Oleh : Onn Azli Bin Puade
Artikel asal disunting & diterbitkan dengan kebenaran penulis
Diterbitkan pada 5 Disember 2020
Baru-baru ini, kita dihebohkan dengan satu kes mengenai seorang wanita yang ingin membuat tuntutan saman kepada salah seorang doktor / selebriti atas pelbagai tuduhan yang mana masih belum disahkan memandangkan kes ini amat baru dari tarikh penulisan artikel ini. Namun, seperti yang selalu saya terangkan kepada anda semua, setiap perkara yang terjadi pasti ada sedikit pengajaran dan perkara baru yang kita boleh pelajari.
Oleh itu, saya ingin berkongsi kepada anda mengenai pembedahan yang dilakukan untuk merawat masalah pesakit yang obese. Saya menggunakan carta BMI yang dikhaskan untuk orang Asia dan menjadi rujukan bagi pakar pemakanan atau perubatan di KKM. Terlebih dahulu saya ingin membuat penafian bahawa tujuan penulisan artikel ini hanyalah untuk berkongsi pengetahuan semata-mata dan tiada perkaitan atau menyasarkan kepada mana-mana golongan mahupun individu di luar sana.
Anda perlu memahami bahawa pembedahan ini bukanlah untuk menguruskan badan atau body-sculpting semata-mata, sebaliknya, pembedahan ini adalah untuk merawat masalah ketagihan kepada makanan, khususnya kepada makanan yang tinggi kandungan gula, lemak tepu serta pelbagai jenis elektrolit yang boleh membawa kepada penyakit lain. Itulah sebabnya mengapa pembedahan plastik yang bersifat kosmetik atau liposuction tidak tergolong dalam kategori yang sama dengan pembedahan bariatrik.
Sedikit informasi yang ingin saya kongsikan kepada anda semua. Prosedur liposuction tidak mempunyai kesan terhadap berat badan seseorang dan BUKAN merupakan rawatan kepada masalah obesiti, sebaliknya, prosedur ini bertujuan untuk mengubah bentuk badan, tidak kira sama ada dengan tujuan kosmetik mahupun untuk merawat sesetengah masalah perubatan (Medically Necessary Liposuction) seperti ketumbuhan lemak (lipoma) yang mempunyai risiko kesihatan seperti penyumbatan pada usus (duodenal lipoma) atau himpitan pada salur darah utama (intramediastinal lipoma can leads to superior vena cava syndrome).
Sebelum itu, untuk memudahkan pemahaman kita semua, perkataan Bariatrik berasal daripada perkataan Greek yang digabungkan untuk menjadi terminologi perubatan. Bar– bermaksud berat, –iatr– bermaksud rawatan dan –ic bermaksud berkenaan. Jadi, secara asasnya, perkataan Bariatrik membawa maksud rawatan kepada masalah berat badan.
Untuk pengetahuan anda, doktor perubatan selalunya akan cuba sedaya-upaya untuk mengelakkan pesakit daripada dibedah kerana risiko pembedahan (invasive procedure) dan ubat bius perlu diambil kira, ditambah lagi dengan risiko masalah penyakit yang dialami pesakit. Kiranya, rawatan dalam bentuk pembedahan ini selalunya merupakan rawatan yang terakhir (last resort).
Contoh yang paling asas adalah masalah sakit lutut (osteoarthritis). Sememangnya, doktor akan memberi ubat terlebih dahulu, seperti ubat tahan sakit atau kadangkala, suntikan pada ruangan sendi untuk memperlahankan progress penyakit tersebut. Namun, andai kata ubat-ubatan dan suntikan tidak lagi membantu pesakit, rawatan yang terakhir adalah dengan cara pembedahan total knee replacement.
Jadi, dalam kes pesakit obesiti, sekiranya pesakit gagal untuk mengawal pemakanan yang disyorkan oleh pakar pemakanan (dietician) atau ubat-ubatan yang diberi juga gagal merawat pesakit, maka, pembedahan bariatrik terpaksa dilakukan.
Sebenarnya, pembedahan ini merupakan rawatan untuk mengelakkan komplikasi yang akan terjadi daripada masalah obesiti seperti peningkatan risiko untuk penyakit angin ahmar, sakit jantung, kencing manis, masalah pada sendi, masalah ‘immobilization’ berpanjangan dan lain-lain.
Pembedahan Bariatrik terbahagi kepada 3 kategori (saya tidak masukkan electrical impulse atau vagal blockade); Mengehadkan jumlah makanan yang boleh diambil pada satu-satu masa atau Restrictive, memastikan usus gagal menyerap zat dan nutrien daripada makanan atau Malabsorption, dan kombinasi kedua-dua Restrictive dan Malabsoption. Jadi, mari kita baca beberapa jenis pembedahan yang sering dilakukan untuk pesakit.
ADJUSTABLE GASTRIC BAND (AGB)
Untuk pembedahan yang selalunya dilakukan menggunakan kaedah laparoskopik (meminimumkan saiz luka pembedahan untuk memastikan jangka masa yang pendek untuk pesakit pulih), satu alat getah digunakan untuk mengikat perut pesakit. Getah ini juga boleh diubah dan dikawal oleh doktor mengikut kepada keadaan pesakit. Disebabkan getah yang diikat itu berada pada bahagian atas perut pesakit, maka, pesakit akan rasa kenyang dengan cepat.
Bukaan kecil yang menyebabkan sedikit sahaja makanan untuk bergerak ke bawah memastikan pesakit tidak makan terlalu banyak kerana sekiranya pesakit masih lagi ingin makan seperti sebelum ini, pesakit akan muntah kerana makanan tersebut akan berkumpul di bahagian atas perut pesakit dan tidak bergerak ke bawah dengan pantas. Kaedah pembedahan restriktif ini merupakan yang paling selalu digunakan kerana pembedahan biasanya mengambil masa di antara 30 minit hingga 1 jam dan pesakit boleh dibenarkan pulang ke rumah keesokan harinya. Kos pembedahan ini adalah dalam lingkungan RM10,000 – 20,000.
LAPAROSCOPIC SLEEVE GASTRECTOMY
Berbeza dengan prosedur gastric banding, pembedahan ini akan membuang di antara 80 hingga 90 peratus bahagian perut pesakit. Ianya tidak boleh diubah (irreversible) dan boleh dilakukan dengan kaedah laparoskopik. Pembedahan ini mengurangkan jumlah makanan yang diambil oleh pesakit menggunakan kaedah restriktif.
Mengikut kepada artikel yang diterbitkan oleh American Society of Metabolic and Bariatric Surgery (ASMBS), pembedahan ini membolehkan seseorang itu boleh mengurangkan berat badan sehingga lebih daripada 50 peratus dalam masa 3 hingga 5 tahun. Pembedahan ini juga mengambil masa di antara 1 hingga 2 jam.
Berbeza dengan gastrik banding, risiko untuk seseorang itu mendapat jangkitan kuman adalah jauh lebih rendah memandangkan tiada bendasing yang dimasukkan ke dalam badan pesakit. Pembedahan yang menelan kos sehingga RM25,000 hingga 30,000 ini juga selalunya akan diteruskan dengan pembedahan yang lain andai kata pesakit tidak boleh mencapai sasaran yang ditetapkan walaupun mengikut diet dan senaman yang disyorkan.
Komplikasi seperti kebocoran pada tempat jahitan boleh berlaku dan membawa kadar kematian yang tinggi sekiranya isi dalam perut pesakit keluar ke bahagian peritoneum, mengakibatkan peritonitis walaupun jarang kali dilihat. Pesakit perlu dimasukkan ke wad sehingga 5 hari dengan masa pemulihan selama 2 hingga 3 minggu.
ROUX-EN-Y GASTRIC BYPASS (RYGB) SURGERY
Untuk pengetahuan anda, nama Roux-En-Y ini sebenarnya adalah gabungan nama pakar bedah yang pertama melakukan teknik end to end anastomosis, iaitu César Roux dan jika anda lihat pada gambar yang saya gunakan, gabungan bahagian jejunum dan bypassed duodenum membentuk huruf Y
Walaupun nama pembedahan ini nampak menakutkan, pembedahan ini merupakan salah satu prosedur yang paling kerap dilakukan sebelum kedatangan teknologi dalam perubatan seperti gastric banding surgery. Pembedahan ini menggunakan gabungan konsep restriktif dan malabsorption untuk memastikan pesakit mencapai target berat badan mereka. Terdapat beberapa teknik gastric bypass surgery yang lain dan mempunyai objektif yang sama. Untuk RYGB, saiz perut dikecilkan terlebih dahulu (restriktif) dan kemudiannya akan disambungkan kepada bahagian usus kecil iaitu jejunum.
Perkataan bypass ini bermaksud pintasan dibuat untuk membolehkan makanan yang dimakan terus ke jejunum tanpa melalui duodenum. Anda pasti hairan bukan? Mengapa kita tak buang sahaja bahagian bypassed duodenum tersebut? Terdapat 2 sebab iaitu yang pertama, bahagian duodenum yang kedua bersambung dengan satu lubang di mana enzim dan kandungan alkali akan dirembeskan oleh kelenjar pankreas untuk tujuan penghadaman makanan (amylase, lipase, protease dll) dan yang kedua, hanya bahagian pertama duodenum sahaja yang boleh digerakkan (mobile) oleh pakar bedah dan selebihnya (2nd, 3rd and 4th part of duodenum) terletak di retroperitoneum dan tidak boleh digerakkan (fixed).
Bahagian usus kecil yang bernama jejunum pula bergerak dan mempunyai kepanjangan sehingga 2 meter, memudahkan pakar bedah untuk menggerakkannya dan menyambungkan secara terus kepada bahagian perut. (Saya mohon maaf sebab ini adalah usaha saya yang terbaik untuk membolehkan para pembaca memahami terminologi perubatan untuk konsep di sebalik pembedahan ini).
Jadi, bahagian usus yang pendek akan mengakibatkan sedikit sahaja nutrien dan zat makanan yang diserap (malabsorption). Untuk orang yang tidak mempunyai masalah obesiti, pembuangan usus kecil seperti dalam kes kanser atau kecederaan ini mengakibatkan pesakit mengalami malnutrisi dan hal ini dikenali sebagai Short Bowel Syndrome. Namun, untuk pesakit yang obese, tujuan utama pembedahan ini sememangnya khusus untuk mengurangkan penyerapan makanan.
Pembedahan ini mengambil masa sehingga 3 jam dengan kos rawatan bernilai RM30,000 hingga RM40,000 andai kata pembedahan tersebut tiada masalah. Mengikut kepada jangka masa panjang, pembedahan ini adalah yang terbaik dan kedatangan teknologi laparoskopik membantu pesakit untuk sihat dengan cepat (2-3 hari dalam wad dan 3-4 minggu untuk pemulihan sepenuhnya).
INTRAGASTRIC BALLOON PROCEDURE
Prosedur ini sebenarnya tidak boleh kita katakan sebagai pembedahan, namun, ianya amat sesuai untuk pesakit yang mempunyai BMI di antara 30 hingga 40. Juga, prosedur ini sesuai dilakukan kepada pesakit yang morbidly obese (BMI >40) tetapi tidak sesuai untuk dibedah memandangkan komplikasi bius yang tinggi serta mempunyai banyak penyakit yang lain seperti tekanan darah yang tidak dikawal, kencing manis, sejarah terkena angin ahmar dan lain-lain.
Konsepnya agak straightforward (restrictive), yang mana menerusi kaedah endoskopi (macam OGDS), belon silikon akan dikembangkan di dalam perut pesakit. Pesakit selalunya akan diberi bius yang biasa untuk mengurangkan ketidakselesaan semasa prosedur ini dilakukan. Prosedur ini mempunyai sasaram untuk mengurangkan berat badan sehingga 25 kilogram. Belon ini kemudiannya akan dibiarkan sehingga 6 bulan untuk membolehkan anda mengubah gaya hidup dengan bantuan belon tersebut yang akan membuatkan anda rasa cepat kenyang. Sekali lagi, teknik endoskopi akan digunakan untuk mengeluarkan belon tersebut.
Prosedur ini menelan kos hampir RM11,000 dan dilakukan secara outpatient, bermakna, selepas lebih kurang 30 minit prosedur tersebut dilakukan, anda boleh pulang ke rumah pada hari yang sama.
KESIMPULAN
Sama seperti kondisi atau masalah perubatan yang lain, masalah sesuatu penyakit itu tidak akan berjaya dirawat andai kata pesakit masih lagi tidak mengubah gaya kehidupan mereka, Contoh yang biasa kita lihat adalah dalam penyakit kemurungan di mana pesakit tidak boleh mengharapkan segala masalah yang dihadapi oleh mereka itu akan selesai dengan memakan ubat-ubatan yang diberikan, tetapi tidak berusaha untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Konteksnya sama dengan sesetengah pesakit yang mengalami masalah obesiti. Meletakkan kebergantungan pada ubat-ubatan kurus yang tidak diketahui keberkesanannya atau pembedahan boleh membuatkan mereka mencapai BMI yang sihat adalah salah sekiranya kawalan pemakanan dan senaman tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Pembedahan dan kebanyakan rawatan sebenarnya adalah rawatan untuk sokongan sahaja. Rawatan yang paling penting adalah keazaman dan motivasi diri yang penting bagi membolehkan diri untuk sihat sepenuhnya.
Rujukan
American Society for Metabolic and Bariatric Surgery Article; Bariatric Surgery
Bariatric Malaysia Website; The True Cost of Bariatric Surgery; by Dato’ Dr Tikfu Gee
NCBI Pubmed Article; Malabsorption as a therapeutic Approach In Bariatric Surgery by Adrian T Billeter
NHS UK on Overview of Weight Loss Surgery
NCBI Pubmed Article; Intragastric Balloon for Obesity Treatment: Safety, Tolerance and Efficacy
Berikan Komen Anda Di Sini