Oleh: Dr. Heo Chong Chin, Ahli Bersekutu YSN-ASM
Pensyarah Kanan, Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi MARA
Langau adalah sejenis lalat yang biasa dijumpai di sekitar tempat pembuangan sampah-sarap, najis dan bangkai haiwan. Serangga jenis ini tidak disukai ramai kerana sifat semulajadinya iaitu pengotor dan pengacau, serta pembawa kuman jangkitan penyakit seperti bakteria (keracunan makanan oleh Salmonella dan demam taun oleh Vibrio cholera), virus (cirit-birit oleh rotavirus) dan parasit (disenteri oleh Entamoeba histolytica).
Kenapa dipanggil langau? Agak lucu mengenang kembali jawapan yang diberikan oleh penyelia saya, seorang tokoh ahli kaji serangga di negara ini. “Ini disebabkan bunyi terbangnya kedengaran seperti “lan…….gau……”, ujar beliau.
Minat saya pada proses pereputan bangkai bermula apabila melihat seorang kawan saya membentangkan hasil projek penyelidikan tahun akhir beliau di dewan kuliah, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu (sekarang dikenali sebagai Fakulti Sains Kesihatan), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semasa kami masih menuntut dalam program Sains Bioperubatan.
Proses pereputan bangkai merupakan proses semulajadi dan ia adalah salah satu fungsi penting dalam ekosistem. Semua organisma, termasuklah haiwan dan tumbuhan, selepas mati, akan mengalami proses pereputan atau penguraian, dan zat-zat atau nutrisi yang berasal daripada organisma akan dikembalikan ke dalam tanah. Nutrisi seperti nitrogen, karbon dan mineral lain daripada bangkai akan diserap oleh tanah dan kemudiannya digunakan oleh tumbuh-tumbuhan disekeliling untuk proses tumbesaran. Apabila tumbuhan ini berkembang besar melalui proses fotosintesis, maka ianya akan dimakan oleh haiwan herbivor, contohnya seperti lembu, dan kemudian lembu dimakan oleh karnivor (contohnya seperti harimau atau manusia). Apabila tumbuhan dan pengguna mati, maka proses pereputan mengembalikan tenaga kimia ke dalam tanah (daripada nutrisi organik kepada inorganik). Tanpa proses pereputan, maka kitaran nutrien akan terganggu dan keseimbangan ekosistem juga akan terjejas.
Saya masih ingat, penyelia saya pernah berkata, jika tiada proses pereputan, hari ini mungkin kita masih berjalan di atas mayat yang terkumpul-kumpul di atas permukaan bumi.
Proses pereputan haiwan memerlukan beberapa pemain utama, antaranya mikroorganisma pengurai (bakteria, protozoa, dan kulat), cacing bulat (nematoda) tungau tanah, kumbang, dan langau. Pemain-pemain biotik ini merupakan sebahagian daripada proses pereputan bangkai dan mayat. Kita harus menghargai sumbangan mereka dalam memastikan proses pereputan dan kitaran nutrien berjalan dengan baik, dan seterusnya menjamin bekalan makanan manusia berkekalan.
Sebenarnya, bekalan makanan manusia bergantung kepada pengurai dan pereput seperti serangga. Tanpa serangga pereput ini, maka tumbuhan-tumbuhan mati dan bangkai haiwan tidak akan diuraikan secara berkesan, Akibatnya, kita tidak mungkin mempunyai tanah yang subur. Jika tiada tanah yang subur, maka tiada tumbuhan yang tumbuh sihat. Tiada tumbuhan, maka tiada haiwan, dan seterusnya tiada lagi makanan untuk manusia.
Langau betina bertelur (sekitar 250 biji telur) di atas bangkai dan telur akan menetas dan menghasilkan larva (atau dikenali sebagai berenga) selepas 24 jam, dan seterusnya membesar dengan memakan daging bangkai sehingga ke peringkat larva ketiga (L3). Kemudian, larva lalat ini akan menjauhi mayat dan mencari tempat yang lebih kering untuk proses pembentukan pupa. Pupa lalat biasanya dijumpai di bawah tanah. Lalat dewasa (dikenali sebagai teneral) seterusnya muncul daripada sarung pupa. Secara umumnya, kitar hidup seekor langau memerlukan tempoh lebih kurang 9-12 hari, bergantung kepada suhu persekitaran. Satu lagi fenomena semulajadi yang menarik, iaitu langau biasanya bertelur di bahagian tisu lembut dan berongga seperti mata, hidung, telinga, mulut, dan bukaan urogenital (urethral, vagina, anus), ataupun pada luka yang ada pada mayat.
Biologi langau sangat penting untuk tujuan forensik, terutamanya apabila mayat yang dijumpai sedang mereput dan dikerumuni oleh larva langau. Bidang ini dikenali sebagai entomologi forensik. Oleh sebab lalat langau betina berupaya bertelur di atas mayat secepat mungkin apabila kematian berlaku (~1 jam selepas mati), maka perkembangan larva lalat pada mayat boleh digunakan dalam anggaran masa kematian. Pendek kata, jika kita tahu usia larva lalat di atas mayat, maka kita boleh memberi anggaran waktu kematian bagi pihak si mati sebagai bukti untuk perbicaraan di mahkamah.
Selain daripada anggaran waktu kematian, larva langau juga boleh memberitahu tentang lokasi berlakunya kematian. Ini disebabkan spesies langau yang berbeza mendiami habitat yang berbeza. Sebagai contoh, lalat Luculia cuprina dan Chrysomya megacephala selalu dijumpai di kawasan bandar dan pasar, manakala Hemipyrellia tagaliana dan Hypopygiopsis fumipennis dijumpai di kawasan kampung ataupun pinggir hutan. Begitu juga dengan Chrysomya defixa yang dijumpai di kawasan tanah rendah berbanding dengan Calliphora fulviceps yang hanya dijumpai di kawasan tanah tinggi seperti di Cameron Highlands atau Gunung Kinabalu. Jika mayat yang dijumpai di kawasan bandar mempunyai larva lalat yang spesiesnya berasal daripada kawasan luar bandar, maka ini memberi indikasi bahawa mayat pernah dipindahkan dan lokasi penemuan mayat bukanlah di tempat berlakunya kematian.
Selain daripada anggaran waktu kematian dan lokasi kematian, larva langau juga boleh digunakan dalam menentukan sebab kematian (dalam penyelesaian kes keracunan melalui teknik entomotoksikologi), penderaan, penentuan musim, dan berkemungkinan memberi maklumat DNA si mati (DNA manusia boleh dijumpai di dalam usus larva langau).
Setelah saya menamatkan pengajian entomologi forensik di peringkat Sarjana di UKM, saya berpeluang untuk melanjutkan pengajian Doktor Falsafah dalam bidang yang sama di Texas A&M University, USA. Selama empat tahun di sana, saya berpeluang mengkaji biologi dan tingkah laku langau forensik di Amerika Syarikat, dan melawat ke sebuah fasiliti body farm di Texas. Body farm merupakan kawasan kajian pereputan mayat manusia, dimana mayat diletakkan di atas tanah dan dibiarkan mereput secara semulajadi, dan penyelidik akan merekod pemerhatian mereka berdasarkan objektif kajian masing-masing.
Kerja penyelidikan saya di Texas adalah mengkaji ekologi pereputan mayat secara menyeluruh. Kajian saya termasuklah komuniti langau berkepentingan forensik, fungsi metabolisma bakteria pada mayat, perubahan kimia di bawah tanah, di mana bangkai terbaring, dan juga komuniti tungau tanah yang berkaitan dengan pereputan mayat. Kesimpulannya, pereputan mayat merupakan proses ekologi yang bergantung kepada pelbagai faktor biotik dan abiotik, dan aplikasi entomologi forensik harus berdasarkan kepada prinsip ekologi asas apabila mengendalikan kes siasatan yang berkaitan dengan larva lalat.