Oleh : Onn Azli Bin Puade
Baru-baru ini, saya terlihat beberapa hantaran di media sosial mengenai pertukaran jarum untuk mengambil cecair vaksin daripada dalam vial nya, dan menukar jarum tersebut kepada warna Amber untuk mencucuk pesakit yang dirakam secara lansung.
Soalannya berbunyi sebegini;
Sedut guna picagari BIRU, Suntik pakai picagari MERAH
Harap pihak kerajaan mahupun KKM boleh jelaskan kepada rakyat dan negara, kenapa ada perbezaan picagari semasa suntikan vaksin COVID-19 terhadap Muhyiddin? Adakah suntikan vaksin COVID-19 di Malaysia ini memang perlukan dua picagari yang berbeza?
Kepada anda semua yang masih tidak memahami soalan, soalan sebenarnya adalah sebegini;
Mengapakah semasa siaran lansung yang ditayangkan di laman web KiniTV mendapati bahawa semasa pemberian Vaksin COVID-19 kepada Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ (Dr) Haji Muhyiddin bin Haji Muhammad Yassin, kelihatan jarum yang digunakan itu berbeza warnanya iaitu BIRU kepada MERAH, BUKAN OREN. Adakah pemberian vaksin dan ubat-ubatan secara suntikan ini memerlukan dua jenis jarum untuk diberikan kepada pesakit di hospital di serata dunia?
Jawapannya, YA.
ASAS PROTOKOL DAN KAEDAH PEMBERIAN UBAT SECARA SUNTIKAN
Mari kita fahamkan perkara asas terlebih dahulu. Pemberian ubat melalui jarum suntikan (Hypodermic Needle), atau terma perubatannya, parenteral mempunyai 4 kaedah iaitu secara intravena (salur darah), intramuscular (otot), intradermal dan juga subcutaneous. Lawan untuk pemberian ubat melalui kaedah parenteral ini adalah oral (ubat yang perlu dimakan atau diminum dalam bentuk pil, kapsul mahupun cecair).
FUNGSI KOD WARNA PADA JARUM?
Perkara asas yang kedua adalah saiz jarum tersebut. Untuk pengetahuan anda, setiap jarum hipodermik yang dibekalkan kepada pihak hospital akan diletakkan di dalam plastik untuk memastikannya berada di dalam keadaan steril. Yang kedua, bahagian jarum yang tajam itu akan ditutup dengan plastik untuk menghalangnya daripada mencucuk plastik bungkusannya. Maka, daripada sinilah datangnya kod-kod warna untuk jarum tersebut untuk mudah dikenali saiznya oleh pekerja kesihatan.
Kod warna ini akan dibahagikan mengikut saiznya dalam unit gauge (sebutan – geij). Semakin kecil nombor gauge nya, semakin besar saiz jarum tersebut. Semakin besar jarum tersebut, semakin tinggilah kadar pengaliran cecair di dalamnya kerana saiz lohong nya yang besar.
Untuk isu tersebut, saya dapati ada pihak yang ingin bertanyakan soalan secara terbuka iaitu mengapakah pertukaran jarum hipodermik dilakukan, dan saya pasti ramai pihak kesihatan sudah pun menjelaskannya secara profesional. Jadi, saya juga ingin menerangkan kepada anda dengan lebih sedikit terperinci dan menyeluruh.
KAEDAH PEMBERIAN UBAT
Antara perkara yang anda perlu ketahui adalah mengenai pencemaran oleh pelbagai makhluk halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar iaitu bakteria, fungi, parasit dan virus.
Sebaik sahaja kita membuka peket plastik tersebut, para petugas kesihatan akan mencucuknya pada picagari (syringe) dan plastik yang melindungi bahagian besi jarum tersebut dibiarkan sehinggalah ianya ingin digunakan. Masa yang singkat untuk mendedahkan apa-apa peralatan perubatan salah satu cara untuk merendahkan risiko pencemaran oleh bakteria berbahaya.
MENGELAKKAN CROSS CONTAMINATION DAN MENGURANGKAN MASA PENDEDAHAN KEPADA PESRSEKITARAN
Hal ini dilakukan untuk meminimumkan pencemaran di tempat yang akan digunakan untuk diberikan kepada pesakit. Kemudiannya, jarum tersebut akan dibuka penutup plastiknya (uncapped) dan dicucuk pada bahagian getah di atas vial (botol) vaksin berkenaan yang juga mempunyai penutup plastik di atasnya. Getah tersebut pun agak tebal dan untuk ubat yang lama tidak dipakai, ianya kadangkala mengeras.
Untuk mencucuk getah tersebut, kebiasaannya, kita akan menggunakan jarum hipodermik yang besar. Hal ini adalah untuk memudahkan kita menyedut ubat tersebut dengan lebih pantas kerana flow rate nya tinggi. Selepas itu ubat tersebut akan ditarik sedikit ke atas dan jarum tersebut akan dibuka dan dibuang. Kita tidak dibenarkan untuk recap kembali jarum tersebut kerana risiko untuk kita tercucuk pada jari kita sendiri (needle prick) boleh berlaku.
Picagari tersebut seterusnya akan diletakkan dengan satu lagi jarum yang baru. Jarum hipodermik ini, lebih tinggi gauge nya, lebih kecil saiznya. Untuk pengetahuan anda, vaksin yang baru sahaja kita dapati mengandungi 0.3 ml cecair sahaja dan kaedah yang dikehendaki mengikut kepada rujukan panduan pemberian vaksin adalah menerusi Intramuscular.
Dalam kes ini, amat ketara bahawa penukaran jarum itu adalah daripada warna biru (22G) kepada merah (25G) mengikut kepada guideline yang diberikan iaitu di antara saiz 21 sehingga 25G.
SKIN BREACHING
Kulit manusia mempunyai pelbagai jenis bakteria sebagai normal flora termasuk bakteria yang amat sukar dirawat seperti Methicillin-resistant Staphylococcus aureus, MRSA. Maka, tusukkan jarum tersebut yang akan menembusi kulit buat sementara waktu akan menjadikan sistem pertahanan kulit kita tidak lagi berfungsi. Terma yang biasa digunakan adalah skin breaching.
Itulah sebabnya mengapa ianya perlu dipakai sekali sahaja dan terus dibuang. Jika tidak, kita pula yang menjemput masuk bakteria daripada luar ke dalam badan pesakit. Untuk pengetahuan anda, MRSA merupakan salah satu super-bug dan memerlukan rawatan antibiotik yang amat mahal dan tricky untuk digunakan iaitu Vancomycin.
MEMINIMUMKAN RASA SAKIT
Satu lagi kelebihan menggunakan jarum hipodermik yang lebih kecil adalah ianya boleh mengurangkan rasa kesakitan pada pesakit. Dalam gambar tersebut, sebenarnya pihak doktor telah menukar jarum hipodermik itu daripada warna biru kepada warna merah, iaitu daripada 22 gauge kepada 25 gauge (merujuk kepada guideline yang disediakan – lihat jadual di bawah)
Seperti yang kita tahu, jarum yang besar ini, sekiranya kita gunakan untuk suntikan intramuscular berpotensi untuk mengakibatkan kesakitan yang berpanjangan. Badan kita tidak lagi menganggap cucukkan jarum itu sebagai pricking/sharp pain, tetapi lebih kepada terasa bagai ditikam (stab pain).
Juga, untuk suntikan secara intramuscular, bahagian punggung (ventrogluteal dan dorsogluteal (tidak digalakkan)), paha (vastus lateralis) dan juga bahu (deltoid muscle) adalah pilihan yang terbaik kerana terdapat banyak otot di situ walaupun seseorang itu kurus dan slim melim. Tetapi, otot-otot dalam badan kita ini mempunyai reseptor untuk mengesan kesakitan yang disebabkan oleh kecederaan fizikal atau terma perubatannya, muscle pain. Oleh sebab yang sedemikian, jarum yang lebih kecil adalah pilihan yang optimum untuk meminimumkan rasa kesakitan yang berpanjangan.
KETAJAMAN JARUM
Ini merupakan salah satu faktor yang amat penting dalam memberikan yang terbaik buat pesakit. Andai kata jarum yang digunakan itu merupakan jarum yang sama digunakan untuk mencucuk vial ubat berkenaan, ianya akan menjadi sedikit tumpul berbanding dengan jarum yang baru walaupun hanya digunakan sekali.
Anda perlu fahami bahawa jarum gred perubatan ini sememangnya merupakan yang paling tajam di dunia. Untuk menjadikan sesuatu jarum itu tajam, bahan seperti stainless-steel dan titanium seringkali digunakan dan bahagian hujung (tip of the needle) jarum berkenaan.
Namun, ianya akan menjadikan jarum tersebut kurang ketahanannya dan akan tumpul dengan cepat. Begini analoginya, korang pernah tak asah pisau guna kertas pasir yang kasar? Di situ, korang akan mendapati bahawa walaupun bilah pisau itu menjadi tajam, ianya juga menjadi nipis. Penipisan ini menjadikan daya ketahanannya berkurang.
Tetapi, untuk jarum hipodermik ini, mengapa ianya tidak tahan? Bukankah hypodermic needle ini merupakan yang paling tajam dan tinggi gred pembuatannya?. Jawapannya adalah berbalik semula kepada terma disposable hypodermic needle, iaitu pembuatannya sememangnya adalah untuk digunakan sekali sahaja.
Ianya bukan jarum jahitan baju atau kasut yang koyak di mana jarum sebegini dibina untuk ketahanan serta tidak mempunyai lohong di tengahnya. Walaupun dalam keadaan terdesak, jarum ni boleh digunakan semula, namun, untuk situasi biasa di hospital atau klinik, penggunaan jarum yang betul-betul tajam dan baru kali pertama digunakan merupakan pilihan yang tidak berisiko tinggi.
Maka, setelah jarum tersebut digunakan untuk mencucuk bahagian getah vial ubat berkenaan, ketajamannya akan berkurang dan disebabkan jarum yang tumpul mempunyai risiko untuk menjadikan pesakit lebih sakit, maka, ini merupakan salah satu sebab mengapa jarum tersebut ditukar seperti yang kita lihat dalam sesi live pemberian vaksin baru-baru ini.
KESIMPULANNYA
Untuk menjadikan sesuatu berita itu lebih sensasi dan menimbulkan kontroversi, penukaran jarum bukanlah satu pilihan topik yang baik, tetapi, penukaran picagari. Ya, yang tu lagi sensasi dan mengakibatkan ramai pekerja kesihatan berasa takut. Malangnya, itu tidak berlaku.
Rujukan
Centers for Disease Control and Prevention: Pfizer-BioNTech Covid 19 Vaccine, Standing Orders for Administering Vaccine to Persons 16 Years of Age and Older.
https://www.cdc.gov/vaccines/covid-19/info-by-product/pfizer/downloads/standing-orders.pdf
National Pharmaceutical Regulatory Agency, Ministry of Health, Malaysia on safety Updates on COVID-19 Vaccine
The American Journal of Surgery; Measuring Surgical Needle Sharpness via Science Direct Website
Kredit Gambar
Hypodermic Needles via Wikimedia
Intramuscular (IM) Injection Sites by Nursing Crib Website via Pinterest
Suara Rakyat Facebook Page
Standing Order of CDC for Covid19 Vaccines
#medicafact #medart #imedart #imedex #medex #covid19 #kinitv #tukarwarnajarum #jarum #hypodermicneedle