Oleh: Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah
Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
Universiti Teknologi Malaysia
(Sempena Penubuhan Universiti Teknologi Malaysia Ke-50 Tahun)
Seawal dari kanak-kanak, kita selalu didendangkan dengan kata-kata, “belajarlah rajin-rajin, biar dapat masuk universiti, barulah boleh hidup senang”. Tidak dinafikan, dengan segulung ijazah memudahkan seseorang mendapatkan kerja yang baik dengan pendapatan yang lebih lumayan. Tambahan pula, memetik kata-kata bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela, pendidikan merupakan senjata paling berkuasa yang dapat mengubah dunia.
Universiti atau sering dirujuk sebagai menara gading, ialah institusi pendidikan tinggi dan penyelidikan yang menganugerahkan ijazah akademik dalam pelbagai disiplin akademik. Universiti biasanya menawarkan program sarjana muda dan pascasiswazah di sekolah atau fakulti dalam pelbagai bidang pembelajaran yang berbeza. Bak kata pepatah, kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Salah satu inisiatif tempat lawatan kepada murid sekolah atau anak-anak yang boleh dipertimbangkan oleh pelbagai pihak terutamanya pihak sekolah dan ibu bapa ialah universiti. Universiti merupakan satu kawasan yang mana warganya mengejar ilmu tidak mengira masa sama ada siang atau malam. Selain zoo, taman tema, pantai dan sebagainya, institusi pendidikan tinggi merupakan tempat yang boleh dilawati. Penulis percaya anak-anak terutamanya murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah akan memperolehi pengalaman baru yang dapat memberi mereka motivasi untuk belajar bersungguh-sungguh untuk melanjutkan pengajian tinggi di menara gading. Banyak tempat menarik yang boleh dilawati dalam kampus universiti. Salah satu daripadanya ialah perpustakaan universiti.
Perpustakaan universiti merupakan nadi kepada sesebuah universiti dan ia berfungsi untuk menyokong kurikulum, dan untuk menyokong penyelidikan fakulti dan mahasiswa universiti. Perpustakaan memainkan peranan asas dalam meningkatkan pengalaman pembelajaran, menyediakan mahasiswa dengan semua bahan dan perkhidmatan yang mereka perlukan untuk meningkatkan pengetahuan mereka. Ia merupakan ruang fizikal di mana mahasiswa boleh mencari pelbagai bahan seperti buku, kamus dan ensiklopedia, kawasan di mana mahasiswa boleh berehat dan menenangkan minda dengan mendengar muzik atau membaca buku, tempat di mana mahasiswa dapat mencari jurnal antarabangsa dan mengetahui perkara yang berlaku di seluruh dunia dan kawasan belajar bebas serta ruang pembelajaran kolaboratif di mana mahasiswa boleh bertemu dengan mahasiswa lain untuk menyelesaikan projek kumpulan. Pihak sekolah dan ibu bapa boleh menjadikan perpustakaan sebagai salah satu destinasi sekiranya mereka membawa pelajar atau anak-anak mereka ke kampus universiti. Penulis percaya staf-staf perpustakaan terutamanya pustakawan gembira untuk melayan lawatan pelajar di samping mereka berbesar hati untuk menerangkan kemudahan-kemudahan yang terdapat dalam perpustakaan tersebut. Malah terdapat perpustakaan universiti yang membuka keahlian kepada pihak luar terutamanya pelajar sekolah. Dalam perpustakaan pelajar dapat melihat mahasiswa universiti sibuk menyiapkan tugasan (assignment), tekun mengulangkaji pelajaran atau ada yang berbincang dengan rakan-rakan sekuliah tentang tugasan yang perlu disiapkan. Pelajar juga boleh melihat koleksi buku, majalah dan jurnal dalam pelbagai bidang yang terdapat di rak-rak dalam perpustakaan.
Murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah juga boleh melawat fakulti atau sekolah yang terdapat di sesebuah kampus universiti. Sesebuah universiti itu terdiri daripada pelbagai sekolah atau fakulti yang menawarkan disiplin ilmu yang berbeza. Contohnya, fakulti perubatan melahirkan bakal doktor, fakulti pendidikan melahirkan bakal guru, fakulti kejuruteraan melahirkan jurutera dan fakulti undang-undang melahirkan peguam. Pelajar boleh melihat bagaimana mahasiswa mengikuti kuliah, menjalankan eksperimen di makmal, memerah otak di bilik tutorial, berbincang di gazebo dengan rakan sekuliah tentang subjek yang diajar oleh pensyarah dan melaksanakan rutin mereka sebagai mahasiswa. Pelajar juga boleh berinteraksi dengan mahasiswa yang mungkin berada di cafe terbuka atau gazebo tentang pengalaman mereka sebagai pelajar universiti yang mana ini akan memberi inspirasi kepada mereka untuk bergelar mahasiswa juga pada suatu hari kelak. Mereka juga boleh melihat ruang pembelajaran yang terkini yang terdapat di sesebuah universiti. Contohnya bilik kuliah yang lengkap dengan peralatan canggih yang terkini, dengan susun atur kerusi dan meja yang menggalakkan pembelajaran berpusatkan pelajar, malah terdapat juga bilik kuliah yang berkonsepkan santai di mana mahasiswa bukan sahaja menerima ilmu di situ tetapi tempat mereka berehat dan menenangkan fikiran.
Ekosistem universiti bukan sahaja tertumpu kepada aspek akademik sahaja, malah ia juga merangkumi aktiviti penyelidikan. Pelajar sekolah boleh didedahkan kepada pemenang Nobel Laureate yang kebanyakannya merupakan ahli akademik universiti yang menjalankan penyelidikan yang memberi impak besar dalam bidang tertentu. Harvard University umpamanya telah melahirkan pemenang Nobel Laureate terbanyak di dunia. Sehubungan itu, pelajar boleh dibawa melawat ke institut-institut penyelidikan yang terdapat di sesebuah universiti. Penyelidikan yang dijalankan di institut-institut berkenaan pastinya memberi impak kepada masyarakat dan industri. Ini dapat membuka minda pelajar sekolah tentang bagaimana hasil penyelidikan universiti dapat menyumbang kepada masyarakat dan bagaimana pihak industri dapat bekerjasama dengan universiti dalam melaksanakan penyelidikan yang akhirnya memberi impak kepada masyarakat dan negara. Ini akan membantu para penyelidik universiti melangkah ke hadapan dan tetap relevan di peringkat nasional dan global. Penyelidik yang terdiri daripada pensyarah, pelajar pra siswazah, pelajar pasca siswazah, pegawai penyelidik mahupun pembantu penyelidik menjalankan penyelidikan di makmal-makmal tertentu yang terdapat di institut penyelidikan tidak kira siang dan malam dalam memastikan kejayaan penyelidikan. Terdapat institut penyelidikan yang menawarkan lawatan kepada pihak luar bagi memberi peluang kepada pelawat untuk melihat sendiri eksperimen atau kajian tertentu dilaksanakan.
Masjid yang terdapat dalam kampus juga merupakan sumber ilmu kepada warga kampusnya. Selain merupakan tempat beribadah, masjid universiti juga berperanan menganjurkan tazkirah, kelas agama, qiamullail dan program-program pengimarahan masjid. Masjid turut menguruskan dan mengadakan program-program kerohanian staf dan mahasiswa. Pelajar sekolah menengah boleh dibawa ke masjid universiti untuk menunaikan solat dan melihat aktiviti keagamaan yang berlangsung di situ. Selain itu, penulisan dan penerbitan juga merupakan aktiviti ahli akademik dan mahasiswa universiti. Hasil penulisan mereka diterbitkan dalam bentuk buku mahupun jurnal. Lawatlah Kedai Penerbit universiti untuk melihat karya ilmiah yang dihasilkan oleh cendekiawan universiti. Minda keusahawanan juga dipupuk dalam kalangan mahasiswa universiti. Lawatlah medan selera yang terdapat dalam kampus universiti. Terdapat segelintir mahasiswa yang menjalankan perniagaan sendiri dengan mengaplikasikan ilmu keusahawanan yang telah dipelajari.
Pada tahun ini, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyambut ulang tahun ke 50 penubuhannya sebagai sebuah universiti terulung di Malaysia. Pada 14 Mac, 1972, DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong telah mengisytiharkan penubuhan Institut Teknologi Kebangsaan (ITK). Kemudiannya pada 1 April 1975, ITK telah dinaiktaraf menjadi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sehinggalah ke hari ini. Seperti universiti-universiti lain, banyak tempat dan kemudahan yang berada di kampus UTM sama ada di Johor Bahru mahupun di Kuala Lumpur yang boleh dikunjungi. Antaranya Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ), Masjid Sultan Ismail (MSI), fakulti-fakulti, kolej-kolej kediaman, Tasik Ilmu, Hutan Rekreasi, Balai Cerap, Taman Tropika dan Taman Rusa. Malah UTM mempunyai inisiatif Kampus Ekopelancongan UTM dan merupakan universiti awam pertama yang telah menjalin kerjasama dengan agensi pelancongan tempatan pada 5 Ogos 2015 menerusi Pakej yang disokong oleh Tourism Malaysia.
Natijahnya, pembudayaan ilmu sangat menyerlah dalam ekosistem sesebuah universiti. Jadikanlah universiti sebagai salah satu tempat untuk dilawati untuk melihat bagaimana warganya mengejar ilmu sepanjang masa tidak kira siang dan malam.
ARTIKEL BERKAITAN:
Meransang Kemahiran Matematik Bayi
Mengembangkan Deria Matematik Bayi Dalam Masa Enam Bulan Pertama
TIMSS 2019: Bagaimana Pencapaian Matematik Malaysia Berbanding Singapura?
Galakkan Pelajar Menjawab Soalan Subjektif
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) Dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan untuk Subjek Matematik
COVID-19 Dan Pemikiran Statistik Pelajar
Pentaksiran PISA: Di Mana Kedudukan Malaysia Untuk Literasi Matematik Dalam Kalangan Negara Asia Tenggara?
Pendekatan Inkuiri Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Dalam Tragedi “Budak Gua” Thailand
STEM di sebalik Pandemik COVID-19