SHARE

Oleh: Rabiatul Adawiyah Zayadi
Calon PhD, Sains 
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Kontinjen Malaysia telah dinobatkan sebagai juara bagi kategori Sains dan Teknologi dalam 1st International Nanotechnology Olympiad (INO) pada 15 April 2018. Pertandingan peringkat antarabangsa yang julung-julung kali dianjurkan ini telah diadakan di Pardis Technology Park, Tehran, Iran pada 9 – 15 April 2018. Iran Nanotechnology Initiative Council (INIC) menganjurkan INO sebagai satu platform bagi para pelajar untuk mengaplikasikan nanoteknologi dalam menyelesaikan isu berkenaan rawatan air. Sembilan pasukan yang mewakili Iran, Kesatuan Eropah, Korea Selatan, Malaysia, Rusia, dan Taiwan dalam INO telah didedahkan dengan pelbagai input untuk memantapkan pengetahuan mereka tentang nanoteknologi selain membentangkan projek mereka.

 

Pasukan Malaysia terdiri daripada Muhamad Sollehin Idris (Bacelor Sains, Universiti Malaya), Joshua Soo Zheyan (Sarjana, Universiti Malaya), Ho Kah Chun (Doktor Falsafah Kejuruteraan Kimia dan Proses, Universiti Kebangsaan Malaysia), dan Rabi’atul ‘Adawiyah Zayadi (Doktor Falsafah Sains, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia) yang merupakan penerima pingat emas dalam Olympiad Nanoteknologi Malaysia (ONM) 2017 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Terdahulu, pasukan Malaysia yang juga diberi nama NanoRepublik ini telah menjalankan aktiviti penyelidikan dan mengikuti sesi latihan anjuran Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC), MOSTI dan rakan industri yang terlibat sepanjang bulan Februari dan Mac 2018 sebagai persiapan untuk mewakili Malaysia ke INO.

 

Nano-PFTF Membrane

Produk nanoteknologi yang diilhamkan oleh NanoRepublik untuk dipertandingkan di INO adalah Nano-PFTF Membrane yang merupakan singkatan bagi Nano-Palm Frond Titania Fiber Membrane. Ia diinspirasikan dengan mengambil kira masalah sisa pepejal dan sisa cecair yang terhasil daripada industri kelapa sawit. Melalui konsep waste to wealth, sisa pepejal daripada kelapa sawit iaitu pelepah kelapa sawit dapat digunakan untuk menghasilkan cellulose acetate untuk memfabrikasi nanofiber yang berfungsi sebagai membran untuk merawat air sisa industri. Nano-PFTF Membrane digunakan khususnya untuk menguraikan bahan pencemar organik dan tidak organik yang terdapat di dalam air sisa tekstil dan perlombongan.

Aktiviti penyelidikan, pencirian dan pembangunan Nano-PFTF oleh pasukan Malaysia telah dilaksanakan dengan bantuan NNC dengan kerjasama makmal penyelidikan di Malaysia. Antara rakan industri yang terlibat adalah NANOCAT Universiti Malaya, Makmal Teknologi Membran Universiti Kebangsaan Malaysia, Institut Teknologi Maju Universiti Putra Malaysia, Nano-Analytical Platform Monash University, Hi-Tech Instuments, CREST Nanosolutions, Progene Link, Thermo Fisher Scientific, Nexus Analytics, dan NanoMalaysia Berhad.

Keunikan Nano-PFTF Membrane mendapat pujian daripada para juri di INO memandangkan ia merupakan suatu idea yang baharu dan inovatif. Hasil kajian awal NanoRepublik juga mendapati produk ini mampu menguraikan sehingga 99% pewarna tekstil (metilena biru) dan logam berat (kromium heksavalen) dalam tempoh dua jam. Penyelidikan lanjut bakal dijalankan agar potensi sebenar produk ini dapat dikenalpasti dan ia dapat diaplikasikan di dunia sebenar.

 

Cabaran di INO

Berbekalkan semangat kenegaraan, NanoRepublik diiringi Encik Ismarul Nizam bin Ismail (NNC, MOSTI) selaku mentor, serta dua orang juri dan pengiring daripada Persatuan Sains dan Teknologi Keadaan Pepejal Malaysia (MASS) berangkat ke Iran pada 8 April 2018 dengan keazaman yang tinggi untuk membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa. Prof. Madya Dr. Khamirul Amin bin Matori (Universiti Putra Malaysia) dan Dr. Abdul Mutalib Md. Jani (Universiti Teknologi MARA) daripada MASS merupakan juri yang dilantik bagi mengadili INO di samping pakar-pakar dari negara lain.

Antara pengisian aktiviti INO sepanjang berada di Iran ialah Bengkel Keselamatan, Standardidasi dan Pengawalseliaan Produk Nano, Bengkel Kreativiti, Bengkel Perniagaan, Bengkel Pitching, Bengkel Pengkomersilan Produk Nano, Bengkel Harta Intelek, Cabaran Kumpulan Campuran, lawatan ke syarikat berasakan nanoteknologi,  dan sesi pembentangan projek. Kesemua pasukan dikehendaki membentangkan projek mereka dalam dua sesi berbeza iaitu sesi Sains dan Teknologi dan sesi Perniagaan dan Impak. Pelbagai aspek dinilai oleh para juri yang terdiri daripada pakar-pakar di dalam bidang nanoteknologi di bawah Jawatankuasa INO daripada pelbagai negara.

Tempoh 10 minit yang diberikan bagi setiap sesi pembentangan dilihat sebagai satu cabaran untuk menyampaikan isi-isi bagi menyerlahkan potensi projek setiap pasukan. Kebolehan pasukan dalam berkomunikasi, bekerjasama dalam satu pasukan dan berfikiran secara kreatif dalam menyelesaikan masalah juga diuji dalam sesi soal jawab selepas pembentangan. Selain mengajukan soalan, para juri juga memberi kritikan yang membina dan cadangan penambahbaikan untuk meningkatkan potensi produk yang dibentangkan pada masa akan datang.

 

Pengalaman di Iran

Kedatangan kontinjen Malaysia di Iran juga disambut baik oleh Kedutaan Malaysia di Iran. Pihak sekeratriat INO juga menyediakan hospitality yang memuasakan sepanjang berada di sana. Para peserta INO turut berpeluang melawat beberapa tempat menarik di Republik Islam itu antaranya, Golestan Palace, Tajrish Bazaar, Lavasan, dan Gunung Tochal. Tehran yang merupakan ibu negara Iran dihiasi landskap yang cantik, baik di pusat bandar mahupun di kawasan gurun. Dengan jumlah penduduk sekitar 8.8 juta, rata-rata penduduk Tehran yang ditemui amat ramah dan baik. Suhu sejuk dan angin yang menemani sepanjang berada di sini tidak mematahkan semangat pasukan Malaysia untuk memberikan yang terbaik dalam pertandingan ini.

Kontinjen Malaysia juga berkesempatan melawat ibu pejabat INIC di Tehran. Di sini, peserta didedahkan dengan pelbagai pencapaian Iran dalam bidang nanoteknologi, serta langkah-langkah yang diambil pihak mereka untuk mengembangkan ilmu nanoteknologi dalam kalangan masayarakat. Iran merupakan antara Negara yang aktif dalam penyelidikan dan pembangunan produk nanoteknologi; menduduki tangga ke-4 dalam penghasilan kertas penyelidikan nanoteknologi selepas China, Amerika Syarikat dan India.

 

Pasca INO

Kejayaan pasukan Malaysia membawa pingat emas dalam INO ini diharapkan dapat menjadi simbolik untuk memangkin aktiviti penyelidikan dan pembangunan bidang nanoteknologi di Malaysia. Inisiatif kerajaan khususnya NNC dan MOSTI dalam menjadikan nanoteknologi anatara tumpuan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dapat disokong dengan aktiviti penyelidikan dan pertandingan sebegini. Dengan penganjuran ONM dan INO, para saintis muda dapat meluaskan pengetahuan mereka tentang nanoteknologi serta mengasah kemahiran insaniah mereka. Selain itu, INO memberi peluang kepada Malaysia untuk menjalankan kerjasama dengan penyelidik daripada negara lain untuk memacu kemajuan nanoteknologi.

Selepas penyertaan dalam INO, NanoRepublik akan meneruskan penyelidikan lebih lanjut terhadap Nano-PFTF Membrane. Potensi produk nano ini dalam menguraikan lebih banyak bahan pencemar di dalam air sisa akan dikenalpasti, dan hasil penyelidikan ini diharapkan dapat diterbitkan di dalam jurnal penyelidikan untuk rujukan kelompok masyarakat yang lebih besar. Pasukan Malaysia amat bersyukur dengan kejayaan yang diperolehi dan berharap Malaysia akan mencipta lebih kejayaan dan penemuan hebat di dalam bidang nanoteknologi pada masa akan datang memandangkan nanoteknolgi merupakan satu cabang utama di dalam Industri Revolusi ke-4.

Biodata Penulis
Penulis merupakan juara Olympiad Nanoteknologi Malaysia 2017. Penulis juga merupakan pelajar kedoktoran (PhD) di UTHM. Dikurniakan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Teknologi Alam Sekitar daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2015, penulis telah berkhidmat sebagai Environmental Chemist sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana dan PhD.

**Gambar-gambar sepanjang berlansung 1st International Nanotechnology Olympiad (INO)** 

Kontinjen Malaysia mewakili negara ke INO (dari kiri, Sollehin, Joshua, Ismarul, Adawiyah, Kah Chun, P.M. Dr Khamirul, dan Dr. Abd Mutalib)
Kontinjen Malaysia disambut oleh Kedutaan Malaysia di Iran
Pasukan Malaysia yang juga diberi nama NanoRepublik
Pasukan Malaysia menerima 2000 Euro sebagai juara kategori Sains dan Teknologi
Pasukan Malaysia mewakili negara ke INO bersama medal yang dimenangi
Para peserta dan sekretariat INO 2018 di Pardis Technology Park, Tehran, Iran
Kembali ke Malaysia
Penulis ketika berlansungnya pertandingan
Penulis ketika berlansungnya pertandingan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge