Oleh: Dr Mohamad Saifudin Mohamad Saleh
Pensyarah Komunikasi Alam Sekitar
Pusat Pengajian Komunikasi
Universiti Sains Malaysia
Dr Siti Suriani Othman
Program Komunikasi
Universiti Sains Islam Malaysia
Komunikasi Alam Sekitar atau Environmental Communication mungkin tidak begitu popular di negara ini. Rata-rata adalah kerana ia bidang yang masih muda dan tidak ramai pakarnya di Malaysia.
Berkaitan ini, persoalan utama yang perlu dijawab: Apakah sebenarnya Komunikasi Alam Sekitar? Menurut International Environmental Communication Association, Komunikasi Alam Sekitar adalah komunikasi atau penyampaian maklumat yang melibatkan apa sahaja berkenaan alam sekitar.
Apa yang penting, komunikasi alam sekitar tidak hanya berlaku secara satu hala iaitu melalui penyampai maklumat kepada penerima maklumat tetapi juga boleh berlaku secara dua hala iaitu melalui penerima maklumat kepada penyampai maklumat.
Misalnya, melalui media, wartawan menyampaikan maklumat alam sekitar menerusi berita, rencana, dan sebagainya namun penerima maklumat iaitu pembaca boleh juga menyampaikan pendapat mereka melalui ruangan surat kepada pengarang, kolum, dan sebagainya.
Matlamat utama Komunikasi Alam Sekitar mudah, ia ingin mencapai kesejahteraan dan kelestarian alam sekitar melalui komunikasi sama ada secara formal mahupun tidak formal.
Komunikasi sains
Satu persoalan lain yang sering diajukan ialah beza Komunikasi Alam Sekitar dengan Komunikasi Sains. Apakah bezanya kerana kedua-dua bidang ini mengkomunikasikan elemen sains? Perbezaan utama adalah dari aspek tumpuan isu yang difokuskan. Komunikasi Alam Sekitar lebih tertumpu kepada isu-isu alam sekitar seperti banjir, tanah runtuh dan sebagainya tetapi Komunikasi Sains lebih tertumpu kepada isu-isu saintifik seperti bioteknologi, kanser, nuklear dan sebagainya kepada masyarakat. Lazimnya, saintis adalah golongan yang banyak terlibat dalam Komunikasi Sains terutamanya apabila mereka ingin menyampaikan sesuatu maklumat seperti dapatan penyelidikan saintifik tertentu seperti penyakit baharu kepada masyarakat melalui pelbagai medium termasuklah media tradisional dan media sosial.
Bagi Komunikasi Alam Sekitar pula, umumnya, sesiapa sahaja yang terlibat dalam perbincangan tentang alam sekitar sudah terlibat dengan Komunikasi Alam Sekitar. Ini termasuklah pejuang alam sekitar, sehinggalah kepada masyarakat awam yang membincangkan tentang isu alam sekitar. Hal ini bermakna, Komunikasi Alam Sekitar adalah aktiviti yang terangkum keterlibatannya, yang dalam masa sama adalah satu bidang yang diwujudkan oleh para profesional dalam bidang komunikasi.
Walau bagaimanapun, sesetengah isu seperti perubahan iklim dan pemanasan global boleh berada dalam kedua-dua Komunikasi Alam Sekitar dan Sains bergantung kepada kandungan dan cara penyampaian yang dilakukan. Maka, ada sesetengah pengkaji barat yang melihat kedua-dua bidang ini sebagai bidang yang saling berkaitan seperti mana bidang pendidikan sains dan alam sekitar.
Keterangkuman bidang Komunikasi Alam Sekitar ini juga dilihat jelas daripada pengalaman salah seorang penulis yang melanjutkan Ph.D di Leuphana Universität Lüneburg, Jerman selama tiga tahun menyaksikan ramai pelajar yang membuat penelitian Ph.D berkaitan dengan bidang Komunikasi Alam Sekitar di bawah Institut Komunikasi Alam Sekitar universiti berkenaan adalah dalam kalangan mereka yang mempunyai latar belakang yang berbeza-beza seperti politik, sosiologi, pendidikan, bahasa Inggeris dan sebagainya. Nyata, bidang ini amat unik dan tidak sempit, malah boleh diterokai pengkaji dari pelbagai latar belakang.
Kepentingan Komunikasi Alam Sekitar
Maka, apa pentingnya bidang ini yang hanya khusus mengkomunikasikan alam sekitar? Komunikasi Alam Sekitar adalah saluran yang jelas dalam mendepani masalah alam sekitar yang semakin meruncing di Malaysia dan dunia global. Menerusi bidang ini, golongan yang berpengetahuan tentang alam sekitar atau golongan yang tidak mempunyai latar belakang alam sekitar namun mempunyai minat tentang alam sekitar dilatih untuk menjadi penyampai maklumat alam sekitar yang mahir dalam menggunakan kaedah yang betul dan berkesan dalam penyampaian mereka kepada masyarakat. Misalnya penyampaian maklumat alam sekitar dengan penggunaan bahasa yang betul, penggunaan imej dan grafik yang menarik, penggunaan fakta yang mudah difahami dan sebagainya.
Seperti yang kita sedia maklum, isu-isu alam sekitar seperti banjir, tsunami, tanah runtuh, radioaktif dan sebagainya ini lazimnya bersifat teknikal kurang mendapat perhatian. Tanpa Komunikasi Alam Sekitar, mesej-mesej sebegini sukar disampaikan dengan berkesan kepada penerima maklumat. Akhirnya, masyarakat semakin menjauh daripada isu-isu alam sekitar kerana mereka akan menggangap isu-isu sebegini sebagai isu tumpuan golongan tertentu seperti saintis dan pakar bidang sahaja. Dalam kalangan masyarakat umum, tanpa kefahaman, kesedaran, pengetahuan dan minat dalam kalangan masyarakat terhadap isu alam sekitar, kita liat bertindak ke arah penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar.
Malah, melalui Komunikasi Alam Sekitar, tanggapan masyarakat terhadap sesuatu isu alam sekitar juga boleh diubah. Misalnya ramai yang beranggapan bahawa tidak menjadi masalah untuk memakan sup sirip ikan yu atas alasan ianya boleh memberikan manfaat kepada kesihatan. Namun, menerusi Komunikasi Alam Sekitar iaitu penyampaian maklumat dalam media terutamanya tentang kempen-kempen berkenaan kesan negatif memakan sup sirip ikan yu terhadap ancaman kepupusan spesies ikan yu, tanggapan masyarakat boleh diubah dan seterusnya menggerakkan tindakan mereka untuk menentang aktiviti tersebut daripada terus berterusan dalam masyarakat.
Harus difahami, walaupun isu alam sekitar adalah isu sejagat dan setiap dari kita mempunyai kemahiran berkomunikasi namun tidak semua orang boleh menjadi penyampai maklumat alam sekitar yang baik. Pertamanya, untuk menjadi penyampai yang baik dalam Komunikasi Alam Sekitar, seseorang itu perlu mempunyai pengetahuan alam sekitar yang baik di samping mempunyai kemahiran komunikasi yang tinggi. Di sinilah manfaat terbesar kewujudan bidang Komunikasi Alam Sekitar terutamanya apabila ianya ditawarkan di universiti untuk melatih dan melahirkan lebih ramai penyampai maklumat dan duta-duta kecil alam sekitar yang baik dan berkesan. Dengan erti kata yang lain, menerusi latihan dan pendidikan dalam komunikasi alam sekitar, seseorang saintis misalnya akan berupaya menterjemahkan isu-isu alam sekitar yang berat dan teknikal seperti perubahan iklim, pencemaran baukit, pemanasan global dan sebagainya menjadi mudah difahami oleh pembaca dan seterusnya membuat pembaca itu tadi berupaya menyampaikan dan membahaskan isu berkenaan dengan orang lain.
Perkembangan di barat
Di barat, Komunikasi Alam Sekitar bukan satu bidang asing. Di Amerika Syarikat misalnya, selepas kemunculan buku terkemuka Rachel Carson, seorang ahli biologi dan penulis sains dan alam sekitar, “Silent Spring” seawal 1960-an, masyarakat umum mula terdedah dengan Komunikasi Alam Sekitar yang lebih berkesan
Menerusi buku ini, tulisan Carson tentang bahaya penggunaan racun serangga terhadap kesihatan menggemparkan dunia dan lebih penting, menyedarkan pelbagai pihak peri pentingnya menyampaikan maklumat alam sekitar dan kesihatan kepada masyarakat awam. Sebelum itu, isu alam sekitar ditulis saintis hanya sekadar perkongsian maklumat dengan pembaca. Buku ini berimpak, tetapi kontroversi kerana pada zamannya, beliau adalah saintis awal yang mencari kebenaran dan jujur berkongsi dengan pembaca tentang bahaya penggunaan racun kimia perosak yang digunakan secara berleluasa.
Sehingga hari ini, ramai yang terlibat sebagai pejuang alam sekitar. Namun, bekas Timbalan Presiden Amerika Al Gore, yang menerima anugerah Nobel 2007 dilihat sebagai penerima anugerah bagi kategori ini yang paling terkemuka di dunia. Beliau diiktiraf sebagai tokoh paling aktif menentang perubahan iklim dunia. Malah, komitmen tingginya dalam isu ini turut dibuktikan dengan derma hadiah kemenangan Nobelnya berjumlah 1.5 juta dolar Amerika kepada kumpulan perlindungan iklim di Amerika yang terdiri daripada pejuang perubahan iklim dunia.
Di Malaysia
Selain itu, khusus di Malaysia, kita sudah mempunyai sebilangan pakar dalam bidang Komunikasi Alam Sekitar ini terutamanya di Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia yang aktif dalam menjalankan penyelidikan dan penyeliaan bersama para pelajar sarjana dan Ph.D berkaitan bidang ini.
Idealnya, pengkajian ini diharapkan tidak hanya berakhir dalam bentuk tesis dan penulisan ilmiah semata-mata, tetapi graduan berfungsi mencapai matlamat utama bidang Komunikasi Alam Sekitar iaitu bidang yang membezakan baik dan buruk tentang alam sekitar, dan mempromosikan amalan terbaik untuk kelestarian alam. Dengan itu, tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa Komunikasi Alam Sekitar adalah bidang yang praktikal, yang sesungguhnya sangat penting sebagai “alat” untuk kita prihatin dan bertindak untuk generasi akan datang, untuk kelestarian alam dan untuk masa hadapan.
Sumber foto – https://www.strath.ac.uk/courses/postgraduatetaught/globalenvironmentallawgovernance/