Oleh: Nurfaizatul Aisyah binti Ab Aziz
Pelajar Sarjana Neurosains, Universiti Sains Malaysia
Teknologi pengimejan otak seperti pengimejan resonans magnetik (MRI), pengimejan resonan magnetik kefungsian (fMRI), pengimejan tomografi perkomputeran (CT scan), magnetoensefalografi (MEG) dan elektoensefalografi (EEG) merupakan antara alat pengimbas otak yang sering diaplikasikan untuk mengetahui fungsi dan anomali otak.
Teknik pengimbas ini sering diaplikasikan dalam bidang perubatan, namun adakah teknik-teknik ini dapat membaca minda sekaligus mengesan adakah seseorang itu sedang menipu? Nyata, dengan kemajuan sains dan teknologi, hal ini bukan lagi hanya dapat dilihat dalam filem sahaja, malah hampir dapat direalisasikan.
Alat pengimbas otak berpotensi untuk mengesan penipuan
Antara alat pengimbas otak yang berpotensi ialah EEG dan fMRI. Kedua-dua ini merupakan suatu alatan yang digunakan secara meluas untuk merekod dan menilai aktiviti otak. Alatan ini sangat berbeza dengan poligraf kerana mereka menilai secara terus aktiviti otak (autonomik) dan bukannya menilai aktiviti periferal seperti respon kulit galvanik, tekanan darah, pernafasan dan kadar jantung yang sekadar berkorelasi dengan aktiviti sistem autonomik. Pengesan penipuan berasaskan EEG telah dirintis oleh J.P Rosenfeld pada tahun 1988. Walaupun EEG lebih murah, lebih mobil dan mempunyai resolusi masa (time resolution) yang lebih baik daripada fMRI, fMRI lebih unggul daripada EEG dan poligraf. Hal ini demikian kerana fMRI dapat menilai dan mengesan dengan tepat dimanakah bahagian otak yang aktif ketika seseorang itu sedang menipu.
Pengimejan Resonan Magnetik Kefungsian (fMRI)
Oleh sebab itu, penggunaan fMRI telah mendapat tempat sebagai teknologi pengimejan neuro yang dapat menggantikan penggunaan poligraf dan juga EEG dalam mengesan penipuan. Dalam kebanyakan kajian fMRI, keadaan otak adalah bergantung kepada rangsangan (stimulus) yang diberikan. fMRI menggunakan teknologi medan magnet dan gelombang frekuensi radio untuk menghasilkan imej otak. Mesin MRI digunakan untuk mengetahui maklumat struktur atau anatomi otak seperti perbezaan kecil antara jirim putih (white matter) dan jirim kelabu (grey matter) dalam menghasilkan imej anatomi otak.
[BACA– Perkembangan Teknologi Pengimejan dalam Perubatan]
Selain daripada itu, ia juga dapat memberikan maklumat kefungsian atau fisiologi seperti penentuan perubahan darah teroksigenan di dalam otak, yang mana merupakan konsep fMRI yang diaplikasikan dalam kebanyakan kajian. Terma kefungsian ataupun functional dalam fMRI merujuk kepada perubahan fungsi otak dan takat keaktifan otak yang berlaku secara semulajadi ataupun kerana rangsangan. Pada masa ini teknik fMRI yang mengaplikasikan konsep tahap pengoksigenan darah bersandar ataupun blood oxygenation level dependent (BOLD) merupakan teknik fMRI yang seringkali digunakan dalam bidang kognitif neurosains.
Respons BOLD bergantung pada perbezaan sifat magnetik kandungan salur darah dengan tisu otak dan juga perbezaan magnetik antara darah teroksigenan dengan tidak teroksigenan. Respons ini merupakan ukuran secara tidak terus aktiviti neural. Respons BOLD ini akan direkodkan semasa subjek sedang menipu dan dibandingkan dengan semasa subjek dalam keadaan rehat ataupun ketika sedang berkata benar. Respons BOLD ketika menipu dikatakan lebih aktif dan tinggi berbanding ketika subjek sedang rehat ataupun berkata benar. Hal ini demikian kerana, otak yang aktif memerlukan lebih banyak darah teroksigenan yang seterusnya akan menghasilkan respons BOLD yang tinggi. Bahagian otak yang akan aktif apabila menipu adalah korteks prefrontal kerana seseorang itu akan berfikir dengan lebih banyak untuk menipu daripada ketika dia berkata benar. Korteks prefrontal adalah bahagian otak yang dikaitkan dengan pemikiran tahap tinggi (higher order thinking) seperti berfikir, menghafal, mengira dan sebagainya.
Respons BOLD bergantung pada prinsip perbezaan kognitif ataupun ‘cognitive subtraction’. Prinsip ini menganggap bahawa semua signal fMRI adalah sama kecuali dalam keadaan atau rangsangan yang diberikan. Oleh itu, amat penting untuk mempunyai perbandingan yang berkesan antara keadaan asas dan rangsangan sasaran untuk mengesan penipuan. Hal ini menunjukkan pemilihan keadaan perbandingan ini sangat mustahak untuk mendapatkan signal fMRI yang dipercayai. Sebagai contoh ringkas, cuba bayangkan dua petak hitam dan putih. Subjek yang melihat secara rawak petak hitam dan putih akan menghasilkan signal fMRI yang berbeza kerana otak akan memproses secara berlainan antara warna hitam dan putih. Secara umum, begitu jugalah konsep yang diaplikasikan dalam eksperimen mengesan penipuan oleh fMRI, iaitu soalan yang dapat membuatkan subjek menipu atau berkata benar akan memberikan signal fMRI yang berbeza antara keduanya.
Penggunaan fMRI secara komersial
Penggunaan pengimejan neuro ini semakin popular malah terdapat syarikat-syarikat korporat yang mementingkan “integriti dan kebolehpercayaan” mewajibkan bakal pekerjanya untuk menjalani pengesanan penipuan melalui fMRI. Di Amerika Syarikat terutamanya, pada tahun 2006 dua buah syarikat; No Lie MRI dan Cephos Corporation telah menawarkan khidmat fMRI sebagai pengesan penipuan untuk kegunaan guaman, pemeriksaan pra-pekerjaan dan untuk penyiasatan jenayah. Mereka mendakwa ketepatan pengesanan ialah 90% berbanding hanya 70% untuk poligraf. Malah terdapat percubaaan untuk membolehkan kajian fMRI sebagai bahan bukti di dalam mahkamah jenayah pada akhir tahun 2009 yang dilakukan oleh No Lie MRI dalam kes untuk membuktikan defendan tidak bersalah dalam melakukan jenayah seksual. Namun begitu, percubaan itu tidak berjaya dan jika berjaya, ia merupakan kali pertama fMRI digunakan di dalam mahkamah Amerika. Walaupun tidak berjaya untuk kajian fMRI dijadikan bukti jenayah, hal ini menunjukkan bahawa terdapat ruang dan peluang untuk fMRI digunakan sebagai bukti saintifik pada masa hadapan.
fMRI sebagai pengesan penipuan dalam mahkamah jenayah
Namun begitu, benarkah apa yang dikata? Adakah fMRI boleh dijadikan bahan bukti di mahkamah sebagai alat pengesan penipuan? Pada tahun 2010, sekali lagi fMRI hampir digunakan sebagai bahan bukti di dalam kes guaman pada tahun 2010 dalam kes Wilson v. Corestaff Services L. P dan Amerika Syarikat v. Semrau. Kedua-dua kes ini ingin mendapatkan testimoni daripada Dr. Steven Laken, C.E.O Cephos Corporation iaitu syarikat yang menjalankan ujian kredibiliti dengan fMRI. Namun dalam kes Wilson, pihak mahkamah tidak membenarkan kerana kurangnya penerimaan komuniti saintifik berkenaan penggunaan fMRI untuk menentukan kebenaran ataupun penipuan.
Manakala dalam kes Amerika Syarikat v. Semrau, Dr. Semrau telah didakwa oleh pihak kerajaan iaitu melakukan penipuan dalam urusan bil Medicare yang menjana 3 juta nilai penipuan pada tahun 1999-2005. Dalam kes ini, Dr. Laken telah diberi peluang untuk memberi testimoni setelah melakukan kajian fMRI kepada Dr. Semrau. Kajian fMRI ini dilakukan oleh pihak pembelaan untuk mengenalpasti keadaan mental Dr. Semrau pada tempoh dia didakwa melakukan jenayah penipuan tersebut.
Namun begitu, hakim pada masa itu tidak menerima kenyataan daripada Dr. Laken kerana merasa terganggu dengan keputusan Dr. Laken untuk melakukan ujian ketiga setelah mendapat keputusan yang tidak berpihak pada pasukan pembelaan pada soalan yang kedua. Malah menurut hakim juga, jika ujian keempat dilakukan berkemungkinan keputusan fMRI akan menunjukkan Dr. Semrau berbohong pula.
Kredibiliti fMRI sebagai alat pengesan penipuan
Daripada kedua-dua kes ini, menunjukkan penggunaan fMRI sebagai pengesan penipuan telah membuka jalan untuk mendapatkan bukti yang lebih konkrit namun pelaksanaannya memerlukan lebih banyak kajian saintifik. Antara perkara yang perlu diambil kira ialah keadaan subjek itu sendiri. Peningkatan respons BOLD boleh berlaku kerana proses neurologikal yang lain seperti takut ataupun berdebar dan keadaan emosi yang lain yang tidak berkait dengan soalan tentang penipuan. Untuk membolehkan fMRI digunakan sebagai alat pengesan penipuan, peningkatan respons BOLD di korteks prefrontal perlulah hanya berlaku ketika seseorang itu menipu dan bukan kerana mengingati kembali peristiwa atau memori dan juga segala aktiviti pemikiran tahap tinggi. Hal inilah yang masih belum dapat dibuktikan lagi oleh saintis-saintis dalam bidang ini.
Selain daripada itu, eksperimen-eksperimen saintifik yang dijalankan oleh komuniti saintifik yang mendakwa mempunyai 90% ketepatan diperolehi daripada subjek-subjek yang bukan penjenayah. Mereka telah disuruh untuk berkata benar dan menipu pada soalan-soalan yang tertentu untuk mengetahui respons BOLD. Jadi disebabkan ini, kemungkinan keputusan yang diperolehi bukanlah seratus peratus tepat. Dalam situasi jenayah yang sebenar, penjenayah yang licik berkemungkinan sudah biasa untuk menipu dan boleh menipu tanpa perlu berfikir panjang, menyebabkan respons BOLD tidak begitu aktif, sama seperti ketika berkata benar.
Perbezaan respons BOLD setiap individu juga harus diambil kira. Hal ini demikian kerana, bagi individu yang mempunyai delusi, halusinasi atau yang mempunyai masalah mental keputusan BOLD pasti berbeza dan boleh mengganggu kredibiliti keseluruhan keputusan. Kanak-kanak dan warga emas juga mempunyai mental kapasiti yang berbeza yang kebanyakan kajian fMRI sebelum ini hanya fokus pada subjek berumur 18-50 tahun, nyata tidak merangkumi keseluruhan populasi.
fMRI juga sangat sensitif pada pergerakan yang mana sedikit pergerakan kepala akan menyebabkan gangguan pada imej fMRI. Kemungkinan untuk penjenayah sengaja menggerakkan kepala untuk mengganggu intrepetasi keputusan fMRI tidak dapat disangkal. Hal ini menyebabkan hasil imej itu tidak dapat diintrepetasi dengan baik. Selain daripada itu, mereka yang mempunyai bahan implan besi dan klaustrofobik antara mereka yang terkontraindikasi daripada menjalani pemeriksaan fMRI.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, untuk membolehkan fMRI digunakan sebagai alat pengesan penipuan dan bahan bukti dalam mahkamah memerlukan masa yang lebih lama dengan usaha dan kerjasama yang menyeluruh daripada semua pihak. Lebih banyak kajian harus dilakukan untuk mengenalpasti teknik yang paling tepat, kesan umur, jantina dan status kognitif pada hasil keputusan dan kesensitifan soalan-soalan berkaitan untuk mengaktifkan bahagian otak yang tertentu. Melihat pada potensi fMRI, kolaborasi dengan pelbagai agensi adalah diperlukan untuk memberikan dana dari segi modal dan tenaga kerja daripada saintis-saintis kognitif neurosains yang akan memberikan panduan dan merintis kepada pembangunan teknologi fMRI dalam bidang ini.
Rujukan
Langleben, D. D. & Moriarty, J. C. (2013). Using brain imaging for lie detection: Where science, law, and policy collide. Psychology, Public Policy, and Law, 19(2), 222-234.
Rusconi, E. & Mitchener-Nissen, T. (2013). Prospects of functional magnetic resonance imaging as lie detector. Frontiers in Human Neuroscience, 7(594), 1-12.
Shen, Francis X. and Jones, Owen D. (2011). Brain Scans as Evidence: Truths, Proofs, Lies, and Lessons. Mercer Law Review, 62, Vanderbilt Public Law Research Paper No. 11-2, 861-883.