Oleh: Nurudin Abdul Settar
Pengenalan
Pada tahun 1861, dikatakan Nicolaus August Otto adalah orang pertama yang mencipta enjin petrol 4 lejang seperti yang boleh dilihat di rajah 1. Manakala Rudolf Diesel pula dikatakan sebagai orang yang bertanggungjawab menghasilkan enjin diesel yang berfungsi pada 1892. Enjin petrol dua lejang yang praktikal di katakan dicipta sekitar tahun 1908 oleh Alfred Angas Scott. Begitu juga dengan Hugo Güldner yang menghasilkan enjin diesel 2 lejang yang pertama pada tahun 1899. Penghasilan enjin-enjin ini telah memacu industri dunia pada ketika itu.
Enjin Dua Lejang
Syarikat ternama seperti Saab, Subaru dan Suzuki antara yang banyak menghasilkan kenderaan berasaskan enjin dua lejang yang sangat popular satu ketika dahulu. Namun sekarang penggunaan enjin dua lejang semakin dipinggirkan. Masalah besar pada enjin dua lejang adalah kadar pencemaran yang lebih tinggi berbanding dengan enjin empat lejang. Meskipun enjin dua lejang mempunyai nisbah kuasa per berat yang lebih tinggi berbanding dengan enjin empat lejang, kelebihan ini tenggelam dengan kelemahannya. Bahkan beberapa syarikat ternama seperti Honda dan Suzuki yang terkenal banyak menghasilkan motosikal dua lejang kini telah mengurangkan penghasilan motosikal berasaskan enjin dua lejang secara drastik di dalam produksi mereka.
Sebenarnya pelbagai penyelidikan telah dijalankan di dalam dan luar negara untuk menghasilkan enjin dua lejang yang lebih baik, lebih efisien dan kurang penghasilan emisi, namun hasil-hasil penyelidikan tersebut belum meyakinkan syarikat pengeluar automobil dunia untuk mengadaptasi penyelidikan tersebut dalam model-model enjin mereka. Oleh sebab itu enjin dua lejang semakin jarang digunakan pada industri-industri besar, namun masih boleh dilihat pada mesin pemotong rumput, mesin peniup daun dan mesin-mesin kecil seumpamanya.
Teknologi piston bertingkat (stepped piston) pada rajah 2 sebagai contoh terbukti dapat mengurangkan emisi pada sesebuah injin. Namun kajian ini kekal kajian dan tiada syarikat yang berani mengaplikasikan kajian ini secara besar-besaran kepada produksi injin dua lejang keluaran mereka.
Standard Emisi EURO
Standard Emisi EURO (European emission standards) telah diperkenalkan oleh kesatuan Euro pada 1992 dalam rangka untuk mengawal pelepasan emisi oleh kenderaan yang merangkumi karbon monoksida (Carbon Monoxide,CO), nitrogen oksida (Nitrogen Oxides, NOx) Hidrokarbon (Hydrocarbons, HC) dan jirim zarahan (Particulate matter, PM). Standard ini berkembang dan ditambah baik dari masa ke semasa. Euro 5 sebagai contoh yang diperkenalkan pada tahun 2009 telah diganti dengan standard yang lebih ketat, iaitu Euro 6 yang diperkenalkan pada tahun 2014.
Jadual di bawah menunjukkan perbezaan Standard Euro 5 dan 6 bagi kenderaan berasaskan enjin diesel dan petrol. Pada Euro 5 telah diperkenalkan dia parameter baharu iaitu campuran organik teruap (volatile organic compound, VOC) dan nombor partikel (particle number, PN). Dapat dilihat syarat pada enjin diesel lebih ketat berbanding dengan enjin petrol. Euro 7 di jadualkan untuk di bentangkan pada tahun 2022 namun di tangguhkan dan dijangka dibentangkan pada tahun 2025. Euro 7 dijangka akan dikuatkuasakan dengan kriteria-kriteria yang lebih ketat dari Euro 6.
Perlu di ketahui juga bahawa masih terdapat beberapa standard lain seperti Bharat Stage Emission Standards (BSES) dari India dan United States Vehicle Emission Standards dari Amerika Syarikat, namun populariti EURO mengatasi standard-standard yang lain berkemungkinan kerana banyak syarikat pengeluar kenderaan dunia datang dari benua Eropah.
Zon Emisi Rendah
Dengan tujuan untuk mengurangkan emisi disebabkan oleh kenderaan, polisi Zon emisi rendah (Low-emission zone) diperkenalkan oleh beberapa negara. Kota London sebagai contoh telah menguatkuasakan polisi ULEZ (Ultra Low Emission Zone) atau Zon emisi ultra rendah pada tahun 2019 di mana kenderaan motosikal perlu berada di tahap Euro 3, manakala kereta berasaskan petrol di tahap Euro 4 dan kereta berasaskan diesel di tahap Euro 6.
Polisi-polisi ini dilihat akan menyebabkan kenderaan-kenderaan yang telah berusia dan lama yang secara umumnya tidak mematuhi standard Euro tersebut tidak dapat digunakan di kawasan-kawasan awam. Bahkan syarikat pengeluar automobil perlu menghasilkan kenderaan yang lebih baik dan lebih cekap agar penghasilan emisi tidak melepasi tahap yang ditetapkan tersebut.
Pengharaman Kenderaan Berasaskan Diesel
Beberapa tempat pula telah mengenakan undang-undang ketat bagi kenderaan berasaskan diesel. Di Jerman, bandar seperti Hamburg, Stuttgart dan Berlin mewajibkan kenderaan diesel melepasi syarat Euro 6. Manakala bandar Darmstadt mewajibkan kenderaan diesel melepasi syarat Euro 5. Bandar-bandar utama dunia seperti Paris, Mexico City, Madrid dan Athens pula merancang untuk mengharamkan kenderaan berasaskan diesel secara penuh bermula tahun 2025.
Pengharaman Kenderaan Berasaskan Bahan Api Fosil
Pada bulan Oktober tahun 2022 yang lepas, Kesatuan Eropah (EU) telah memuktamadkan untuk mengharamkan penjualan kenderaan dengan enjin dengan pembakaran dalam yang menggunakan bahan api fosil menjelang 2035. Bahkan pada 2030, kenderaan berasaskan enjin pembakaran dalam perlu melepasi kadar emisi CO2 yang lebih ketat iaitu 55% lebih rendah berbanding dengan 2021. Pada tahun 2021, kadar emisi CO2 hanyalah 37.5%.[5]
Meskipun sebahagian syarikat pengeluar kenderaan seperti Ford, Volvo dan Stellantis masih memujuk EU untuk melonggarkan keputusan tersebut, namun belum ada kepastian mengenai hal tersebut. [6], [7] Syarikat seperti Volkswagen pula sedang mengatur langkah untuk menghentikan penghasilan kenderaan berasaskan enjin pembakaran dalam dan menukar kepada enjin berasaskan elektrik.[8]
Syarikat BMW juga telah menyatakan kesediaan mereka mengenai pengharaman kenderaan berasaskan enjin pembakaran dalam sejak tahun 2021 lagi.[9]–[11] Meskipun demikian tiada strategik yang dinyatakan oleh pihak BMW mengenai hal ini.[12]
Enjin Elektrik
Kehadiran kereta berasaskan enjin elektrik untuk memacu kenderaan semakin popular. Penjualan kereta elektrik pada tahun 2012 hanyalah sebanyak 130,000 buah sahaja. Namun pada tahun 2019, jumlah tersebut naik ke 2.2 juta buah di mana ianya mewakili 2.5% jumlah penjualan kereta secara global. Pada tahun 2022, bilangan kereta elektrik yang dijual naik sebanyak 200% berbanding dengan tahun 2019, yang mana ianya mewakili 9% jumlah penjualan kereta secara global pada tahun tersebut. [13]
Kadar penjualan kereta elektrik dijangka akan meningkat dengan lebih drastik memandangkan berbagai kaedah telah diwujudkan bagi mengurangkan penjualan kenderaan berasaskan bahan api fosil.
Kesimpulan
Malaysia telah mengatakan kesediaan untuk menggunakan 100% kereta rasmi kerajaan dari jenis bukan berasaskan enjin pembakaran dalaman pada tahun 2030. Persetujuan ini telah dinyatakan dengan jelas di United Nations Climate Change Conference pada tahun 2021 kali ke 26 atau lebih dikenali dengan COP26 yang di buat di Glasgow, Scotland.[14]
Namun timbul satu persoalan, adakah kereta yang akan digunakan ketika itu adalah kereta keluaran tempatan dari Proton atau Perodua atau dari projek kereta nasional ketiga? Proton sebagai contoh telah menyatakan rancangan mereka untuk mengeluarkan kereta elektrik pertama pada tahun 2025.[15] Perodua pula mengambil langkah yang lebih tersusun dengan menghasilkan kereta hibrid dahulu sebelum ke arah kereta elektrik. Mereka telah menghasilkan sebanyak 300 kereta Ativa hibrid untuk percubaan.
Jika kenderaan rasmi kerajaan ini digunakan dari kenderaan tempatan, ianya merupakan satu perkara yang baik kerana akan meningkatkan daya saing syarikat tersebut sendiri. Namun sekiranya kenderaan rasmi tersebut di ambil dari kenderaan keluaran luar negara, ini bukanlah satu langkah yang baik untuk industri kenderaan di Malaysia.
Perlu diketahui juga bahawa berbagai langkah telah diwujudkan oleh badan-badan dunia dalam bentuk mengawal emisi dari kenderaan, namun langkah drastik kesatuan Eropah untuk menamatkan penggunaan kenderaan berasaskan bahan api fosil pada 2035 wajar dipandang serius oleh negara. Meskipun Malaysia tidak terlibat dengan keputusan tersebut, namun tidaklah mustahil negara-negara lain turut menyokong dan bergerak ke arah yang sama yang secara tidak langsung akan menjejaskan industri automotif negara jika kita tidak bergerak seiring dengan perkembangan semasa dunia.
Jadi persoalan apakah masa depan kepada enjin pembakaran dalam? Jika tidak difikirkan dalam skop dunia, mungkin kita perlu fikirkan permasalahan ini di peringkat negara kita. Adalah wajar untuk para pembuat polisi negara, badan-badan profesional, para penyelidik, pemain industri, para saintis, para jurutera dan para teknologis bersama-sama untuk mengorak langkah untuk mempertingkatkan polisi-polisi ataupun menyemarakkan bidang penyelidikan berkaitan dengan automotif khususnya dalam bidang enjin pembakaran dalam dan masa depannya. Kajian seperti bahan bakar bukan fosil (non-fossil fuel), enjin sifar emisi (zero emission engine) , kenderaan elektrik bateri (battery electric vehicles, BEV), kenderaan elektrik sel bahan bakar (fuel cell electric vehicles,FCEV) dan sebagainya agar kita tidak terkebelakang dengan peredaran arus teknologi semasa.
Rujukan:
[1] “Nicolaus Otto – Wikipedia.” https://en.wikipedia.org/wiki/Nicolaus_Otto (accessed Mar. 24, 2023).
[2] P. R. Hooper, “Investigation into a stepped-piston engine solution for automotive range-extender vehicles and hybrid electric vehicles to meet future green transportation objectives,” Proc. Inst. Mech. Eng. Part D J. Automob. Eng., vol. 232, no. 3, pp. 305–317, Feb. 2018, doi: 10.1177/0954407017698304.
[3] “Regulation (EC) No 715/2007 of The European Parliament and of The Council of 20 June 2007 on type approval of motor vehicles with respect to emissions from light passenger and commercial vehicles (Euro 5 and Euro 6) and on access to vehicle repair and mai,” 2007, Accessed: Mar. 24, 2023. [Online]. Available: https://eur-lex.europa.eu/legal-content/EN/TXT/PDF/?uri=CELEX:32007R0715&from=EN
[4] “Commission Regulation (EU) No 459/2012 of 29 May 2012 amending Regulation (EC) No 715/2007 of the European Parliament and of the Council and Commission Regulation (EC) No 692/2008 as regards emissions from light passenger and commercial vehicles (Euro 6)T”, Accessed: Mar. 24, 2023. [Online]. Available: https://eur-lex.europa.eu/legal-content/EN/TXT/PDF/?uri=CELEX:32012R0459&from=EN
[5] “EU reaches deal for ban on new combustion-engine cars from 2035 | Automotive News Europe.” https://europe.autonews.com/environmentemissions/eu-reaches-deal-ban-new-combustion-engine-cars-2035 (accessed Nov. 27, 2022).
[6] “Ford and Volvo Cars appeal to EU to end sales of combustion engines by 2035.” https://www.transportenvironment.org/discover/ford-volvo-cars-and-broad-industry-coalition-appeals-to-eu-to-ensure-all-new-cars-and-vans-are-zero-emissions-from-2035-and-to-establish-mandatory-charging-infrastructure-targets/ (accessed Nov. 27, 2022).
[7] “Stellantis CEO calls for talks to soften EU’s 2035 fossil-fuel car ban | Reuters.” https://www.reuters.com/business/autos-transportation/stellantis-ceo-calls-talks-soften-eus-2035-fossil-fuel-car-ban-2022-10-17/ (accessed Nov. 27, 2022).
[8] “VW to end sales of combustion engines in Europe by 2035 | Reuters.” https://www.reuters.com/business/sustainable-business/vw-end-sales-combustion-engines-europe-by-2035-2021-06-26/ (accessed Nov. 27, 2022).
[9] Erik Shilling, “BMW Said It Will Stop Making Internal Combustion Engines In Munich By 2024,” JALOPNIK, Oct. 22, 2021. https://jalopnik.com/bmw-said-it-will-stop-making-internal-combustion-engine-1847919718 (accessed Nov. 27, 2022).
[10] “BMW ready for any ban on fossil fuel-burning cars from 2030, CEO says | Reuters.” https://www.reuters.com/business/sustainable-business/bmw-ready-any-ban-fossil-fuel-burning-cars-2030-ceo-says-2021-10-14/ (accessed Nov. 27, 2022).
[11] “BMW to Phase Out Fossil-Fuel Burning Engines From Main Plant by 2024.” https://money.usnews.com/investing/news/articles/2021-10-22/bmw-starts-producing-new-electric-model-commits-to-emissions-free-transport-at-main-plant (accessed Nov. 27, 2022).
[12] “BMW still hammering out details of promised fossil-fuel free plant | Reuters.” https://www.reuters.com/business/sustainable-business/bmw-still-hammering-out-details-promised-fossil-fuel-free-plant-2022-06-01/ (accessed Nov. 27, 2022).
[13] T. G. Leonardo Paoli, “Electric cars fend off supply challenges to more than double global sales – Analysis – IEA,” Jan. 30, 2022. https://www.iea.org/commentaries/electric-cars-fend-off-supply-challenges-to-more-than-double-global-sales (accessed Nov. 27, 2022).
[14] T. I. T. Man, “Kenyataan Negara-Segmen Peringkat Tinggi Persidangan UNFCCC COP-26/CMP-16/CMA-3.” https://unfccc.int/sites/default/files/resource/MALAYSIA_cop26cmp16cma3_HLS_MY.pdf (accessed Nov. 27, 2022).
[15] M. Z. Zainuddin, “PROTON keluarkan kereta elektrik pertama buatan Malaysia pada 2025,” BH Online, Apr. 12, 2023. [Online]. Available: https://www.bharian.com.my/bisnes/auto/2023/04/1089134/proton-keluarkan-kereta-elektrik-pertama-buatan-malaysia-pada-2025