Tokoh fizik Profesor Emeritus Dato Dr. Muhammad Yahaya tidak asing lagi di kalangan fizikawan di negara ini. Beliau merupakan presiden Sains dan Teknologi Keadaan Pepejal Malaysia (Malaysia Solid State Science & Technology Malaysia- MASS. Berkhidmat sebagai pensyarah sejak tahun 1970-an, pernah dilantik sebagai Felo penyelidik di International Center of Theoretical Physics (ICTP), Trieste, Italy dan memegang pelbagai jawatan utama di Univeristi Kebangsaan Malaysia. Ikuti temubual oleh Dr. Norinsan Kamil Othman bersama Prof Dato. Dr Muhammad Yahaya.
Boleh Dato’ ceritakan sedikit latar belakang Dato’ di UKM?
Fizik diantara tunggak bidang yang terawal di UKM, ditubuhkan semasa penubuhan UKM, dalam Fakulti Sains pada tahun 1970. Pada masa itu pensyarah Fizik terdiri daripada tenaga pengajar Indonesia dan Sukarelawan Amerika. Setelah tamat ijazah DRS (Institut Teknologi Bandung) pada tahun 1973, saya terus dilamar bekerja di UKM bak kata orang pada zaman itu seperti “Pejabat mencari Pekerja”. Dengan hanya berbekalkan buku Halliday Resnick, Sears, Schiff dan Kittel, saya mengajar Fizik Pepejal, Fizik Kesihatan, menjaga makmal dan memberi tutoran kepada pelajar. Kami juga sibuk dengan pengistilahan untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Sains yang mana DBP diibaratkan sebagai pejabat kedua saya.
Dua tahun kemudian saya berangkat ke Monash Australia melanjutkan pelajaran pada peringkat PhD. Ketua Jabatan pada masa itu adalah Dr. Zawawi Ismail yang agak keberatan melepaskan saya kerana kekurangan tenaga pengajar. Walau bagaimanapun saya bernasib baik kerana biasiswa Comonwealth yang saya perolehi telah menetapkan syarat untuk saya melanjutkan pelajaran pada tahun tersebut. Setelah selesai pengajian PhD, saya terus dilantik sebagai Ketua Jabatan Fizik, bersama dengan Dr Sukiman Sarmani Ketua Jabatan Sains Nuklear dan Dr Zahari Ketua Jabatan Elektronik. Ketika itu Dr Muhamad Salleh baru pulang dari England, Dr Khalijah Saleh (Arwah) dari USA, Dr Mazlan dari New Zealand dan Dr Baharuddin Yatim dari United Kingdom. Sehingga kini telah mencapai 40 tahun saya mengajar, menyelidik dan menerbit dalam bidang Fizik. Penyelidikan kami yang pertama adalah berkaitan dengan Filem Nipis, dengan menggunakan peralatan pemejalwapan (evaporator) di UTM Jalan Gurney dengan bantuan Dr Bakar Ismail (arwah). Pada masa itu, tidak ramai yang menghasilkan jurnal dan kebanyakkannya adalah hasil daripada kajian PhD masing-masing. Saya telah di lantik sebagai Felo di International Center of Theoretical Physics (ICTP), Trieste, Italy untuk melakukan penyelidikan selama 6 tahun. Saya juga ditawarkan Fullbright Fellowship ke Brown University dan KFA, Julich dan dilantik menerajui pentadbiran di pelbagai Pusat di UKM. Itulah cebisan pengalaman saya.
Bagaimana pandangan Dato’ tentang senario penyelidikan di UKM kini? Agak menarik, senarionya jauh berbeza dari dulu. Ada ketua Nic dan Dekan. Ketua Nic diberi kuasa memantau penyelidikan ahli di bawahnya. Manakala Dekan menguruskan hal pentadbiran supaya sederap dengan pimpinan. Fakulti besar harus sederap, Top down dan bottom up harus serasi. Seharusnya kita perlu berani menyatakan keupayaan kita untuk membangunkan sesuatu entiti. Sebenarnya diperingkat Pusat Pengajian yang lebih penting untuk menentukan hala tuju penyelidikan, kekuatan dan kemudahan yang ada. Pelan strategi juga berbeza, dari aspek Penerbitan dan H-indeks. Pada hemat saya yang penting impak kepada masyarakat dan bukan bilangan penerbitan. Saya ingin tambah lagi, pemberian geran harus bersifat selektif, beri sokongan pada kumpulan yang berpotensi tinggi, jangan bersifat sama rata. Penyelidik perlu mencari projek penyelidikan berpotensi tinggi, berskala besar dan saling membantu bagi menghasilkan impak yang lebih besar. Seperkara lagi, pelajar Phd merupakan aset paling penting sebagai pemacu atau ‘driver’ dalam menghasilkan penyelidikan yang bermutu selaras dengan tranformasi kerajaan.
Program ini harus disusun dan dinilai semula dari masa ke semasa secara holistik dan sistematik agar lebih ramai calon datang ke Fakulti kita.
Baru-baru ini Dato’ memimpin satu ‘group young scientist’ ke Lindau bertemu dengan Nobel laureates. Apa pandangan Dato’, Mungkinkah Malaysia menghasilkan Nobel Fizik dalam masa 10 tahun akan datang?
Terus terang saya katakan tidak. Saya harap jawapan ini tidak benar kerana ada beberapa sebab saya mengatakan sedemikian iaitu budaya penyelidikan di Malaysia masih lagi baru dan kemudahan kita masih jauh ke belakang. Tambahan pula sistem yang ada sekarang telah menghadkan umur persaraan 60 tahun. Jika dilihat, pemenang Nobel Fizik baru-baru ini iaitu François Englert dan Peter W. Higgs berumur 84 tahun dan masih aktif menjalankan penyelidikan. Jadi penyelesainya bagaimana?. Jelaslah disini, kita memerlukan kelengkapan makmal dan peralatan yang canggih disamping menambah bilangan penyelidik dan menjalankan jaringan kerjasama dengan pihak luar. Saya berpendapat bahawa bidang yang mempunyai potensi besar dalam melahirkan Nobel laureates adalah nanoteknologi, superkonduktiviti, Graphene dan Giant magnetoresistance (GMR). Dalam bidang superkonduktiviti penyelidik mula berminat menggunakan Ferum sebagai bahan asas seperti yang ditemui oleh penyelidik dari Jepun. Dalam sel nano suria pula, penyelidik lebih berminat menggunakan perosvkite sebagai bahan baru dalam pembinaan sel solar. Halatuju penyelidikan baru ini cukup menarik untuk kita ceburi sederap dengan penyelidikan terkini.
Sebagai tambahan, Dato’ terlibat dalam panel Universiti Penyelidikan (UP), FRGS dan HICOE di Kementerian Pendidikan Malaysia. Apakah ada kesan UP pada pensyarah biasa?
Semenjak wujudnya Universiti Penyelidikan (UP), lonjakan penerbitan dilihat begitu ketara sekali. Ada yang tidak bersetuju dengan istilah UP kerana semua universiti membuat penyelidikan. Jadi mengapakah perlu ada nama khas ini? Sebenarnya maksud UP ialah Research Intensified University. Sememangnya semua universiti buat penyelidikan tetapi penyelidikannya lebih intensif dengan tambahan geran berjuta ringgit. Tujuan wang ini hanya untuk penyelidikan, tetapi bukan membeli bas, road show atau publisiti yang tiada kaitan dengan penyelidikan. Balik pada soalan tadi, Pengurusan Universiti biasanya mengagihkan wang ini untuk membeli peralatan dan projek penyelidikan, tentulah termasuk pensyarah biasa dan kumpulannya. Wang ini bukan ‘durian runtuh’, atas alasan membina jaringan, setiap tahun kena ada laporan dan audit.
Mengapa Dato’ berpindah bidang penyelidikan?
Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi perpindahan ini. Pertama geran dan kedua kemudahan yang ada. Di awalnya saya terlibat dalam bidang tenaga kemudian berpindah ke bidang superkonduktor. Semasa terlibat dengan tenaga kami telah berjaya menubuhkan rangkaian tenaga dikenali sebagai Institute of Energy. ‘Live is a journey and not a destination’. Perpindahan dari tenaga kepada superkonduktor telah menyuntik semangat saya apabila Müller and Bednorz, mendapat hadiah nobel pada tahun 1987. Mereka telah berjaya menemukan bahan baru Bismuth Strontium Calcium Copper Oxide (BSCCO) superkonduktor bersuhu tinggi. Dr Jamil Suradi dari UPM merupakan pelajar pertama saya. Kemudian di sambung oleh Dr. Eddy Marlianto dari Sumatera. Dr Mohd Noh Dalimin (Naib Canselor UTHM) merupakan rakan penyelidikan saya dalam bidang ini. . Geran IRPA telah banyak membantu dalam penyelidikan pada masa itu. Banyak peralatan yang kami beli menggunakan peruntukkkan IRPA. Kepulangan Prof Roslan terus menyemarakkan lagi bidang ini kerana beliau diijazahkan dalam bidang ini. Jadi untuk menjawab soalan ini perpindahan bidang dalam penyelidikan ini adalah lumrah. Fizik cukup luas dan pelbagai. Sekarang saya dan kumpulan saya kekal dalam penyelidikan filem nipis dan aplikasinya termasuk superkonduktor. Penyelidikan kami sekarang ialah filem nipis menjurus kepada aplikasi, seperti sensor, sel suria LED dan piezoelektrik.
Apakah Dato’ pernah kecewa dalam penyelidikan?
Terlalu banyak kekecewaan yang dialami, diantaranya gagal mendapatkan hasil, tiada peralatan, pegawai penyelidik pindah, berhenti dan sebagainya. Di zaman IRPA beberapa permohonan penyelidikan kami di tolak atas dasar ada kumpulan lain yang akan buat dan tiada penyelidikan asas. Akhirnya kami mengundang panel pemberi geran dan meminta penjelasan mengapa permohonan kami tidak disokong. Permohonan kali kedua baru di terima. Pernah juga suatu ketika dulu kami cuba menjual idea ini kepada Lembaga Timah, kononnya untuk mempromosi logam tersebut agar kami memperolehi geran daripada mereka.
Mengapa tidak membuat Publisiti penyelidikan supaya lebih dikenali?
Pejabat perhubungan awam (PRO) sentiasa mencari hasil penyelidikan yang mahu dihebahkan kepada masyarakat dimasa lalu. Boleh dikatakan setiap bulan para penyelidik mengadakan sidang akhbar. Malah kami pernah di jadikan bahan ketawa kerana menjalankan penyelidikan bahan timah atau sukakan “Timah”. Dalam sidang akhbar kami menceritakan apa yang berlaku sebenarnya. Agak malang kerana wartawan kurang menghayati penemuan ini. Terkini semasa penemuan zarah Higgs Boson, beberapa wartawan telah mencari kami untuk membahas zarah ini. Kebetulan saya dan Dr Norinsan berada di Lindau mengikuti penuh perkembangan ini. Memang cukup tersohor dalam menghebahkan penemuan ini dan liputan akhbar cukup meluas.
Bagaimana Dato’ melihat bidang lain di Pusat Pengajian Fizik Gunaan?
Bidang lain dalam Program fizik seperti magnetism, fizik bahan, karbon glasi dan teknologi kertas mempunyai kekuatan yang tersendiri.
Ionik pepejal (Solid Ionic) diantara bidang yang telah kami bangunkan dari awal lagi dengan kejasama beberapa pakar luar negara. Potensi bidang ini ialah membina bateri, sel fuel dan sel suria. Beberapa graduan PhD telah dihasilkan dalam bidang ini. Aspek fundamental juga tidak kurang ditekankan. Malangnya Prof Ibrahim Talib telah bersara dan tidak meneruskan penyelidikan ini. Kita telah mengendalikan beberapa bengkel Asian Solid State Ionics dengan kerjasama UNESCO dan universiti tempatan. Walau apapun, penyelidikan adalah seperti membuat kuih. Ada yang masak sedap ada yang kurang sedap walaupun ramuannya sama. Inovasi mesti diteruskan lagi bagi mencipta masakan baru. Itulah cabarannya untuk mencipta sesuatu yang baru. Bidang Magnetisme tidak sehebat dulu kerana Prof. Dr. Mustafa sudah bersara, suatu mekanisme harus dilakukan segera supaya perpindahan kepakaran berlaku dengan licin dan tidak pupus begitu sahaja.
Sejak kecil apakah Dr benar-benar mahu menjadi pensyarah?
Tidak terlintas dalam fikiran saya untuk menjadi pensyarah. Tapi saya suka mengajar dan berbincang dengan kawan-kawan. Saya pernah menjadi guru sementara dipelbagai tempat termasuk Al Ehya Alshariff, sekolah Agama terkenal di Semanggol Perak, sementara menunggu keputusan peperiksaan yang agak lama di zaman dulu.
Bagaimana Dato’ boleh menceburi bidang fizik?
Minatnya kesitu. Suka baiki basikal, ganti alat sana sini. Tapi memang minat saya pada hal hal yang aneh. Bila ditemukan dengan hukum Newton, hukum Faraday dan mengikuti lawatan ke kilang minatnya menjadi bertambah. Guru memainkan peranan penting. Mereka mendorong kita dan mempermudahkan apa yang kita tidak faham. Yang tidak jelas jangan simpan dalam hati, cari dan tanya orang. Zaman sekarang beruntung kerana ada internet semuanya berada dihujung jari.
Soalan ini agak umum, merangkumi semua bidang. Tokoh Fizik jarang diketengahkan jika dibandingkan dengan tokoh keilmuan yang lain. Mengapa?
Tokoh yang popular berbeza dengan tokoh keilmuan. Tokoh popular selalu muncul di TV atau diwawancara di akhbar. Tokoh ini juga petah mengulas senario yang berlaku dan kesan pada masyarakat. Tokoh ilmuan secara senyap menghasilkan karyanya melalui penulisan dan buku. Terus bekerja kuat. Google saja namanya, muncul diberbagai tempat. Pemikirannya tajam dan tidak mudah ditentang hujahnya. Untuk menjawab soalan ini, biasanya rakan sepakaran atau peers yang berwibawa membuat penilaian.
Apakah Dato’ bercita-cita menulis buku fizik popular , seperti Brian Cox, Fritjof Capra, George Gamow?
Saya memang berminat membaca buku demikian, tetapi untuk menulisnya saya perlu mengumpulkan banyak fakta. Walaupun popular, faktanya harus benar dan gaya tulisannya juga harus bersifat santai. Ini yang kita kurang dalam Bahasa Malaysia. Dewan Kosmik ada dan Estidotmy terbitan MOSTI dengan kerjasama ASM, terlalu elementari sifatnya. DBP atau penerbit Universiti harus memberi tumpuan untuk menjadi bacaaan umum sains.
Dato’, Terima kasih, saya berharap Dato’ terus sihat agar dapat menyumbang pada khazanah keilmuan.
Sumber – Buletin Pusat Pengajian Fizik Gunaan UKM