Oleh : Dr. Sandie Choong Siew Shean & Dr. Tan Li Peng
Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Malaysia Kelantan
Malaysia adalah antara segelintir negara-negara yang berstatus bebas rabies dalam dunia. Namum status ini yang dipegang sejak April 1954 terbatal pada tahun 2015, apabila penyakit rabies, atau lebih biasa dikenali sebagai penyakit anjing gila, telah dikesan di negeri-negeri utara Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Sebelum kerajaan Malaysia sempat mengisytiharkan penyakit rabies telah dihapuskan pada tahun 2017, kes rabies sekali lagi dilaporkan di Sarawak, dan kini kerja-kerja pengawalan masih berjalan. Selain daripada itu, pengesanan jangkitan Malaria Knowlesi, atau Malaria Monyet, semakin meningkat di Sabah, Sarawak dan Kelantan semenjak penyakit ini dikenal pasti pada tahun 2004. Ketua Pengarah Kesihatan juga telah mengeluarkan peringatan terhadap pengambilan langkah-langkah berjaga untuk golongan risiko tinggi terhadap penyakit ini. Secara umumnya kedua-dua penyakit ini adalah berpunca daripada haiwan dan turut menjangkiti manusia yang berdekatan. Sebenarnya, ini hanya sebahagian kecil daripada penyakit berjangkit yang dibawa oleh haiwan. Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekurang-kurang 61% penyakit manusia adalah berpunca daripada haiwan, atau dikenali sebagai Penyakit Zoonotik.
Apa itu Penyakit Zoonotik?
Penyakit zoonotik ialah penyakit yang boleh menjalar daripada haiwan vertebrat kepada manusia. Hidupan seharian kita berkait rapat dengan pelbagai jenis haiwan, sama ada haiwan kesayangan seperti kucing dan anjing, haiwan ternakan seperti ayam, lembu dan kambing, serta hidupan liar di kawasan penempatan, pertanian, rekreasi dan hutan (keperluan perkerjaan). Maka, kita akan terdedah dengan pelbagai kuman yang dibawa oleh haiwan-haiwan tersebut. Kuman yang dimaksudkan di sini ialah mikrob yang merangkumi virus, bakteria, parasit dan kulat. Pada kebiasaannya, haiwan yang dijangkiti kuman akan jatuh sakit. Tetapi kadangkala haiwan yang dijangkiti tidak sakit, atau haiwan manjadi pembawa kuman selepas sembuh daripada penyakit, dan haiwan sebegini dianggap sebagai reservoir haiwan.
Penjalaran Penyakit Zoonotik
Penjalaran penyakit zoonotik boleh berlaku dalam berbagai bentuk, antaranya ialah pendedahan langsung semasa memegang atau menyentuh haiwan-haiwan tersebut, digigit atau dicakar, disamping kontak langsung dengan air liur, darah atau bahan buangan yang telah dicemari kuman. Sebagai contoh, penyakit anjing gila yang disebabkan oleh gigitan haiwan yang telah dijangkiti virus tersebut; jangkitan sporotrikosis pada seseorang yang mempunyai luka terbuka pada kulit kerana dedahan kepada kucing yang dijangkiti kulat Sporothrix.
Selain itu, kontak tidak langsung juga adalah suatu laluan infeksi yang sering mengakibatkan manusia dijangkiti oleh penyakit zoonotik. Ini berlaku apabila manusia terdedah kepada bahan-bahan yang telah digunakan atau dihinggapi oleh haiwan-haiwan yang dijangkiti atau membawa kuman tersebut. Salah satu contoh ialah penyakit kurap, dimana manusia mungkin terjangkit jika menyentuh atau menggunakan perkakas yang telah digunakan pada haiwan yang dijangkiti kulat Dermatophytosis, seperti tuala dan berus. Jangkitan hama dan pijat boleh berlaku apabila pekerja menjalankan kerja-kerja di reban ayam atau rumah yang mempunyai haiwan yang dijangkiti oleh artropod dan serangga tersebut.
Pemakanan produk-produk haiwan juga membawa risiko jangkitan zoonotik. Infeksi bawaan makanan disebabkan oleh bakteria seperti Salmonella dan E. coli berlaku jika termakan ayam atau telur yang tercemar. Tambahan lagi, pelbagai jenis cacing parasit pernah dikesan dalam daging lembu, kambing, khinzir dan ikan. Laporan penemuan cacing Anisakis dalam ikan sardin dalam tin baru-baru ini di Malaysia telah menimbulkan kegusaran tentang pengambilan makanan tersebut.
Serangga perantara memainkan peranan penting dalam penjalaran penyakit zoonotik. Serangga menggigit haiwan terjangkit dan ia memindahkan virus, bakteria ataupun parasit kepada manusia yang digigit kemudiannya. Antara contoh yang menimbulkan kerisauan di peringkat Kementerian Kesihatan ialah penyakit Malaria-Monyet yang berpunca daripada kera dan dipindah melalui gigitan nyamuk Anopheles kepada manusia; penyakit ensefalitis Jepun (Japanese Encephalitis, JE) daripada khinzir yang melalui gigitan nyamuk Culex. Selain itu, penyakit bawaan arthropod juga termasuk penyakit Lyme yang disebar oleh sengkenit daripada tikus kepada manusia.
Bagaimana Penyakit Zoonotik boleh dicegah?
Dalam kehidupan seharian, kita tidak dapat mengelakan diri daripada berinteraksi dengan haiwan, maka ini menjadi cabaran pencegahan penyakit zoonotik berbanding dengan penyakit bukan infeksi. Walaupun bagamanapun, risiko pendedahan kepada penyakit ini boleh dikurangkan jika kita dilengkapi dengan ilmu pengetahuan terhadap penyakit ini dan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yang sesuai. Antara perkara yang boleh kita amalkan ialah memberi perhatian kepada haiwan-haiwan di sekeliling kita agar berwaspada apabila haiwan tersebut meunjukkan simptom sakit, menjaga kebersihan diri seperti cuci tangan dengan sabun selepas menyentuh haiwan, menjaga kebersihan tempat haiwan biasa berkeliaran, memberi vaksin ikut rancangan, serta elak daripada gigitan haiwan dan serangga dengan penggunaan kelambu atau ubat pencegah serangga.
Adalah penting untuk difahami bahawa kuman adalah kejadian semula jadi, yang boleh berada di mana-mana dan pada apa-apa jua. Penyakit daripada haiwan tidak semestinya mendatangkan masalah kesihatan pada manusia jika langkah-langkah keselamatan diambil.
Kredit Foto :
theeconomist