Fikirkan apa akan jadi jika kita mengambil peduli tentang semua ini? Nescaya otak haru-biru jadinya – sehelai rambut gugur mencecah bahu, setiap jarum jam beredar, bilah-bilah kipas yang berputar, suara-suara percakapan orang-orang di sekeliling kita, dan segalanya.
Semua perkara tersebut langsung tidak anda endahkan, sehinggalah tiba-tiba sahaja perhatian anda terarah kepada suara ibu yang memanggil nama anda. Anda terus berpaling sebagai tindakan refleks dan menjunjung kepatuhan seorag anak. Di sinilah RAS berfungsi.
Secara anatomi, RAS terdiri daripada sel-sel saraf yang bergumpal padat, mengunjur dari tengah-tengah medula oblongata hingga ke otak tengah. Gumpalan padat ini menjulurkan sehingga 200 billion sel-sel saraf yang terus menyeliputi hampir 70 peratus bahagian otak.
Para saintis percaya, RAS adalah pusat kesedaran dan motivasi kepada mamalia termasuk manusia. Ia memastikan serebral korteks berada di dalam keadaan sedar dan jaga. Sebarang penglihatan, rangsangan dan aktiviti otak boleh meransang RAS untuk mengekalkan kejagaan dan menghasilkan reaksi.
Justeru, apabila maklumat sampai kepada RAS dan sudah melepasi saringan, RAS akan menghantar maklumat tersebut untuk dikendalikan oleh bahagian-bahagian bertanggungjawab samada talamus, korteks serebral ataupun korteks. Daripada sinilah sistem motor, sistem autonomik badan akan bersama-sama meregulasi sistem kardiovaskular, respiratori dan memberi respon motor kepada rangsangan dari luar.
Namun, malang tidak berbau, kecederaan yang teruk di kepala yang melibatkan batang otak, sereral dan korteks akan menghimpit dan merosakkan RAS sehingga ia tidak boleh berfungsi lagi, lalu berlakulah koma.
Apabila koma, kebanyakan fungsi badan sudah tidak berfungsi. Kajian histokimia dan biokimia yang dijalankan oleh Richard D. Chessick, Department of Medicine, University of Chicago, (1953) menyatakan, ” Sedikit sahaja pengetahuan diperolehi tentang mekanisma kimia fizik yang terlibat dalam koma. Secara histokimia, semasa keadaan koma, aktiviti metabolik otak yang menggunakan glukosa dan oksigen berkurangan. Tenaga dan fosfat didapati berkurang, dan prekursor seperti laktat dan keratin meningkat. Kesimpulannya, aktviti fosforilasi biokimia berkurangan semasa pesakit sedang koma.”
Kesimpulannya, koma berlaku akibat kerosakan pada sistem reticular ini yang disebabkan oleh kemalangan jalan raya, strok, penyakit metabolik dan sebagainya. Setakat ini para saintis sedang giat mencari bukti-bukti yang menunjukkan aktiviti dan tindak balas neuron semasa keadaan ini.
Rencana ini pernah tersiar di Dewan Kosmik, Mei 2009