Oleh : Dr. Norrimi Rosaida Awang
Pensyarah Kanan
Fakulti Sains Bumi
Universiti Malaysia Kelantan Kampus Jeli
Ozon dikategorikan sebagai gas nadir yang memainkan peranan yang amat penting dalam keupayaan pengoksidaan atmosfera. Kebanyakan manusia mengenali ozon sebagai salah salah komposisi udara atmofera bumi. Ozon wujud di lapisan kedua atmosfera iaitu lapisan stratosfera dan dikenali sebagai ozon stratosfera. Walaubagaimanapun, hanya sebilangan kecil yang mengetahui bahawa ozon juga wujud berdekatan dengan manusia di permukaan bumi iaitu ozon troposfera atau ozon permukaan bumi. Persoalan utama, kenapakah terdapat ozon ‘baik’ dan ozon ‘jahat’.
Sejarah
Menuruh sejarah peradaban manusia, ozon mula dikenali sebagai salah satu komponen kilat, sebelum sebatian kimianya dijumpai dan diterangkan oleh Chriatian Friedrich Schonbein pada tahun 1867. Ozon terdiri daripada gabungan tiga atom oksigen (O3) dengan jumlah berat jisim sebanyak 48 g/mol. Ozon merupakan gas yang mempunyai bau yang membolehkannya dikesan walaupun pada kepekatan yang rendah. Gas ini juga merupakan allotrope oksigen yang aktif, agen pengoksidaan yang amat kuat dan penyerap sinaran UV yang baik. Sehubungan dengan itu, ozon merupakan molekul gas yang penting dimana ia terlibat dalam pelbagai tindakbalas kimia utama atmosfera bumi.
Kajian ozon
Pelbagai kajian telah dijalankan untuk memahami sifat, trend perubahan dan tindakbalas kimia pembentukan ozon. Pada peringkat awal, kajian mengenai ozon adalah hanya tertumpu kepada ozon stratosfera yang berfungsi sebagai lapisan pelindung cahaya matahari yang berbahaya kepada manusia di permukaan bumi. Kajian yang dijalankan secara tidak langsung mendapati ozon juga wujud dipermukaan bumi kesan tindakbalas fotokimia beberapa pencemar anthropogenik dengan cahaya matahari. Kepekatan ozon tropesfera boleh meningkat dengan drastik disebabkan pembebasan pencemar antropogenik daripada aktiviti manusia. Pada kepekatan yang tinggi, ozon troposfera adalah berbahaya kepada kesihatan manusia terutamanya sistem pernafasan. Berpunca daripada peranan yang bertentangan yang dimainkan oleh ozon, pada keadaan yang tertentu, ozon stratosfera dianggap sebagai ozon ‘baik’ manakala ozon troposfera dianggap sebagai ozon ‘jahat’.
Pengkelasan
Klasifikasi ozon sebagai ‘baik’ atau ‘jahat’ bergantung kepada tempat dimana ozon dijumpai. Kira-kira 90% daripada jumlah keseluruhan ozon dijumpai lapisan stratosfera yang membentuk lapisan ozon, manakala, sebahagian kecil kepekatan ozon dijumpai di permukaan bumi. Ozon stratosfera memainkan peranan yang amat kritikal untuk menjamin kesejahteraan kehidupan pelbagai penghuni bumi. Kajian menunjukkan lapisan ozon menyerap hampir kesemua sinaran ultraviolet yang mempunyai panjang gelombang di antara 290 hingga 320 nanometer, atau dikenali sebagai UVB. Sinaran UVB merupakan sinaran yang aktif secara biologi dan mampu menyebabkan kanser kulit terhadap golongan yang berisiko. Penipisan lapisan ozon menyumbang kepada peningkatan jumlah sinaran UVB yang sampai ke permukaan bumi dan sejajar dengan itu, meningkatkan risiko penyakit kulit. Dianggarkan penurunan kepekatan ozon stratosfera sebanyak 1% mengakibatkan kenaikan sebanyak 2% terhadap sinaran UVB yang sampai ke permukaan bumi.
Sementara, ozon stratosfera yang ‘baik’ semakin berkurangan, ozon troposfera yang ‘jahat’ semakin meningkat. Kajian kualiti udara yang dijalankan di Eropah mendapati kepekatan ozon troposfera purata adalah di sekitar 10 ppb pada tahun 1990, walaubagaimanapun kepekatan purata yang dicatatkan selepas 100 tahun adalah sekitar 20 hingga 45 ppb. Hasil kajian menunjukkan kepekatan ozon troposfera semakin meningkat dan trend peningkatan dijangka berterusan berikutan peningkatan pencemar udara primer seperti nitrogen dioksida dan sebatian organik meruap yang menjadi pencemar prapenanda kepada pembentukan ozon troposfera. Trend peningkatan ozon troposfera juga menjadikan ozon troposfera sebagai pencemar udara kedua terpenting selepas zarahan terampai (PM) di kebanyakan tempat di dunia. Keupayaan ozon sebagai agen pengoksidaan menjadikanya sebagai pencemar yang berbahaya terhadap sistem pernafasan manusia, pertumbuhan dan pembesaran pokok dan ketahanan bahan yang diperbuat daripada getah.
Kesimpulan
Kewujudan dan perubahan terhadap ozon ‘baik’ dan ‘jahat’ memberikan kesan secara langsung kepada kesejahteraan penghuni bumi. Penurunan ozon ‘baik’ dan peningkatan ozon ‘jahat’ merupakan suatu keadaan yang perlu dielakkan dan pelbagai jalan penyelesaian telah dan sedang dirancang untuk menangani masalah ini. Sehubungan dengan itu, masyarakat harus peka dengan masalah yang sedang dihadapi agar dapat menempatkan diri mereka sebagai golongan penyelesai ataupun pengurang masalah dan tidak sebagai golongan penyumbang kepada masalah pengurangan ozon ‘baik’ atau peningkatan ozon ‘jahat’.
Kredit foto – aeroqual.com