Oleh : Muhammad Safwan Bin Zaini,
CERN Summer Student 2016
Mahasiswa Fizik, Universiti Putra Malaysia (UPM)
Pengalaman penulis menghadiri program CERN Summer Student Programme 2016, Geneva, Switzerland pada (26 Jun-26 Ogos 2016)
Pertama sekali, syukur ke hadrat Allah swt kerana diberi peluang yang sangat berharga dalam hidup saya. Terima kasih juga kepada pihak Akademi Sains Malaysia (ASM), National Centre for Particle Physics (NCPP) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menjadi pengantara saya untuk sampai di CERN.
Tak lupa juga kepada senior saya saudara Adib Yusof dan pensyarah Dr. Yap Wing Fen yang banyak beri tunjuk ajar dan semangat untuk survive di sini. Dan yang paling saya hargai daripada sokongan moral mak ayah, adik beradik, saudara mara rakan-rakan.
Sebelum bercerita lebih lanjut lanjut, izinkan saya ringkaskan apa itu CERN. CERN (The European Organization for Nuclear Research) ialah organisasi yang menjalankan eksperimen paling berprestij di dunia dalam bidang fizik zarah (particle physics). CERN terletak di Meyrin, Geneva, Switzerland. Eksperimen paling utama di CERN ialah eksperimen yang menggunakan Large Hadron Collider (LHC). LHC ialah penghentam zarah (particle collider) yang terbesar di dunia. Ia juga fasiliti eksperimen yang paling sukar dan paling berkuasa di dunia. Jadi, sebagai salah satu ahli pasukan yang pernah belajar di sana, saya sedikit berbangga walaupun tidak terlibat secara langsung dalam eksperimen tersebut.
Di CERN, saya berada di dalam kumpulan penyelidikan eksperimen CMS (Compact Muon Solenoid) yang merupakan salah satu daripada pengesan (detector) yang terdapat dalam LHC. LHC mempunyai empat pengesan utama iaitu : ATLAS, CMS, ALICE, dan LHCb. Berat CMS ialah 13000 tan. Selain itu, LHC merupakan eksperimen yang menggunakan satu binaan mesin berukur lilit 27 kilometer merentasi sempadan Switzerland-France.
Disebabkan Malaysia (NCPP,National Centre for Particle Physics) turut menjalankan eksperimen di CMS, jadi semua pelajar Malaysia berada dalam eksperimen ini ( dan berpuluh-puluh negara yang lain juga). LHC tugasnya adalah melanggar zarah proton dengan zarah proton yang lain dari arah bertentangan dengan kelajuan 99% kelajuan cahaya untuk menghasilkan zarah-zarah baru. (Pada 4 Julai 2012, CERN mengumumkan penemuan Higgs Boson). Dengan kelajuan itu, sebanyak 11 ribu pusingan zarah di dalam LHC dalam hanya satu saat.
[BACA – Penemuan zarah Higgs-Boson]
Lebih spesifik lagi, di sana saya menjalankan penyelidikan di mana saya mengendalikan GEM (Gas Electron Multiplier) foils. GEM foils terdapat dalam GEM detector. GEM detector terdapat di dalam CMS dan CMS merupakan detector di dalam LHC. Begitulah ringkas ceritanya. Tajuk projek saya ialah “Quality Control (QC2) for Gas Electron Multiplier (GEM) foils for GE1/1 at CMS Experiment”. Di sana, saya jalankan projek ini bersama dua orang lagi pelajar iaitu dari Mesir dan Qatar.
Sepanjang 9 minggu di CERN, saya telah belajar banyak perkara terutamanya fundamental of particle physics (di UPM tiada subjek particle physics). Selain itu, pada awalnya bekerja bersama dengan saintis-saintis terkemuka dunia membuatkan saya rasa sangat janggal dan bodoh seperti tidak tahu apa-apa. Namun itu bukan menjadi halangan kerana semua mereka melayan saya dengan baik sekali meskipun saya hanya pelajar di peringkat sarjana muda. Itulah saya rasa cabaran yang akan dihadapi bagi sesiapa sahaja yang ingin membuat penyelidikan bertaraf dunia.
Mereka menunjukkan satu persatu cara mengendalikan pelbagai fasiliti di dalam makmal. Selain menjalankan projek, setiap hari selama 6 minggu, saya menghadiri pelbagai siri kuliah yang disampaikan oleh saintis seluruh dunia. Antara subjek yang di ajar ialah Standard Model of Particle Physics, Application in medical, Accelerator, Detector, Antimatter dan bermacam-macam lagi.
[BACA-Penyelidikan Fizik Zarah. Keperluan atau Pembaziran?]
Selain itu, saya telah belajar bagaimana berinteraksi dengan pelajar- pelajar yang lain berlainan bangsa dan agama dari seluruh dunia. Namun itu bukan menjadi penghalang kerana masing-masing saling menghormati dan menjalankan kerja dengan profesional. Paling penting kini saya mempunyai rakan dari pelbagai negara di benua Eropah, Afrika, Asia dan Amerika. Dengan itu, sedikit sebanyak dapat menambah “network” saya sekiranya saya ingin melanjutkan atau menjalankan aktiviti di luar negara.
Selama di CERN, saya tidak menghadapi masalah dalam menguruskan kehidupan serta pembelajaran. Cuaca yang nyaman sekitar 15-25 degree celcius membuatkan saya berasa selesa dan biasa. Saya tinggal di Saint Genis Pouilly, di France dan saya harus ulang-alik dari CERN (Switzerland) ke tempat tinggal saya yang hanya lebih kurang 3 kilometer. Tiada masalah di sempadan kedua-dua negara tersebut kerana saya mempunyai kad CERN (hanya pamerkan di setiap sempadan tanpa perlu tunjukkan passport). Selain itu juga, saya mendapat elaun harian yang dibayar oleh pihak CERN sebanyak 90 CHF sehari.
Saya rasa setakat itu sahaja perkongsian ringkas saya sepanjang bergelar pelajar di tempat penyelidikan bertaraf dunia di CERN. Sesungguhnya tiada ungkapan yang saya dapat ungkapkan melainkan rasa syukur kerana terpilih mewakili Malaysia dalam edisi 2016. Saya berharap agar ramai lagi pelajar-pelajar dari Malaysia dapat mengembangkan bakat dan ilmu yang dipinjam ini untuk di pelajari dan dikembangkan di seluruh dunia khasnya untuk kemajuan negara kita yang tercinta ini.
Terima Kasih.
Di sini saya sertakan gambar dan lampiran untuk perkongsian bersama.
Keywords: CMS, LHC, GEM, CERN
Berikan Komen Anda Di Sini