Oleh: Faizul Zubairi
Migrasi burung merupakan satu proses perpindahan burung dari satu kawasan ke kawasan yang lain dalam satu tempoh tertentu. Pada waktu tertentu dalam setahun, burung melakukan migrasi. Untuk apakah migrasi itu berlaku?
Secara kasar, migrasi burung ini berlaku berikutan faktor lokasi, iklim dan masa serta sumber makanan. Burung bermigrasi bagi mengelak cuaca sejuk di negara asal seperti China, Russia, Jepun, Korea. Keadaan negara asalnya yang sejuk menjadikan keadaan sekelilingnya tidak sesuai untuk didiami. Ini mendorong burung bermigrasi ke negara-negara yang mengalami cuaca yang lebih panas untuk mendapatkan perlindungan dan sumber makanan. Burung migrasi yang lazimnya menjadi tumpuan ialah spesis burung pemangsa atau raptor – terdiri daripada burung falkon, burung helang, burung rajawali, burung hereng dan burung hantu. Burung pemangsa ialah burung jenis maging yang mempunyai beberapa ciri pemburu dan pemangsa seperti sayap yang ringan, mata yang tajam, paruh yang bercangkuk dan kuku yang besar serta tajam. Tidak ramai dalam kalangan kita tahu burung pemangsa berasal dari dinasor velociraptor. Pada musim sejuk di utara, ketika sumber makanan dalam kawasan pembiakan menurun, burung pemangsa akan berhijrah ke destinasi di mana makanan lebih mudah didapati.
Satu fakta yang agak menarik ialah burung pemangsa bersifat mempunyai kawasan sendiri dalam habitatnya. Ia memerlukan beberapa kilometer persegi sebagai ‘kawasan memburu peribadi’ tetapi pada musim migrasi, burung-burung ini akan berkumpul dan terbang bersama mencari tempat perlindungan yang lebih panas. Burung pemangsa boleh terbang jarak jauh dan sensitif pada kawasan. Burung pemangsa ini bermigrasi pada waktu siang apabila keadaan cuaca yang baik kerana ia memerlukan turus udara panas untuk membantunya bermigrasi dengan lebih efisien kerana turus udara panas ini membolehkan ia melayang dan terbang tinggi tanpa perlu mengepak sayapnya untuk terbang jauh. Untuk melakukan sebegini, burung pemangsa akan melayang di udara dan menggunakan ‘thermal’ (haba) udara panas yang naik ke atmosfera untuk mencapai ketinggian sebelum beraksi secara ‘luncur’. Dengan itu mereka tidak perlu menggunakan tenaga yang banyak. Namun, terdapat juga spesis burung migrasi lain seperti burung berkicau dan burung akuatik.
Musim panas yang melanda Malaysia adalah antara daya penarik burung pemangsa ini. Di Malaysia kawasan migrasi yang menjadi tumpuan burung pemangsa ini ialah Tanjung Tuan, Melaka iaitu 16 kilometer dari Port Dickson, Negeri Sembilan dan Tanah Bencah, Kuala Baram, Sarawak. Di Tanjung Tuan yang dulunya dikenali sebagai Cape Rachado, Melaka, beribu-ribu burung jenis ini dapat dilihat terbang pulang ke destinasi mereka di hemisfera utara. Burung pemangsa singgah di Tanjung Tuan dalam perjalanan mereka merentasi Selat Melaka sejak beribu tahun lalu dan migrasi burung-burung ini merupakan satu kejadian alam yang menakjubkan setiap tahun. Pada setiap bulan Mac sehingga bulan April bila terjadinya migrasi ini, ia memberikan satu pemandangan yang amat mempesonakan di Tanjung Tuan. Burung-burung ini datang dari Tanjung Rupat, Sumatera, Indonesia dan singgah di ‘stesen terdekat’ iaitu Tanjung Tuan sebelum terbang meneruskan perjalanan sejauh 12,000 kilometer ke kawasan utara seperti Siberia, Korea Selatan, Mongolia, Jepun dan utara China. Antara burung pemangsa yang singgah di Tanjung Tuan ialah Lang Lebah (Oriental Honey buzzard), Lang Baza Berjambul (Black Baza), Lang Sewah (Japanese Sparowhawk), Alap-alap China (Chinese Goshawk) dan Lang Baza Hitam (Grey-faced buzzard). Haba panas yang naik ke udara di kawasan Tanjung Tuan membantu mereka terbang untuk mencapai altitud dengan cara berpusing. Masa yang terbaik bagi melihat burung pemangsa ini ialah antara 11 pagi hingga 3 petang. Tetapi antara faktor yang menghalang ialah hujan, kabus serta juga arah angin. Bagi hari-hari tertentu terdapat lebih 3,000 burung pemangsa dilihat terbang di udara selama enam hingga tujuh jam di Tanjung Tuan.
Manakala, Tanah Bencah, Kuala Baram di Sarawak boleh dikategorikan sebagai khazanah alam yang tidak ternilai di Bumi Kenyalang kerana ia menjadi salah satu destinasi utama persinggahan burung migrasi ini. Mengikut rekod, 54 spesies burung pemangsa memilih Tanah Bencah, Kuala Baram sebagai destinasi persinggahan. Tanah Bencah, Kuala Baram seluas 600 hektar bukanlah tanah bencah buatan, sebaliknya ia tanah bencah semulajadi dengan nilai biodiversiti tinggi sehingga menjadi destinasi persinggahan dan kediaman lebih 500 burung dalam sesuatu masa. Malah, ada spesies burung migrasi dikategorikan sebagai jarang ditemui, terancam dan dilindungi singgah ke destinasi ini seperti Burung Camar Cina Berjambul (Chinese Crested Tern). Lazimnya, spesies burung migrasi berada di sini antara November dan Disember setiap tahun. Antara burung yang didapati bermigrasi di Tanah Bencah, Kuala Baram ialah Sualo Api (Barn Swallow), Kedidi Ekor Berjalur (Bar Tailed Godwit), Bentet Coklat (Brown Shrike), Lang Sewah (Japanese Sparowhawk), Lang Tikus (Black-winged kite) dan Lang Hindek (Changeable Hawk Eagle). Burung paling banyak ditemui di Tanah Bencah, Kuala Baram ini adalah Itik Belibis. Ia boleh dilihat lebih dari 100 ekor dalam suatu masa. Ada antara spesies burung itu yang bertelur dan menetas di kawasan tanah bencah berkenaan, seterusnya menetap dalam tempoh dua sehingga tiga bulan di situ. Selepas tempoh itu, kawanan burung itu meneruskan perjalanan merentasi benua lain bagi mencari tempat persinggahan yang sesuai untuk membiak dan mencari makanan. Apabila tiba November dan Disember tahun berikutnya, burung itu datang semula ke sini, begitulah kitaran perjalanan burung hijrah berkenaan. Bagi yang tidak tahu, selain Tanjung Tuan dan Tanah Bencah, Kuala Baram, sekurang-kurangnya 55 kawasan lagi di Malaysia dikenal pasti sebagai Kawasan Burung Penting (IBA) yang menjadi tumpuan persinggahan ratusan ribu burung migrasi.
Burung migrasi ini apabila tiba di daratan Malaysia, ada di antaranya yang keletihan dan ada juga yang begitu kepenatan sehingga jatuh ke dalam laut dan terus lemas. Ada yang mati kerana kelaparan dan terlampau letih. Malangnya, ada juga yang mati akibat kena tembakan. Ketika sudah dekat dengan pantai Malaysia, burung pemangsa akan kehilangan altitud dan terpaksa mengembangkan dan menggerakkan sayap untuk sampai ke darat. Ketika mereka terbang rendah inilah, para pemerhati burung akan dapat melihat mereka terbang secara perlahan dari jarak yang agak dekat. Oleh kerana tiadanya thermal panas pada waktu hari mendung atau hujan, burung pemangsa akan mengambil kesempatan untuk berehat.
Menurut presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor, adalah penting bagi pemuliharaan burung pemangsa kerana burung jenis ini berada di tingkat paling atas dalam banyak piramid makanan dan populasi mereka sensitif terhadap sebarang perubahan ekosistem atau aliran tenaga. Oleh kerana faktor ini, kehadiran burung pemangsa ialah petunjuk yang baik bagi kesihatan alam sekitar serta rangkaian makanan. Contohnya Lang Bondol (Brahminy Kite) spesis burung pemangsa yang berasal dari Malaysia, populasinya berkurangan dengan semakin kurangnya habitat paya bakau di negara ini. Burung pemangsa kini menerima ancaman daripada manusia di mana terdapat kebinasaan pada habitat mereka selain kurangnya sumber makanan. Mereka juga terancam kerana penggunaan racun makhluk perosak, perniagaan hidupan liar serta juga menjadi mangsa tembakan. Menurut Dr Salleh, aktiviti melihat burung merupakan aktiviti atau hobi mengenai burung yang paling popular di dunia dan beribu-ribu peminat burung sanggup berbelanja besar kerana aktiviti ini. Eko-pelancongan merupakan industri yang bernilai US$60 juta setahun. Melihat burung pemangsa ialah satu acara unik dan satu daripada eko-pelancongan paling menarik di Malaysia. Ekonomi tempatan serta hotel sudah tentu akan mendapat faedah daripada aktiviti ini. Tanjung Tuan disenaraikan sebagai antara lokasi melihat raptor oleh pelbagai pertubuhan burung dan juga National Geographic Society. Di sini, selain daripada melihat burung pemangsa, pengunjung boleh merentasi hutan dan paya bakau secara ‘nature walk’ dan menikmati keindahan saki-baki hutan hujan khatulistiwa yang masih wujud di Pantai Barat di Semenanjung.