SHARE

Oleh:
Prof. Madya Ir. Dr. Rosdiadee Nordin
Pusat Kejuruteraan Elektronik & Telekomunikasi (PAKET)
Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia

Filem terkini Star Wars bertajuk ‘The Last Jedi’ semakin hampir melabuhkan tirai dengan kutipan melepasi USD 600 juta. Namun, kepada peminat tegar Star Wars, aksi, sejarah dan kehebatan watak-watak utama serta pertembungan dua kuasa, The Force dan Dark Side akan sentiasa menjadi perbualan berterusan sepanjang zaman.

Star Wars merupakan satu francais filem yang berjaya mewujudkan kultusnya tersendiri, sehingga Jedism pernah dicadangkan sebagai agama rasmi. Pengasas Star Wars, George Lucas merupakan peminat setia pengarah filem Jepun yang prolifik, Akira Kurosawa, terutamanya filem ‘Seven Samurai’ (1954). Idea pahlawan Jedi muncul diinspirasikan daripada filem Jepun ini, manakala idea robot R2D2 dan C3PO timbul daripada dua petani yang suka bertengkar sesama mereka di dalam filem Akira, bertajuk ‘The Hidden Fortress’ (1958).

Selain daripada itu, impak filem Star Wars turut merevolusi industri perfileman. Antara teknologi pembuatan filem yang datang daripada Star Wars ialah teknologi kesan visual, di bawah Industrial Light & Magic (ILM). Syarikat ILM telah berjaya menghasilkan pelbagai teknologi inovasi seperti teknik dan algoritma pemprosesan visual 3D dan syarikat animasi terkenal, iaitu Pixar. Selain daripada itu, Star Wars turut mewujudkan syarikat THX, yang memperkenalkan rekabentuk digital audio yang telah merevolusi sistem pembesar suara untuk teknologi sistem hiburan di rumah dan di pawagam.

Perkara pertama yang membuatkan penonton tertarik dengan Star Wars ialah adegan perlawanan sengit di antara pahlawan Jedi dan musuh mereka, yakni pahlawan Sith mahupun kuncu-kuncu askar The Imperial menggunakan lightsaber. Adegan lawan ini diiringi dengan kesan bunyi yang keluar daripada hayunan pedang, detik-detik perlawanan mencemaskan, terutamanya ketika di dalam keadaan gelap disulami oleh muzik orkestra yang penuh dramatik.

Namun, teknologi laser yang diperkenalkan pada lightsaber ini masih jauh daripada jangkauan dan pelbagai cabaran perlu diselesaikan oleh penyelidik.

Langkah pertama, pilihan jelas untuk mewujudkan lightsaber ialah dengan menggunakan cahaya laser satu hala. Langkah kedua ialah untuk ‘menghentikan’ cahaya tersebut mengikut saiz atau panjang sebuah pedang, sebagai anggaran tiga kaki. Namun, kita semua tahu untuk ‘menghentikan’ laser lightsaber ini, kita perlu memberhentikan cahaya di mata pedang. Salah satu penyelesaian mudah ialah meletakkan cermin di mata pedang untuk pantulan cahaya laser. Penyelesaian ini didapati tidak lasak dan praktikal, malahan pihak Storm Trooper akan memandang remeh pahlawan Jedi apabila nampak cermin dihujung pedang mereka!

Langkah ketiga ialah memastikan cahaya laser daripada lightsaber itu begitu cukup ‘tajam’ untuk memotong atau menusuk musuh. Di industri, penggunaan laser untuk pemotongan memerlukan sekitar 4 kiloWatt tenaga (bersamaan dengan kuasa empat peti sejuk di rumah). Tenaga sebesar ini begitu mustahil untuk dimuatkan ke dalam lightsaber yang bersaiz satu genggaman tangan! Sedangkan telefon pintar pun perlukan bank kuasa, inikan pula lightsaber!

Tambahan daripada kuasa, mekanisma penyejukan juga diperlukan untuk memastikan tangan kita tidak cair oleh kerana pemanasan hasil daripada janaan cahaya laser tadi.

Yang paling mengecewakan sekali ialah dua cahaya yang bertentangan daripada dua lightsaber sebenarnya tidak boleh berlaga sesama sendiri – tiada hukum fizik lagi yang mampu membenarkan perkara ini berlaku. Jadi, masih jauh lagi perjalanan kita untuk menikmati lightsaber yang sebenar!

Selain daripada lightsaber, teknologi laser yang paling menggerunkan sekali digunakan pada planet Death Star itu sendiri. Cari pasal sahaja dengan The Empire? Death Star akan meletupkan bukan sahaja kita, malahan keseluruhan planet! Tahun lepas, sebuah universiti di Australia telah berjaya membangunkan teknik menggandakan kuasa laser dengan menumpukan pelbagai sumber laser menggunakan berlian pada satu titik tumpuan yang sama (Sumber: Geek, 2017). Hasil kajian universiti tersebut bakal digunakan untuk tujuan pintasan drone ataupun peluru. Buat masa ini, universiti tersebut belum terdetik lagi untuk menggunakan teknologi laser tersebut untuk meletupkan planet!

Namun, terdapat beberapa idea dan teknologi yang diketengahkan oleh Star Wars sudah mula mendapat tempat di kalangan pengguna pada hari ini.

Salah satu detik bersejarah di dalam filem itu ialah adegan di mana Luke Sykwalker telah hilang tangan apabila tewas di tangan Darth Vader, ayah beliau sendiri (The Empire Strikes Back, 1980). Justeru itu, anggota tangan palsu digunakan untuk menggantikan tangan beliau. Pada 2014, prototaip tangan palsu, diberi nama DEKA Arm System, juga digelar sebagai ‘The Luke’ (sempena peristiwa Luke hilang tangan) telah diluluskan oleh FDA setelah melalui tempoh pengujian selama lapan tahun (Sumber: IEEE Spectrum, 2014). Kemajuan dalam pencetakan 3D juga membantu memudahkan penghasilan anggota badan palsu.

Idea pemancaran visual hologram 3D bermula di dalam adegan di mana R2D2 memancarkan video hologram kepada Obi Wan Kenobi, di mana Princess Leia di dalam video hologram tersebut menyampaikan bantuan kecemasan dengan baris ayat boleh diingati oleh peminat ‘Obi Wan, awak sahaja harapan saya’, lantas menjadi tajuk utama kepada filem pertama francais ini (A New Hope, 1977). Pada waktu itu, teknologi perfileman hanya terhad kepada dua dimensi (2D) sahaja.

Pada 2011, penyelidik daripada MIT telah berjaya membangunkan teknologi hologram ini dengan memanipulasi ruang menggunakan modulasi cahaya. Microsoft Research (2014) juga berjaya membangunkan konsep hologram. Di dalam demonstrasi, penyelidik Microsoft menggunakan contoh aplikasi paparan pada peta dunia 3D dan juga animasi video adegan Princess Leia meminta bantuan Obi Wan. Microsoft (2016) juga memperkenalkan produk HoloLens yang membenarkan pengguna menikmati teknologi hologram dalam bentuk kaca mata. Ini diikuti oleh anak syarikat HP Labs, yang ironinya diberi nama Leia dengan pembangunan hologram menggunakan konsep manipulasi ruang yang berbeza, dikenali sebagai pembelauan jeriji pada setiap pixel untuk menghala cahaya latar kepada pelbagai arah. Jeriji ini dibentuk daripada alur punaran pada permukaan gelas nipis. Apabila diletakkan pada paparan LCD, jeriji ini akan membelau kepada 64 arah sinaran imej yang berbeza, lantas membentuk imej hologram.

R2D2, C3PO dan terkini, BB8 merupakan antara robot-robot pintar yang menjadi watak sampingan yang penting juga di dalam francais Star Wars. Pada hari ini, tidak perlu dihuraikan sejauh mana kemajuan dan perkembangan teknologi robot yang sudah ada pada hari ini. Contoh mudah, lihat sahaja bagaimana robot sudah mula membuat kerja vakum habuk dan kotoran lantai di rumah. Selain daripada itu,‘mini’ BB8 sendiri sudah berlambak di pasaran dalam bentuk radio kawalan. Terkini, pengeluar permainan radio Jepun, Nikko telah membangunkan robot yang boleh memberi maklum balas daripada arahan suara pengguna. Dengan kemajuan dalam pembangunan kepintaran buatan pada zaman ini, tidak mustahil kita akan mempunyai BB8 yang akan sentiasa mengekori dan menunggu arahan daripada kita pada masa akan datang.

Oleh kerana galaksi ini begitu luas dan banyak planet perlu dijajah, The Empire tahu begitu sukar untuk bersepakat dan menubuhkan gabungan tentera antara manusia dengan pelbagai makhluk asing dalam masa singkat. Seperti manusia, makhluk asing di dalam cerita Star Wars juga mempunyai perangai dan ego masing-masing – dan ini akan memeningkan pengurusan tertinggi The Empire, seperti Palpatine dan tidak memudahkan impian The Empire untuk menakluk galaksi.

Sebagai penyelesaian, The Empire menghasilkan kilang pengklonan untuk melahirkan berjuta-juta askar Imperial. Malahan, ada sumber ‘rasmi’ menganggarkan sekitar 5 juta askar Imperial ditugaskan pada setiap planet! Salah satu adegan ialah apabila beberapa gerombolan askar Imperial berkawad di dalam suatu perjumpaan, diiringi dengan muzik latar belakang, iaitu ‘Imperial March’, yang sehingga hari ini cukup memberi kesan.

Pada tahun 1996, dunia digegarkan oleh kelahiran biri-biri, diberi nama Dolly yang dilahirkan melalui proses pengklonan pertama menggunakan proses pindahan nuklear sel somatik. Dolly merupakan hasil daripada penyelidikan di University of Edinburgh, Scotland. Kelahiran Dolly ternyata mencetuskan kontroversi, bukan sahaja dikalangan penyelidik, malahan di kalangan ahli politik dan juga tokoh agama. Pada ketika itu, parlimen berdebat samada patut atau tidak penyelidikan pengklonan diharamkan manakala agamawan mula mempersoalkan adakah kita manusia ini melampaui daripada cipta kuasa tuhan, sehingga mampu menyediakan kaedah untuk memberi nyawa di dalam makmal?

Teknik pengklonan yang diperkenalkan oleh Star Wars lebih kejam lagi, oleh kerana saintis yang bekerja di makmal The Empire mempunyai kebolehan untuk memanipulasi DNA, seperi ubahsuai keupayaan belajar dan menghadkan kesedaran diri mereka supaya lebih patuh dan setia kepada Imperial. Terkini juga, penyelidik daripada Hospital Kanak-Kanak Philadelphia sudah berjaya menghasilkan janin palsu, yang mampu mengandungkan seekor bayi biri-biri.

Salah satu adegan yang menunjukkan Anakin Skywalker mempunyai bakat Jedi terselah ialah apabila dia berjaya memenangi perlumbaan pod (pod race) di dalam filem ‘Star Wars: The Phantom Menace’. Pod race merupakan idea pengangkutan terapung (levitation vehicles). Konsep pengangkutan terapung juga dapat dilihat di dalam filem-filem Star Wars yang lain. Salah satu contoh pengangkutan terapung pada masa kini ialah di dalam pengangkutan keretapi, berdasarkan konsep maglev (magnetic levitation). Dengan maglev, keretapi dapat bergerak oleh kerana tindak balas magnet yang mewujudkan kesan apungan dan tujahan. Syarikat dikenali sebagai Malloy Aeronautics (2015) telah mencipta hoverbike dengan menggunakan konsep tujahan angin dan hoverbike ini seterusnya diaplikasikan untuk tujuan ketenteraan di Amerika Syarikat.

Tractor beam ialah teknik digunakan oleh The Empire untuk memerangkap kapal terbang tentera pihak bersatu. Tractor beam ialah suatu medan tenaga yang mampu menangkap, mengurung dan mengerakkan sesuatu objek dengan kuasa. Ujikaji oleh University of Bristol (Sumber: BBC, 2015) mendapati bahawa bunyi boleh dimanipulasikan untuk menghasilkan tractor beam. Ini dengan menentukan jujukan gelombang suara jitu melalui sebuah pembesar suara yang akan membentuk ruang terhad pada tekanan rendah yang akan melawan graviti, lantas mengapungkan objek.

Walaupun pengakhiran filem ‘Star Wars: The Last Jedi’ masih hangat menjadi perbualan dan debat dikalangan peminat, yang pastinya, masih banyak idea teknologi daripada filem ini sudah mula mendapat tempat di kalangan pengguna. Dan kepada pengikut Star Wars, semoga The Force senantiasa bersama anda.

Nota: Penghargaan kepada Saiful Remy Mokhtar atas semakan fakta dan sejarah filem-filem Star Wars. Hasil kerja seni beliau boleh diikuti melalui FB Page: Eisuverse.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge