Oleh : Nurul Nadilla Bt Arjunaidi
USM, Pulau Pinang
Petroleum merupakan sumber bahan bakar yang tidak boleh diperbaharui. Walau demikian, ia merupakan sumber bahan mentah kepada pelbagai produk kegunaan manusia kini. Antara contoh paling mudah ialah sebagai bahan api kenderaan. Kebanyakan produk kegunaan harian manusia terutamanya plastik adalah berasaskan petroleum. Akibatnya permintaan terhadap bahan mentah ini semakin meningkat kerana pelbagai produk yang digunakan oleh manusia kini adalah berasaskan plastik. Sebagai contoh, pinggan, mangkuk, alat ganti kenderaan, telefon bimbit, komputer riba dan sebagainya. Semakin meningkat permintaannya, semakin meningkat juga harga terhadap bahan mentah tersebut. Peningkatan dari segi harga dapat memberikan impak yang besar kepada ekonomi dan membebankan golongan yang berpendapatan rendah. Oleh kerana ia merupakan bahan penting maka ia akan menyebabkan bahan lain turut terjejas dan meningkat harganya. Sumber petroleum tidak akan bertahan lama melainkan terdapat sumber bahan alternatif lain bagi menggantikannya.
Salah satu produk penting berasaskan bahan plastik yang sering digunakan dan berkait rapat dengan kehidupan seharian manusia ialah beg plastik. Beg plastik merupakan sesuatu yang penting dalam kehidupan seharian manusia kini. Hal ini adalah disebabkan beg plastik memiliki pelbagai guna seperti dari mengisi barang, makanan dan sebagainya. Beg plastik juga menjadi pilihan utama kerana ia mudah didapati dimana sahaja. Mustahil seseorang itu boleh menghindari dari penggunaan bahan plastik kerana ia menjadi sebahagian daripada kegunaan harian manusia. Kajian menunjukkan bahawa sebuah beg plastik yang kita buang boleh berada di tapak pelupusan selama 500 hingga 1000 tahun sebelum hancur terurai. Hal ini membuktikan bahawa beg plastik merupakan bahan pepejal yang sukar diuraikan. Keadaan ini akan memberikan kesan kepada alam sekitar. Sebagai contoh, menyebabkan tanah menjadi berasid dan tidak sesuai untuk pertanian dan juga beberapa masalah yang lain seperti plastik-plastik yang dibuang akan menjejaskan pengaliran air sehingga boleh menyebabkan air parit dan sungai membanjiri kawasan berdekatan apabila hujan lebat.
Masalah sampah beg plastik menjadi isu hangat masa kini kerana ia memberikan impak kepada persekitaran. Penggunaan beg plastik semakin meningkat setiap tahun iaitu sebanyak 500 bilion kepada 1 trilion setiap hari. Beg plastik antara punca pencemaran utama kerana beg plastik digunakan setiap hari dan dianggap sebagai keperluan penting. Dalam sebulan seorang individu dianggarkan menggunakan sebanyak 100 helai beg plastik. Pelbagai cara seperti kempen-kempen telah dilakukan bagi mengurangkan penggunaan beg plastik. Namun ia langsung tidak memberikan kesan kepada pengurangan masalah pencemaran tesebut. Penggunaan beg kertas pula sangat terhad dan hanya sesuai dalam keadaan tertentu sahaja. Selain itu, ia turut memberi kesan pada kelestarian hutan kerana ia melibatkan penebangan pokok-pokok untuk menghasilkan kertas. Penebangan pokok juga akan menyebabkan masalah pencemaran meningkat kerana pokok dan kayu kayan sangat penting untuk meneutralkan pencemaran. Sekiranya banyak pokok ditebang masalah pemanasan global pula akan meningkat.
Masalah pencemaran beg plastik ini telah menarik perhatian dan memberikan inspirasi kepada seorang penyelidik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Universiti Sains Malaysia iaitu Prof Dr. Hanafi Ismail untuk menghasilkan beg plastik mesra alam daripada sisa buah-buahan tropika bagi menggantikan beg plastik yang tidak boleh terurai untuk kegunaan pembungkusan atau lebih dikenali sebagai FruitPlast. Penyelidikan ini dijalankan dengan kerjasama dua lagi penyelidik iaitu Prof Madya Dr Nor Aziah Abdul Aziz dan Encik Ooi Zhong Xian. FruitPlast dihasilkan daripada sisa buah-buahan tempatan seperti kulit pisang, rambutan dan nangka. Penemuan ini bukan hanya dapat membantu dalam mengatasi masalah pencemaran alam sekitar, tetapi ia juga boleh membantu dari pelupusan sisa buah-buahan ke arah yang lebih bermanfaat daripada disia-siakan begitu sahaja. Disamping itu, ia juga merupakan satu kebanggaan kerana Malaysia merupakan negara pertama menghasilkan beg plastik berasaskan sisa buah-buahan. Ia dilihat dapat memberikan sinar yang baru kepada plastik terbio urai sedia ada.

Profesor Dr Hanafi Ismail, USM
Terdapat dua proses yang dijalankan untuk menghasilkan FruitPlast. Setiap proses akan melalui beberapa langkah pemprosesan sebelum terhasilnya filem FruiPlast. Proses pertama dikenali sebagai teknologi 1 iaitu proses dimana sisa kulit buah-buahan ini dijadikan sebagai tepung. Tedapat empat langkah dalam pemprosesan teknologi 1 ini. Pertama sisa kulit buah-buahan tersebut akan dibersihkan, kemudian ia akan direndam dan dihiris. Akhir sekali ia akan melalui proses pengisaran. Setelah selesai menjalani proses teknologi 1, proses kedua yang dikenali sebagai teknologi 2 pula dijalankan. Proses ini juga turut melibatkan beberapa langkah pemprosesan. Langkah pertama tepung yang dihasilkan melalui pemprosesan teknologi 1 akan menjalani proses adunan dimana bahan aditif khas turut dimasukkan berserta dengan bahan polimer semulajadi. Setelah bahan diadun, ia akan dimasukkan kedalam sebuah acuan khas dan proses ini dikenali sebagai pengacuanan. Acuan tersebut akan dimasukkan ke dalam oven untuk dikeringkan. Setelah ia dikeringkan maka terhasillah bahan yang dikenali sebagai filem FruitPlast.
Filem FruitPlast inilah yang akan dijadikan sebagai beg plastik terbio urai. Menurut Prof Hanafi, FruitPlast merupakan beg plastik terbio urai yang mempunyai daya ketahanan yang sama dengan plastik sedia ada dan juga memiliki bau buah-buahan semulajadi mengikut warna beg plastik tersebut. Sebagai contoh beg plastik yang dihasilkan dari kulit rambutan bewarna merah. Kos penghasilannya juga 10% lebih murah berbanding beg plastik sedia ada dan 50% lebih murah daripada plastik yang dihasilkan dari sumber makanan. Antara contoh beg plastik bio urai lain yang wujud dipasaran ialah beg plastik yang diperbuat daripada gula jagung yang dikenali sebagai Polylactic acid (PLA) dan Polyhydroxyalkanoate (PHA). Namun kos pengeluaran untuk PLA dan PHA ini amat tinggi 20% lebih dari beg plastik yang diperbuat daripada petroleum. Oleh itu, penghasilan FruitPlast ini dilihat dapat membantu mengurangkan masalah kos pemprosesan yang tinggi. Selain kos yang murah dan bahan mentah untuk pemprosesan ini juga mudah didapati di Malaysia, FruitPlast boleh terbio urai hanya dalam jangka masa tiga hingga enam bulan.
“Plastik sebenarnya mempunyai banyak kelebihan dan agak mustahil untuk mengharamkan terus penggunaannya kerana ia merupakan bahan terpenting dalam menghasilkan pelbagai jenis alatan namun ia mempunyai satu kelemahan yang menghalang kita dari terus menggunakannya iaitu ia merupakan bahan yang mengambil masa yang lama untuk terurai. Walaubagaimanapun melalui teknologi sekarang, kita mampu menutup kelemahan beg plastik ini dengan cara menambah aditif khusus semasa proses penghasilannya dan ini akan membantu dalam mempercepatkan proses penguraian bahan tersebut,” tambah beliau.
Walaupun penemuan ini hanyalah sebahagian kecil bagi membantu pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, namun ia juga mampu memberikan impak yang besar sekiranya ia berjaya dikomersialkan diseluruh dunia. Disamping penggunaan FruitPlast dapat memupuk kelestarian seiring dengan matlamat bagi memastikan kelestarian untuk hari esok, terdapat juga beberapa tujuan lain yang menyebabkan betapa pentingnya fruitplast ini dicipta untuk menggantikan beg plastik sedia ada, seperti untuk mengurangkan sisa buangan yang tidak boleh terurai berasaskan polimer dan petroleum, membantu meminimumkan penggunaan petroleum kerana ia tidak boleh diperbaharui dan kos pemprosesan fruitplast juga dilihat lebih rendah berbanding dengan plastik sedia ada.
“Jika FruitPlast berjaya dikomersialkan keseluruh dunia, ia bukan sahaja menjadikan impian saya satu kenyataan malah akan membantu kesejahteraan manusia sejagat dalam memelihara alam sekitar,” katanya lagi.
Apa yang penting ialah usaha mendidik masyarakat agar lebih peka terhadap alam sekitar. Perkara pokok yang harus dilaksanakan adalah meningkatkan kesedaran kepada orang ramai mengenai peri pentingnya alam sekitar. Sekiranya wujud usaha bersepadu bagi memupuk kesedaran orang ramai ini berjaya maka pasti tidak akan timbul lagi soal pencemaran yang berpunca daripada bahan yang tidak mudah terurai kerana ia dilupuskan di tempat yang betul. Begitu juga dengan masalah pencemaran lain dalam erti kata lain kesedaran adalah masalah utama yang harus diselesaikan. Tanpa kesedaran tidak akan wujud perubahan. Penemuan Fruitplast ini juga wujud akibat kesedaran penyelidiknya ke atas peri pentingnya alam sekitar agar ia tidak terus terabai demi generasi kini dan masa akan datang.
Catatan ://Penulis merupakan penuntut sarjana dalam bidang Komunikasi Sains dan Alam Sekitar, USM Pulau Pinang