Oleh : Dr Fatin Izzati Minhat
Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu
Fenomena kenaikan aras laut adalah amat sinonim dengan isu pemanasan global. Banyak kajian menunjukkan bahawa kenaikan aras air laut akibat pemanasan global pada masa kini adalah tidak dapat dielakkan. Ini bermakna, jangkaan peningkatan aras laut di seluruh dunia pasti akan berlaku. Namun begitu, kenaikan aras air laut adalah tidak seragam di seluruh dunia. Oleh yang demikian, kawasan yang berlainan akan mengalami perbezaan tempoh dan magnitud kenaikan yang berbeza.
Salah satu faktor yang menyumbang kepada fenomena ini adalah perbezaan bentuk muka bumi (geomorfologi), geofizikal bumi dan saiz lembangan lautan. Oleh yang demikian, pemanasan global yang berterusan akan menyebabkan kawasan yang hampir dengan kutub mengalami penurunan aras laut manakala kawasan khatulistiwa seperti Malaysia bakal mengalami kenaikan aras laut yang melampau.
Kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara maritim yang di kelilingi laut menjadikan kajian kenaikan paras laut amat signifikan. Kajian seperti ini mampu membantu negara dalam menyediakan pelan mitigasi bagi melindungi ekonomi dan kehidupan masyarakat pesisir pantai.
ARTIKEL BERKAITAN : Potensi Produk Kecantikan Daripada Ubur-Ubur
Untuk meramal apa yang akan berlaku pada masa hadapan, kita perlu melihat kembali apa yang telah berlaku sebelum ini. Hal ini kerap kali dititikberatkan dalam peri pentingnya pengajaran sejarah untuk memahami pembinaan dan kajatuhan sesuatu tamadun. Begitu juga halnya dengan kajian perubahan iklim perlu melihat kepada sejarah kenaikan arus lautan pada masa lampau.
Kajian pemahaman iklim zaman purba ini banyak tertumpu pada bukti geokimia dan peninggalan fosil di dalam sedimen (tanah). Antara fosil yang kerap digunakan bagi tujuan kajian iklim purba adalah organisma laut kecil (mikroskopik) yang dikenali sebagai foraminifera. Foraminifera adalah organisma sel tunggal, berkait rapat dengan amoeba tetapi memiliki struktur seperti cengkerang yang melindungi sel mereka. Antara kelebihan foraminifera adalah kebolehan mereka merekod dan merakam perubahan kimia di laut semasa hidup. Sebaik sahaja foraminifera ini mati, cengkerang pada jasad mereka bersama-sama merekod komposisi kimia persekitaran mereka dan maklumat ini tersimpan sebagai fosil di dasar lautan.
Analisis kimia pada cengkerang fosil foraminifera akhirnya membantu para penyelidik untuk melakukan interpretasi dan ramalan keadaan iklim pada masa lampau sehingga menjangkau 10 ribu tahun dahulu. Oleh itu, sebagai seorang ahli mikropaleontologi, Usaha mendokumentasikan pelbagai spesies foraminifera yang terdapat di sekitar perairan Malaysia adalah amat penting. Data-data dan pemahaman tentang corak perubahan spesies foraminfera moden dapat digunakan untuk membuat interpretasi persekitaran dan iklim lampau.
Pada ketika ini, kumpulan penyelidikan Geologi Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sedang giat mengumpulkan dan merakam data yang terdapat dalam pasir (sedimen) di dasar lautan negara. Antara analisis yang dijalankan adalah mengenal pasti kumpulan foraminifera dan corak taburan mereka. Data persekitaran seperti kedalaman air, kemasinan, suhu dan tahap keasidan turut direkodkan bagi tujuan permodelan kelak. Secara ringkasnya, keseluruhan data yang dikumpulkan ini digunakan untuk memahami ciri-ciri habitat kumpulan foraminifera dan tindak balas mereka terhadap perubahan di persekitarannya.
Nota: Penulis merupakan pensyarah Program Sarjana Muda Sains (Geologi Marin) di Universiti Malaysia Terengganu yang terlibat aktif dengan Institut Oseanografi dan Sekitaran dalam pelayaran di Laut China Selatan dan Selat Melaka bagi projek pembinaan semula peta permukaan lautan dan suhu persekitaran semasa Zaman Holosen (bermula 10 ribu tahun dahulu). Penulis boleh dihubungi melalui fatinminhat@umt.edu.my
#LiterasiLautanUntukSemua
Kredit Foto : saltgiantfellowship