Temubual di antara wakil Majalah Sains dengan pengerusi baharu YSN-ASM, Dr. Chai Lay Ching. Selain daripada Pengerusi YSN-ASM, Dr. Chai juga merupakan pemenang Anugerah L’Oréal-UNESCO For Women In Science pada tahun 2018. Beliau kini bertugas di Institut Sains Biologi, Universiti Malaya.
1. Apakah tumpuan penyelidikan Dr. Chai sekarang dan bagaimana penyelidikan ini dapat dimanfaatkan oleh masyarakat atau industri?
Penyelidikan saya bertumpu kepada peningkatan keselamatan makanan terutamanya dari segi keselamatan makanan yang disebabkan oleh kuman (pathogen) melalui penambahbaikan teknik pengawasan keselamatan makanan dan pengurusan keselamatan makanan.
Salah satu projek penyelidikan saya ialah membangunkan kaedah pengesanan bakteria patogenik berasaskan sebatian organik meruap, dikenali sebagai Volatile Organic Compound (VOC) untuk mengesan bakteria Salmonella dan Campylobacter dalam daging ayam mentah. Beberapa kajian pengawasan telah menunjukkan bahawa sebanyak 9 daripada 10 ekor ayam mentah di pasaran Malaysia telah dicemari oleh Salmonella atau Campylobacter. Kedua-dua bakteria ini adalah punca utama penyakit bawaan makanan di seluruh dunia yang telah mengakibatkan lebih 150,000 kematian setiap tahun. Kaedah ujian makmal lazim untuk mengesan bakteria-bakteria ini dalam ayam mentah mengambil masa lama dan tidak dapat digunakan untuk memenuhi keperluan pengeluaran makanan berskala besar pada masa kini. Oleh itu, pasukan penyelidikan saya sedang menumpukan kajian untuk membangunkan suatu kaedah masa nyata untuk mengesan Salmonella dan Campylobacter dalam ayam mentah berdasarkan pada pengesanan VOC yang dihasilkan oleh bakteria-bakteria tersebut.
Penyelidikan ini sangat penting untuk pembinaan biopenderia pada masa hadapan yang berasaskan VOC atau hidung elektrik (electric nose) yang boleh mengesan kehadiran bakteria patogenik dalam makanan dari bau yang dihasilkan oleh bakteria-bakteria tersebut. Biopenderia bakteria makanan yang ideal perlu memenuhi kriteria-kriteria seperti automatik, mudah digunakan, mengesan pencemaran dengan segera, tepat dan tidak merosakkan kualiti produk yang diuji. Penyelidikan ini juga boleh diesktrapolasi pada daging mentah lain bahkan juga kepada produk-produk makanan yang lain. Dengan terhasilnya biopenderia VOC, ianya bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa dan mengurangkan penyakit yang disebabkan oleh kehadiran bakteria-bakteria tersebut dalam makanan, malah akan mendatangkan faedah ekonomi yang jelas kepada negara.
2. Bolehkah Dr. Chai berkongsi pengalaman sebagai salah seorang pemenang Anugerah L’Oréal-UNESCO For Women In Science 2018? Kongsikan juga nasihat kepada saintis wanita muda yang berminat memohon anugerah tersebut pada masa akan datang.
Anugerah L’Oréal-UNESCO For Women In Science memberi pengalaman yang unik kepada saya. Saya telah memperoleh banyak manfaat daripada anugerah ini, bukan setakat dari segi dana penyelidikan yang berjumlah RM30,000 tetapi juga penambahbaikan kemahiran berkomunikasi sains dan peningkatan keterlihatan (visibility) serta keyakinan diri saya. Pihak L’Oréal telah menyediakan beberapa sesi bimbingan kepada para pemenang mengenai teknik penyampaian kajian saintifik yang berkesan kepada orang awam semasa majlis anugerah dan juga memberi pelbagai nasihat serta tunjuk ajar dalam membina imej dan meningkatkan keyakinan diri. Wawancara media dan majlis anugerah gilang-gemilang L’Oréal-UNESCO For Women In Science juga dihadiri oleh pihak media, individu berpengaruh dan selebriti telah membuka peluang kepada para pemenang untuk berkomunikasi dengan orang awam. Peluang ini telah meningkatkan keterlihatan penyelidikan saya kerana saya telah menerima panggilan dan emel dari pihak industri untuk bekerjasama selepas majlis anugerah tersebut.
Oleh itu, saya amat menggalakkan para saintis muda wanita untuk memohon Anugerah L’Oréal-UNESCO For Women In Science ini. Pemohon perlu mengemukakan kertas konsep berjumlah 2-halaman bagi suatu projek penyelidikan. Pada pandangan saya, selain dari nilai kebaharuan saintifik, cadangan projek penyelidikan tersebut haruslah mengetengahkan keperluan dan impak kepada masyarakat dan negara. Jangan sesekali membataskan cadangan penyelidikan kita disebabkan oleh bajet terhad yang hanya bernilai RM30,000. Hal ini kerana anugerah dana penyelidikan ini hanyalah sebagai permulaan dan bertindak sebagai sokongan untuk projek penyelidikan yang diusulkan.
3. Apa pandangan Dr. Chai terhadap kepentingan anugerah khusus bagi saintis wanita muda di Malaysia seperti L’Oreal-UNESCO?
Pada pendapat saya, L’Oréal-UNESCO For Women In Science menyediakan satu platform untuk meraikan saintis wanita yang menyerlah. Bagi kebanyakan saintis, platform seperti ini mampu menghubungkan saintis kepada orang ramai termasuk pihak industri. Buat masa ini, peluang sebegini adalah kurang di Malaysia. Anugerah L’Oréal-UNESCO For Women In Science juga ingin membuktikan kepada dunia bahawa wanita juga mampu menjadi saintis yang hebat. Platform seperti ini juga dapat mengubah persepsi orang ramai bahawa wanita tidak mempunyai tempat dalam sains kerana hampir semua pemenang hadiah nobel adalah saintis lelaki. Anugerah L’Oréal-UNESCO For Women In Science merupakan inisiatif terbaik untuk mempromosi penglibatan wanita dalam sains serta menjadi pemangkin dalam memartababkan status wanita dalam bidang sains.
4. Sebagai pengerusi baharu YSN-ASM, apakah visi ataupun perancangan Dr. Chai untuk memastikan YSN-ASM sebagai organisasi yang memberi impak kepada negara?
Sebagai pengerusi baharu YSN-ASM, saya berhasrat memacu YSN-ASM ke tahap lebih tinggi dengan memberi tumpuan kepada usaha meningkat dan memperluas program utama (flagship) yang bakal memberi impak kepada pemegang taruh (stakeholder), seperti komuniti, industri dan pembuat dasar. Saya percaya bahawa dengan bimbingan dan perkongsian strategik dengan ASM, industri dan pemegang taruh antarabangsa yang lain, YSN-ASM mampu muncul sebagai pemimpin saintis muda serantau, malah antarabangsa dalam memperjuang topik-topik penting yang tidak pernah diperbincang sebelum ini, contohnya, menjalankan penyelidikan secara bertanggungjawab. Usaha lebih bersepadu dan kerja berpasukan adalah kunci kejayaan. Untuk mencapai visi YSN-ASM, kami telah merancang pelan strategik tiga tahun (2019-2021) tertumpu kepada perkara-perkara berikut:
- Penyelidik: memperkasa penyelidik muda sebagai rakan strategik dan agen pengubah dalam menyokong agenda penyelidikan nasional.
- Ekosistem STI: memupuk integriti dan kecemerlangan saintifik dalam RDCI (Inovasi Pengembangan Pengkomersialan Penyelidikan) melalui rangkaian sokongan yang utuh.
- Masyarakat Progresif: membina masyarakat progresif yang menerap STI (Sains, Teknologi dan Inovasi) sebagai cara hidup.
- Glocalization: memperkuat jalinan tempatan dan antarabangsa untuk menangani isu-isu kebangsaan dan global.
5. Senaraikan cabaran utama yang perlu dilalui oleh saintis muda dalam memulakan kerjaya mereka?
Pada pendapat saya, para saintis muda berhadapan dengan tiga cabaran utama dalam kerjaya mereka. Pertama, banyak ahli saintis muda menghadapi masalah dalam mencari keseimbangan hidup bekerjaya. Keseimbangan antara kerjaya dan keluarga adalah cabaran sangat besar di kalangan saintis muda kerana kebanyakkannya berada pada fasa awal kerjaya dan pada masa yang sama mempunyai tanggungjawab kepada keluarga terutamanya saintis yang mempunyai anak-anak kecil. Kerjaya dalam sains memberi impak kepada keluarga, terutamanya bagi wanita yang perlu meluangkan banyak masa dalam mengurus hal rumahtangga. Kedua, saintis muda melalui kesukaran untuk memulakan dan membina kerjaya akademik pada fasa permulaan disebabkan kurang sokongan institusi, termasuk kekurangan dana penyelidikan, kekurangan kemudahan asas penyelidikan seperti makmal dan kelemahan sistem bimbingan mentor-mentee. Yang terakhir, kebanyakan saintis muda menghadapi dilema dalam membuat pilihan tepat berkaitan etika profesional seperti memilih untuk sama ada berjaya dengan laluan pantas seumpamanya ‘mengikut rentak permainan’ semasa ataupun melakukan perkarayang betul dengan menegakkan nilai-nilai profesional yang sebenar.
Pada pendapat saya, kemajuan dalam kerjaya akademik pada masa kini terlalu memberi tumpuan kepada Key Performance Indicator (KPI), H-indeks dan bilangan kertas penerbitan yang secara perlahan mengabaikan tujuan utama sains itu sendiri, iaitu memahami dunia semulajadi dan mengaplikasikan pengetahuan sains untuk penambahbaikan kehidupan seharian. Saya sendiri telah mengalami kejutan budaya pada tahun pertama dan kedua menyertai bidang akademik. Saya berasa amat sukar untuk terus berpegang dan mengekalkan “kepercayaan” kepada ketelusan ilmu sains. Saya telah melihat ramai saintis muda yang telah terpengaruh dengan budaya memberi tumpuan pada penghasilan banyak kertas penyelidikan untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya secepat mungkin, namun tidak memikirkan manfaat penyelidikan tersebut kepada masyarakat dan negara.
6. Apakah peranan YSN-ASM dalam mengatasi cabaran ini?
Memperkasa penyelidik muda dan memupuk nilai integriti dan kecemerlangan saintifik adalah fokus utama YSN-ASM. YSN-ASM telah dijemput untuk menyertai beberapa jawatankuasa kebangsaan berkaitan dengan dasar dan polisi berkaitan sains sebagai input dari perspektif saintis muda. Selain itu, YSN-ASM memainkan peranan aktif dalam mewujudkan platform untuk pihak kementerian, akademi dan saintis muda bagi memperhalusi isu-isu berkaitan dengan status saintis muda. Salah satu program utama di bawah YSN-ASM yang berjaya diketengah ialah “YSN-ASM Responsible Conduct of Research (RCR)”. YSN-ASM telah berjaya dalam pembangunan modul latihan berstruktur dan formal bagi RCR di Malaysia. YSN-ASM juga berbangga menjadi rangkaian saintis muda pertama yang telah menerbitkan modul yang bertajuk “Malaysian Educational Module on Responsible Conduct of Research” pada tahun 2018 yang akan digunapakai sebagai panduan asas bagi pengajaran RCR di Malaysia. Kejayaan penghasilan modul latihan RCR ini juga telah menarik perhatian ramai di peringkat serantau dan antarabangsa. Ini terbukti daripada penganjuran Bengkel ASEAN RCR pertama yang berjaya dilaksanakan pada tahun 2019.
7. Apakah hobi kegemaran Dr. Chai di luar waktu bekerja ataupun bakat terpendam yang jarang diketahui oleh orang lain?
Hobi saya ialah melukis dan mewarna. Semasa kecil, saya bercita-cita untuk menjadi seorang pelukis terkenal. Ketika remaja, saya meluangkan masa berjam-jam, malahan berhari-hari untuk menyiapkan lukisan saya. Saya mendapat ketenangan semasa melukis dan saya amat menikmati proses melukis dan setiap detik ketenangan fikiran sewaktu melukis. Sehingga hari ini, saya akan melukis apabila saya berasa resah atau hilang motivasi. Semasa melukis dan mewarna, saya akan melupakan segala tekanan dan hanya memberi tumpuan pada garisan dan warna untuk mencipta suatu gambaran dari imaginasi saya. Ramai orang berpendapat bahawa sains dan seni merupakan dua dunia yang amat berbeza, namun bagi saya, sains dan seni berkongsi perkara yang sama iaitu pemerhatian dan kreativiti. Secara tidak langsung, hobi saya ini merupakan satu punca saya mengemari sains dan memilih sains sebagai kerjaya saya.