Oleh: Raja Azlan bin Raja Abdullah
Senior Technical Training Officer,
German Malaysian Institute
Tidak salah rasanya untuk menyatakan bahawa produk plastik adalah satu keperluan hidup buat zaman ini. Dari alatan dapur, automobil, pembungkusan, elektronik dan banyak lagi tak terkira bilangannya kepentingan produk plastik di masa kini. Ada jenis nipis, tebal, berongga dan berbentuk kompleks. Tapi pernahkan anda terfikir bagaimana semua produk ini dihasilkan?
Pengacuan suntikan plastik (plastic injection moulding) merupakan salah satu pilihan proses yang boleh digunakan dalam penghasilan produk plastik. Walaupun tidak semua bentuk dapat dibuat melalui proses ini tetapi saya yakin lebih 70% produk plastik dipasaran adalah melibatkan proses ini. Antara kelebihan utama proses ini adalah ianya mampu menghasilkan produk plastik yang berbentuk kompleks, permukaan produk yang cantik dan juga julat dimensi yang sangat ketat. Kini kita dapat menggunakan tablet, telefon tangan, komputer riba, pencetak yang semuanya ini dibuat menggunakan proses pengacuan suntikan plastik dan produk ini sangat berkualiti tinggi.





