Oleh: Izatul Lail bin Mohd Yasar,
Pegawai Penyelidik, Pusat Pengurusan ICT, MARDI
Dalam pertengahan tahun 2022, Utusan Malaysia melaporkan peniaga luar bandar e-Dagang Shopee meningkat 70% sejak tahun 2020 iaitu 2.5 kali ganda daripada jumlah peniaga luar bandar pada Januari 2020. Tidak diketahui apakah kategori produk yang banyak dipasarkan oleh peniaga dari luar bandar. Salah satu produk yang mungkin banyak dipasarkan oleh peniaga luar bandar ialah anak-anak pokok daripada nurseri tanaman yang boleh diusahakan oleh mereka yang berada di luar bandar yang diketahui mempunyai tanah untuk diusahakan.
Kebiasaannya, jual beli anak pokok dilakukan secara bersemuka di mana pembeli akan hadir di tempat jualan atau nurseri tanaman. Bagaimana pun, dengan perkembangan teknologi maklumat (IT), anak pokok tidak terlepas daripada dijual secara dalam talian. Bukan sekadar mengiklan menggunakan media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok, bahkan aktiviti jual beli melibatkan transaksi bayaran dan penghantaran anak pokok turut dipermudahkan melalui platform e-Dagang seperti Shopee, Lazada, TikTok Shop, Facebook Marketplace dan lain-lain lagi.

Sebelum platform e-Dagang menjadi popular, transaksi bayaran dan penghantaran secara dalam talian dilakukan secara manual di mana pembeli akan diminta melakukan pemindahan wang ke dalam akaun bank penjual lalu memberikan bukti pemindahan wang telah dilakukan. Selepas itu, penjual akan menyemak transaksi wang masuk dalam akaun banknya. Apabila penjual telah maklum transaksi berkenaan telah dilakukan, anak pokok yang dibeli akan dibungkus dan dibawa ke premis penyedia perkhidmatan penghantaran contohnya PosLaju dan DHL. Selepas ia ditimbang, penjual akan membayar caj penghantaran, menulis maklumat penghantaran di dalam slip yang disediakan dan menyerahkannya kepada pihak berkenaan untuk proses penghantaran.
Dengan kemajuan teknologi e-Dagang, transaksi bayaran dan penghantaran telah dipermudahkan. Pembeli boleh melakukan bayaran melalui platform e-Dagang dengan pelbagai kemudahan bayaran termasuk perbankan dalam talian, kad debit, kad kredit, gerbang bayaran umum seperti TouchnGo eWallet dan PayPal serta e-Dompet khas mengikut platform e-Dagang seperti ShopeePay oleh Shopee dan Lazada Wallet oleh Lazada. Bahkan ada platform e-Dagang yang menyediakan pelbagai kemudahan tambahan seperti bayaran ansuran, CashBack iaitu pulangan wang daripada belian terdahulu dan potongan harga daripada pungutan syiling. Penjual pula boleh menerima mesej makluman belian produk apabila pembeli berjaya membuat bayaran. Kemudian penjual boleh mencetak terus slip penghantaran untuk ditampal di bungkusan. Penghantaran juga boleh dipermudahkan dengan meminta penyedia perkhidmatan penghantaran datang ke premis penjual, biasanya apabila banyak penghantaran perlu dibuat hampir setiap hari.
Bagi penjualan anak pokok secara dalam talian di Malaysia, terdapat beberapa cabaran telah dikenalpasti. Cabaran pertama ialah risiko kematian anak pokok ketika proses penghantaran kepada pembeli. Ia boleh berlaku atas beberapa punca. Punca pertama ialah apabila tempoh penghantaran yang dijangka selesai dalam dua atau tiga hari telah tertangguh lebih lama sehingga mencecah tujuh ke 10 hari. Anak pokok yang dihantar dalam kotak kadbod tidak mendapat sumber air yang mencukupi dalam tempoh itu. Ditambah pula dengan cuaca panas yang memuncak akibat fenomena El-Nino, medium di akar yang sebelumnya telah dibasahkan terlebih dahulu telah kehabisan air dalam tiga hari sahaja.
Tempoh penghantaran yang lama boleh terjadi apabila penyedia perkhidmatan penghantaran menerima jumlah bungkusan yang terlalu banyak hingga tidak dapat dihantar dalam masa yang singkat. Ia sering berlaku ketika musim promosi jualan platform e-Dagang biasanya pada tarikh berganda iaitu 9/9, 10/10, 11/11 dan seterusnya. Lambakan bungkusan juga berlaku dalam enam minggu sebelum Syawal di mana orang ramai memilih membeli persiapan Hari Raya Aidilfitri secara dalam talian sejak dua minggu sebelum hari raya. Trend peningkatan lambakan bungkusan untuk dihantar semakin ketara selepas COVID-19 melanda negara di mana jual beli secara dalam talian semakin menjadi pilihan orang ramai.
Risiko kematian anak pokok bukan hanya kerana tempoh penghantaran yang lama, bahkan pengendalian bungkusan ketika penghantaran turut menjadi faktor kematian anak pokok. Apabila berlaku lambakan bungkusan, kotak yang mengandungi anak pokok kadangkala tertindih dengan bungkusan yang lebih berat menyebabkan anak pokok terbabit patah, tercabut akar daripada medium penanaman dan bungkusan koyak yang mempercepatkan haba panas mengeringkan kandungan air dalam medium penanaman. Terdapat juga kes di mana bungkusan tidak dipindahkan dengan cermat, tetapi dilontar, diseret dan dihempas walau pun label ‘fragile’ atau mudah pecah telah ditampal.
Selain itu, ketika musim tengkujuh pula, kelembapan udara yang tinggi boleh menyebabkan medium penanaman yang basah menumbuhkan kulat yang menyebabkan anak pokok yang dihantar menjadi kurang sihat dan boleh mati tidak lama selepas ditanam. Apabila berlaku banjir di banyak kawasan, proses penghantaran juga terganggu menyebabkan anak pokok tidak dapat dihantar dalam tempoh masa yang cepat lalu mengakibatkan anak pokok mati kerana kehabisan air dalam medium penanaman.
Cabaran lain yang dihadapi penjual anak pokok secara dalam talian ialah penyediaan kotak pembungkusan khas. Saiz anak pokok yang dijual biasanya tidak seragam mengikut jenis dan usia anak pokok. Penjual akan mendapatkan kadbod daripada kotak terpakai kemudian memotongnya mengikut saiz anak pokok yang akan dihantar. Ruang dalaman kotak pula akan dimasukkan tetulang khas yang diperbuat daripada potongan buluh atau jaring dawai besi supaya anak pokok tidak rosak jika dikendali dengan tidak cermat oleh penyedia penghantaran.


Terdapat juga penjual yang menggunakan paip PVC bersaiz diameter besar sehingga 20 cm sebagai medium pembungkusan yang kukuh untuk melindungi anak pokok daripada kerosakan. Namun kos yang perlu dikeluarkan adalah lebih tinggi daripada medium kotak kadbod.

Penghantaran anak pokok di Semenanjung Malaysia tidak merumitkan. Namun bagi penghantaran ke Sabah dan Sarawak, ada beberapa cabaran yang biasa dihadapi. Penghantaran ke Sabah dan Sarawak sering mengambil masa yang lama iaitu antara 5 hari hingga ke 10 hari. Jika medium penanaman kering sebelum diterima, anak pokok berisiko untuk mati. Manakala penghantaran di Sabah lebih rumit apabila kerajaan negeri menguatkuasakan kawalan kemasukan anak pokok dari luar negeri Sabah mengikut Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Peraturan-Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981. Jika pengimbas di sempadan pintu masuk negeri Sabah mendapati bungkusan mengandungi anak pokok, kemungkinan anak pokok berkenaan akan ditahan daripada sampai kepada pembeli. Atas sebab-sebab ini, biasanya penjual akan mengelak daripada penjualan anak pokok ke Sabah dan Sarawak.
Demi kelestarian perniagaan input pertanian secara dalam talian terutamanya bagi perniagaan anak pokok, pembangunan inovasi bungkusan penghantaran mungkin boleh dilakukan untuk memastikan anak pokok tidak terjejas dalam tempoh penghantaran. Para peniaga pula perlu diberi maklumat yang jelas mengenai cabaran-cabaran dan cadangan langkah-langkah pencegahan masalah yang patut diambil. Diharap kemajuan IT dan pelbagai inovasi dapat membawa banyak manfaat kepada komuniti luar bandar yang ingin menambah pendapatan melalui perniagaan dalam talian seterusnya meningkatkan ekonomi negara.