SHARE

Artikel ke-18 kerjasama antara Majalah Sains dan Young Scientists Network-Academy of Sciences Malaysia (YSN-ASM). Penghargaan kepada Nazmi Lao daripada Akademi Sains Malaysia (ASM) atas bantuan terjemahan.

___________________________________________________________

Dalam tempoh singkat, Dr Oon Chern Ein telah meraih dua kejayaan berturut-turut di peringkat kebangsaan dan di peringkat Asia Tenggara. Pada 20 Mac 2018, beliau telah dianugerahkan Women of the Future Award South East Asia dalam kategori Science, Technology and Digital. Susulan itu, beliau juga telah dinobatkan sebagai Saintis Muda Negara 2018 oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sempena pelancaran Minggu Sains Negara pada 3 April 2018. Penasihat MajalahSains merangkap Pengerusi Kumpulan Kerja Komunikasi YSN-ASM, Prof. Madya Ir. Dr. Rosdiadee Nordin telah berpeluang untuk menembual secara atas talian Dr. Oon Chern Ein, Pengerusi Kumpulan Kerja Jangkauan Sains YSN-ASM untuk perkongsian pengalaman dan cabaran beliau dalam menempa kerjaya sebagai seorang saintis wanita muda.

Dr. Oon bersama barisan kepimpinan MOSTI sewaktu menerima Anugerah Saintis Muda Negara 2018 baru-baru ini.

Apakah fakta menarik mengenai bidang penyelidikan Dr. Oon yang jarang diketahui umum? 

Ramai berpendapat bahawa rawatan untuk kanser hanyalah melalui kaedah pembunuhan sel-sel kanser dengan ubat-ubat tertentu. Namun, ramai tidak tahu bahawa pertumbuhan sel-sel kanser juga didorong oleh sel-sel persekitaran, ataupun dikenali sebagai kanser mikropersekitaran. Daripada pemahaman baharu mengenai perilaku kanser mikropersekitaran, penyelidik boleh memperkenalkan strategi baru dalam mengubati kanser, iaitu dengan memusnahkan sistem sokongan tersebut yang akan menghentikan komunikasi dengan sel-sel kanser dan seterusnya membantutkan pertumbuhan sel-sel kanser tersebut.

 

Boleh Dr. Oon berkongsi latar belakang penyelidikan bermula daripada peringkat PhD di University of Oxford sehingga ke aktiviti penyelidikan terkini?

Sejak di Universiti of Oxford, saya telah berusaha untuk mencari kaedah-kaedah baharu dalam rawatan kanser. Kajian saya tertumpu kepada penyasaran molekul yang diungkapkan (express), atau dijanakan pada kadar tinggi dalam tisu kanser berbanding tisu biasa. Apabila molekul tersebut disekat atau dinyahaktifkan, laluan isyarat kanser akan terjejas, lantas membantutkan pertumbuhan kanser dan menghalang kanser daripada merebak ke bahagian badan yang lain. Sekembali ke Universiti Sains Malaysia (USM), kami telah menemui sebatian baharu yang mampu menyekat isyarat molekul Sirtuin. Sirtuin merupakan kelas protein yang mampu mengawal ekspresi gen dan berkomunikasi dengan sel-sel persekitaran kanser. Kajian kami tertumpu kepada kanser yang berlaku pada usus besar (kolorektal). Manakala sebatian baharu yang kami temui boleh merencat aktiviti Sirtuin yang diungkap pada kadar tinggi dalam tisu kanser berbanding tisu biasa pada usus besar (kolorektal) dan seterusnya menghalang perkembangan kanser kolorektal tanpa memusnahkan tisu biasa. Pendekatan ini berbeza dengan pendekatan kemoterapi yang boleh mencemarkan sel-sel sihat dan membinasakan sistem ketahanan badan pesakit.

 

Apakah pengalaman paling bernilai sewaktu menjalani pengajian Ph.D. di Oxford dan bagaimana pengalaman ini membantu Dr. Oon dalam membina kerjaya sebagai seorang saintis muda di Malaysia?

Di Oxford, saya digalakkan untuk mencari pelbagai idea yang baru dan berani memperjuangkan apa yang saya percayai. Saya juga percaya bahawa tidak ada idea yang tidak masuk akal. Jangan takut untuk mencabar idea lazim dan menggunakan pendekatan radikal dalam topik yang kurang popular. Jangan bataskan pengetahuan kita kepada penyelidikan arus perdana sahaja. Ilmu saintifik sentiasa berubah mengikut peredaran masa. Sesuatu kajian yang popular pada masa kini mungkin tidak akan popular pada masa akan datang. Tetapi jika kita betul-betul berminat dengan apa yang kita lakukan, sepastinya minat ini mampu membantu kita dalam melaksanakan teknik dan pendekatan baru dalam mengembangkan cabang ilmu, lantas membawa kepada kejayaan berganda! Idea kita akhirnya akan bersinar dan mula mendapat perhatian komuniti penyelidik.

 

Bagaimana penyelidikan Dr. Oon boleh dimanfaatkan di Malaysia?

Menurut Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, hampir 100,000 orang di Malaysia hidup dengan kanser dalam satu-satu masa. Di Malaysia, kanser kolorektal adalah antara kanser yang paling lazim dihidapi oleh lelaki dan wanita. Kadar kematian untuk pesakit kanser sangat tinggi kerana kebanyakan pesakit tidak memberi tindak balas positif terhadap rawatan biasa. Dalam kata lain, mereka memerlukan rawatan yang lebih khusus. Oleh sebab tumor mikropersekitaran boleh mempengaruhi tindak balas pesakit kepada rawatan, hasil penemuan kami bertindak ke atas sel kanser dan sel mikropersekitaran dengan menyahaktifkan enzim tertentu yang diungkap dengan tinggi dalam tisu kanser. Kaedah ini dikenali sebagai terapi sasaran molekular.

Walaubagaimanapun, masih terdapat cabaran dan pelbagai fasa penyelidikan perlu dilalui untuk memastikan terapi sasaran molekul ini mampu ditawarkan kepada pesakit kanser. Antaranya ialah rintangan pesakit terhadap rawatan bakal menyebabkan rawatan tidak berkesan. Ini berlaku kerana sel-sel kanser boleh memperolehi cara alternatif untuk berkembang dan tidak lagi bergantung kepada protein awal yang disasarkan untuk mereka. Walaubagaimanapun, hasil rawatan dapat dipertingkatkan melalui gabungan kedua-dua rawatan terapi molekular dan ubat kemoterapi yang mampu membendung proses rintangan. Namun, ada isu lain pula yang perlu diambil kira apabila menggabungkan kedua-dua teknik rawatan ini. Sebagai contoh, rawatan gabungan akan memberikan tindakbalas berbeza mengikut mutasi profil kanser berbeza. Satu lagi cabaran yang perlu dihadapi ialah tidak semua jenis kanser boleh dirawat dengan menggunakan kaedah rawatan terapi molekular. Ini kerana sehingga hari ini, pemahaman mengenai laluan isyarat kanser adalah begitu rumit untuk difahami. Terdapat beberapa sel-sel kanser boleh berkembang melalui komunikasi dengan molekul lain.

 

Apakah cabaran sebagai seorang wanita muda dalam membina kerjaya sebagai seorang saintis?

Bakat yang dimiliki oleh golongan wanita masih belum dimanfaatkan sepenuhnya. Golongan wanita yang baru membina kerjaya sepastinya akan melalui cabaran sebagai seorang ibu dan seterusnya perlu mengimbangi antara kerjaya dan keluarga. Oleh itu, perancangan awal amat penting agar kita mampu menjalankan dua tanggungjawab penting ini. Golongan wanita di Malaysia agak bernasib baik kerana masih menikmati layanan sama rata dengan golongan lelaki. Masih terdapat beberapa negara luar di mana ketidakadilan masih berlaku daripada segi peluang kerjaya dan bayaran yang berbeza kepada golongan wanita. Kita memerlukan lebih banyak golongan wanita untuk menceburi pelbagai bidang professional, bukan terhad dalam bidang sains sahaja.

 

Terdapat kerisauan bahawa negara akan kekurangan pakar dalam bidang STEM pada masa akan datang. Apakah langkah-langkah ataupun strategi yang perlu diambil oleh komuniti saintis dalam meningkatkan minat masyarakat umum terhadap subjek STEM?

Kami di YSN-ASM mengambil langkah proaktif dalam melibatkan komuniti dalam menarik minat di dalam bidang STEM, seperti melalui aktiviti-aktiviti Kumpulan Kerja Jangkauan Sains (Science Outreach) yang menjalankan eksperimen saintifik secara mudah dan menarik di kawasan umum. Ini mampu menarik perhatian umum tentang kepentingan STEM demi meningkatkan pembangunan negara. Ramai golongan muda masih beranggapan bahawa sains adalah hanya untuk golongan bijak pandai, namun ini tidak benar sama sekali. Minat yang mendalam memainkan peranan penting dalam memacu kejayaan seseorang. Para saintis tidak seharusnya terceruk di ruang makmal dan terbatas dengan tugasan makmal mereka sahaja. Saintis perlu sedar bahawa mereka merupakan golongan terpilih yang mempunyai kemampuan untuk berkongsi manfaat penyelidikan dan juga ilmu pengetahuan mereka untuk kepentingan masyarakat umum.

 

Akhir sekali, kami dari MajalahSains dan YSN-ASM ingin mengucapkan ribuan tahniah dan selamat maju jaya kepada Dr Oon dalam memajukan penyelidikan di Malaysia. Semoga pencapaian yang membanggakan ini bakal mencetus inspirasi kepada golongan muda, khususnya golongan wanita dan kerjaya Dr Oon akan sentiasa berkembang pada masa akan datang!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge