Laporan oleh:
Prof Madya Ir. Dr. Rosdiadee Nordin
Editor ‘Suara Saintis Muda’, kerjasama MS-YSN
Ahli, Young Scientist Networks (YSN)
Universiti Kebangsaan Malaysia
Edisi Pertama, Dec 2016
‘Suara Saintis Muda’ merupakan projek kerjasama antara Majalah Sains (MS) dan Young Scientists Network (YSN). Kolum ini bakal diisi dengan coretan minda, pendapat, perkongsian pengalaman dan perkembangan terkini penyelidikan di kalangan ahli YSN yang bernaung di bawah Akademi Sains Malaysia (ASM).
YSN juga merupakan satu penghargaan ASM kepada saintis muda dalam meraikan pencapaian mereka. Selain daripada meraikan kecemerlangan, saintis-saintis muda ini juga terlibat di dalam pelbagai kerja sukarelawan untuk mempertingkatkan ekosistem sains, teknologi dan inovasi di Malaysia.
Menariknya, semua ahli YSN tidak menganggap kerja sukarelawan ini sebagai satu penghalang – malahan, mereka begitu taksub sekali dalam melakukan kerja sukarelawan tersebut! Antara salah satu aktiviti YSN terkenal diperingkat kebangsaan ialah National Science Challenge (NSC), platform di mana pelajar sekolah menengah bertempur ‘kekuatan’ ilmu sains mereka. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merupakan tuan rumah untuk NSC baru-baru ini di mana pemenang NSC 2016 ialah SMK Labuan – tahniah! UKM masih menjadi tuan rumah untuk NSC 2017 – tunggu daripada kami pengumuman mengenai NSC dalam masa terdekat!
Berbalik kepada YSN, tahun ini sedikit istimewa kerana terdapat beberapa penyelidik muda berlatarbelakang sains sosial terpilih sebagai ahli YSN. Turut istimewa kerana ‘keluarga’ saya semakin berkembang: bermula dengan keluarga kecil, iaitu Majalah Sains (5 ‘adik beradik’ sahaja!) selaku penasihat seawal 2009 dan kini menyertai keluarga baru saya di YSN yang memang besar (73 ‘adik beradik’ di YSN!).
Ahli-ahli YSN baru saja pulang daripada kolokium yang mengambil tempat di Awana Genting untuk sesi suaikenal dengan ‘adik beradik’ baru dan perancangan aktiviti-aktiviti pada tahun 2017. Selain daripada itu, kolokium digunakan untuk peluang meluaskan rangkaian penyelidikan melalui pameran poster, mengenalpasti bakat-bakat terpendam di luar makmal seperti bersajak, fotografi, bermain gitar, zumba, yoga, wushu malahan tarian K-Pop!
Berikut dikongsikan beberapa perkongsian berharga sepanjang kolokium tersebut:
“Appreciate young scientists because they don’t know what is impossible”: Pesanan Tengku Datuk Dr Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim (FAsc), Timbalan Presiden ASM kepada semua ahli YSN. Ini diinspirasikan oleh sejarah General Electric (GE) di bawah naungan Jack Welch. Beliau berjaya menaikkan nilai GE kepada 4,000% sepanjang kerjayanya sebagai CEO. Jack dengan kelulusan PhD di dalam kejuruteraan kimia, merupakan CEO termuda dalam sejarah GE. Apa yang beliau buat ialah melantik beberapa orang penyelidik muda untuk mengubah halatuju GE berdasarkan prinsip ‘saintis muda tak tahu apa yang mustahil!’ – dengan kurangnya pengalaman namun diiringi dengan tenaga, keserakanan dan idea yang geliga, saintis muda akan cuba sedaya upaya untuk mencapai sesuatu matlamat di dalam organisasi.
Tragedi kehidupan juga boleh membawa kejayaan. Dalam kes ini, sejarah Lembah Silikon digunakan sebagai contoh kepada kami. Perlu difaham bahawa Lembah Silikon di California wujud oleh beberapa siri ‘kemalangan (secara kebetulan)’:
- Tragedi pertama: Lembah Silikon pernah menjadi tapak lombong emas, namun, inovasi seluar denim lasak yang digunakan oleh pekerja-pekerja lombong ternyata lebih berjaya diperingkat antarabangsa, berbanding dengan perlombongan emas di situ.
- Tragedi kedua: William Shockley – pengasas transistor dan pemenang Nobel (Fizik) 1956. Shockley gagal dalam industri di California oleh kerana perwatakan beliau yang begitu ‘rawak’, lantas menyumbang kepada kegagalan syarikat dan anak-anak buah beliau yang ‘terpaksa’ mengkhianati beliau dengan membuka Fairchild Semiconductor. Salah seorang ‘pengkhianat’ tersebut ialah Gordon Moore yang terkenal dengan Hukum Moore yang diaplikasikan dalam bidang semikonduktor.
- Tragedi ketiga: Pekerja-pekerja Fairchild mula meninggalkan syarikat dan menubuhkan syarikat terbitan (start up) sendiri. Menariknya, kesemua syarikat tersebut pelengkap kepada ekosistem industri semikonduktor yag dipelopori Fairchild. Selepas 20 tahun penubuhan Fairchild, lebih daripada 65 perusahaan baru wujud, seperti Intel dan AMD. Kesemua ssyarikat terbitan mempunyai kaitan dan merupakan percambahan daripada idea perniagaan asal Fairchild.
Ketiga-tiga kisah tragedi ini diterjemah kepada peluang dan kejayaan yang diraih oleh Lembah Silikon sehingga hari ini. Apa yang boleh dipelajari ialah, sebelum mewujudkan sesebuah industri teknologi & inovasi, pembuat dasar dan pentadbir perlu memahami keperluannya dalam konteks setempat – kaedah salin dan tampal tidak akan berjaya. Wujud juga debat samada Lembah Silikon itu boleh berdiri sendiri sebagai sebuah negara! Apa pendapat anda?
Perkongsian terakhir ialah sains dan teknologi tidak pernah neutral – ini agak mudah untuk dihuraikan. Lihatlah sendiri, dalam sains itu sendiri muncul pelbagai disiplin ilmu yang berbeza – epistemology, falsafah, sociology, politik dan ekonomi.
Selain daripada itu, Timbalan Presiden ASM, mesra dengan panggilan ‘Tengku’ turut berkongsi dengan ahli YSN mengenai teknik peta minda yang dipelajari daripada Tony Buzan untuk persiapan ucapan beliau. Cuba teka tempoh masa diambil Tengku untuk menyiapkan satu peta minda ini?
Akhir sekali, selaku penasihat MS dan ahli YSN, saya amat mengalu-alukan sumbangan pembaca dalam bentuk pendapat, idea, rencana malahan tajaan yang bertepatan dengan tema kolum; ‘Suara Saintis Muda’. Kita jumpa lagi pada kolum kedua akan datang!