Oleh : Prof. Madya. Dr Azwan Mat Lazim & Mariam Zainal
Fakulti Sains & Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia
Memiliki kulit yang sihat, cantik dan tiada kedutan menjadi idaman setiap manusia, terutama golongan wanita. Malah, kulit mulus yang berseri menjadi lambang keanggunan seorang individu. Namun begitu, disebabkan oleh faktor usia, keanjalan dan keelastikan kulit semakin berkurang seterusnya menjadi kendur. Penuaan menyebabkan lapisan epidermis menjadi semakin nipis. Selain itu sel-sel pigmen (melanosit) semakin berkurangan. Kulit yang mengalami proses penuaan akan kelihatan lebih kering, kusam dan tidak bermaya. Namun begitu keremajaan hayat kulit boleh dilestarikan. Apakah rahsianya? Jawapan mudah ada pada ulam pegaga!
Centella asiatica adalah sejenis tumbuhan herba yang tergolong dalam famili Umbelliferae. Bagi masyarakat setempat, tumbuhan ini turut dikenali sebagai Pegaga, Gotu kola, Indian Pennywort, dan Tiger grass. Oleh kerana mempunyai pelbagai khasiat, tumbuhan ini banyak digunakan dalam perubatan Ayurverdik di India, perubatan tradisional masyarakat Cina dan Madagaskar bagi merawat masalah kesihatan. Bagi masyarakat Melayu, pegaga lebih gemar dijadikan sebagai makanan atau ulam. Tumbuhan bersaiz kecil ini tumbuh secara liar dan menjalar di atas semua jenis keadaan tanah. Terdapat lebih kurang 50 spesies pegaga yang mana setiap satunya memerlukan kadar cahaya matahari yang berbeza. Daun pegaga bersaiz di antara 10 ke 40 mm lebar, malah ada juga yang boleh menjangkau sehingga 70mm lebar, bergantung kepada spesies dan kadar nutrisi yang diterima tumbuhan tersebut. Daunnya berbentuk seperti kipas, ginjal, atau otak dengan bahagian tepinya bersifat licin atau bergerigi mengikut spesies. Tumbuhan ini mempunyai bunga dalam jambak 3 ke 4 kuntum dan kelopaknya berwarna putih atau merah jambu. Manakala, buahnya berbentuk pipih berukuran 3mm dan kelihatan seperti biji cili.
Sejak berabad lamanya, pegaga telah digunakan dalam perubatan tradisional bagi masyarakat Asia untuk merawat pelbagai masalah kesihatan khususnya masalah berkaitan dermatologi, seperti menyembuhkan luka-luka ringan, parut dan bertindak sebagai anti-keradangan, khususnya bagi penyakit ekzema. Tumbuhan ini mempunyai ciri-ciri antibakteria, antivirus dan antipiretik dipercayai mampu merawat penyakit kronik seperti bronkitis (bengkak pada tiub udara di kerongkong), asma, rembesan gastrik, cirit-birit, masalah buah pinggang dan dropsi (penyakit disebabkan oleh pengumpulan air dalam badan). Masyarakat dahulu turut percaya bahawa tumbuhan ini mampu menurunkan tekanan darah dengan cepat dan rahsia kepada kejelitaan awet muda. Herba ini boleh diaplikasikan dengan pelbagai cara, seperti dijadikan sebagai ulam dalam hidangan, dan air minuman atau tonik yang mampu menyejukkan badan. Selain itu, daun pegaga yang dipanaskan sehingga kering atau dijadikan jus didapati mampu merawat cirit-birit. Khasiat jus pegaga ini bukan sahaja sekadar menyembuhkan penyakit fizikal, bahkan ia turut dijadikan tonik kecerdasan minda oleh masyarakat India.
Menurut kajian saintifik, Centella asiatica mempunyai sebatian kimia “Madecassoside” dan “Asiaticoside yang tergolong dalam kelas “triterpenine” merupakan antara bahan aktif terpenting dalam penghasilan produk kecantikan yang berfungsi sebagai agen anti-penuaan dan merawat parut jerawat. “Madecassoside” merangsang pengeluaran kolagen jenis III kerana ianya dapat menggalakkan pengeluaran kolagen dalam badan. Kolagen adalah protein semula jadi yang dihasilkan oleh badan dan berfungsi sebagai gam untuk mengekalkan struktur badan dan dapat membantu memberikan keanjalan kepada kulit. Asiaticoside pula adalah sebatian kimia yang dihasilkan oleh tumbuhan sebagai sebahagian daripada mekanisme pertahanan pokok. Di dalam produk kecantikan, sebatian kimia ini berfungsi bagi merawat luka dan parut jerawat sekaligus, meratakan kulit wajah. Asiaticoside turut menggalakkan penghasilan kolagen jenis I, yang penting untuk mengekalkan keremajaan dan keanjalan kulit. Oleh yang demikian, kedua jenis ekstrak sebatian kimia yang ada pada Centella asiatica adalah amat penting bagi menghasilkan produk kecantikan yang mampu menghilangkan kesan jerawat dan bintik hitam dis amping, bertindak sebagai agen anti-penuaan.
Selain itu, pegaga juga didapati mengandungi antioksidan yang tinggi setanding dengan tumbuhan lain dengan kadar aktiviti antioksidan yang tinggi seperti Rosmari (rosemary) dan Sej (sage). Antioksidan berfungsi untuk mengurangkan proses pengoksidaan dalam tubuh yang boleh merosakkan sel kulit sihat dan menyebabkan kondisi stres oksidatif yang berpunca daripada kenaikan kadar radikal bebas dalam badan. Hal ini boleh menyebabkan wujudnya kedutan dan garis halus pada wajah yang membuatkan seseorang itu nampak lebih berusia daripada umur sebenar. Tumbuhan herba ini juga dikatakan tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan Vitamin C dan ekstrak biji anggur yang terbukti mempunyai tahap antioksidan yang tinggi. Kandungan antioksidan yang tinggi telah menjadikan tumbuhan ini mempunyai sifat anti-inflamasi yang bertindak untuk melegakan keradangan kulit berpunca daripada kesan tindak balas terhadap alergi, cuaca dan pencemaran.
Pegaga turut membantu untuk mengekalkan kelembapan kulit wajah (hidrasi). Kelembapan kulit adalah amat penting bagi penghasilan sel kulit baharu, mengawal pengeluaran sebum dan menguatkan lapisan ketahanan kulit terhadap cahaya matahari dan pertumbuhan bakteria yang boleh menyebabkan masalah jerawat dan kulit kusam. Hal ini kerana, ekstrak Centella asiatica mengandungi triterpene saponin, iaitu salah satu rantaian gula hidrofilik yang terdiri daripada glukosa dan rhamnose, berfungsi untuk memerangkap lembapan atau molekul air, lalu membentuk lapisan “occlusive”. “Occlusive” adalah satu lapisan pelindung yang menghalang atau mengurangkan kehilangan molekul air dari dalam kulit. Tambahan pula, kulit wajah yang mempunyai kelembapan yang optimum juga dapat melambatkan dan menghilangkan kesan kedutan pada wajah sekaligus melambatkan proses penuaan membuatkan kulit seseorang itu tampak lebih muda dan sihat. Oleh sebab itu, penggunaan krim pelembap, serum, topeng muka dan produk kecantikan lain yang mengandungi ekstrak herba ini adalah amat sesuai bagi mereka yang mempunyai masalah kulit kering mahupun berminyak.
Tumbuhan kecil ini juga mengandungi kandungan asid amino, beta-karotena, asid lemak, dan fitokimia, seperti vitamin C, A, B1, and B2 yang tinggi, di mana ianya kombinasi bahan-bahan ini membantu meningkatkan pengeluaran kolagen yang mebantu menguatkan lagi sistem pertahanan kulit, di samping berfungsi sebagai agen anti-inflamasi dan anti-bakteria. Sebagai comtoh, Vitamin B1 atau juga dikenali sebagai thiamin memiliki sifat antioksidan yang kuat, berperanan untuk melancarkan perjalanan darah, yang penting bagi pertumbuhan sel baru yang cepat dan sihat. Vitamin B2 atau riboflavin pula berperanan untuk mencegah pertumbuhan jerawat dan turut membantu dalam proses penghasilan mukus dalam kulit yang membantu menjadikan kulit wajah bertambah lembut. Oleh itu, ekstrak tumbuhan ini amat sesuai bagi mereka yang ingin merawat masalah kulit berjerawat atau kulit sensitif.
Kesimpulannya, Centella asiatica atau pegaga ini terbukti mempunyai banyak kebaikan yang mampu merawat masalah kulit dan mengekalkan keremajaan kulit wajah seseorang. Sifat-sifat seperti anti-inflamasi, anti-penuaan, mengekalkan kelembapan kulit, dan, anti-bakteria merupakan sebab utama mengapa tumbuhan ini semakin banyak diaplikasikan dalam produk-produk kecantikan, bukan sahaja di Asia seperti Korea,malah semakin mendapat perhatian negara barat dan tempatan. Dengan bantuan teknologi kini, ekstrak pegaga ini diterjemahkan dalam pelbagai bentuk produk, seperti dalam bentuk gel, cecair, emulsi, tablet, dan lain-lain, bagi memaksimakan lagi potensi dan keberkesanan tumbuhan ini sebagai produk kecantikan.
Rujukan
- Rattanakom S, Yasurin P. (2014). Review: Antibacterial, Antioxidant and Chemical Profile of Centella asiatica. Biomed and Pharmacology Journal, 7(2). Doi: 10.13005/bpj/510
- Ratz-Lyko A., Arct J., & Pytkowska K. (2016). Moisturizing and Antiinflammatory Properties of Cosmetic Formulations Containing Centella asiatica Extract. Indian Journal of Pharmaceutical Sciences, 78(1): 27-33.
- Lapidos R. (2019). Most Potent Skin-Care Antioxidants Around. Well+good. Retrieved from https!//www.wellandgood.com/antioxidants-for-skin-benefits/amp/
- Malisa, A. (2020, December 9). Skincare Korea Banyak Guns Bahan Magik ‘Cica’, Ini Yang Best Tentangnya. Wanita. Retrieved from https://wanista.com/2020/182167/skincare-korea-banyak-guna-bahan-magik-cica-ini-yang-best-tentangnya/
- Herv, J. (2021, January 13). Ulam Pegaga Adalah Centella Asiatica. Retrieved from https://herv.my/blogs/tips-info/ulam-pegaga-adalah-centella-asiatica
- Abelman, D. (2018, August 14). Why Cica is the Latest K-Beauty Ingredient Taking Over Skin-Care Products. Allure. Retrieved from https://www.allure.com/story/what-is-cica-ingredient-korean-beauty-skin-care
Kredit Foto : self