Oleh : Dr Siti Suriani Othman
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia
Berpuasa boleh jadi amalan keagamaan mahupun amalan untuk kesihatan. Dalam Islam, diperuntukkan berpuasa selama sebulan dalam bulan Ramadan bukan hanya untuk tujuan kesihatan tetapi untuk mengempati mereka yang miskin dan tidak dapat menikmati makanan dengan mewah setiap hari. Agama lain turut mempunyai amalan berpuasa yang berbeza dari segi praktisnya serta saranan dan larangannya. Dari segi saintifiknya, berpuasa meningkatkan tahap kesihatan termasuklah mengurangkan berat badan, meningkatkan kawalan gula dalam badan, menguatkan jantung dan otak serta mengelakkan kanser.
Dalam kalangan umat Islam, sunggguhpun Ramadan datang dan pergi setiap tahun, dinanti oleh yang merindui, namun hakikatnya tidak semua daripada kita arif tentang keperluan menjaga pemakanan seimbang sesuai dengan keadaan berpuasa. Sungguhpun berpuasa sebulan adalah amalan tahunan umat Islam, namun nafsu makan seakan menguasai ramai. Berbuka secara berlebihan adalah antara perkara yang tidak ramai memikirkan kesan buruknya terhadap kesihatan. Yang penting selesai berpuasa dan boleh berbuka serta perut kenyang dan senang hati!
Dalam pada itu, berpuasa selama sebulan bagi umat Islam dari segi praktikalnya mungkin tidak sukar bagi kebanyakan orang kerana kebiasaan, namun, pengetahuan tentang pemakanan yang sesuai amat membantu seseorang menjalani rutin seharian dengan mengurangkan rasa lelah. Badan mungkin agak lemah kerana berpuasa selama lebih kurang 12 jam dan pastinya perancangan pemakanan yang baik diperlukan dalam sebulan ini agar ibadah juga terjaga. Tidak dinafikan, ada juga yang menjadi lemah longlai selepas berbuka akibat terlalu banyak mengambil makanan manis yang melemahkan badan serta terlalu kenyang. Kita takut jika silap pilihan makanan boleh memudaratkan. Ada kes kematian direkodkan akibat berbuka puasa dengan meminum air berkarbonat berais dan makan berlebihan.
Dari segi pemilihan makanan untuk sahur, ada jenis jenis makanan yang mengenyangkan dan boleh dimakan untuk mengekalkan rasa kenyang yang lama. Antaranya adalah oat, sayur- sayuran seperti kobis, brokoli, lobak merah. Selain itu, telur juga sangat bernutrisi tinggi dan mengurangkan rasa lapar keesokan harinya.
Pemilihan buah yang baik dan mengeyangkan pula ialah avokado dan epal. Avokado misalnya mempunyai serat dan lemak yang memerlukan tempoh lama untuk dihadam serta kaya dengan folat,kalium dan vitamin E. Ia mengeyangkan dan menyihatkan badan secara keseluruhannya. Epal pula kaya air dan rendah kalori, menjadikan ia antara pilihan buah terbaik untuk bersahur. Makanan lain yang sesuai untuk dimakan ketika bersahur termasuklah kurma, barli, kekacang dan beras perang. semua jenis makanan ini mengenyangkan dalam tempoh yang lama.
Untuk berbuka, ada makanan yang disarankan sesuai diambil dengan tidak berlebihan bagi memberi tenaga dan nutrisi yang cukup buat yang berpuasa. Sejurus berbuka, makanlah makanan yang ringkas dahulu sebelum memakan makanan berat seperti nasi atau mi. Ini adalah untuk mengelakkan rasa ketidakselesaan terhadap sistem penghadaman seseorang.
Kita juga disarankan untuk memulakan berbuka dengan buah kurma. Secara saintifiknya, kurma mengandungi fruktosa yang tinggi yang boleh memberi tenaga segera kepada badan. Dengan kandungan 60-70 peratus gula di dalamnya, kurma memang sejenis makanan yang boleh dikategorikan sebagai makanan pemberi tenaga. Selain itu, kurma juga mempunyai enzim yang boleh membantu penghadaman makanan yang akan dimakan ketika berbuka. Selain itu, kurma juga baik untuk penghadaman.
Dengan pelbagai kebaikan ini, kita boleh lebih kreatif dalam menghidangkan dan kaedah memakan kurma. Selain memakannya begitu sahaja, kurma boleh dicampurkan dalam makanan lain untuk meningkatkan rasanya seperti makan bersama yogurt atau aiskrim, dibuat jem dan dimakan dengan roti, dijadikan sebagai gula untuk membuat air teh atau sebagainya, masukkan dalam resepi kek buah dan campurkan kurma ke dalam salad untuk memberi kesan manisan dalam resepi salad tersebut.
Meminum jus buah-buahan amat baik untuk badan kerana sepanjang berpuasa, badan boleh kekurangan glukosa. Jus mempunyai glukosa untuk menggantikan glukosa yang hilang dalam badan.
Selain itu, makanan jenis sup dan bubur juga sangat sesuai diambil ketika berbuka puasa. Ini adalah kerana air rebusan dan kuah sup sangat mudah dihadam dalam perut. Di samping itu, ini juga adalah kaedah untuk meningkatkan pengambilan cecair menerusi makanan. Buah-buahan dan sayur-sayuran pula amat baik untuk membantu penghadaman ketika berpuasa. Pastikan juga minum air kosong mencukupi untuk memastikan tidak berlaku kekeringan atau dehidrasi dalam badan.
Untuk makanan berat, hidangan yang mempunyai protein yang tinggi sangat membantu memberi tenaga dan menjadikan seseorang itu kurang letih sepanjang hari. Makanan seperti ikan, telur, keju dan kekacang amat baik dimasukkan dalam senarai makanan berbuka.
Dengan menjaga jenis dan kuantiti makanan yang dimakan ketika sahur dan berbuka, seseorang itu dapat mengelakkan diri menjadi lesu sepanjang berpuasa malah mempunyai tenaga yang cukup untuk beribadah di bulan mulia dan istimewa ini. Semoga setiap tahun Ramadan dinanti untuk menyucikan diri di samping meningkatkan tahap kesihatan diri kita semua. Dalam pada itu, pastikan Syawal dinanti sebagai hari kemenangan di samping terus menjaga pemakanan agar kekal sihat sepanjang tahun.
Artikel Berkaitan – Landaikan Lengkungan Cara Fikir Menghadapi Covid-19
Artikel Berkaitan – Lesu Upaya Digital Akibat Pandemik yang Berpanjangan
Artikel Berkaitan – Perlukah Sokong Golongan Anti-Vaksin Ketika Nyawa Diancam Bahaya ?
Artikel Berkaitan – Kecelaruan Jantina: Bagaimana Sains Dapat Membantu
Artikel Berkaitan – Menghadapi Jangkitan Ganas COVID-19: Apa yang perlu kita lakukan?
Artikel Berkaitan – Pengukuran, Evolusi dan Pandangan Islam
Artikel Berkaitan – Sokongan Psikologi “Hidupkan” Pesakit Kanser
Artikel Berkaitan – Pengetahuan Tentang Tidur Tingkatkan Kesihatan
Artikel Berkaitan – Kembalikan Kegemilangan Saintis Muslim
Artikel Berkaitan – Menyantuni Komunikasi Dalam Aplikasi Kumpulan WhatsApp
Artikel Berkaitan – Semua Orang Berisiko Sakit Jantung, Pembunuh Utama Manusia
Artikel Berkaitan – Komunikasi Alam Sekitar di Malaysia
Kredit Foto : freepik