SHARE

Laporan Oleh: Rosdiadee Nordin

BANDAR SUNWAY: “Terbit atau binasa (publish or perish)”; ini merupakan kata bidalan yang sering dikaitkan dengan lumrah kerjaya seseorang penyelidik.

Ini kerana prestasi seseorang penyelidik dinilai berdasarkan pencapaian mereka dalam penerbitan jurnal berimpak tinggi; jika gagal menerbit, maka binasa masa hadapan kerjaya penyelidik itu. Prestasi penyelidik juga dinilai berdasarkan bilangan dan jumlah dana yang diketuai oleh mereka, selain daripada penyeliaan pascasiswazah dan juga kerjasama dengan penyelidik lain.

Rentetan itu, desakan untuk memenuhi prestasi tahunan, yang diukur dalam bentuk Key Performance Indicator (KPI), menyebabkan penyelidik terhimpit dengan dilema; sehingga melakukan perkara yang melanggar etika dan menjatuhkan integriti seseorang penyelidik. Kebelakangan ini, telah wujud pelbagai salah laku di kalangan penyelidik di Malaysia, terutamanya berkaitan plagiat dan pemalsuan data saintifik. Ini dapat dilihat pada hasil penyelidikan menggunakan dana kerajaan dan lebih malang lagi, kesemua hasil penyelidikan ini telahpun diterbitkan di jurnal berimpak tinggi. Antara contoh-contoh salah laku lain ialah penyalahgunaan dana untuk tujuan peribadi, lantas meningkatkan ketirisan wang daripada sumber kerajaan, selain daripada manipulasi statistik dan mengambil peluang daripada kelemahan prosedur sedia ada untuk memalsukan pencapaian seseorang penyelidik mahupun organisasi.

Ini boleh memberikan kesan negatif kepada komuniti penyelidik yang lain di Malaysia kerana ianya melibatkan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa. Penyelidik juga keliru antara konflik peribadi dan organisasi, selain tidak dapat membezakan yang baik dan buruk apabila terperangkap di dalam sesuatu konflik berkaitan penyelidikan.

Justeru itu, Young Scientists Network-Academy Science Malaysia (YSN-ASM) mengambil langkah proaktif dengan menyediakan modul kepada penyelidik di Malaysia untuk membudaya integriti dan meningkat sifat tanggungjawab sebagai penyelidik di Malaysia. Kod Tatakelakuan Penyelidikan Bertanggungjawab di Malaysia, ataupun Malaysian Code of Responsible Conduct in Research (RCR) merupakan bahan rujukan pertama di Malaysia dan bakal memberi panduan dan aplikasi prinsip etika dalam aktiviti penyelidikan saintifik kepada penyelidik di Malaysia.

Pelancaran modul RCR oleh (daripada kiri) Prof Emeritus Dato’ Dr. Zakri Abdul Hamid (Penasihat Sains kepada Kerajaan Malaysia), YB Datuk Dr Mary Yap Kain Ching (Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi), Prof. Datuk Dr Asma Ismail (Presiden ASM) dan Prof. Dr. Abhimanyu Veerakumarasivam (Pengerusi YSN-ASM). (Foto Ehsan: Akademi Sains Malaysia)

Modul ini dilancarkan oleh YB Datuk Dr Mary Yap Kain Ching, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, bersempena dengan persidangan Conference to Promote Safe and Secure Science yang mengambil tempat di Universiti Sunway pada 8hb Febuari 2018. Turut hadir pada majlis perasmian ialah Prof. Datuk Dr Asma Ismail, Presiden Akademi Sains Malaysia, Tan Sri Dato’ (Dr) Ramon Navaratnam, Pro-Naib Canselor Universiti Sunway dan Dr. Lida Anestidou, Pengarah Projek, The National Academies of Sciences, Engineering, and Medicine (Amerika Syarikat).

Dr Chau De Ming (UPM) dan Dr Chai Lay Ching (UM); kedua-dua ahli YSN-ASM merupakan pengerusi bersama yang terlibat di dalam pembangunan modul ini semenjak tahun 2015. Dua felo ASM, Emeritus Professor Dato’ Dr Mohamed Mahyuddin Mohd Dahan dan Dr Helen Nair turut terlibat selaku penasihat kepada program RCR ini.

Dr Chau De Ming (empat dari kiri) dan Dr Chai Lay Ching (lima dari kanan) bersama beberapa ahli YSN-ASM dan mereka lain terlibat dalam pembangunan modul RCR. (Foto Ehsan: Akademi Sains Malaysia)

Melalui kerjasama dengan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), sesi kejurulatihan (training of trainers) dan modul RCR sudah mula diterapkan di dalam kalendar tahunan AKEPT bermula 2018. Kumpulan sasaran modul ialah penyelidik-penyelidik di peringkat awal kerjaya. Peserta akan diberikan latihan dan pemahaman mengenai integriti dan tanggungjawab melalui modul yang disediakan. Semenjak 2013, lebih daripada 20 bengkel telah dilaksanakan di seluruh Malaysia dengan penyertaan lebih daripada 1000 penyelidik yang rata-rata masih muda dan di peringkat awal kerjaya. Modul ini merupakan hasil akhir selepas mendapat maklum balas peserta dan pihak berkepentingan dari pelbagai institusi.

Sasaran akhir modul ini ialah untuk membudayakan integriti dan etika saintifik di kalangan penyelidik di Malaysia. Pada penghujung ucapan Prof. Datuk Dr Asma Ismail, beliau berharap agar modul ini boleh digunapakai di negara-negara jiran dan seterusnya di benua Asia dalam jangka masa panjang.

Modul ini boleh dimuat turun di laman sawang Akademi Sains Malaysia bermula 22hb Febuari 2018. Maklumat lanjut mengenai modul ini boleh diperolehi daripada pihak ASM melalui email kepada: science_comm@akademisains.gov.my

Di akhir sesi pelancaran modul RCR, bersempena persidangan persidangan Conference to Promote Safe and Secure Science di Universiti Sunway. (Foto Ehsan: Akademi Sains Malaysia)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge