1Dr. Izfa Riza Binti Hazmi, 2Dr Nur Athirah Abdullah & 1Prof Madya Dr Norela Sulaiman
1Pusat Sistematik Serangga, Fakulti Sains & Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia.
2 Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang Kampus Jengka.
‘Kelip-kelip kusangka api
Kalau api mana sumbunya?
Hilang ghaib kusangka mati
Kalau mati mana kuburnya?’
Kerlipan kelip-kelip di sepanjang sungai pada waktu malam menghasilkan pemandangan yang luar biasa dan menjadi tarikan pengunjung, dari dalam dan luar negara. Apakah sebenarnya serangga kecil yang mampu menghasilkan cahaya berkerlipan ini, seperti lampu di tengah malam yang pekat (Gambar 1). Kelip-kelip merupakan kumbang yang dikelaskan dalam order Coleoptera dan famili Lampyridae. Kelip-kelip boleh di bahagikan kepada dua kumpulan iaitu kelip-kelip yang berkelip secara sinkroni (serentak) dan kelip-kelip yang berkelip secara individualistik (tidak serentak).

Kepelbagaian dan Kepentingan Kelip-kelip
Terdapat 29 spesies kelip-kelip dari sembilan genus iaitu Medeopteryx, Abscondita, Colophotia, Curtos, Luciola, Pygoluciola, Kuantana, Lamprigera dan Pteroptyx yang telah direkodkan di Malaysia. Kerlipan cahaya kelip-kelip yang unik dihasilkan oleh organ cahaya pada bahagian abdomennya. Organ cahaya ini mengandungi enzim lusiferase yang bertindak sebagai pemangkin dalam proses bioluminasi yang menghasilkan kerlipan cahaya.
Pteroptyx adalah antara genus kelip-kelip yang sangat dikenali di Malaysia. Kelip-kelip dari genus Pteroptyx berkumpul pada pokok peragaan di kawasan riparia (tebingan sungai) pada waktu malam dan berkelip bagi menarik pasangan untuk mengawan. Terdapat 12 spesies kelip-kelip Pteroptyx telah direkodkan di Malaysia (Gambar 2). Pteroptyx tener menjalani kitar hidup metamorfosis lengkap bermula dari telur. Kelip-kelip Pteroptyx bersifat semi-akuatik dengan kitar hidupnya sangat bergantung kepada kawasan riparia.

Tumbuhan di kawasan riparia adalah penting bagi kelip-kelip Pteroptyx dalam proses mencari pasangan. Tumbuhan riparia yang menjadi pokok peragaan adalah tempat bagi kelip-kelip dewasa memperagakan kerlipan bagi menarik pasangan. Kelip-kelip jantan hinggap di hujung daun pokok peragaan dan mempamerkan kerlipannya untuk menarik perhatian kelip-kelip betina bagi tujuan mengawan. Setelah mengawan, kelip-kelip betina akan meletakkan telurnya di dalam tanah lembap di kawasan tebing sungai. Apabila telur ini menetas, larva kelip-kelip akan menjadikan siput-siput kecil dari spesies Cyclotropis carinata (sebagai sumber makanannya. Cyclotropis carinata hidup di kawasan riparia yang dipengaruhi oleh air pasang surut di samping bergantung kepada tumbuhan rumpai di kawasan tebing sungai sebagai tempat perlindungan. Sebarang aktiviti yang membawa perubahan kepada habitat siput ini secara fizikal mahupun kimia boleh menjejaskan populasi siput dan seterusnya menyebabkan populasi kelip-kelip menurun.
Kelip-kelip memainkan peranan yang penting dalam memastikan kestabilan ekosistem. Ini adalah kerana larva kelip-kelip merupakan pemangsa bagi siput yang bersifat perosak. Kelip-kelip juga adalah penunjuk biologi yang baik dalam pemantauan kesihatan habitat memandangkan ia sangat sensitif kepada perubahan persekitaran. Sebarang proses pembangunan dan pembukaan kawasan tebingan sungai yang terlampau akan menjejaskan habitat kelip-kelip dan ini boleh dipantau melalui jumlah populasi kelip-kelip yang berkurang atau pupus secara langsung.
Ekopelancongan kelip-kelip
Kelip-kelip Pteroptyx yang mempamerkan kerlipan cahayanya pada pokok peragaan pada waktu malam menjadi produk ekopelancongan yang menyumbang kepada ekonomi negara. Pemandangan yang indah pada waktu malam menarik kehadiran pelancong tempatan dan juga antarabangsa (Gambar 3). Di Semenanjung Malaysia, beberapa lokasi telah dikenali sebagai kawasan ekopelancongan berasaskan kelip-kelip dan salah satu darinya adalah di Kampung Kuantan, Kuala Selangor. Habitat kelip-kelip di Kuala Selangor merupakan satu tapak ekopelancongan kelip-kelip yang paling berjaya di Malaysia dengan purata bilangan pelancong seramai 2000 orang sebulan.

Aktiviti lawatan kelip-kelip telah dikenalpasti sebagai aktiviti ekopelancongan berasaskan komuniti (CBE) kerana ia dikelolakan oleh penduduk setempat yang tinggal berhampiran dengan kawasan pelancongan. Aktiviti ekopelancongan ini membantu menjana pendapatan melalui perkhidmatan bot dan pemandu pelancong serta gerai-gerai makanan di kawasan berhampiran. Kajian menunjukkan 57% dari bilangan pengusaha bot berjaya menjana pendapatan bulanan sebanyak RM 400 hingga RM 600. Selain itu sebahagian pendapatan dari aktiviti ekopelancongan ini juga boleh digunakan dalam aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan. Ini membuktikan keperluan untuk pemuliharaan kelip-kelip dijalankan bagi memastikan populasi ini bertahan dalam jangka masa yang lama dan terus berkembang bagi membantu ekonomi negara.
Selain dari Kuala Selangor, beberapa habitat kelip-kelip lain di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak turut telah dikenalpasti dengan potensi sebagai tapak ekopelancongan kelip-kelip. Ini termasuk Sungai Rembau, Negeri Sembilan, Sungai Cherating, Pahang, Kampung Dew, Perak, Sungai Chukai, Terengganu, Sungai Klias , Sungai Kawang dan Sungai Teratak , Sabah, Sungai Bernam, Selangor serta Sungai Raan, Sungai Sibuti dan Sungai Niah, Sarawak. Pelan pengurusan tapak ekopelancongan kelip-kelip yang baik dapat memastikan kelangsungan populasi ini disamping membantu perkembangan ekonomi negara.
Sebagai salah satu syarikat korporat yang terbesar di Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengambil inisiatif dalam membantu memperkembangkan dan mempromosikan lagi tapak ekopelancongan kelip-kelip. Selain menjadikan kelip-kelip sebagai ikon syarikat, TNB juga telah mula melibatkan diri untuk menaiktaraf fasiliti di tapak ekopelancongan kelip-kelip di Kuala Selangor. Pada tahun 2009, TNB telah menyerahkan Pusat Kelip-Kelip di Kampung Kuantan yang telah dinaiktaraf dengan perbelanjaan kos hampir RM 1.2 juta kepada Majlis Daerah Kuala Selangor. TNB juga telah melibatkan diri dalam penyelidikan kelip-kelip melalui pemberian dana penyelidikan kepada universiti awam. Usaha pemuliharaan kelip-kelip juga telah dijalankan secara aktif oleh syarikat ini apabila lebih kurang 1000 pokok berembang telah ditanam bersama sukarelawan-sukarelawan dari pelbagai peringkat umur di beberapa habitat kelip-kelip terpilih (Gambar 4). Kerjasama yang ditunjukkan oleh pelbagai pihak termasuk syarikat-syarikat luar seperti TNB ini bakal membantu kelangsungan populasi kelip-kelip di Malaysia untuk jangka masa panjang.

Ancaman Global Terhadap Populasi Kelip-kelip Pteroptyx
Kemusnahan habitat menjadi ancaman yang serius terhadap kelip-kelip di seluruh dunia . Di Malaysia, kemusnahan habitat kelip-kelip Pteroptyx sering terjadi berpunca dari perubahan guna tanah di tebing sungai kepada pertanian, akuakultur dan juga perbandaran. Kawasan tebing sungai di Malaysia telah digunakan bagi perladangan kelapa sawit, penternakan udang serta penternakan haiwan. Kebanyakan aktiviti-aktiviti ini telah melanggar rizab sungai yang telah diwartakan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara yang merujuk kepada suatu jalur tanah yang bersebelahan kedua-dua tebing sungai. Bagi kawasan sungai yang mempunyai hutan bakau, rizab yang lebih besar diperuntukkan bagi mengawal pencemaran. Di kawasan ini, rizab yang diperuntukkan adalah sebanyak 100 meter untuk pembangunan bagi pelancongan, 500 meter untuk pembangunan perumahan dan 1000 meter untuk pembangunan industri. Pematuhan undang-undang rizab sungai ini boleh membantu dalam memelihara populasi Pteroptyx. Ini adalah kerana perkembangan larva Pteroptyx ini berlaku di kawasan tebing sungai. Ini juga membantu dalam memeliharan populasi siput yang menjadi sumber makanan larvanya.
Penggunaan racun perosak juga telah dilaporkan menyebabkan penurunan populasi kelip-kelip dunia. Kepekatan racun serangga yang tinggi di dalam air dan tanah boleh mengganggu perkembangan larva kelip-kelip. Kelip-kelip seumpama Pteroptyx yang bertelur di dalam tanah di kawasan tebing sungai boleh terdedah dengan racun serangga yang berada di dalam tanah serta air. Hal ini menjadi isu yang memerlukan perhatian di Malaysia memandangkan banyak aktiviti perladangan dengan penggunaan racun perosak di kawasan tebing sungai berhampiran dengan habitat kelip-kelip.
Faktor lain yang turut menjadi punca kepada penurunan populasi kelip-kelip dunia adalah pencemaran air dan lampu, aktiviti pelancongan, dan juga perubahan iklim. Pencemaran air di kawasan Asia Tenggara sering berlaku akibat dari larian air yang mengandungi baja, racun perosak serta sisa kimia lain dari kawasan perindustrian dan pertanian. Larva kelip-kelip yang bersifat akuatik boleh terkesan dari pencemaran ini. Aktiviti pelancongan juga didapati boleh memberi kesan negatif jika tidak diurus dengan baik. Lampu dari kamera yang dibawa oleh pelancong boleh mengganggu signal kelip-kelip untuk mencari pasangan. Penggunaan bot berenjin untuk membawa pelancong menyelusuri sungai di Thailand didapati telah menyebabkan hakisan tanah di tebing sungai dan memusnahkan habitat larva kelip-kelip Pteroptyx di negara itu.
Kesimpulan
Kerlipan kelip-kelip di malam hari merupakan khazanah alam yang besar untuk kita dan negara. Justeru, usaha pemeliharaan dan pemuliharaan populasi kelip-kelip adalah satu usaha yang perlu dipertingkatkan dan dipergiatkan. Pembangunan yang terancang perlu diimplementasi bagi menjaga habitat kelip-kelip yang sangat sensitif ini. Sekali populasinya pupus, maka ia adalah sangat sukar untuk dikembalikan.
RUJUKAN
Abdullah, N.A., Asri, L.N., Radzi, S.N.F., Musbah, M., Hazmi, I.R. & Sulaiman, N. 2020. Abiotic factors influencing diversity and abundance of congregating fireflies (Coleoptera: Lampyridae) in Miri, Sarawak, Malaysia. Oriental Insects: 1-16.
Abdullah, N.A., Radzi, S.N.F., Asri, L.N., Idris, N.S., Husin, S., Sulaiman, A., Khamis, S., Sulaiman, N. & Hazmi, I.R. 2019. Insect community in riparian zones of Sungai Sepetang, Sungai Rembau and Sungai Chukai of Peninsular Malaysia. Biodiversity Data Journal 7: e35679.
Anon. 2009. TNB serah pusat kelip-kelip kepada MDKS. Utusan Malaysia 26 Februari: 27.
Asri, L.N., Abdullah, N.A., Sulaiman, A., Asri, M.H.M., Sulaiman, N., Satiman, E.M.F.E.N., Husin, S.M., Shukor, A.M. & Darbis, N.D.A. 2020. Abundance and species composition of synchronous flashing firefly at Sungai Rembau, Negeri Sembilan, Malaysia. International Journal of Tropical Insect Science: 1-12.
Ballantyne, L.A., Lambkin, C.L., Ho, J.Z., Jusoh, W.F.A., Nada, B., Nak-Eiam, S., Thancharoen, A., Wattanachaiyingcharoen, W. & Yiu, V. 2019. The Luciolinae of SE Asia and the Australopacific region: a revisionary checklist (Coleoptera: Lampyridae) including description of three new genera and 13 new species. Zootaxa 4687(1): 1-174.
Foo, K. & Dawood, M.M. 2015. Diversity of fireflies (Coleoptera: Lampyridae) of Sungai Teratak, Sabah, Malaysia. Journal of Tropical Biology & Conservation 12: 1-11.
Foo, K. & Dawood, M.M. 2016. Short notes on fireflies of Sungai Kawang, Sabah. Journal of Tropical Biology & Conservation 13: 125-128.
Foo, K. & Dawood, M.M. 2017. Diversity of Pteroptyx Fireflies (Coleoptera: Lampyridae) and Their Display Trees at Klias Peninsula, Sabah, Malaysia. Journal of Tropical Biology & Conservation 14: 95-103.
Hazmi, I.R. & Sagaff, A.S.S. 2018. Fireflies population and the aquaculture industry (Coleoptera: Lampyridae) of the Sungai Sepetang, Kampung Dew, Perak, Malaysia. Serangga 22(2): 217-237.
Jaafar, M., Ahmad, A. & Sakawi, Z. 2010. Kemandirian industri ekopelancongan: Kes tarikan pelancong kelip-kelip Kampung Kuantan. Malaysian Journal of Society and Space 6(3): 89-97.
Jaikla, S., Lewis, S.M., Thancharoen, A. & Pinkaew, N. 2020. Distribution, abundance, and habitat characteristics of the congregating firefly, Pteroptyx Olivier (Coleoptera: Lampyridae) in Thailand. Journal of Asia-Pacific Biodiversity 13(3): 358-366.
Jusoh, W.F.A., Hashim, N.R. & Adam, N.A. 2013. Distribution of the Synchronous Flashing Beetle, Pteroptyx tener Olivier (Coleoptera: Lampyridae), in Malaysia. The Coleopterists Bulletin 67(4): 604-606.
Jusoh, W.F.A., Ballantyne, L., Lambkin, C.L., Hashim, N.R. & Wahlberf, N. 2018. The firefly genus Pteroptyx Olivier revisited (Coleoptera: Lampyridae: Luciolinae). Zootaxa 4456(1): 1-71
Jusoh, W.F.A. & Hashim, N.R. 2012. The effect of habitat modification on firefly populations at the Rembau-Linggi estuary, Peninsular Malaysia. Lampyrid 2:149-155.
Khoo, V., Nada, B., & Kirton, L. 2014. Conservation of the Selangor River population of Pteroptyx tener in Malaysia: Results of seven years of monitoring. https://conference.ifas.ufl.edu/firefly/Presentations/2%20-%20Wednesday/Session%206/0355%20Khoo.pdf [9 September 2019]
Kirton, L.G., Nada, B., Tan, S.A., Ang, L.H., Tang, L.K., Hui, T.F. & Ho, W.M. 2006. The Kampung Kuantan firefly project: a preliminary assessment of the habitat requirements of Pteroptyx tener (Coleoptera: Lampyridae). Highlights of FRIM’s non-IRPA projects. Kuala Lumpur: Forest Research Institute Malaysia.
Lloyd, J.E. 2008. Fireflies in Capinera, J.L. (pnyt.). Encyclopedia of Entomology, hlm.1429-1452. Berlin: Springer Science & Business Media.
Nada, B., Kirton, L.G., Norma-Rashid, Y., Cheng, S., Shahlinney, L. & Phon, C.K. 2012. Monitoring the fireflies of the Selangor River Dlm. Mangrove and Coastal Environment of Selangor, hlm. 1-10. Kuala Lumpur: University of Malaya Press.
Nada, B. & Kirton, L.G. 2004. The secret life of fireflies. IRBM Updates 3: 2-4.
Nadirah, R. & Zaiton, S. 2020. Local community and visitor awareness of firefly conservation in Kuala Selangor, Malaysia. The Malaysian Forester 83(2): 178-193.
Nallakumar, K. 2003. The synchronously flashing aggregative fireflies of Peninsular Malaysia. Biodiversity 4(2): 11-16.
Nur Khairunnisa, S., Nurul Wahida, O., Norela, S. & Ismail, S. 2019. Ultrastructure on the Light Organ of Tropical Synchronize Firefly, Pteroptyx tener. Sains Malaysiana 48(4): 727-733.
Prasertkul, T. 2018. Characteristics of Pteroptyx firefly congregations in human dominated habitat. Journal of Insect Behavior 31(4): 436‑457.
Shahara, A., Nura, A.M.R., Maimon, A. & Norela, S. 2017. Assessment of firefly abundance at a new ecotourism site of Sungai Bernam, Selangor, Malaysia. Malayan Nature Journal 69(2): 67-74.
Shahwahid, H.M., Iqbal, M.M., Ayu, A.A.M., Farah, M.S. 2013. Assessing service quality of community-based ecotourism: A case study from Kampung Kuantan Firefly Park. Journal of Tropical Forest Science 25(1): 22-33.
Thancharoen, A. 2012. Well managed firefly tourism: A good tool for firefly conservation in Thailand. Lampyrid 2: 142–48.
Zaidi, M.I. 2001. Firefly Studies in Kuala Selangor District. Interim Report April 2001 Working Paper No. 4, 1-16. Kuala Lumpur: The Malaysian Nature Society