Oleh: Dr Siti Suriani Othman
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia
Statistik kes jangkitan COVID-19 di Malaysia meningkat dengan mendadak mutakhir ini. Pastinya semua orang mula gerun semula. Tetapi, gerun hanya pada perasaan tetapi tidak dibuktikan dengan pemahaman dan perbuatan tiada gunanya. Maksudnya, jika kita pernah di fasa gerun dengan wabak ini di peringkat awal kemunculannya, sehinggalah di tahap kita seakan sudah boleh beradaptasi dengan perubahan hidup yang perlu berlaku kerananya. Itulah evolusi yang semua daripada kita telah lalui.
Dalam pada itu, kita juga tidak boleh nafikan betapa kita pernah leka, ketika statistik jangkitan kes menurun dan cuba hidup dengan lebih tenang dan aman dalam perubahan yang perlu kita lakukan dalam kehidupan seharian. Itu tidak salah. Ahli psikologi sendiri menyarankan kita perlu beradaptasi dan hidup dengan aman dan tenang, jangan sentiasa panik di era pandemik ini. Namun hari ini, peningkatan kes yang sangat sangat tinggi dan mendadak sekali, memerlukan perhatian setiap daripada kita, agar jangan kita pula yang menyumbang kepada peningkatan kes setiap hari.
Beberapa minggu lepas saya menghantar anak berusia 9 tahun untuk vaksinasi di sebuah pusat beli-belah berhampiran rumah. Segala proses diuruskan oleh pihak sekolah dan kami diminta hadir (jika setuju untuk divaksinasi) pada keesokan harinya dari jam 10 pagi hingga 1 petang. Saya tiada halangan anak untuk divaksinasi dan membawa anak tepat jam 10 pagi ke pusat pemvaksinan yang ditetapkan. Sampai sahaja di sana, sudah ramai yang sampai dahulu dan saya daftarkan anak dengan guru yang bertugas. Saya katakan kepada guru tersebut yang juga adalah guru kelas anak saya, kami beri laluan kepada yang lain dahulu kerana keadaan agak sesak dan pelajar tidak disusun mengikut sekolah dan tiada penjarakan fizikal. Saya jadi takut dan membawa anak ke bahagian lain yang tidak sesak. Kami kembali ke pusat pemvaksinan sejam kemudian dan mendapati masih sesak. Saya maklumkan cikgu tersebut kami pergi makan dahulu. Jam 12.30 tengahari kami naik semula dan mendapati masih ramai pelajar menanti giliran mereka. Saya masih takut untuk sama-sama berebut dalam kesesakan itu dan cikgu memaklumkan jika pemvaksinan tidak dibuat pada hari tersebut, anak boleh didaftarkan di MySejahtera ibu atau bapa dan tunggu sehingga dipanggil untuk vaksinasi. Saya akhirnya balik dan mendaftar anak dalam sistem kerana itulah yang rasa rasakan terbaik buat kami ketika itu. Saya takut dengan kesesakan yang berlaku, dan salah seorang penjual yang menjual baju di tepi pusat vaksinasi itu memberitahu saya ada kekecohan berlaku ketika saya tiada di sana kerana tidak puas hati dalam kalangan ibu bapa sehingga polis datang mengamankan keadaan.
Kejadian ini mengajar kita beberapa perkara penting. Pertama, mengatur anak-anak sekolah rendah lain kaedahnya berbanding mengatur orang dewasa walaupun untuk tujuan yang sama. Saya lihat, penjarakan fizikal dan sistem di PPV Mega sebelum ini amat sistematik. Sehingga ketika itu saya rasanya terlalu ramai sukarelawan pula daripada keperluan! Ketika itu saya rasakan kami orang dewasa mungkin tidak perlu begitu ramai penunjuk arah.
Tetapi suasana di PPV off-site bagi pelajar sekolah rendah ini berbeza. Tiada sukarelawan, yang membantu hanya guru-guru dan ibu bapa. Itu satu masalah besar. Kedua, juga saya lihat tiada sistem dalam menguruskan empat sekolah yang hadir untuk sesi ini. Semua pelajar dilonggokkan di satu ruang menunggu, berdasarkan siapa sampai dahulu, dia duduk di depan. Tiada pembahagian kaunter mengikut sekolah dan ini menjadikan keadaan sangat rumit dan sesak.
Saya faham kesukaran mengurus, tetapi kita sudah pernah ada pengalaman. Saya juga faham kita sudah agak boleh beradaptasi dengan kehidupan di era wabak, tetapi kita perlu tekal mengikut SOP. Namun, saya kurang faham mengapa proses pemvaksinan anak-anak ini seolah-olah tidak penting. Mungkin jika dirasakan sukar diurus, maka pihak terlibat lebih baik datang ke sekolah dan memberi vaksinasi di sekolah sahaja. Pelajar tidak perlu keluar sekolah dan tidak berlaku kesesakan. Pelajar juga boleh kekal di sekolah jika sihat, atau boleh balik awal andai kurang sihat selepas vaksinasi. Ini mengurangkan pergerakan pelajar, tidak mengganggu waktu persekolahan dan paling penting, tidak menyediakan kesesakan yang ingin kita semua elakkan.
Hakikat COVID-19 yang bermutasi tidak henti dan tidak memilih mangsa, kita semua tahu. Kerana kita tahu, maka seharusnya kita lebih berhati-hati dan bijak menguruskan proses-proses berkaitan supaya tidak tersilap langkah dan sekaligus menjadi asbab jangkitan. Saya faham semua orang sudah letih dan sudah banyak berkorban. Tapi kerana itu jugalah kita perlu sentiasa berhati-hati agar tidak berlaku lebih banyak kemudaratan yang akan mengorbankan lebih banyak masa dan tenaga pasukan barisan hadapan kita. Kita perlu sokong mereka dengan sistem yang menyokong pencegahan dan bukannya mengubat.
Kita tidak akan mampu mengubat lagi nanti andai sistem sokongan sudah letih dan lemah. Kita perlukan pemahaman semua, keprihatinan semua tidak kira di peringkat indiividu atau pembuat polisi. Masalah sebenar yang berlaku perlu diketahui pihak atasan supaya kesalahan tidak berulang. Ahli masyarakat pula perlu menyalurkan maklumat supaya diketahui pihak atasan. Proses mengawal pandemik ini perlukan kerjasama semua, dan tiada pihak yang harus menuding jari mengatakan saya atau awak lebih penting dalam proses ini. Saya lihat, melandaikan lengkungan bukan hanya untuk graf jangkitan pandemik tetapi cara berfikir setiap daripada kita. Tiada sesiapa yang tidak penting dalam proses ini, dan proses yang panjang ini hakitkatnya memerlukan kerjasama kita semua, demi kesejahteraan semua, jika itu yang kita mahukan.