Bahagian 3
Aspek penghasilan makalah tidaklah semudah kajian fizik eksperimen, kebanyakan makalah fizik teori banyak yang ditolak dalam jurnal-jurnal fizik berimpak tinggi, jika dilihat dalam laman sesawang arxiv.org (himpunan makalah sains), didapati terdapat sebilangan besar makalah-makalah fizik teorinya tiada nama rujukan jurnalnya, ini menunjukkan bahawa makalah tersebut telah ditolak daripada jurnal fizik teori, oleh hal yang demikian penyelidik tersebut mengambil inisiatif untuk menerbitkannya juga dalam laman web tersebut. Makalah fizik saintis terkenal Peter Higgs juga pernah ditolak. Makalah tersebut adalah mengenai penemuan secara teori iaitu zarah yang bertanggungjawab ke atas konsep jisim bagi zarah asas melalui pencabulan simetri U(1) setempat berspontan dengan gandingan tolok elektromagnet. Makalah mengenai zarah tersebut ditolak daripada jurnal fizik, walhal penemuan zarah tersebut yang telah menjadi inspirasi kepada masyarakat fizik sekarang dalam menyertai program Large Hadron Collider (LHC), terutamanya di kalangan ahli fizik eksperimen.
Perkembangan semasa fizik teori tidak dibincangkan atau disiarkan secara umum di Malaysia melalui persidangan-persidangan atau seminar-seminar atau makalah arus perdana, apatah lagi perbincangan secara teknikal. Jika dilihat daripada penyelidikan di negara Barat terutamanya, mereka telah lama membincangkan masalah zarah Higgs, manakala di Malaysia baru sedang menghantar pelajar-pelajarnya ke Summer School di Pusat Penyelidikan CERN di Geneva. Jika di negara Barat, ahli fizik teori sangat disegani malah menjadi sanjungan, manakala di Malaysia situasinya berbeza Bukan sahaja ahli fizik teori, malahan ahli fizik eksperimen pun dipandang sipi oleh golongan profesional. Komuniti yang disegani pada mereka adalah ahli politik dan jutawan, tidak kiralah apa pun partinya atau apapun latarbelakangnya.
Melalui pengalaman penulis, kesusutan bilangan dan kekangan ahli fizik teori turut dipengaruhi dengan sistem pendidikan negara Ini dapat dilihat dengan penilaiannya berdasarkan kepada peperiksaan, yang menyekatkan kebebasan pelajar untuk berfikir kreatif di luar kotak fikiran dan menimbulkan minat atau kesungguhan kepada sesuatu ilmu, kerana semua pelajarannya yang disuapkan kepada pelajar-pelajar mestilah merangkumi silibus-silibus Kementerian Pelajaran Malaysia. Budaya galakan di rumah juga mempengaruhi tumbesaran pemikiran kanak-kanak, yang mana anak-anak kecil tidak didedahkan dengan sikap ingin tahu, atau kemahiran berimaginasi, atau menjalankan penyelidikan sains yang ringkas, atau mendedahkan mereka tentang objek-objek samawi di angkasa, atau diceritakan kepada mereka cerita-cerita yang boleh menarik minat mereka mengenai dunia sains dan penyelidikan. Albert Einstein pernah dihadiahkan kompas ketika umur tiga tahun dan mencetuskan sikap ingin tahu “kenapa jarum kompas selalu menunjuk arah ke utara?”, Richard Feynmann pula dihadiahkan radio dan daripada itu, beliau berupaya memperbaiki radionya sendiri. Apa yang jelas dalam masyarakat kita, ialah setiap kali anak-anak balik sekolah perkara pertama yang ditanya adalah “Cikgu ada beri kerja sekolah tak? Kalau ada, buat sekarang!”, kemahiran anak-anak berada di dalam ruang lingkup kerja sekolah tersebut, tidak pernah didedahkan kepada anak-anak dengan pertanyaan “Kenapa dan Mengapa”. Cita-cita pertama yang diterapkan juga oleh ibu-bapa dan guru di sekolah adalah doktor, jurutera, guru atau akauntan, tak pernah kedengaran cita-cita mereka adalah ahli fizik atau ahli matematik atau ahli pemikir. Mungkin budaya kita berbeza dengan budaya ketika zaman kanak-kanak Gerard ‘t Hooft, iaitu seorang ahli fizik yang memenangi Hadiah Nobel Fizik pada tahun 1999 yang mana ketika itu beliau telah ditanyakan mengenai cita-cita beliau apabila dewasa kelak, beliau menjawab, beliau mahu menjadi seorang yang “Tahu Segala Perkara”.
Ahli fizik teori di Malaysia semakin hari semakin menyusut. Hal ini turut diakui oleh Prof Shaharir Mohamad Zain, melalui perbualan ringkas dengan beliau suatu masa dahulu. Beliau mengeluh dengan kesusutan ahli fizik teori jika dibandingkan pada awal 70an. ”Itupun ketika itu bilangan ahli fizik teori boleh dikira dengan jari, sekarang ini tak pastilah pula bilangannya”, katanya sambil ketawa. Menjadi ahli fizik teori tidaklah mendamba pangkat dan jawatan tinggi, cukuplah sekadar memenuhi kepuasan untuk mengetahui sesuatu yang sedikit tentang aturan alam. Bak kata Prof Freddy Permana Zen, (seorang ahli fizik teori Institut Teknologi Bandung, Indonesia dalam bidang Adisimetri dan Graviti Newtonian Terubahsuai) iaitu “Menjadikan bidang ini, bukanlah untuk kaya”. Penulis agak tertarik dengan kenyataan Prof Madya Ithnin dari UM iaitu “Orang yang mengkaji Teori Aditetali (merujuk kepada beliau dan saudara Anuar Alias) telah memenuhi fardhu kifayah untuk negara Islam, kerana teori tersebut telah didominasi oleh orang bukan Islam”
Wahai generasi baru, mulakanlah langkah kita semua untuk mendominasi bidang fizik teori meskipun kita telah ketinggalan dengan negara membangun yang lain. Kita patut berasa malu dengan Thailand dan Indonesia, apatah lagi jika dibandingkan dengan negara Singapura, negara yang sudah maju dalam bidang tersebut. Sebagai permulaan untuk mengorak langkah, maka adalah perlu kita semaikan kehidupan harian kita dengan perbincangan-perbincangan ilmiah dan budaya illmu sepanjang masa tidak kira di mana. Kedua, jadilah seorang yang relevan, setiap perkara yang dibawakan atau yang didengar adalah fakta dan bukti begitu juga dalam berhujah. Ketiga, pupuklah sikap ingin tahu dan keghairahan untuk meneroka pengetahuan tentang alam tabii. Keempat, perkemaskanlah kemahiran dan pengetahuan matematik. Kelima, mendominasi setiap sektor professional dan penyelidikan. Keenam, ciptakan suasana ilmiah dirumah bersama keluarga, mungkin anak-anak itu berkemungkinan menjadi generasi penggerak kepada dunia penyelidikan, terutamanya bidang fizik teori.
Kesimpulannya di sini bahawa halatuju fizik teori di Malaysia adalah negatif, memandangkan data dan pencerapan tak rasmi penulis adalah kabur untuk menyatakan bilangannya, ini menunjukkan bidang fizik teori adalah tenat. Manakala cabaran bagi perkembangan bidang fizik teori sudahpun bermula daripada pendidikan awal dirumah, seterusnya ke persekolahan, membawa kepada pendidikan di peringkat universiti dan kebangsaan, malahan ke peringkat penggubal dasar kerajaan.
Catatan : // Penulis merupakan pensyarah di Jabatan Fizik , Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Penyelidikan Sultan Idris, (UPSI)
Berikan Komen Anda Di Sini