Oleh : Dr Haslina Rani & Prof Madya Dr Tuti Ningseh Mohd Dom
Fakulti Pergigian, Universiti Kebangsaan Malaysia
Masalah bau nafas adalah satu masalah yang unik kerana kebanyakan mereka yang mengalami masalah ini sebenarnya tidak menyedari yang mereka mempunyai masalah tersebut. Perkara ini dikaitkan dengan kebolehan adaptasi bau seseorang yang mana hidung manusia akan dapat membiasakan dengan keadaan bau busuk apabila terdedah kepada bau itu selepas beberapa ketika. Mereka yang mempunyai masalah bau nafas sentiasa terdedah kepada bau nafas sendiri menyebabkan deria bau menjadi kurang cekap dalam menghidu bau tersebut. Oleh itu sukar sebenarnya untuk kita mengetahui adakah nafas kita benar-benar berbau melainkan dimaklumkan oleh orang lain. Persoalannya, adakah benar masalah bau nafas menjadi lebih serius ketika pandemik?
Sudah lebih setahun pandemik COVID-19 melanda dunia dan negara. Perintah kawalan pergerakan dan langkah-langkah pencegahan seperti menjaga jarak, serta pemakaian pelitup muka juga telah diambil bagi memastikan penyebaran penyakit ini dapat dikawal. Pergerakan sosial juga telah berkurang dengan ketara dan kebanyakan urusan harus dilakukan secara dalam talian. Walaubagaimanapun, melihat kepada corak peningkatan kes COVID-19 di Malaysia, perjuangan kita menentang pandemik ini masih jauh. Merujuk program imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang mana sehingga tarikh artikel ini ditulis (21 Jun 2021), hanya 12% sahaja daripada populasi yang telah menerima dos vaksinasi lengkap. Memetik kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang dilaporkan oleh Berita Harian pada 19 Jun 2021 pula, Malaysia dijangka dapat mencapai imuniti kelompok pada hujung tahun ini. Ini bermakna masih lama lagi kita perlu terus berjuang dengan melaksanakan langkah-langkah pencegahan di atas dan lebih lama lagi kita mungkin terkurung di rumah, tidak dapat bersemuka secara langsung dengan individu lain.
Walaubagaimanapun, dalam kesungguhan mencegah jangkitan COVID-19, ada antara kita yang terleka untuk memelihara aspek kesihatan yang lain terutamanya kesihatan mulut. Situasi pandemik yang membataskan pergerakan dan komunikasi serta merubah rutin seharian telah membuatkan sesetengah dari kita lupa untuk membersihkan mulut dengan baik. Pemakaian pelitup muka apabila keluar pula menambah sikap tak apa, tiada yang tahu kerana tak nampak, atau tidak boleh dihidu.
Mulut apabila tidak dibersihkan akan menyebabkan pengumpulan plak pada permukaan gigi termasuk gigi palsu. Plak adalah lapisan bakteria yang melekit dan biasanya berwarna kuning cerah atau jernih, tidak berwarna. Plak boleh dibersihkan dengan mudah apabila kita memberus gigi ataupun menggunakan flos untuk membersihkan permukaan antara celah gigi. Sekiranya kita alpa terutama apabila hanya duduk di rumah berhari-hari dengan tiada interaksi bersemuka dengan orang lain, plak yang tidak dibersihkan itu akan mengeras membentuk karang gigi atau nama saintifiknya kalkulus. Apabila plak bertukar menjadi karang gigi, ia hanya boleh dibersihkan oleh doktor gigi di klinik gigi menggunakan peralatan khas. Bahayanya plak dan karang gigi ialah ia mengandungi bakteria yang boleh menyebabkan gigi berlubang serta mengakibatkan keradangan pada gusi. Gigi berlubang bukan sahaja menyakitkan, tetapi ia boleh memerangkap sisa makanan yang akan reput dan menjadikan nafas kita berbau. Begitu juga masalah keradangan gusi. Sekiranya dibiarkan, gusi akan menjadi bengkak dan bernanah. Ini kadangkala tidak menyakitkan tetapi baunya memang amat mengganggu. Dan jika terus menerus dibiarkan, gigi pula menjadi goyang dan akhirnya perlu dicabut.
Selain dari plak yang merosakkan gigi dan gusi, selaput lidah juga adalah antara punca utama nafas berbau. Selaput lidah atau dalam Bahasa Inggeris, tongue coating ini biasa dilihat di permukaan atas lidah yang mempunyai struktur papila pelbagai bentuk dalam jumlah yang begitu banyak ibarat bulu-bulu di permukaan permaidani. Struktur unik ini memudahkan pembentukan selaput lidah yang mengandungi bakteria, punca kepada masalah bau nafas.
Di dalam situasi sekarang yang mana agak sukar untuk mendapatkan temujanji di klinik pergigian, kita perlu lebih teliti dalam menjaga kesihatan mulut. Berikut adalah tip penjagaan kebersihan mulut untuk nafas yang lebih segar serta gigi dan gusi yang lebih sihat walaupun di musim perintah kawalan pergerakan. Mula-mula, bersihkan lidah untuk mengurangkan selaput lidah. Bersihkan permukaan lidah dengan menggunakan berus gigi, dan berus secara sehala dari bahagian belakang menghala ke hadapan beberapa kali. Kemudian, berkumur untuk mengeluarkan selaput lidah yang diberus itu. Ubat gigi tidak diperlukan untuk membersihkan lidah.
Untuk gigi dan gusi pula, gunakan berus gigi dengan bulu yang lembut. Elakkan penggunaan berus gigi yang berbulu keras kerana ia boleh merosakkan gusi. Jangan lupa ubat gigi berfluorida kerana fluorida penting untuk menguatkan permukaan gigi dan mencegah dari kerosakan. Amalkan memberus gigi di hadapan cermin sambil memeriksa keadaan gigi dan gusi ketika memberus. Selain dari dapat melihat di mana kawasan yang perlu dibersihkan, amalan ini juga dapat membantu mengenal pasti sekiranya ada perubahan pada gigi dan gusi serta lain-lain struktur dalam mulut. Sekiranya ada perkara yang membimbangkan, segera dapatkan nasihat doktor gigi yang berdekatan. Berus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari, dua minit setiap kali. Elakkan makan atau minum selepas memberus gigi pada waktu malam sebelum tidur. Semasa tidur, aliran air liur yang biasanya membantu melindungi mulut terutamanya gigi dari kerosakan akan berkurang, menjadikan bakteria lebih aktif. Untuk membersih antara celah gigi pula, gunakan flos sekiranya ruang antara gigi adalah sempit. Sekiranya ada jarak atau ruang antara celah gigi, berus gigi interdental lebih sesuai digunakan. Berus gigi interdental adalah berus gigi kecil pelbagai saiz yang boleh didapati di kebanyakan pasaraya atau farmasi. Pastikan saiz yang digunakan sesuai dengan ruang antara gigi anda kerana saiz yang terlalu besar boleh mengakibatkan kecederaan pada gusi.
Kesimpulannya, masalah bau nafas boleh menjadi lebih teruk semasa pandemik COVID-19. Ini kerana lebih ramai yang alpa dalam menjaga kebersihan mulut berikutan kurangnya interaksi sosial secara bersemuka. Walaupun kajian saintifik telah menunjukkan punca bau nafas ada pelbagai, kebanyakan punca utama masalah bau nafas adalah dari dalam rongga mulut terutama dari selaput lidah, penyakit gusi serta gigi berlubang. Kebersihan mulut yang tidak dijaga akan mengakibatkan pelbagai masalah seperti gigi berlubang, penyakit gusi serta selaput lidah yang tebal; punca utama kepada masalah nafas berbau. Kesukaran mendapatkan rawatan pergigian pula menyulitkan lagi keadaan. Amalan penjagaan kebersihan mulut yang baik perlu diamalkan setiap masa kerana ia bukan hanya untuk menjamin kesihatan mulut tetapi dapat memberikan nafas yang segar sentiasa.
Info Penulis
Dr Haslina Rani
Pensyarah dan Pakar Kesihatan Awam Pergigian, Fakulti Pergigian, Universiti Kebangsaan Malaysia, merangkap Setiausaha, Persatuan Pakar Kesihatan Awam Pergigian Malaysia 2020-2022
Prof Madya Dr Tuti Ningseh Mohd Dom
Pensyarah dan Pakar Kesihatan Awam Pergigian, Fakulti Pergigian, Universiti Kebangsaan Malaysia, merangkap Presiden, Persatuan Pakar Kesihatan Awam Pergigian Malaysia 2020-2022
Kredit Foto : medicinenet