Oleh : Aishah Mahat
Uitm Pasir Gudang
Fokus utama dalam rawatan dan pemulihan terhadap pesakit kanser adalah melibatkan rawatan seperti radioterapi, kimoterapi dan pembedahan bergantung kepada keadaan penyakit yang dialami. Rawatan sedemikian perlu dilaksanakan mengikut cadangan yang ditetapkan oleh para doktor. Justeru bagi membantu dalam melancarkan proses pemulihan terhadap pesakit dalam menerima rawatan kanser secara berulang, penjaga perlu memainkan peranan penting dalam menguruskan keadaan pesakit agar tidak berlaku sebarang bebanan terhadap pesakit. Penjaga merupakan antara mereka yang berhadapan secara langsung terhadap pesakit kanser di rumah. Mereka dikategorikan sebagai penjaga tidak formal. Antara elemen yang boleh diambil perhatian dalam memastikan pesakit mendapat keadaan yang selesa sewaktu menjalani rawatan adalah :
Memastikan pengambilan makanan secara sihat dan seimbang
Lazimnya, pesakit kanser akan mengalami kekurangan selera makan selepas menjalani rawatan kimoterapi. Oleh itu, disyorkan agar pesakit kanser mendapatkan makanan seimbang yang menarik mengikut saranan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi budaya Pinggan Sihat (suku-suku-separuh). Ia merujuk kepada pengambilan suku pinggan diisi dengan sumber bijian, suku pinggan bagi protein rendah lemak seperti ikan dan ayam serta separuh pinggan pula adalah untuk sayur-sayuran dan buah-buahan. Selain itu, pesakit juga disarankan untuk minum air masak secukupnya bagi mengekalkan kesihatan tubuh badan.
Sokongan emosi, mental dan fizikal
Penjaga disaran melengkapkan diri dengan ilmu bagi menjaga pesakit kanser terutama kepada pesakit yang telah berumur dan uzur. Ini kerana bagi pesakit yang berusia, sememangnya mereka tidak berupaya untuk menjaga keadaan diri sendiri dan memerlukan kebergantungan sepenuhnya. Dalam keadaan sebegini, pesakit sering diganggu dengan keadaan emosi dan kesihatan mental yang tidak stabil serta bersikap sensitif. Tidak dinafikan juga, rata – rata penjaga yang berhadapan dengan pesakit kanser juga mengalami tekanan. Berdasarkan pemerhatian terhadap sebuah keluarga di sebuah hospital, seorang anak yang berkongsi perasaannya, “Hanya Tuhan sahaja yang mengetahui perasaan saya yang bercampur baur, melihat keadaan ayah yang telah berusia, menjalani pembedahan pembuangan usus besar dan menerima rawatan kimoterapi sebanyak 12 kali setahun”. Bagi mengelakkan keadaan tidak terkawal, penjaga, ahli keluarga, dan sahabat – sahabat perlu sentiasa memberikan sokongan, galakan serta kekuatan kepada pesakit dan ahli keluarga.
Bantuan kewangan
Kewangan merupakan faktor terpenting dalam rawatan penyakit kanser. Ia meliputi caj dari segi peralatan yang perlu dibayar kepada pihak hospital sekiranya melibatkan kes pembedahan, kos perubatan rawatan kanser, rawatan berulang, bantuan dan peralatan sokongan serta makanan tambahan yang perlu diambil bagi membantu pemulihan terhadap kesihatan pesakit kanser. Pengurus Besar Majlis Kanser Nasional (MAKNA) iaitu Farid (2017) menyatakan bahawa MAKNA telah merancang untuk menyediakan Rumah Perantaraan MAKNA di seluruh Malaysia. Penginapan tersebut menyediakan kemudahan bagi menggalakkan pesakit lebih positif sepanjang melakukan rawatan tanpa memikirkan kos sepanjang rawatan termasuk penginapan dan pengangkutan yang disediakan. Bantuan yang diberikan mampu menguatkan lagi semangat pesakit untuk mendapatkan rawatan.
Penglibatan bersama pertubuhan sosial
Penjaga mahupun pesakit boleh melibatkan diri secara tidak langsung melalui pembabitan bersama Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia atau Majlis Kanser Nasional agar lebih banyak maklumat dapat diperolehi melalui kumpulan sokongan ini. Umpamanya penglibatan bersama Persatuan Kanser KanWork (KanWork) di mana ia merupakan satu kumpulan sokongan kanser yang menjalankan aktiviti kebajikan di samping mendampingi komuniti. Ditubuhkan pada tahun 2006 dan kumpulan ini berdaftar sebagai Persatuan Kanser Network Selangor dan Wilayah Persekutuan (KanWork). Objektif utama persatuan ini adalah untuk memastikan bahawa penjaga dan keluarga yang tinggal dengan pesakit yang menjalani hidup dengan kanser tidak akan menempuh perjalanan itu secara bersendirian.
Bergiat aktif dalam altiviti fizikal/hobi yang digemari
Aktiviti fizikal seperti senaman, yoga, berbasikal serta aktiviti berkebun boleh dilakukan pada setiap hari. Selain itu digalakkan juga melakukan hobi yang digemari seperti melukis, membaca buku serta menulis. Dengan melakukan aktiviti fizikal dan hobi, secara tidak langsung ia dapat mengurangkan risiko terhadap penyakit kanser.
Sebagai kesimpulan, diagnosis terhadap penyakit kanser memberikan kesan mendalam terhadap penjaga dan pesakit kanser. Kesemua elemen ini amat penting bagi mewujudkan pengurusan yang lebih efisien terhadap penjagaan pesakit kanser.
Rujukan
Farid, M. (2017). www.h.usm.my. Retrieved from www.h.usm.my: http://www.h.usm.my/v3/index.php/44-berita/berita- 2017/651-makna-sediakan-penginapan-percuma-untuk-pesakit-kanser-hospital-usm-jalani-rawatan
http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/84?mid=54
Kredit Foto : anovacancercare