Oleh: Amelia Adam,
Editor MajalahSains
Pihak MajalahSains telah menyertai Majlis Cerapan Rasmi Hilal Syawal 1444H/2023M pada 20 April 2023 (Khamis) lalu, bertempat di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Melaka. Lokasi tersebut merupakan salah satu dari 29 lokasi cerapan hilal (anak bulan) Syawal di seluruh negara.
Program cerapan hilal Syawal ini ialah suatu acara tahunan yang mempunyai kepentingan tersendiri di peringkat negeri. Kenyataan ini terserlah hakikatnya dengan kehadiran tetamu-tetamu kenamaan termasuklah Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, serta wakil-wakil dari jabatan-jabatan tertentu di majlis ini.
Suatu taklimat ringkas tentang kaedah-kaedah yang digunakan dalam penentuan tarikh Hari Raya Aidilfitri telah disampaikan oleh ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Negeri Melaka sebelum cerapan bermula. Peralatan cerapan yang digunakan ialah teleskop dan teodolit. Cerapan rasmi bermula pada pukul 7.00 petang, 16 minit sebelum waktu berbuka puasa di sini (7.16 pm). Setelah azan dilaungkan, para petugas cerapan menikmati juadah ringkas, sambil meneruskan cerapan sehingga pukul 7.27 pm, iaitu waktu Bulan ghurub (terbenam).
Untuk Mengetahui, Tanyalah Ahli
Dapat diperhatikan pelbagai reaksi berbeza dalam kalangan masyarakat di platform-platform digital apabila “membahaskan” soal penentuan tarikh Hari Raya Aidilfitri. Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun lalu yang sering digelar “Raya Mengejut” ialah suatu detik yang mendidik (teachable moment) bagi masyarakat untuk mengambil tahu tentang kaedah yang diamalkan dalam penentuan tarikh perayaan-perayaan besar dalam Islam di Malaysia, selain mempunyai pengetahuan asas tentang penyusunan kalendar Hijrah. Keinginan untuk mengetahui ini mempengaruhi kesedaran yang berterusan apabila isu ini terus mendapat perhatian untuk dibualkan pada tahun ini. Lihat sahajalah kehangatan isu ini disuarakan di ruangan komen di mana-mana platform digital sekalipun.
“Pencerobohan” terhadap satu-satu disiplin yang telah utuh berdiri dan dibarisi ahlinya bukanlah perkara luar biasa. Bersandarkan alasan “Setiap orang ada pendapat masing-masing”, kesedaran untuk mengambil tahu perlulah diseimbangkan dengan kesediaan untuk meraih pandangan ahli-ahli dalam bidang yang berkaitan. Pihak MajalahSains menzahirkan kesyukuran atas kesempatan untuk menemu bual Tn. Nor Nazmi Razali, Pegawai Sains di Kompleks Falak Al-Khawarizmi. Temu bual bersama beliau diperincikan mengikut beberapa tema seperti berikut:
– Penglibatan dalam Cerapan Hilal Ramadan dan Syawal
Cerapan hilal Ramadan dan Syawal ialah acara-acara tahunan berskala besar di seluruh negara, bertempat di 29 buah lokasi kesemuanya. Selain dihadiri oleh pemerintah negeri, ia juga dihadiri oleh wakil-wakil dari Jabatan Mufti Negeri, Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri (JUPEM), Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Negeri, dan Jabatan Penerangan Negeri, serta petugas-petugas di balai cerap yang terlibat. Peranan yang dimainkan oleh JUPEM adalah tertumpu terhadap aspek teknikal, manakala peranan yang dimainkan oleh Jabatan Mufti Negeri adalah tertumpu terhadap aspek hukum-hakam agama Islam.
– Kaedah Penentuan Awal Bulan Hijrah di Malaysia
Penentuan awal bulan baharu dalam takwim Hijrah di Malaysia adalah menggunakan kaedah rukyah (cerapan dengan mata serta dibantu peralatan optik) dan kaedah hisab (kiraan) berpandukan kriteria Imkanur Rukyah iaitu ketika Matahari terbenam, altitud bulan ~3° serta jarak lengkung (sudut elongasi) Bulan – Matahari ~ 6.4°. Cerapan diadakan pada petang, hari ke-29 bulan Hijrah. Misalnya, hilal Ramadan akan dicerap pada 29 Syaaban, manakala hilal Syawal akan dicerap pada 29 Ramadan. Data yang terkumpul bagi kaedah hisab seperti waktu Matahari terbenam, waktu Bulan terbenam, altitud Bulan, elongasi Bulan – Matahari dan umur hilal diperoleh daripada pihak JUPEM.
– Kriteria Imkanur Rukyah
Kriteria Imkanur Rukyah (kriteria kenampakan anak bulan) baharu yang dipersetujui pada tahun 2021 telah mula diguna pakai pada tahun lalu. Kriteria ini menjadi panduan dalam proses penentuan tarikh awal Ramadan dan 1 Syawal bagi negara-negara ahli MABIMS (Brunei, Indonesia, Malaysia, dan Singapura). Malaysia dan Indonesia menggunakan kaedah rukyah dan hisab, manakala Brunei hanya menggunakan kaedah rukyah dan Singapura pula hanya menggunakan kaedah hisab. Perbezaan ini menunjukkan bahawa penentuan tarikh-tarikh penting dalam agama Islam adalah tertakluk terhadap ketetapan di sesebuah negara.
– Pemilihan Lokasi Cerapan Hilal
Penulis menyoal tentang status lokasi cerapan di Pantai Rombang, Melaka. Lokasi ini ialah salah satu dari 15 lokasi cerapan anak bulan yang terpilih di seluruh negara pada tahun 1991. Cerapan besar-besaran pada tahun tersebut telah diadakan selama enam bulan berikutan rekod-rekod rukyah yang tidak lengkap sejak tahun 1972. Hanya satu data cerapan sahaja yang berjaya direkodkan iaitu di Pantai Rombang.
Penulis dimaklumkan bahawa cerapan anak bulan di Melaka tidak lagi dilakukan di lokasi tersebut, sebaliknya telah ditukarkan ke Kompleks Falak Al-Khawarizmi. Perubahan ini dilakukan setelah mengambil kira suatu ciri penting yang perlu dimiliki oleh sesebuah lokasi cerapan, iaitu membenarkan pemandangan yang luas dan jelas terhadap ufuk barat, tanpa halangan fizikal seperti kapal-kapal di laut.
– Jangkaan tentang Hasil Cerapan
Temu bual ini diadakan kira-kira tiga jam sebelum program bermula. Hujah terbaik untuk menggambarkan hasil cerapan pada waktu petangnya ialah bersandarkan hasil kiraan melalui kaedah hisab.
Fenomena Gerhana Matahari Separa telah berlaku pada hari yang sama, menandakan ijtimak (conjunction) ataupun perbarisan Matahari – Bulan – Bumi, kira-kira pada pukul 12.12 pm (waktu tempatan). Waktu Matahari terbenam adalah pada pukul 7.16 pm, manakala Bulan terbenam 11 minit kemudiannya. Ketika Matahari terbenam, Bulan berada di ufuk pada altitud (ketinggian) 2° 2’ 46” dengan jarak lengkung (sudut elongasi) antara kedua-keduanya ialah 2° 34’ 55”. Berdasarkan data ini, hilal Syawal tidak memenuhi kriteria kenampakan yang digariskan dalam Imkanur Rukyah. Justeru, keadaan ini memungkinkan hilal sukar dilihat , menjadikan keesokan harinya (21 April) digenapkan sebagai hari ke-30 Ramadan, serta 1 Syawal 1444H jatuh pada 22 April 2023. Sememangnya ahli-ahli falak dapat membuat kiraan untuk meramal kedudukan Bulan di kaki langit, namun, ramalan ini perlu disahkan melalui cerapan.
– Cabaran dalam Proses Cerapan Anak Bulan
Keadaan cuaca ialah suatu cabaran utama semasa proses cerapan, seperti hujan dan langit berawan.
Tidak Kelihatan Hilal, Adakah Bererti Pencerap Gagal?
Keputusan cerapan hilal Syawal 1444H di Kompleks Falak Al-Khawarizmi yang diumumkan secara rasmi menyaksikan bahawa anak bulan tidak kelihatan. Justeru, keesokan harinya (21 April) digenapkan sebagai hari ke-30 Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri pula diraikan pada 22 April (Sabtu). Dapatan ini sekali gus mengesahkan kiraan (hisab), selain memperkukuh keterkaitan antara kaedah hisab dan kaedah rukyah. Cuaca semasa Matahari terbenam adalah cerah dan waktu akhir Matahari kelihatan adalah pada pukul 7.16 pm.
Dapatlah diumpamakan kedua-dua kaedah ini bukanlah sebagai seteru yang memusuhi, sebaliknya, teman yang saling melengkapi. Tiada mana-mana satu kaedah pun yang mengalahkan yang satu lagi. Hisab memberikan petunjuk tentang keadaan Bulan semasa rukyah. Rukyah pula mengesahkan kiraan bagi kriteria kenampakan yang diguna pakai.
Barangkali ada yang berpandangan “Hisab kerja manusia. Rukyah (soal anak bulan kelihatan ataupun tidak) kuasa Tuhan”. Benar, malah segala perkara adalah dicakupi dalam pengetahuanNYA. Namun, dalam kaedah rukyah, manusia tetap perlu berusaha dengan persiapan peralatan dan kepekaan matanya. Penggunaan kedua-dua kaedah ini dalam penentuan tarikh Hari Raya Aidilfitri dapat menyedarkan kita tentang peranan yang boleh dimainkan oleh manusia mengikut bidang keahliannya, diseimbangkan dengan sifat akur terhadap suruhan dan ketentuanNYA.
Keputusan rasmi bagi hasil cerapan anak bulan di setiap lokasi di seluruh negara boleh dicapai di portal myRHK (Sistem Rukyah Hilal Kebangsaan). Data yang disiarkan di portal itu merangkumi dapatan bagi setiap bulan Hijrah mengikut lokasi cerapan.
Astronomi: Sains dan Kesabaran
Penulis telah tiba lebih awal di lokasi cerapan pada hari tersebut untuk menyaksikan fenomena Gerhana Matahari Separa. Berdasarkan kiraan, fenomena itu dapat disaksikan di Melaka dari pukul 11.00 am (waktu mula) sehingga pukul 12.50 pm (waktu akhir), dengan waktu kemuncak yang dianggarkan pada pukul 11.54 am.
Namun, keadaan cuaca dalam tempoh masa itu telah menafikan kemungkinan untuk menyaksikan fenomena itu berikutan turunnya hujan renyai dan awan tebal yang menutupi Matahari. Penulis sebelum itu telah melihat kesibukan serta ketelitian para pencerap dalam menyediakan peralatan cerapan. Berbekalkan usaha dan masa yang telah dilaburkan, penulis berfikir bahawa tentulah mereka benar-benar berharap agar fenomena itu berjaya dicerap dan dirakam. Namun, tiada kekecewaan yang dizahirkan oleh penggiat-penggiat astronomi yang sentiasa menjiwai kesabaran.
Langit selalu menjadi ilham terhadap penciptaan buah fikiran ataupun karya-karya agung. Terdapat banyak cara untuk memerihalkan pemandangan di langit dan salah satu cara itu ialah astronomi. Astronomi tidak dapat dipisahkan dari proses cerapan langit, cerapan pula tidak terlepas dari halangan termasuklah faktor cuaca. Oleh itu, suatu ramuan penting dalam menyertai kegiatan astronomi selain pengetahuan sains dan kemahiran teknikal ialah kesabaran.
Penghargaan dan Hebahan
MajalahSains mengucapkan terima kasih kepada pihak Kompleks Falak Al-Khawarizmi atas kebenaran yang diberikan untuk menyertai Majlis Cerapan Rasmi Hilal Syawal 1444H/2023M. Ia merupakan suatu kesempatan berharga, khasnya dari segi pengisian semasa program dan lawatan di ruangan-ruangan pameran yang disediakan. Sekalung penghargaan juga buat Tn. Nor Nazmi Razali atas perkongsian ilmu melalui kaedah temu bual.
Kompleks Falak Al-Khawarizmi yang terletak di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka dibuka pada setiap hari Isnin sehingga hari Sabtu (Isnin – Jumaat: 9.00 am – 4.30 pm, Sabtu: 10.30 am – 4.30 pm), serta ditutup pada setiap hari Ahad dan cuti umum. Ia terdiri dari balai cerap (menempatkan pelantar cerapan dan anjung tinjau), galeri pameran, planetarium, dan pusat latihan.
Istilah- istilah Falak/Astronomi:
- Hilal: Anak bulan
- Ghurub: Terbenam
- Ijtimak: Konjungsi (conjunction); keadaan di mana Bulan Baru (New Moon) berada hampir sebaris antara Matahari dengan Bumi
- Imkanur Rukyah: Kemungkinan kelihatan/kenampakan (anak bulan)
- Altitud: Ketinggian
- Elongasi: Jarak lengkung