SHARE

Tema ‘Negaraku Berinovasi’ di pilih untuk Minggu Sains Negara bertepatan dengan keadaan semasa di Malaysia yang memerlukan masyarakat kita membudayakan inovasi untuk menjana kekayaan demi kesejahteraan rakyat. Inovasi tidak terhad kepada penciptaan produk baharu, malahan melibatkan pelbagai aspek harian, seperi inovasi dalam sesuatu proses kerja, penambahbaikan atau pembaharuan sesuatu proses dan model perniagaan yang baharu. Inovasi jika berlaku secara menyeluruh dan dibudayakan oleh pelbagai peringkat masyarakat boleh meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Pada tahun lepas (2017), perkembangan ekonomi Malaysia berada pada kadar 5.8% dan dijangka berada pada kadar 5.2% pada 2018 (Sumber: World Bank). Namun dua eksport utama negara, iaitu kelapa sawit dan minyak galian bakal mengalami cabaran dalam masa terdekat oleh kerana peralihan kepada sumber tenaga mesra alam. Justeru itu, perlunya inovasi untuk meneroka teknologi baharu yang mesra alam dan bersesuaian untuk keperluan Malaysia pada masa akan dating.

Menurut Mulgan G., 2006, dianggarkan antara 50-80% pertumbuhan ekonomi datang daripada inovasi dan ilmu baharu. Untuk menjadi sebuah negara maju, Malaysia perlukan inovasi untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan dan kesejahteraan rakyat.

Pada 1970, pendapatan negara kasar Korea Selatan berada pada tahap yang rendah daripada Malaysia ($260 vs. $380). Namun daripada data terkini (2016), pendapatan negara kasar Korea Selatan telah meningkat 1.3 kali ganda berbanding Malaysia ($35,790 vs. $26,900) (Sumber: World Bank). Korea Selatan telah berjaya mewujudkan industri tempatan yang mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa dengan memanfaatkan sains & teknologi seperti permotoran (KIA & Hyundai), elektronik & telekomunikasi (Samsung & LG), industri pembinaan dan pembinaan kapal laut.

Sumber-https://www.mosti.gov.my/minggu-sains-negara/

Laporan daripada New Economy Opportunity, Akademi Sains Malaysia telah mengenalpasti empat industri utama yang mampu mewujudkan ekonomi baru Malaysia menjelang tahun 2050, iaitu pembuatan, perkhidmatan, makanan halal dan kesihatan. Kedua-dua industri pembuatan dan perkhidmatan (seperti ICT & kewangan) merupakan industri yang terbesar di Malaysia di mana kedua-dua mereka mewakili 23% (pembuatan) dan 53.5% (perkhidmatan) GDP negara pada masa kini. Industri halal pula mempunyai potensi capaian 2.2 bilion populasi dunia menjelang tahun 2030 dengan nilai RM8.3 trilion manakala industri kesihatan dijangka menjana RM80 bilion menjelang 2020 disebabkan peningkatan populasi dan jangka hayat penduduk yang semakin meningkat oleh kerana perkhidmatan kesihatan yang mampu milik dan terbaik di rantau Asia Tenggara.

Sebelum ini, globalisasi dikenalpasti sebagai pendorong utama pertumbuhan ekonomi. Namun, dunia maya dikenal pasti sebagai pendorong utama pertumbuhan ekonomi pada masa kini dan akan datang. Dengan infrastruktur ICT yang semakin matang, peranti pintar semakin mampu milik dan capaian Internet semakin meluas, era inovasi seterusnya bergantung kepada teknologi Internet Pelbagai Benda (IPB). Justeri itu, teknologi perencat (disruptive technology), seperti perkongsian kenderaan untuk pengangkutan awam, kecerdasan buatan dan tenaga terbaharu merupakan teknologi-teknologi yang boleh menjadi pemangkin kepada kerjasama ekonomi.

Untuk Malaysia bersaing di pasaran ekonomi baharu dan menerajui inovasi, kita perlu memantapkan penerokaan dalam ilmu STEM. Namun, bancian terkini mendapat minat pelajar kepada topik STEM semakin merosot. Pada 2014, hanya 47% pelajar sekolah menengah menjurus dalam topik STEM (53% bukan STEM), manakala sasaran asal Kementerian Pendidikan Malaysia ialah nisbah 60:40. Untuk Malaysia membudayakan inovasi dikalangan masyarakat perlulah bermula seawal peringkat sekolah lagi.

Sempena Minggu Sains Negara, pelbagai aktiviti-aktiviti bakal mengambil tempat di seluruh Malaysia untuk menarik minat umum, terutama generasi akan datang dalam memupuk minat dan menghargai sumbangan sains dan teknologi Malaysia ke arah inovasi. Melalui inovasi, Malaysia mampu menjana kekayaan dalam mengatasi cabaran disebabkan oleh kekangan sumber sedia ada dan juga saingan daripada ekonomi baru.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge