Oleh : Dr Zurairah Berahim & Prof Madya Dr Haslina Taib
Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia
Tisu penyokong gigi terdiri daripada tisu gusi atau gingiva, ligamen periodontal, sementum dan tualang alveolus. Secara amnya apabila disebut penyakit gusi, khalayak umum mungkin membayangkan keradangan yang berlaku pada tisu gusi yang kelihatan pada mata kasar sahaja, yang dikenali juga sebagai gingiva. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa peringkat penyakit gusi yang mana ianya bermula dengan keradangan tisu gusi/gingiva di permukaan yang seterusnya merebak kepada 3 tisu-tisu penyokong gigi lain yang terletak di bawah tisu gingiva tersebut, masalah ini pada akhirnya menyebabkan kehilangan tisu penyokong yang serius dan berakhir dengan kegoyahan gigi yang terpaksa dicabut.
Pada keadaan normal, terdapat satu ruangan menyerupai longkang yang mengelilingi gigi dikenali sebagai sulkus gusi, yang mempunyai kedalaman di antara 1-3mm. Sulkus gusi mengandungi bendalir krevikular yang mengandungi sel pertahanan badan seperti monosit, polimorfonucleosit, enzim-enzim, protein seperti imunoglobulin, sisa2 bakteria dan ion-ion. Bendalir krevikular berfungsi untuk memberi perlindungan dari serangan bakteria dari persekitaran mulut ke bahagian dalam tisu gusi. Walau bagaimanapun sekiranya sistem pertahanan ini tergugat ia boleh mengakibatkan penyerosotan tisu gusi dan seterusnya meningkatkan kedalaman sulkus sehingga melebihi 3mm. Apabila keadaan ini berlaku, ia dikenali sebagai poket gusi dan ini petanda bahawa adanya penyakit gusi yang agak serius. Keadaan ini akan menjadi semakin teruk jika dibiarkan tanpa rawatan awal.
Rawatan awal penyakit gusi yang kronik adalah dengan menjalankan terapi profilaksis oral secara menyeluruh untuk membuang plak (lapisan bakteria yang melekit serta tidak berwarna,) dan karang (kalkulus) gigi yang menjadi punca kepada permasalahan ini. Rawatan ini terdiri dari prosedur penskaleran dan penggilapan (profilaksis oral). Semasa prosedur penskaleran keseluruhan plak dan kalkulus di dalam mulut pesakit akan dibuang dengan menggunakan alat skaler ultrasonik dan ini diikuti dengan proses penggilapan untuk melicinkan permukaan gigi bagi mengurangkan kadar enapan plak di samping memberi kesegaran kepada mulut pesakit. Plak merupakan pusat pengumpulan bakteria mulut mengeluarkan toksin yang boleh membawa kepada kemusnahan tisu gusi. Rawatan profilaksis oral akan mengurangkan kandungan bakteria di dalam mulut dan memudahkan penjagaan gusi dan gigi oleh pesakit di rumah.
Bagi penyakit gusi yang telah merebak lebih dalam (poket gusi melebihi 5mm), prosedur debridemen akar gigi (root debridement) harus dilakukan selepas penskaleran asas, bertujuan untuk mengeluarkan plak dan karang gigi yang berada pada permukaan akar gigi. Rawatan ini dilakukan secara manual dengan menggunakan alat kuret (curette). Kebiasaannya bahagian gusi berkenaan diberikan bius setempat agar pesakit tidak mengalami kesakitan semasa rawatan dijalankan. Selain dari itu terdapat juga rawatan lain yang boleh dilakukan di samping terapi profilaksis oral. Pemberian rawatan kawalan kimia adalah antara rawatan yang boleh dilakukan selepas terapi tersebut. Terdapat dua jenis rawatan kawalan kimia yang boleh dilakukan iaitu dengan penggunaan bahan antiseptik atau antibiotik setempat. Chrlorhexidine merupakan salah satu contoh antiseptik yang digunakan sebagai ubat kumuran. Ia mempunyai dua kation yang dipercayai berkesan untuk membasmi kuman di dalam poket gigi. Kation-kation ini akan mengikat kepada dinding sel bakteria yang bercas negatif seterusnya menyebabkan kesan bakterostatik. Walau bagaimanapun pada dos tinggi ia akan menyebabkan kesan bakterosidal (membunuh bakteria). Dengan ini, ia dapat membantu menghalang pembiakan bakteria penyebab penyakit gusi. Chlorhexidine untuk kegunaan rawatan gusi juga telah dipatenkan ke dalam bentuk cip bagi memudahkan perletakannya ke dalam poket gusi. Penggunaan chlorhexidine cip setempat boleh dilakukan sebagai rawatan tambahan penyakit gusi kerana ia memberi kesan perlepasan perlahan bahan antibakteria pada kawasan setempat (poket gusi), kebiasaannya selama 7 hari. Perlepasan secara berterusan ini penting bagi mempertahankan kesan bakterostatik/ bakterosidal pada kawasan tersebut.
Selain daripada antiseptik, terdapat juga penggunaan pemberian antibiotik secara setempat ke dalam poket gusi. Ini dapat mengurangkan risiko atau kesan sampingan pengambilan antibiotik secara sistemik (dimakan atau disuntik). Pengambilan ubat antibiotik sistemik secara berleluasa boleh menyebabkan kesan resistan atau kerintangan terhadap bakteria. Ini adalah berbahaya sekiranya digunakan secara berleluasa kerana bakteria tersebut tidak lagi terkesan kepada antibiotik tersebut pada pemberian seterusnya. Dengan itu, didapati pemberian antibiotik setempat boleh mengelakkan kesan ini. Selain itu, kebaikan penggunaan pemberian antibiotik secara setempat ialah ia boleh diberi pada dos yang lebih tinggi berbanding dengan pemberian secara sistemik, yang mana dos ubat telah berkurangan apabila sampai ke tempat yang disasarkan. Terdapat beberapa jenis antibiotik setempat yang digunakan dalam rawatan gusi contohnya minocycline, tetracyline dan doxycycline, yang boleh didapati di dalam bentuk gel atau pun fiber. Kesan rawatan pemberian ubat setempat di dalam rawatan penyakit gusi adalah bervariasi, tergantung kepada sejauh mana ubat tersebut mampu berada di dalam poket gusi pesakit. Ini merupakan satu cabaran kepada saintis kini bagi mencipta ubat yang boleh bertahan lebih lama, dilepaskan secara berkala dan tidak mendatangkan sebarang kesan sampingan kepada pesakit tersebut.
Secara amnya penyakit gusi boleh dicegah atau dikawal jika mendapat pemeriksaan pergigian atau rawatan di peringkat awal. Rawatan profilaksis oral adalah perlu sekurang-kurangnya sekali dalam masa enam bulan untuk mencegah atau mengawal penyakit gusi. Rawatan terkini menggunakan antiseptik atau antibiotik secara setempat boleh bertindak sebagai kaedah tambahan dalam membantu penyembuhan penyakit gusi. Namun begitu adalah menjadi tanggungjawab pesakit untuk menjaga kebersihan mulut dengan cara yang betul selain mendapat rawatan professional di klinik pergigian.
Kredit Foto : freepik @inna-zueva5