Oleh :Pavitra Indrajothy & Prof Madya Dr Roslee Rajikan
Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia
Kadar peningkatan penyakit kencing manis dan obesiti yang ketara di seluruh dunia sejak beberapa dekad lalu sudah tidak asing lagi. Ini sekaligus menunjukkan betapa pentingnya penekanan kepada intervensi di peringkat populasi untuk mengurangkan kadar risiko yang berpunca antaranya daripada pengambilan gula yang tinggi dan berlebihan dalam makanan. Pemanis nutrien seperti gula dan gula alkohol menambahkan kandungan karbohidrat dan sekaligus meningkatkan pengambilan kalori dalam pemakanan harian kita. Oleh itu, penggantian pemanis nutrien kepada pemanis tanpa nutrien yang terdiri daripada pemanis tiruan sintetik dan pemanis tanpa kalori semula jadi meningkatkan tahap kemanisan tanpa menyumbang kalori dalam makanan. Jadi, hal ini sekaligus dapat membantu mengurangkan risiko obesiti, penyakit kencing manis dan penyakit kronik yang berkaitan.
Walaupun pemanis tiruan yang diproses tidak menambah kalori dalam makanan dan memuaskan keinginan kita untuk merasai makanan manis, tetapi terdapat banyak isu kontroversi dan penemuan kajian yang bertentangan terhadap keselamatan dan keberkesanan pemanis tiruan. Hal ini menimbulkan kekhuatiran yang serius termasuklah isu mengenai kesan karsinogen yang tinggi, perubahan mikrobiota usus, homeostasis glukosa terganggu yang boleh mengakibatkan penyakit kencing manis, pengaktifan sistem ganjaran otak atau brain reward system, peransangan selera makan dan kelaparan serta kenaikkan berat badan (Liauchonak et al., 2019; Moriconi et al., 2020).
Oleh itu, penukaran kepada pemanis tanpa kalori yang sihat secara semula jadi kepada Luo Han Guo atau nama saintifiknya Siraitia grosvenorii menjadi pilihan yang lebih baik dan selamat bagi mereka yang ingin menikmati kemanisan tanpa penambahan kalori atau mengakibatkan kesan buruk dalam badan.
Luo Han Guo merupakan salah satu tanaman asli yang berasal dari China Selatan dan pengusaha pertama adalah golongan sami beberapa abad yang lepas. Pada masa itu, ekstraknya telah digunakan dalam Perubatan Tradisional Cina sebagai ubat selesema dan ubat melancarkan sistem pencernaan. Sekarang, ianya turut digunakan sebagai pemanis makanan dan minuman (Gong et al., 2019).
Proses membuat pemanis Luo Han Guo bermula dengan membuang biji dan kulit buah, diikuti dengan menghancurkan buah dan mengumpulkan jusnya. Pemanis ini mengandungi pelbagai tahap kandungan mogrosida yang mana ianya juga merupakan komponen tanpa nutrien yang berperanan memberikan kemanisan kepada buah. Bergantung kepada tahap kepekatan mogrosida, pemanis Luo Han Guo boleh berada di antara 100 hingga 250 kali lebih manis daripada gula biasa (Gong et al., 2019).
Ekstrak buah ini telah diiktiraf sebagai bahan yang secara umumnya selamat (Generally Recognized as Safe, GRAS) oleh Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) untuk digunakan dalam makanan dan minuman sejak tahun 2010 serta selamat untuk semua golongan, termasuk kanak-kanak, pesakit kencing manis dan wanita hamil (Additional Information about High-Intensity Sweeteners Permitted for Use in Food in the United States | FDA, 2018).
Khasiat Luo Han Guo
Selamat untuk pesakit kencing manis
Pemanis Luo Han Guo mempunyai nilai sifar pada indeks glisemia, kandungan kalori dan karbohidrat. Satu kajian pada tahun 2017 telah menunjukkan bahawa pemanis tersebut tidak meningkatkan tahap glukosa dalam darah manusia dan ianya selamat untuk pesakit kencing manis (Tey et al., 2017). Selain itu kajian yang melibatkan haiwan turut menunjukkan mogrosida, iaitu bahan aktif utama yang terdapat dalam buah telah mempamerkan kesan anti-hiperglisemik dalam badan tikus eksperimen yang menghidapi kencing manis dengan membaik pulih sel pankreas dan merangsang rembesan insulin bagi mengurangkan gejala penyakit berkenaan (Xiangyang et al., 2006).
Membantu dalam penurunan berat badan
Seperti yang sedia maklum, pemanis buah ini tidak mempunyai kalori, karbohidrat atau lemak, dan apabila gula biasa digantikan dengan pemanis buah ini, ianya dapat mengurangkan jumlah pengambilan kalori yang ketara dan sekaligus membantu menurunkan berat badan. Hal ini dibuktikan melalui satu kajian lepas yang mana bahan mogrosida daripada Luo Han Guo menghalang peningkatan berat badan dan lemak dalam tikus eksperimen walaupun tikus terbabit telah diberikan makanan yang mengandungi kadar lemak yang tinggi (Bai-Shen Sun, 2012).
Sifat antioksida
Pada tahun 2015, satu kajian menunjukkan aktiviti antioksidan mogrosida hasil ekstrak daripada Luo Han Guo mempunyai kapasiti yang luar biasa dalam menghapuskan molekul bahaya dan mencegah kemudaratan kepada DNA. Molekul berbahaya merupakan radikal bebas yang biasanya ditemui di udara. Selain itu, kesan antioksidan yang ditunjukkan adalah hampir sama dengan kesan yang ditunjukkan dalam vitamin C (Zhu et al., 2015).
Sifat anti-radang
Oleh disebabkan mongrosida yang terdapat dalam ekstrak Luo Han Guo bersifat anti-radang, penduduk China telah menggunakannya selama beribu-ribu tahun sebagai pemanis semula jadi dan ubat tradisional untuk merawat sakit tekak dan menghilangkan kahak. Pada tahun 2011, satu kajian melibatkan tikus sebagai bahan eksperimen menunjukkan mogrosida mampu menghalang keradangan yang berpunca daripada bakteria negatif dan mengawal atur gen pelindung keradangan (Di et al., 2011).
Kesimpulan
Pemanis Luo Han Guo merupakan hasilan semula jadi, sifar kalori dan berkhasiat kerana terdapatnya kandungan antioksida dan anti-radang. Ianya juga selamat bagi pesakit kencing manis, wanita hamil dan kanak-kanak.
Tidak seperti pemanis tanpa kalori yang lain, kajian mengenai kesan sampingan ekstrak Luo Han Guo masih belum mendapat banyak perhatian oleh para penyelidik. Oleh itu, dos selamat bagi pemanis buah ini masih belum dapat dikenal pasti, dan penyelidikan yang lebih lanjut perlu dijalankan untuk mengetahui sejauh mana kesan pemanis buah tersebut terhadap tahap kesihatan seseorang.
Walau bagaimanapun, Luo Han Guo tetap dijamin selamat kerana buah tersebut telah digunakan sebagai makanan dan ubat selama beratus-ratus tahun, dan tiada kesan sampingan yang dilaporkan daripada mengambil pemanis daripada buah tersebut setakat ini. Selain itu, pemanis Luo Han Guo juga diakui selamat oleh FDA pada tahun 2010 dan ianya merupakan alternatif gula semula jadi yang sihat.
Rujukan
- Additional Information about High-Intensity Sweeteners Permitted for Use in Food in the United States | FDA. (2018). Retrieved February 10, 2021, from https://www.fda.gov/food/food-additives-petitions/additional-information-about-high-intensity-sweeteners-permitted-use-food-united-states
- Bai-Shen Sun. (2012). Anti-obesity effects of mogrosides extracted from the fruits of Siraitia grosvenorii (Cucurbitaceae). African Journal of Pharmacy and Pharmacology, 6(20), 1492–1501. https://doi.org/10.5897/ajpp12.310
- Di, R., Huang, M. T., & Ho, C. T. (2011). Anti-inflammatory activities of mogrosides from Momordica grosvenori in murine macrophages and a murine ear edema model. Journal of Agricultural and Food Chemistry, 59(13), 7474–7481. https://doi.org/10.1021/jf201207m
- Gong, X., Chen, N., Ren, K., Jia, J., Wei, K., Zhang, L., Lv, Y., Wang, J., & Li, M. (2019). The fruits of siraitia grosvenorii: A review of a Chinese food-medicine. In Frontiers in Pharmacology (Vol. 10, p. 1400). Frontiers Media S.A. https://doi.org/10.3389/fphar.2019.01400
- Liauchonak, I., Qorri, B., Dawoud, F., Riat, Y., & Szewczuk, M. R. (2019). Non-nutritive sweeteners and their implications on the development of metabolic syndrome. In Nutrients (Vol. 11, Issue 3). MDPI AG. https://doi.org/10.3390/nu11030644
- Moriconi, E., Feraco, A., Marzolla, V., Infante, M., Lombardo, M., Fabbri, A., & Caprio, M. (2020). Neuroendocrine and Metabolic Effects of Low-Calorie and Non-Calorie Sweeteners. In Frontiers in Endocrinology (Vol. 11, p. 444). Frontiers Media S.A. https://doi.org/10.3389/fendo.2020.00444
- Tey, S. L., Salleh, N. B., Henry, J., & Forde, C. G. (2017). Effects of aspartame-, monk fruit-, stevia- and sucrose-sweetened beverages on postprandial glucose, insulin and energy intake. International Journal of Obesity, 41(3), 450–457. https://doi.org/10.1038/ijo.2016.225
- Xiangyang, Q., Weijun, C., Liegang, L., Ping, Y., & Bijun, X. (2006). Effect of aSiraitia grosvenori extract containing mogrosides on the cellular immune system of type 1 diabetes mellitus mice. Molecular Nutrition & Food Research, 50(8), 732–738. https://doi.org/10.1002/mnfr.200500252
- Zhu, H., Liu, H., Qi, X., Chen, Q., & Zhang, Y. (2015). Protective effect of mogroside extract on ethanol-induced l-02 hepatocytes damage. Journal of Chinese Institute of Food Science and Technology, 15(1), 13–18. https://doi.org/10.16429/j.1009-7848.2015.01.003
Penulis : Pavitra Indrajothy merupakan calon Sarjana Sains Kesihatan (Pemakanan Klinikal) di bawah selian Prof.Madya.Dr.Roslee Rajikan (Ketua Program Dietetik), Fakulti Sains Kesihatan UKM
Kredit Foto :
gettyimages
foodnetwork