Penulis: Nurul Nadhirah Othman & Prof. Madya Dr Haja Maideen Kader Maideen
Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia
Paku pakis merupakan kumpulan tumbuhan yang tidak berbunga atau berbiji dan ia membiak melalui spora .Paku pakis juga merupakan tumbuhan yang mempunyai bentuk daun muda yang unik seolah-olah gegelung tali pada peringkat pucuk yang dipanggil krozier (Rajah 1). Kebiasaannya di slah camkan dengan tumbuhan gymnosperma, namun ciri ketara seperti krozier, rizom, bentuk dan alat pembiakannya dapat membantu untuk mengenal pasti tumbuhan ini. Masyarakat di negara kita akan tertarik dengan warna kehijauan yang sangat menarik dan keunikan bentuk daun dan silaranya sebagai contoh paku pakis yang popular sebagai tanaman hiasan ialah tanduk rusa (Rajah 2). Kumpulan tumbuhan ini juga terdapat pada pelbagai habit seperti daratan (Cyathea– Rajah 3, Selaginella- Rajah 4), akuatik (Salvinia molesta-Rajah 4, Marsilea creanata-Rajah 5), dan epifit (Platycerium coronarium– Rajah 2).
Paku pakis juga terkenal sebagai sumber makanan terutamanya sebagai sayur dan ulaman. Pucuk paku dan paku midin merupakan antara tumbuhan yang kebiasaannya dijadikan sebagai ulam-ulaman serta sebagai sebahagian lauk pauk bagi masyarakat Melayu. Malah sebilangan jumlah besar daripada kumpulan tumbuhan ini mampu dijadikan sebagai ubat ubatan yang diamalkan secara tradisional, namun masih kurang kajian yang mendalam terhadap bidang ini. Antara contoh, paku ayam emas (Cibotium barometz) dijual dikalangan orang asal kerana dipercayai bebulu halus pada permukaan rizom tumbuhan berkenaan mampu menghentikan pendarahan dan merawat luka. Namun dikalangan masyarakat kita kurang mengetahui mengenai nilai estetika dan kepentingan tumbuhan ini secara meluas. Hal ini kerana, setiap tumbuhan yang terdapat di atas muka bumi ini mempunyai keunikan tersendiri.
Tumbuhan ini menghasilkan spora yang terbentuk dalam sporangium kebiasaannya terdapat dalam pelbagai bentuk kebiasaanya pada bahagian permukaan belakang daun, tepi daun mahupun hujung daun (Rajah 7-9).Namun di negara kita, masih kurang pihak yang mencuba untuk membuat percambahan paku pakis daripada spora sebagai salah satu daripada kaedah pembiakan paku pakis. Kaedah pembiakan menggunakan spora boleh dilakukan seperti berikut:-
- Pengutipan spora matang yang telah berwarna perang.
- Pengeringan spora pada suhu bilik.
- Penyediaan media tanaman menggunakan pit mos (peat moss) bersama air kedalam bekas bertutup untuk pemelawapan berlaku.
- Spora dikikis daripada daun dan ditabur ke atas media pit mos.
- Kelembapan sesuai akan sentiasa dikekalkan dengan kawalan suhu.
- Beberapa minggu sehingga bulan akan diambil untuk spora bercambah. Tempoh ini bergantung kepada spesies.
Kini kebanyakkan tumbuhan menghadapi ancaman kepupusan akibat pelbagai aktiviti termasuk pembangunan eksploitasi berlebihan, amalan pertanian, pembandaran, pencemaran alam sekitar, perubahan guna tanah, kemasukan spesies invasif, dan perubahan iklim global. Justeru, kaedah pembiakan ini mampu dijadikan sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan meningkatkan pemuliharaan kumpulan tumbuhan dengan mengaplikasikan kaedah ini dalam pelbagai terhadap bidang landskap, perubatan tradisional serta “food security”. Hal ini kerana, dari semasa ke semasa kepelbagaian tumbuhan akan semakin menyusut jumlahnya termasuk kumpulan tumbuhan ini yang gemar tumbuh di kawasan lembap dan tanah tinggi.