Oleh : Prof. Madya Dr. Firdaus Raih
Institut Biologi Sistem, Universiti Kebangsaan Malaysia
United Kingdom dan Bahrain telah meluluskan penggunaan vaksin COVID-19 yang dibangunkan bersama oleh syarikat gergasi farmaseutikal Amerika Syarikat, Pfizer dan syarikat bioteknologi Jerman, BioNTech. Malaysia juga telah bersetuju untuk membeli vaksin Pfizer-BioNTech ini. Vaksin ini merupakan salah satu daripada empat calon vaksin yang dijangka akan diluluskan untuk penggunaan umum seawal beberapa minggu sahaja lagi dan selewatnya, pada awal tahun hadapan.
Vaksin merupakan bahan yang dapat mengaruhkan keimunan dalam badan melalui penghasilan antibodi. Kandungan vaksin boleh terdiri serpihan kuman, tetapi ia juga boleh terdiri daripada kuman yang telah dilemahkan atau yang telah dimatikan. Kuman atau serpihan kuman ini dinamakan antigen.
Sistem pertahanan (keimunan) badan dapat mengenalpasti antigen sebagai bendasing lalu menghasilkan antibodi yang juga memberi perlindungan semasa badan sekali lagi menghadapi jangkitan daripada kuman yang sama. Jelas sekali vaksin sedemikian ada risikonya tersendiri, salah satunya ialah keperluan untuk pengendalian dan penyimpanan mikroorganisma berbahaya untuk dijadikan vaksin.
Pembangunan vaksin biasanya mengambil beberapa tahun dan terdiri daripada beberapa peringkat yang dilaksanan mengikut aturan khusus. Julat masa yang diambil untuk membangunkan vaksin COVID-19 dikatakan yang terpantas dalam sejarah. Inilah yang sering dikatakan. Namun demikian, kenyataan tersebut tidaklah berapa tepat.
Vaksin Pfizer-BioNTech dan juga vaksin yang dibangunkan oleh syarikat bioteknologi Moderna menggunakan teknologi yang dinamakan vaksin mRNA. Pendekatan sebegini belum pernah digunakan dalam pembangunan mana-mana vaksin yang telah diluluskan. Walaupun demikian, ilmu di sebalik teknologi tersebut bukanlah sesuatu yang baharu.
Selama lebih lima dekad, ahli biologi molekul telah maklum bahawa protein dapat dihasilkan dengan menterjemahkan maklumat yang terkandung di dalam molekul DNA, iaitu bahan genetik atau baka. Sebelum proses penterjemahan DNA kepada protein dapat berlaku, terdapat bahan perantara yang dinamakan RNA pengutus (messenger RNA – mRNA) yang secara kimianya adalah mirip kepada DNA. Fungsi mRNA adalah untuk menyampaikan maklumat daripada DNA kepada kilang penghasilan protein di dalam sel yang dinamakan sebagai ribosom.
Vaksin mRNA adalah berbeza daripada vaksin lain yang sedia ada dari segi antigen yang digunakan. Kaedah ini menggunakan ilmu mengenai proses penterjemahan protein yang telah lama diketahui dan digunakan dalam makmal. Asasnya ialah, apabila saintis mengekodkan maklumat untuk menghasilkan protein virus ke dalam molekul mRNA, ini bermakna sel akan menhgasilkan protein virus apabila mRNA tersebut dipersembahkan kepada kilang penghasilan protein sel, sama juga seperti proses penghasilan protein yang sedia ada.
Protein virus yang terhasil sebegini tidak mencukupi untuk menghasilkan virus yang lengkap. Oleh yang demikian, protein virus yang terhasil tidak dapat menyebabkan penyakit. Walaupun begitu, ia masih mencukupi untuk dikenalpasti sebagai bendasing antigen yang berupaya mengaruhkan penghasilan antibodi. Jangkitan oleh virus seperti yang menyebabkan penyakit COVID-19 sememangnya bertindak dengan merampas kilang penghasilan protein sel bagi penghasilan protein-protein virus untuk digandakan menjadi lebih banyak virus bagi kitaran jangkitan yang selanjutnya.
Ini bermakna, prinsip penghasilan protein virus menggunakan maklumat yang terkandung di dalam vaksin mRNA adalah hampir sama seperti proses semula jadi jangkitan sel oleh virus. Yang menjadi perbezaan ialah ribosom hanya perlu menambah satu lagi protein, iaitu protein virus, untuk dihasilkan di samping ribuan protein lain yang sememangya juga akan hasilkan dan tidak berlaku rampasan sistem tersebut bagi tujuan penghasilan virus.
Pemahaman bahawa sel badan akan digunakan bagi menghasilkan protein virus mungkin menakutkan. Tetapi ia tidaklah berbeza jika diambil kira bahawa perkara yang sama juga berlaku semasa jangkitan sebenar virus. Adakah ini bermakna vaksin, khususnya vaksin mRNA adalah selamat sepenuhnya? Jawapannya adalah – TIDAK. Oleh yang demikian, vaksin diuji dengan menyeluruh dan mendalam bagi memastikan bahawa ia benar-benar selamat untuk digunakan umum. Walaupun setelah penggunaan sesuatu vaksin diluluskan, penggunaannya tetap akan dipantau bagi memastikan keselamatan penggunaannya adalah berterusan.
Untuk sesuatu vaksin dikira sebagai selamat: ia perlu memberi kesan perlindungan keimunan dan pada masa yang sama tidak memberi kesan mudarat atau kesan sampingan yang teruk. Ujian yang sangat meluas sebelum vaksin diluluskan penggunaannya adalah bertujuan untuk mengenalpasti had penggunaan vaksin tersebut agar ia dapat digunakan dengan selamat. Penggunaan vaksin ada risikonya. Jika hendak mengambil kira kewujudan risiko sebagai alasan tidak melakukan sesuatu, aktiviti memandu dan penerbangan juga ada risiko yang berkaitan, namun kita masih melakukan aktiviti tersebut sebagai kebiasaan.
Memahami had penggunaan vaksin dapat mengenalpasti individu yang mungkin tidak sesuai untuk menerima vaksin. Ini bermakna keimunan kelompok (herd immunity) diperlukan bagi melindungi individu sedemikian. Maka adalah penting untuk semua individu yang dapat menerima vaksin diberikan vaksin agar tercapai keimunan kelompok. Mungkin terdapat ahli keluarga kita sendiri yang mempunyai sistem keimunan yang lemah yang akan menerima faedah dari keimunan kelompok sedemikian.
Terdapat juga beberapa vaksin lain yang hampir diluluskan tetapi bukan merupakan vaksin mRNA; antaranya ialah vaksin yang dibangunkan bersama oleh University of Oxford dan syarikat Astra-Zeneca. Beberapa institusi dan syarikat telah berlumba untuk membangunkan vaksin COVID-19 menggunakan teknologi dan pendekatan yang berbeza. Kepelbagaian vaksin yang mungkin wujud dapat membantu mengatasi masalah keberkesanan dan logistik.
Mungkin kini lebih jelas kepada pembaca bahawa pembangunan vaksin COVID-19 tidaklah dibangunkan dalam masa hanya kurang setahun seperti dilaporkan. Yang sebenarnya, berdekad ilmu terkumpul dan pembangunan teknologi telah berlaku bagi membolehkan vaksin tersebut dibangunkan dengan begitu cepat. Berbilion nilai wang juga telah mendanakan penyelidikan asas yang menjadi pelantar bagi memacu kejayaan ini. Pada tahun ini sahaja, kerajaan Amerika Syarikat telah memberi dana kecemasan sebanyak USD18 bilion untuk penyelidikan bagi membangunkan vaksin COVID-19 di bawah program khas yang dinamakan Operation Warp Speed.
Ilmu hasil daripada penyelidikan yang memperhalusi dan memahami mekanisma kehidupan sehingga ke peringkat atom selama beberapa dekad lepas telah digunakan bagi menangani COVID-19. Keadaan sedemikian membolehkan para saintis berjaya menghasilkan kaedah diagnosis, kaedah rawatan dan juga kaedah kawalan penyakit dengan pantas.
Program pemvaksinan yang dijangka bermula tidak lama lagi akan memerlukan kita memahami sedikit sebanyak mengenai vaksin bagi membolehkan kita menjadi pengguna yang berpengetahuan. Ilmu sedemikian adalah penting agar kita dapat membezakan apa yang mitos dan apakah yang bukan merupakan kebenaran dari segi sains.
Salah satu faktor penentu penting bagi memastikan kejayaan dalam menentang COVID-19 adalah kewujudan masyarakat yang celik sains. Ini akan menjadi medan yang penting dalam peperangan menentang COVID-19. Walaupun dengan adanya vaksin memberi bayangan bahawa kemenangan hampir dikecapi, namun virus penyebab COVID-19 tidak akan menyerah dan perlu dibendung sepenuhnya.
Untuk kemenangan menjadi pasti, kecelikan sains akan menjadi senjata yang penting. Kita haruslah memahami musuh – virus dan penyakit yang disebabnya. Kita juga harus memahami peralatan yang kita gunakan sebagai senjata – kaedah pengesanan (ujian), kaedah rawatan, SOPs yang digunakan dan juga vaksin. Memahami sains akan membolehkan kita mengambil tindakan yang betul dan mencapai kemenangan.
*Penulis adalah penyelidik bioinformatik di Jabatan Fizik Gunaan, Fakulti Sains dan Teknologi dan Institut Biologi Sistem, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga Presiden Persatuan Bioinformatik dan Pengkomputeran Biologi Malaysia.
Kredit Foto : theedgemarket